Kesaksian Tidak Formal yang Berkesan
1. Apakah satu caranya kita dapat meniru Yesus?
1 Semasa menjalankan aktiviti penyebaran di bumi, Yesus tidak pernah teragak-agak untuk bercakap dengan orang yang ditemuinya di jalan atau di tempat awam. (Luk. 9:57-61; Yoh. 4:6-8) Dia ingin berkongsi mesejnya yang penting dengan seberapa ramai orang yang boleh. Kini, kesaksian tidak formal ialah cara yang berkesan untuk membantu orang memperoleh hikmat ilahi. (Ams. 1:20) Kita akan lebih berjaya jika kita mengambil inisiatif dan menggunakan daya penilaian.
2. Bagaimanakah kita boleh mengambil inisiatif semasa menjalankan kesaksian tidak formal?
2 Ambillah Inisiatif: Biasanya, adalah lebih baik untuk mendekati seseorang daripada menantikan orang yang lalu lalang mendekati anda sementara anda duduk atau berdiri di suatu tempat. Pandang mereka dengan tenang dan berilah senyuman yang ramah mesra. Jika anda sedang bekerja dengan penyiar lain, biasanya adalah lebih baik jika anda berdua memulakan perbualan secara berasingan. Inisiatif juga diperlukan jika kita ingin mengunjungi mereka yang berminat. Jika sesuai, sebelum mengakhiri perbualan, tanyakan cara menghubungi mereka dengan nada yang sopan. Sesetengah penyiar sering menjalankan kesaksian tidak formal di tempat yang sama. Dengan ini mereka dapat menemui orang yang sama dan terus memupuk minat mereka.
3. Bagaimanakah kita boleh menggunakan daya penilaian apabila menjalankan kesaksian tidak formal?
3 Gunakan Daya Penilaian: Buat penilaian yang bijak semasa memutuskan di mana dan kepada siapa anda akan memberikan kesaksian tidak formal. Anda tidak semestinya perlu memberikan kesaksian kepada setiap orang yang lalu lalang di situ. Perhatikan orang di sekeliling anda. Misalnya, jika seseorang nampaknya mengejar masa, biarlah dia lalu. Semasa memberikan kesaksian di depan kedai, pastikan tuan milik kedai tidak berasa bahawa kita sedang mengganggu perniagaannya. Adalah lebih baik untuk memberikan kesaksian semasa orang sedang keluar dari kedai bukannya semasa mereka sedang masuk. Jangan menakutkan atau memeranjatkan orang semasa anda menghampiri mereka. Selain itu, gunakan daya penilaian semasa menawarkan majalah. Jika seseorang kurang berminat, anda boleh memberinya risalah. Meskipun kita ingin membacakan ayat Bible, kita mungkin akan mendapat maklum balas yang lebih baik jika kita merumuskan satu ayat Bible lalu menggunakannya sebagai soalan yang merangsang fikiran orang.
4. Mengapakah kesaksian tidak formal berkesan dan memuaskan?
4 Kita dapat menaburkan banyak benih kebenaran dalam masa yang singkat menerusi kesaksian tidak formal. (Pkh. 11:6) Mungkin kita boleh menemui orang yang biasanya tiada di rumah ketika kita menyebar dari rumah ke rumah. Jadi, cubalah menyertai kesaksian tidak formal dan nikmati kerja penyebaran yang berkesan dan memuaskan ini!