Gunakanlah Masa Anda dengan Sebaik-baiknya
Pada tahun aktiviti penyebaran 2014, para Saksi meluangkan 1,945,487,604 jam dalam kerja penyebaran. Jelaslah, kita bertekad untuk melakukan kerja Yehuwa! (Mzm. 110:3; 1 Kor. 15:58) Memandangkan “waktu yang ada hanya tinggal sedikit,” dapatkah kita meluangkan masa untuk mencari lebih banyak orang?—1 Kor. 7:29.
Kita perlu membuat penyesuaian agar dapat menggunakan masa dengan baik. Misalnya, jika anda tidak berpeluang untuk bercakap kepada orang meskipun sudah meluangkan satu jam atau lebih dalam suatu aspek kerja penyebaran, bolehkah anda membuat penyesuaian agar anda dapat menuai hasil yang lebih baik? Biarpun keadaan di setiap tempat adalah berbeza, cadangan berikut dapat membantu anda menggunakan masa dengan lebih baik agar anda “tidak menumbuk udara.”—1 Kor. 9:26.
Menginjil dari Rumah ke Rumah: Selama bertahun-tahun, penyiar biasanya menginjil dari rumah ke rumah pada waktu pagi. Namun, kebanyakan orang bekerja pada waktu itu. Jadi, bolehkah anda menginjil pada waktu petang ketika banyak orang berada di rumah? Pada waktu pagi, kesaksian di tempat awam atau kawasan perniagaan mungkin lebih berhasil.
Kesaksian Awam: Meja pameran dan rak mudah alih harus diletakkan di kawasan yang banyak orang. Lokasi yang dipilih haruslah berada dalam kawasan penyebaran sidang. (Lihat Kerja Teokratik Kita terbitan Julai 2013, ms. 5) Jika suatu lokasi kesaksian awam tidak lagi sibuk dengan orang ramai, Jawatankuasa Sidang boleh menentukan sama ada lokasi tersebut harus ditukar atau tidak.
Kunjungan Kembali dan Pembelajaran Bible: Misalnya, jika kerja menginjil dari rumah ke rumah lebih berhasil pada hari Sabtu pagi, bolehkah anda mengadakan pembelajaran Bible atau kunjungan kembali pada masa lain? Semasa membuat kunjungan kembali, para penyiar boleh dibahagikan kepada kumpulan yang lebih kecil agar mereka dapat menggunakan masa dengan sebaik mungkin untuk mencari lebih banyak orang.
Sememangnya, kita gembira kerana dapat meluangkan masa untuk melakukan kerja penyebaran. Namun, kita akan meraih lebih banyak sukacita jika kerja kita membawa hasil yang baik. Cubalah aspek kerja penyebaran yang lain jika anda mendapati bahawa aspek kerja penyebaran yang anda lakukan kurang berkesan pada waktu itu. Mohonlah bimbingan Yehuwa, “Pemilik tuaian,” agar anda dapat menggunakan masa dalam kerja penyebaran dengan sebaik-baiknya.—Mat. 9:38.