Bolehkah Anda “Datang ke Makedonia”?
1. Mengapakah Paulus dan teman-temannya melangkah ke Makedonia?
1 Sekitar tahun 49 M, Paulus telah meninggalkan kota Antiokhia di Siria untuk memulakan perjalanan penginjilannya yang kedua. Dia berhasrat untuk mengunjungi Efesus dan kota-kota lain di Asia Kecil. Namun, daya aktif Tuhan menjemputnya untuk “datang ke Makedonia.” Dia dan teman-temannya menerima jemputan itu. Hasilnya mereka berpeluang menubuhkan sidang yang pertama di kawasan tersebut. (Kis. 16:9, 10; 17:1, 2, 4) Hari ini, sesetengah kawasan tuaian benar-benar kekurangan pekerja. (Mat. 9:37, 38) Bolehkah anda menawarkan diri?
2. Mengapakah sesetengah orang tidak terfikir untuk berpindah ke negara asing atau kawasan lain dalam negara?
2 Barangkali anda ingin menjadi perintis seberang laut seperti Paulus, tetapi tidak terfikir untuk berpindah ke negara asing. Mungkin anda tidak dapat mengikuti latihan Gilead kerana sudah melepasi had usia, mempunyai anak-anak yang masih kecil, atau merupakan saudari yang bujang. Mungkin anda tidak terfikir untuk berpindah ke negara lain kerana kurang yakin terhadap kebolehan diri untuk menguasai bahasa baru. Atau anda mungkin sedang mencari nafkah di negara asing, maka anda teragak-agak untuk berpindah. Tetapi, setelah anda memikirkan hal ini dan berdoa tentangnya, anda mungkin mendapati bahawa keadaan sebegini tidak semestinya menghalang anda daripada berpindah ke negara asing atau kawasan lain dalam negara yang lebih memerlukan bantuan.
3. Mengapakah anda masih boleh menginjil di negara asing dengan berjaya meskipun tidak pernah menjalani latihan Gilead?
3 Perlukah Anda Menjalani Latihan Gilead? Apakah rahsia kejayaan Paulus dan teman-temannya? Mereka bergantung pada Yehuwa dan daya aktif-Nya. (2 Kor. 3:1-5) Maka, meskipun keadaan tidak mengizinkan anda untuk pergi ke sekolah Gilead, anda masih dapat menginjil di negara asing dengan berjaya. Jangan lupa, anda dapat terus memanfaatkan latihan daripada Sekolah Penyebaran Teokratik dan Perjumpaan Aktiviti Penyebaran, tidak kira di mana anda berkhidmat. Jika anda ingin dilatih di Gilead atau menerima latihan yang lain, anda boleh mencuba merintis di luar negara terlebih dahulu. Pengalaman ini akan berguna kelak, jika anda dijemput untuk menerima latihan tambahan.
4. Mengapakah penyiar yang berumur tidak harus beranggapan bahawa mereka tidak boleh berpindah ke negara asing?
4 Penyiar yang Berumur: Penyiar yang berumur, agak sihat, dan matang secara rohani boleh memberikan pertolongan besar di negara yang memerlukan bantuan. Adakah anda seorang pesara? Sesetengah penerima pencen mendapati bahawa mereka dapat menampung perbelanjaan mereka di negara membangun, kerana kos hidup, termasuk kos perubatan yang berkualiti, jauh lebih rendah berbanding negara asal mereka.
5. Ceritakan pengalaman seorang saudara yang telah bersara lalu berpindah ke negara asing.
5 Setelah bersara, seorang penatua yang merintis di negara yang menuturkan bahasa Inggeris telah berpindah ke sebuah kawasan pelancongan di Asia Tenggara. Dia telah membantu sebuah kumpulan bahasa Inggeris yang terdiri daripada sembilan penyiar. Mereka telah menginjil kepada 30,000 orang asing yang menetap di situ. Dalam tempoh dua tahun, sebanyak 50 orang menghadiri perjumpaan dengan tetap. Saudara ini menulis, “Setelah berpindah ke sini, saya telah menikmati berkat yang cukup besar. Masa tidak membenarkan saya menceritakan semuanya!”
6. Ceritakan pengalaman seorang saudari bujang yang telah berpindah ke negara yang lebih memerlukan bantuan.
6 Saudari yang Bujang: Yehuwa sering kali menggunakan saudari untuk menyebarkan berita baik di kawasan yang lebih memerlukan bantuan. (Mzm. 68:12) Seorang saudari muda yang bujang ingin berkhidmat di negara asing, tetapi ibu bapanya risau akan keselamatannya. Jadi dia memilih sebuah negara yang stabil secara politik dan ekonomi. Lalu dia menyurati pejabat cawangan di situ dan memperoleh maklumat yang diperlukan. Dia dilimpahi banyak berkat sepanjang enam tahun di situ. Katanya, “Dulu saya jarang berpeluang memulakan pembelajaran Bible. Tapi setelah berkhidmat di kawasan yang lebih memerlukan bantuan, saya dapat mengadakan banyak pembelajaran Bible. Hal ini betul-betul mengasah kemahiran mengajar saya.”
7. Ceritakan pengalaman sebuah keluarga yang telah berpindah ke negara asing.
7 Keluarga: Jika anda bergelar ibu atau bapa, adakah hal ini bererti anda tidak boleh berpindah ke negara asing untuk menginjil? Sebuah keluarga yang mempunyai dua orang anak yang berumur lapan dan sepuluh tahun telah mencubanya. Ibu mereka menulis, “Kami bersyukur kerana dapat membesarkan anak-anak di sini. Mereka dapat bergaul dengan perintis khas dan perintis seberang laut. Berkhidmat di tempat yang lebih memerlukan bantuan telah memperkaya kehidupan kami.”
8. Bolehkah anda menginjil di negara asing tanpa perlu mempelajari bahasa lain? Jelaskan.
8 Sempadan Bahasa: Adakah anda teragak-agak untuk berpindah ke negara lain kerana sukar mempelajari bahasa asing? Barangkali, bahasa anda juga dituturkan di negara lain yang memerlukan lebih ramai penyiar. Di sebuah negara yang berbahasa Sepanyol, terdapat agak ramai pendatang yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Setelah mengetahui hal ini, sepasang suami isteri yang berbahasa Inggeris telah meminta lebih maklumat daripada pejabat cawangan negara itu tentang sidang Inggeris yang memerlukan bantuan. Lalu mereka memilih sebuah sidang dan mengunjunginya sebanyak dua kali. Setelah pulang, mereka mengurangkan perbelanjaan bulanan mereka dan menabung selama setahun. Apabila mereka bersedia untuk berpindah, saudara-saudara di kawasan itu membantu mereka mendapatkan rumah yang berpatutan harganya.
9, 10. Mereka yang telah berhijrah ke negara lain boleh mempertimbangkan apa? Mengapa?
9 Emigran: Barangkali anda telah berhijrah ke negara lain sebelum mempelajari kebenaran. Jika negara kelahiran anda memerlukan lebih banyak pekerja tuaian, bolehkah anda berpindah balik? Anda mungkin dapat mencari pekerjaan dan tempat tinggal dengan lebih mudah berbanding dengan penyiar dari luar negara. Anda mungkin sudah fasih bertutur dalam bahasa tempatan. Tambahan lagi, penduduk tempatan mungkin lebih rela mendengar mesej Kerajaan Tuhan daripada anda berbanding dengan seseorang yang dipandang sebagai orang luar.
10 Seorang lelaki dari Albania telah menjadi pelarian di Itali. Dia telah mendapat pekerjaan yang baik dan dapat mengirim wang kepada keluarganya di Albania. Setelah dia menerima kebenaran, pejabat di Albania memintanya untuk mengajarkan bahasa Albania kepada sekumpulan perintis khas yang berbangsa Itali. Mereka ingin berpindah ke Albania untuk menginjil di kawasan yang lebih memerlukan penyiar. Saudara ini menulis, “Mereka akan pergi ke kawasan yang saya tinggalkan. Walaupun mereka tidak pandai berbahasa Albania, mereka tak sabar-sabar hendak ke sana. Bahasa dan budaya Albania sudah sebati dengan diriku. Buat apa saya berada di Itali?” Saudara ini memutuskan untuk kembali ke Albania dan menyebarkan berita baik di sana. Katanya, “Pernahkah saya menyesal kerana meninggalkan kerja dan peluang mencari duit di Itali? Tidak sekali-kali! Saya telah menemui pekerjaan yang sejati di Albania. Saya rasa kerja yang betul-betul bermakna dan membawa sukacita yang kekal ialah berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati!”
11, 12. Mereka yang bercadang untuk berpindah ke negara asing harus melakukan apa?
11 Cara Melakukannya: Sebelum Paulus dan teman-temannya pergi ke Makedonia, mereka ingin bertolak ke arah barat, tetapi daya aktif Tuhan “tidak membenarkan mereka.” Maka, mereka beralih ke utara. (Kis. 16:6) Apabila mereka hampir tiba di Bitinia, Yesus menghalang mereka pula. (Kis. 16:7) Menerusi Yesus, Yehuwa terus membimbing kerja penyebaran. (Mat. 28:20) Oleh itu, jika anda sedang berfikir untuk berpindah ke negara asing, berdoalah dan mintalah bimbingan Yehuwa.—Luk. 14:28-30; Yak. 1:5.
12 Jika anda sedang merancang untuk berkhidmat di negara asing, tanyalah pandangan penatua dan orang Kristian lain yang matang. Anda juga boleh berbincang dengan penyiar yang pernah mengunjungi atau menetap di situ. (Ams. 11:14; 15:22) Bahan bacaan kita mengandungi rencana-rencana tentang berkhidmat di negara asing. Rujuklah bahan ini dan buatlah penyelidikan tentang mana-mana negara asing yang menarik minat anda. Jika anda ingin menginjil dalam bahasa sendiri di sesebuah negara asing, selidikilah sumber-sumber lain seperti Internet, untuk mengetahui seberapa banyak orang dalam negara itu yang bertutur dalam bahasa anda. Anda juga boleh meluangkan masa yang secukupnya di negara tersebut untuk mengenali sedikit sebanyak tentangnya. Jika anda betul-betul bercadang untuk berpindah ke negara asing, anda boleh menyurati pejabat cawangan di situ untuk mendapatkan maklumat lanjut menerusi alamat yang tercatat di dalam Buku Tahunan yang terkini. Namun, seboleh-bolehnya, serahkan surat itu kepada penatua anda dahulu. Dengan ini, mereka dapat menyertakan komen-komen mereka sebelum mengirimnya ke pejabat cawangan berkenaan.—Lihat buku “Diorganisasikan” (Organized-E), muka surat 111-112.
13. Apakah bantuan yang dapat diberikan oleh pejabat cawangan? Apa pula yang perlu anda lakukan?
13 Pejabat cawangan akan mengirim maklumat-maklumat yang dapat membantu anda untuk membuat keputusan. Tetapi anda sendiri harus memperoleh butiran dan menguruskan surat tajaan, visa, borang permohonan yang lain, atau tempat tinggal sebelum anda berpindah. Tambahan lagi, anda perlu menghubungi pejabat kedutaan atau konsul untuk mendapatkan maklumat tentang syarat-syarat visa dan permit kerja. Mereka yang berpindah harus mampu menanggung keperluan hidup sendiri dan memenuhi tuntutan undang-undang.—Gal. 6:5.
14. Jika anda ingin melawat atau berpindah ke negara yang menyekat kerja kita, apakah langkah-langkah yang perlu diambil?
14 Negara yang Menyekat Kerja Kita: Di sesetengah negara, saudara saudari tempatan harus selalu berwaspada semasa menjalankan ibadat. (Mat. 10:16) Penyiar yang melawat atau berpindah ke situ mungkin secara tidak sengaja akan menarik perhatian pihak berkuasa dan mengancam keselamatan saudara saudari tempatan. Jika anda bercadang untuk berpindah ke negara sebegini, sila menyurati pejabat cawangan tempatan menerusi badan penatua sidang anda sebelum membuat apa-apa perancangan.
15. Jika anda tidak dapat berpindah, bagaimanakah anda dapat meningkatkan usaha dalam kerja penyebaran di kawasan tempatan?
15 Jika Anda Tidak Dapat Berpindah: Hakikatnya, situasi kebanyakan penyiar tidak mengizinkan mereka berpindah ke negara lain. Jika anda tidak dapat berpindah, janganlah tawar hati. Masih terdapat “banyak peluang untuk melakukan kerja yang bermanfaat.” (1 Kor. 16:8, 9) Tanyalah penyelia litar anda sama ada terdapat sidang atau kumpulan bahasa asing berdekatan yang memerlukan bantuan. Ataupun anda dapat meningkatkan usaha dalam kerja penyebaran tanpa berpindah ke sidang yang lain. Tidak kira apa pun keadaan anda, jalankanlah aktiviti penyebaran dengan sepenuh hati. Inilah perkara yang terpenting.—Kol. 3:23.
16. Apakah sepatutnya sikap kita terhadap mereka yang ingin berpindah ke negara asing?
16 Adakah anda mengenali seorang rakan Kristian yang matang yang ingin berkhidmat di luar negara? Sokonglah usahanya dan berinya galakan! Sewaktu Paulus meninggalkan kota Antiokhia di Siria, kota ini ialah kota yang ketiga terbesar di dalam Empayar Roma (didahului kota Roma dan Aleksandria). Kawasan penyebaran sidang Antiokhia begitu besar, pastinya mereka memerlukan bantuan Paulus dan berasa sedih jika dia berpindah. Namun, Bible tidak menunjukkan bahawa mereka mencuba menghalangnya. Nampaknya, mereka bukan sahaja memikirkan kawasan penyebaran sendiri, malah juga ingat bahawa “ladang itu dunia ini.”—Mat. 13:38.
17. Mengapakah anda digalakkan untuk “datang ke Makedonia”?
17 Paulus dan teman-temannya dilimpahi berkat kerana telah datang ke Makedonia. Ketika berada di Filipi, sebuah kota Makedonia, mereka menemui Lidia dan “Tuhan membuka fikirannya sehingga dia menyambut ajaran Paulus.” (Kis. 16:14) Bayangkan betapa gembiranya Paulus dan teman-temannya apabila Lidia dan seisi rumahnya dibaptis! Di banyak negara, terdapat orang yang berhati jujur seperti Lidia. Mereka masih belum mendengar berita Kerajaan Tuhan. Jika anda “datang ke Makedonia,” anda mungkin akan bersukacita kerana dapat mencari dan membantu mereka.