Membuat Persediaan untuk Peringatan dengan Sukacita
1. Apakah peluang istimewa yang terbuka bagi kita pada musim Peringatan?
1 Sambutan Peringatan pada hari Selasa, 26 Mac, memberi kita peluang terbaik untuk bersukacita atas penyelamatan yang disediakan Tuhan. (Yes. 61:10) Bagaimanakah sikap bersukacita membantu kita membuat persediaan yang rapi menjelang sambutan ini?
2. Apakah yang menggerakkan kita untuk membuat persediaan bagi sambutan Peringatan?
2 Persediaan untuk Peringatan: Perjamuan Malam Tuan merupakan sambutan yang ringkas tetapi amat bermakna. Namun, kita perlu membuat persediaan rapi agar hal-hal penting tidak diabaikan. (Ams. 21:5) Masa dan lokasi yang sesuai mesti ditetapkan. Tempat perjumpaan harus dibersihkan terlebih dahulu. Penceramah yang ditugaskan perlu membuat persiapan yang rapi. Lambang-lambang peringatan harus disediakan. Para atendan serta mereka yang menghidangkan lambang-lambang perlu diberi arahan yang jelas. Pastinya semua persediaan ini sudah dibuat. Rasa syukur terhadap penyelamatan yang diperoleh menerusi tebusan Yesus menggerakkan kita untuk membuat persediaan bagi sambutan penting ini.—1 Ptr. 1:8, 9.
3. Bagaimanakah kita boleh mempersiapkan hati kita untuk Perjamuan Malam Tuan?
3 Persiapkan Hati: Kita perlu mempersiapkan hati sendiri untuk memahami betapa pentingnya sambutan Peringatan. Maka, luangkanlah masa untuk membaca ayat Bible yang dijadualkan khas untuk musim Peringatan dan renungkanlah hari-hari terakhir Yesus di bumi. Dengan merenungkan semangat rela berkorban Yesus, kita akan tergerak untuk mencontohinya.—Gal. 2:20.
4. Nyatakan manfaat tebusan yang memberikan anda sukacita terbesar.
4 Kematian Yesus menegakkan kedaulatan Yehuwa. Kita dibebaskan daripada dosa dan maut. (1 Yoh. 2:2) Kita boleh menjadi sahabat Tuhan serta mendapat hidup kekal. (Kol. 1:21, 22) Azam kita juga dikuatkan untuk menunaikan janji pembaktian kita kepada Yehuwa dan terus menjadi pengikut Kristus. (Mat. 16:24) Semoga sukacita anda bertambah seraya anda membuat persiapan untuk sambutan Peringatan dan menghadirinya!