‘Semoga Kehendak Tuhan Ditaati’
1. Apakah tema hari perhimpunan istimewa bagi tahun aktiviti penyebaran 2012? Mengapakah kita perlu membincangkan tema ini?
1 Dengan kehendak Yehuwa, kita diciptakan. (Why. 4:11) Tanpa mengetahui dan melakukan kehendak Tuhan, hidup kita memang tidak bermakna. Hal ini tidak mudah, kerana kita perlu melawan kecenderungan untuk “melakukan segala sesuatu yang dikehendaki tubuh dan fikiran kita” atau membuat “apa yang suka dilakukan oleh orang yang tidak mengenal [Tuhan].” (Ef. 2:3; 1 Ptr. 4:3; 2 Ptr. 2:10) Tanpa bantuan Tuhan, kita bahkan mungkin terjerat oleh “perangkap Iblis” dan terpaksa “mengikut kehendaknya.” (2 Tim. 2:26) Program hari perhimpunan istimewa untuk tahun aktiviti penyebaran 2012 akan membantu kita berusaha selaras dengan salah satu permohonan utama dalam doa contoh Yesus, iaitu ‘semoga kehendak-Mu ditaati.’—Mat. 6:9, 10.
2. Apakah soalan-soalan yang akan dijawab semasa program perhimpunan?
2 Soalan-soalan yang akan Dijawab: Semasa anda mendengar program perhimpunan, carilah jawapan kepada soalan-soalan berikut: Selain daripada mendengar Firman Tuhan, apakah yang juga penting? Bagaimanakah kita boleh terus mengetahui kehendak Tuhan bagi kita? Mengapakah kita perlu rela membantu semua orang? Bagaimanakah kita boleh mencari hidup yang puas dan bermakna? Kaum muda, apakah yang perlu anda buktikan kepada Yehuwa? Apakah berkatnya jika kita melakukan kehendak Tuhan? Mengapakah kita harus meneguhkan dan menggalakkan orang lain tanpa berlengah-lengah?
3. Bagaimanakah kita dapat memanfaatkan acara rohani ini dengan sepenuhnya?
3 Pastikan anda hadir dan menumpukan sepenuh perhatian pada program perhimpunan. Kemungkinan besar seorang wakil dari Bethel atau penyelia lawatan akan menyampaikan beberapa ceramah. Sebelum dan selepas perhimpunan, carilah peluang untuk berbual dengannya. Jika dia sudah berkahwin, anda juga boleh berbual dengan isterinya. Setelah mendengar program perhimpunan, janganlah melupakannya sesudah pulang ke rumah. Sebaliknya, ulang kaji program ini dengan keluarga dan bincangkan bagaimana anda semua boleh hidup lebih selaras dengan kehendak Tuhan.—Yak. 1:25.
4. Mengapakah kita mesti mengutamakan kehendak Tuhan?
4 Tidak lama lagi, orang yang menurut kehendak sendiri dan enggan melakukan kehendak Yehuwa akan dimusnahkan. (1 Yoh. 2:17) Perhimpunan ini akan membantu kita agar mengutamakan kehendak-Nya. Jadi, tidakkah kita bersyukur kepada Yehuwa kerana menyediakan maklumat ini tepat pada masanya?