Majalah Pembelajaran dan Majalah Berita Memenuhi Keperluan Rohani Keluarga
1, 2. (a) Bagaimanakah majalah kita memenuhi keperluan rohani? (b) Apakah maklumat yang terkandung dalam majalah kita?
1 Majalah yang Memenuhi Keperluan Rohani: Majalah Pembelajaran dan Majalah Berita telah memenuhi keperluan rohani jutaan orang yang berhati jujur. Rencana dalam majalah-majalah ini membina iman kita, meningkatkan pemahaman kita terhadap Firman Tuhan, dan membantu kita lebih menghargai Kerajaan-Nya.
2 Selain itu, majalah-majalah ini mengandungi rencana yang praktikal tentang tingkah laku, moral, dan perkara-perkara lain yang penting bagi orang Kristian. Majalah ini mengupas akar umbi masalah yang mempengaruhi kehidupan kita. Hasilnya, kita dapat menikmati mutu hidup yang unggul sekarang sementara menantikan hidup sejati yang dijanjikan oleh Tuhan.—Yes. 48:17; 1 Tim. 6:19.
3. Apakah sebab-sebab yang baik untuk membaca dan membincangkan Majalah Berita dengan seisi keluarga?
3 Kata pengantar pada muka surat 4 setiap Majalah Berita memberi kita sebab yang baik untuk membaca dan membincangkan isinya dengan ahli keluarga: “Majalah Berita disediakan untuk manfaat seisi keluarga. Majalah ini menunjukkan cara menangani masalah dewasa ini, menyiarkan berita, menghidangkan maklumat tentang kehidupan di negara lain, serta membincangkan agama dan sains. Bukan itu sahaja. Majalah ini mendedahkan makna di sebalik peristiwa terkini, tetapi sentiasa neutral dari segi politik dan tidak berprasangka kaum. Penting sekali, majalah ini meyakinkan orang tentang janji Pencipta untuk menggantikan dunia jahat sekarang dengan dunia baru yang aman damai.”
4, 5. Nyatakan satu pengalaman yang menunjukkan bagaimana Majalah Berita membantu menyelamatkan nyawa. Bagaimanakah anda memperoleh manfaat daripada rencana Majalah Berita?
4 Majalah Berita Membantu Menyelamatkan Nyawa: Sewaktu seorang saudari sedang menunggu keretanya dibaiki oleh mekanik di Ecuador, isteri mekanik itu memberitahu saudari tersebut bahawa dia risau tentang anaknya, Byron yang diserang sawan lima atau enam kali seminggu. Para doktor, bahkan pakar di Quito, iaitu ibu kota Ecuador, tidak tahu mengapa Byron sakit. Saudari itu berkata, “Semasa berbual dengan ibu Byron, saya nampak seorang pekerja yang sedang mengecat kereta lalu teringat akan rencana dalam Majalah Berita tentang keracunan plumbum. Rencana itu menjelaskan bahawa serangan sawan ialah salah satu tanda keracunan plumbum. Saya berjanji akan membawa majalah ini untuk dia.”
5 Apabila ibu bapa Byron membaca rencana itu, mereka membawanya ke doktor untuk ujian keracunan plumbum. Tahap plumbum dalam darah Byron sangat tinggi. Mereka mendapatkan rawatan dan memastikan Byron tidak terdedah kepada plumbum. Hasilnya, kesihatan Byron semakin pulih. “Sudah empat bulan dia tidak diserang sawan,” kata saudari itu. “Sejak itu ayah Byron bercakap kepada banyak doktor tentang kes itu, dan dia selalu berkata bahawa majalah berita telah menyelamatkan nyawa anaknya. Sekarang, doktor di situ pun membaca Majalah Berita.”
6, 7. Bagaimanakah Majalah Pembelajaran dan Majalah Berita berbeza daripada majalah yang lain?
6 Tidak seperti Majalah Lain: Majalah lain tidak mengajar orang cara untuk menikmati kehidupan yang memuaskan dalam dunia ini, cara mendapat kehidupan kekal, dan harapan masa depan. Majalah lain diterbitkan untuk mempromosikan hal-hal dunia. Alangkah bezanya Majalah Pembelajaran dan Majalah Berita daripada majalah-majalah lain!—1 Yoh. 2:15-17.
7 Sudah pasti anda sangat menghargai setiap terbitan Majalah Pembelajaran dan Majalah Berita yang menghidangkan kebenaran daripada ‘hamba yang setia dan bijaksana.’—Luk. 12:42.
8, 9. Bagaimanakah bahagian “Untuk Tinjauan Keluarga” dalam Majalah Berita dapat digunakan?
8 “Untuk Tinjauan Keluarga”: Adakah anda mencintai Firman Tuhan, tetapi sering lupa butiran tentang suatu kisah atau ayat tertentu dalam Bible? Adakah anda ingin anak-anak menguasai ajaran dan kebenaran asas Bible? Bahagian “Untuk Tinjauan Keluarga” pada muka surat 31 setiap Majalah Berita boleh membantu baik yang tua mahupun yang muda untuk lebih mengenali Firman Tuhan.—Kis. 17:11.
9 Apakah cara yang terbaik untuk menggunakan bahagian ini? Majalah Berita Januari 2006 membuat cadangan berikut: “Luangkan masa untuk melihat muka surat 31 . . . Ada bahagian yang akan menarik perhatian anak muda; ada yang menguji daya ingatan pelajar Bible yang maju. Bahagian ‘Bilakah dalam Sejarah?’ akan membantu anda membuat garis masa dan menandakan zaman hidup watak Bible atau tarikh berlakunya suatu peristiwa. Jawapan-jawapan kepada soalan dalam bahagian ‘Daripada Terbitan Ini’ terdapat dalam majalah yang sama, namun jawapan kepada kebanyakan soalan akan tercetak songsang pada muka surat tertentu. Buatlah penyelidikan sebelum membaca jawapan itu, dan beritahulah orang lain apa yang anda pelajari. Anda juga boleh menggunakan rencana ‘Apakah Jawapan Anda?’ (Diubah menjadi ‘Untuk Tinjauan Keluarga’ bermula terbitan Januari 2010) untuk membincangkan Bible dengan orang lain atau ahli keluarga.”
10, 11. Bagaimanakah bahagian “Untuk Tinjauan Keluarga” boleh digunakan semasa malam Penyembahan Keluarga?
10 Banyak keluarga gemar menggunakan bahagian ini untuk pembelajaran keluarga. Seorang ibu menulis, “Saya dan suami saya mendapati bahawa anak perempuan kami yang berusia 3 tahun lebih berminat dalam pembelajaran keluarga apabila kami menggunakan bahagian ‘Adik-adik, Carilah Gambar.’ Seronok betul semasa melihatnya mengambil Majalah Berita sendiri dan mencari-cari gambar.” Seorang bapa di Brazil berkata, “Saya dan anak saya Moises yang berusia tujuh tahun sangat menggemari bahagian ini dalam Majalah Berita. Moises dibantu menumpukan perhatian, membuka Bible, serta memahami gambar dan tarikh.” Ashley yang berumur lapan tahun menulis, “Terima kasih untuk bahagian ‘Apakah Jawapan Anda?’ (Kini “Untuk Tinjauan Keluarga”) pada hujung Majalah Berita. Saya belajar banyak tentang Bible daripadanya.”
11 Gunakanlah bahagian “Untuk Tinjauan Keluarga” semasa malam Penyembahan Keluarga. Anda boleh menggunakan CD-ROM Watchtower Library atau bahan bacaan yang lain untuk mencari jawapan kepada soalan yang lebih susah. Dengan ini, anda sedang mengajar anak untuk membuat penyelidikan. Anak yang lebih besar pula boleh menyelidiki jawapan kepada soalan dalam bahagian “Siapakah Saya?” atau “Bilakah dalam Sejarah?” dan membentangkan hasil penyelidikan mereka semasa pembelajaran keluarga. Apabila ibu bapa menggunakan bahagian ini dengan baik, mereka dapat menanamkan Firman Tuhan dalam hati anak mereka sejak kecil lagi.—2 Tim. 3:15; Ul. 6:7.