Contohilah Para Nabi—Amos
1. Mengapakah teladan Amos dapat menjadi sumber galakan bagi kita?
1 Pernahkah anda berasa tidak layak untuk menginjil kerana berasal daripada keluarga yang miskin atau memiliki tahap pendidikan yang rendah? Jika ya, anda boleh mendapat galakan daripada teladan Amos. Dia seorang gembala domba dan pekerja buruh, tetapi Yehuwa melayakkannya untuk mengkhabarkan mesej yang penting. (Am. 1:1; 7:14, 15) Dewasa ini, Yehuwa juga menggunakan orang yang rendah hati. (1 Kor. 1:27-29) Apakah pengajaran lain yang kita peroleh daripada nabi Amos?
2. Mengapakah kita dapat tetap teguh menghadapi tentangan semasa menginjil?
2 Tetap Teguh Menghadapi Tentangan: Amazia ialah seorang imam dari kerajaan sepuluh suku bangsa Israel yang menyembah berhala. Setelah mendengar nubuat Amos, dia mengatakan dengan marah, ‘Baliklah! Jangan ganggu kami! Kami ada agama sendiri!’ (Am. 7:12, 13) Amazia memutarbelitkan kata-kata Amos agar Raja Yerobeam melarang pekerjaan Amos. (Am. 7:7-11) Tetapi, Amos tidak berasa takut. Hari ini, sesetengah pemimpin agama mencari sokongan daripada ahli politik untuk menganiaya umat Yehuwa. Namun, Yehuwa memberikan jaminan bahawa apa sahaja yang dilakukan untuk menentang kita, tidak akan berjaya.— Yes. 54:17.
3. Apakah dua aspek penting dalam mesej yang kita sampaikan hari ini?
3 Khabarkan Penghakiman Tuhan dan Berkat Masa Depan: Walaupun Amos menubuatkan penghakiman ke atas kerajaan sepuluh suku bangsa Israel, dia mengakhiri buku Amos dengan janji pemulihan dan berkat daripada Yehuwa. (Am. 9:13-15) Kita juga mengkhabarkan tentang kedatangan hari penghakiman Tuhan yang menjadi sebahagian daripada “berita baik” Kerajaan Tuhan. (2 Ptr. 3:7; Mat. 24:14) Yehuwa akan membinasakan orang jahat semasa Armagedon dan membuka jalan untuk firdaus di bumi.— Mzm. 37:34.
4. Mengapakah kita berasa yakin untuk melaksanakan kehendak Yehuwa?
4 Tekad kita untuk berpegang pada pembaktian dan melakukan kehendak Yehuwa pastinya diuji melalui tentangan dalam mengkhabarkan mesej Kerajaan Tuhan. (Yoh. 15:19) Walau bagaimanapun, kita yakin bahawa Yehuwa akan terus melayakkan kita untuk melaksanakan kehendak-Nya, sama seperti Amos.—2 Kor. 3:5.