Memberikan Kesaksian Secara Menyeluruh
1. Apakah teladan rasul Paulus dalam kerja menginjil?
1 Rasul Paulus menasihati Timotius, ‘Jalankanlah kewajipanmu dengan sebaik-baiknya.’ (2 Tim. 4:5) Paulus memang layak memberikan nasihat itu. Antara tahun 47 hingga 56 M, dia membuat tiga perjalanan jauh untuk menginjil. Buku Kisah berkali-kali menunjukkan bahawa Paulus memberikan kesaksian secara menyeluruh. (Kis. 23:11; 28:23) Bagaimanakah kita boleh menirunya?
2. Bagaimanakah kita boleh memberikan kesaksian secara menyeluruh semasa menginjil dari rumah ke rumah?
2 Dari Rumah ke Rumah: Kita mungkin perlu menginjil pada waktu yang berlainan agar dapat bersua dengan penghuni rumah yang tidak pernah mendengar berita baik. Ketua keluarga mungkin ada di rumah pada waktu petang atau hujung minggu. Kita patut berusaha menginjil kepada sekurang-kurangnya seorang penghuni dari setiap rumah. Jika kita masih gagal menjumpai sesiapa meskipun kita mengunjungi rumah mereka berulang kali, kita boleh mencuba menghubungi mereka melalui surat atau telefon.
3. Bagaimanakah anda dapat memberikan kesaksian di tempat awam dan secara tidak formal?
3 Di Tempat Awam dan Secara Tidak Formal: Umat Yehuwa hari ini berkongsi hikmat Tuhan dengan semua yang sudi mendengar. Kadangkala mereka menginjil “di jalan raya dan di pasar.” (Ams. 1:20, 21) Semasa menjalankan kegiatan harian, adakah kita mencari peluang untuk memberikan kesaksian? Adakah kita tekun ‘memberitakan perkhabaran daripada Tuhan’? (Kis. 18:5) Jika ya, kita sedang menunaikan kewajipan untuk ‘mengkhabarkan berita baik kepada semua orang.’—Kis. 10:42; 17:17; 20:20, 21, 24.
4. Bagaimanakah doa dan perenungan membantu kita memberikan kesaksian secara menyeluruh?
4 Adakala, kita takut memberikan kesaksian kerana bersifat pemalu atau kerana kelemahan diri. Yehuwa pasti memahami keterbatasan kita. (Mzm. 103:14) Pada masa sedemikian, berdoalah agar dapat menginjil dengan penuh berani. (Kis. 4:29, 31) Selain itu, semasa mempelajari dan merenungkan Firman Tuhan, kita boleh memperdalam penghargaan terhadap berita baik. (Flp. 3:8) Dengan ini, kita didorong untuk menyebarkannya dengan bersemangat!
5. Bagaimanakah kita boleh menjadi sebahagian daripada penggenapan nubuat Yoel?
5 Nabi Yoel menubuatkan bahawa sebelum hari besar Yehuwa yang dahsyat, umat Tuhan akan “merempuh segala halangan” dan terus menginjil. (Yl. 2:2, 7-9) Semoga kita bergiat sepenuhnya dalam kerja ini yang tidak akan diulangi lagi!