Lagu Baru untuk Ibadat Kita!
1 Pada 4 Oktober 2014, berita yang menggembirakan telah diumumkan semasa mesyuarat tahunan Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania. Apakah itu? Buku lagu yang digunakan sekarang akan dikemaskinikan. Mereka yang menghadiri mesyuarat tahunan diingatkan tentang peranan penting lagu-lagu yang digunakan dalam ibadat kita.—Mzm. 96:2.
2 Anda mungkin tertanya-tanya, “Mengapakah buku lagu perlu dikemaskinikan?” Sebab pertama adalah untuk menyesuaikan lirik lagu dengan pemahaman Bible kita yang menjadi semakin jelas. (Ams. 4:18) Selain itu, lirik lagu bagi kebanyakan bahasa menggunakan ungkapan daripada Bible Terjemahan Dunia Baru. Jadi, lirik harus diubah mengikut ungkapan yang digunakan dalam Bible edisi 2013. Oleh sebab buku lagu kita akan dikemaskinikan, keputusan telah dibuat untuk menambah beberapa buah lagu baru.
3 Bilakah kita boleh mula menyanyikan lagu baru? Pada bulan-bulan yang akan datang, beberapa buah lagu baru akan disediakan di laman web jw.org. Jadi, kita tidak perlu menunggu sehingga sebuah buku lagu baru diterbitkan untuk menyanyikan lagu-lagu tersebut. Apabila lagu baru dikeluarkan, lagu tersebut akan dinyanyikan pada penghujung Perjumpaan Aktiviti Penyebaran. Anda akan melihat catatan “lagu baru” pada jadual Kerja Teokratik Kita.
4 Cara untuk Mempelajari Lagu Baru: Walaupun mempelajari lagu baru tidak mudah, kita mahu bernyanyi dengan bersemangat semasa di perjumpaan. Seperti pemazmur, kita “tidak akan berdiam diri.” (Mzm. 30:13) Untuk mempelajari lagu baru, ikutilah langkah-langkah berikut.
Muat turun rakaman piano dari laman web kita. Dengarlah rakaman itu berulang kali agar anda dapat mempelajari lagu tersebut.
Baca dengan teliti dan hafal lirik lagu baru.
Nyanyilah lagu baru mengikut rakaman piano sehingga anda dapat bernyanyi dengan lancar.
Adakan sesi latihan semasa Penyembahan Keluarga agar anda sekeluarga dapat menyanyikan lagu itu dengan baik.
5 Pada bulan-bulan yang akan datang, lagu baru akan dinyanyikan pada penghujung Perjumpaan Aktiviti Penyebaran. Sidang akan mendengar rakaman piano terlebih dahulu, kemudian mereka akan menyanyikan lagu tersebut bersama-sama.
6 Semasa perjumpaan, kita semua berpeluang untuk menyanyikan lagu pujian kepada Yehuwa. Tidakkah anda bersetuju bahawa hal ini membawa sukacita? Jadi, kita digalakkan untuk tetap berada di tempat masing-masing apabila tiba masanya untuk menyanyikan lagu.
7 Apakah cara lain untuk menunjukkan penghargaan terhadap muzik yang dihasilkan oleh organisasi Yehuwa? Saudara saudari dari pelbagai negara telah membiayai kos perjalanan sendiri ke Patterson, New York, dua kali setahun untuk menghasilkan muzik. Muzik ini akan dimainkan sebelum bermulanya setiap sesi bagi perhimpunan dan konvensyen. Jadi, kita dapat menunjukkan penghargaan dengan memberikan kerjasama apabila pengerusi menjemput kita kembali ke tempat duduk masing-masing dan mendengar selingan muzik. Hal ini dapat mempersiapkan hati kita untuk mendengar program yang akan disampaikan.—Ezr. 7:10.
8 Kita akan mengakhiri perjumpaan hari ini dengan menyanyikan lagu yang bertajuk “Datanglah Kerajaan Tuhan!” Lagu ini telah diperkenalkan semasa mesyuarat tahunan, dan ditulis khas untuk memperingati ulang tahun ke-100 penubuhan Kerajaan Tuhan.
9 Sememangnya, lagu baru merupakan “perkara-perkara baik” daripada Yehuwa. (Mat. 12:35a) Marilah kita bertekad untuk mempelajari dan menyanyikan lagu baru dengan sepenuh hati untuk memuji dan memuliakan Tuhan!—Mzm. 147:1.