Sempena Musim Peringatan, Adakah Anda akan Meniru Semangat Yehuwa dan Yesus?
1. Semasa musim Peringatan, Saksi-Saksi Yehuwa berusaha untuk melakukan apa?
1 Mengenai berkat Kerajaan Tuhan, Yesaya 9:7 (Manusia Moden) berkata, “Demikianlah azam Tuhan hendak melakukan segala perkara ini.” Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa melaksanakan tujuan-Nya dengan bersemangat. Yesus juga mempunyai semangat yang berkobar-kobar terhadap ibadat sejati semasa dia di bumi. (Yoh. 2:13-17; 4:34) Setiap tahun semasa musim Peringatan, jutaan penyiar di serata dunia berusaha untuk meniru semangat Yehuwa dan Yesus. Mereka menjalankan aktiviti penyebaran dengan lebih giat. Bagaimana pula dengan anda?
2. Bermula 7 Mac, semangat yang berkobar-kobar akan mendorong kita untuk melakukan apa?
2 Kempen Peringatan: Tahun ini, kempen untuk mengedarkan jemputan Peringatan akan bermula pada hari Sabtu, 7 Mac. Buatlah rancangan sekarang agar anda dapat lebih giat dalam kerja penyebaran. Sidang pasti teruja seraya para penyiar berusaha untuk meliputi kawasan penyebaran mereka. Berusahalah untuk menjemput pelajar Bible, kunjungan kembali, rakan sekerja, saudara-mara, dan rakan sekolah anda dengan memberikan surat jemputan atau menerusi jw.org.
3. Bagaimanakah kita dapat meluaskan khidmat kita pada bulan Mac dan April?
3 Menjadi Perintis Sokongan: Semangat yang membara akan mendorong kita untuk meluaskan khidmat kepada Yehuwa. Aturan untuk menginjil sebanyak 30 jam bagi perintis sokongan pada bulan Mac dan April akan mendorong ramai penyiar untuk meluaskan khidmat mereka. Semasa malam penyembahan keluarga atau pembelajaran peribadi, berdoalah dan fikirkan cara anda dapat meluaskan khidmat anda. (Ams. 15:22) Semangat anda untuk kempen ini dapat menggalakkan orang lain untuk turut bersemangat. Jika anda membuat penyesuaian untuk bergiat dalam kerja penyebaran, anda sedang meniru semangat Yesus.—Mrk. 6:31-34.
4. Apakah berkatnya yang diraih jika kita meniru semangat Yehuwa dan Yesus?
4 Dengan meniru semangat Yehuwa dan Yesus, kita akan meraih banyak berkat. Kita akan menikmati sukacita dan kepuasan kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa dan membantu orang lain. (Kis. 20:35) Selain itu, lebih ramai orang dapat mendengar tentang berita baik. Yang paling penting, kita menyenangkan hati Yehuwa dan Yesus.