PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • wp21 No. 3 ms. 6-8
  • Dapatkah Pendidikan dan Wang Menjamin Masa Depan yang Lebih Baik?

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Dapatkah Pendidikan dan Wang Menjamin Masa Depan yang Lebih Baik?
  • Menara Pengawal Mengumumkan Kerajaan Yehuwa (Umum)—2021
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • RAMAI YANG MEMILIHNYA
  • APAKAH HASILNYA?
  • Apakah Pandangan Saksi-Saksi Yehuwa tentang Pendidikan?
    Soalan Lazim
  • Semua Orang Menginginkan Masa Depan yang Lebih Baik
    Menara Pengawal Mengumumkan Kerajaan Yehuwa (Umum)—2021
  • Cara Mendapat Masa Depan yang Lebih Baik
    Menara Pengawal Mengumumkan Kerajaan Yehuwa (Umum)—2021
  • Cara untuk Berpuas Hati
    Sedarlah!—2021
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal Mengumumkan Kerajaan Yehuwa (Umum)—2021
wp21 No. 3 ms. 6-8
Dua orang wanita muda dalam perjalanan ke kelas di universiti.

Dapatkah Pendidikan dan Wang Menjamin Masa Depan yang Lebih Baik?

Banyak orang berfikir bahawa orang yang berpendidikan tinggi dan kaya akan memiliki masa depan yang lebih baik. Mereka percaya bahawa pendidikan di universiti akan menjadikan seseorang pekerja yang lebih cekap, ahli keluarga yang lebih baik, dan rakyat yang lebih berguna. Mereka juga mungkin berasa bahawa pendidikan tinggi akan membolehkan seseorang mendapat kerja yang bergaji tinggi dan hidup bahagia.

RAMAI YANG MEMILIHNYA

Zhang Chen, dari China, berkata, “Saya percaya saya perlu ijazah universiti supaya saya tidak hidup miskin lagi. Saya juga percaya jika saya ada kerja yang bergaji tinggi, saya pasti hidup bahagia dan puas.”

Untuk menikmati kehidupan yang lebih baik, ramai orang ingin pergi ke luar negara untuk menuntut di universiti yang terkemuka. Trend ini semakin meningkat sehinggalah COVID-19 menyebabkan perjalanan antarabangsa disekat. Sebuah laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi pada tahun 2012 menyatakan, “Antara semua pelajar yang menuntut di luar negara, 52% daripada mereka merupakan orang Asia.”

Ibu bapa sering membuat pengorbanan yang besar untuk menghantar anak mereka ke universiti di luar negara. Qixiang dari Taiwan berkata, “Ibu bapa saya tidak kaya, tapi mereka hantar kami empat adik-beradik ke universiti di Amerika Syarikat.” Untuk membayar kos pendidikan, keluarga Qixiang perlu menanggung hutang yang sangat besar. Hal itu juga berlaku kepada banyak keluarga.

APAKAH HASILNYA?

Seorang wanita muda sedang duduk di hadapan komputernya pada lewat malam. Dia kelihatan penat dan stres.

Ramai yang mengejar pendidikan tinggi dan kekayaan akhirnya kecewa

Pendidikan memang dapat meningkatkan mutu hidup. Namun, ramai pelajar mendapati bahawa pendidikan tidak selalu membawa hasil yang diingini. Contohnya, selepas menghabiskan masa bertahun-tahun dan menanggung hutang yang besar, ramai lepasan universiti tidak dapat mencari kerja yang diinginkan mereka. Sebuah laporan oleh Rachel Mui dalam akhbar Singapura Business Times menyatakan, “Masalah pengangguran lepasan universiti nampaknya semakin bertambah.” Jianjie, seorang pemegang ijazah kedoktoran dari Taiwan, menyatakan, “Ramai lepasan universiti tiada pilihan, jadi mereka terpaksa menerima kerja yang tiada kaitan dengan ijazah mereka.”

Orang yang mendapat kerja idaman mereka pun tidak semestinya puas dengan kehidupan mereka. Setelah tamat pengajian universiti di United Kingdom, Niran pulang ke Thailand dan mendapat kerja yang berkaitan dengan kursusnya. Dia berkata, “Dengan adanya ijazah, saya mendapat kerja yang bergaji tinggi. Namun, kerja itu mengambil semakin banyak masa saya. Akhirnya, syarikat itu memberhentikan kebanyakan pekerjanya, termasuk saya. Saya sedar kerja tidak dapat menjamin masa depan kita.”

Sebenarnya, orang yang kaya atau hidup mewah pun tidak terkecuali daripada masalah keluarga, masalah kesihatan, dan masalah kewangan. Katsutoshi, dari Jepun, mengaku, “Saya ada banyak wang, tetapi saya tidak gembira kerana orang lain iri hati terhadap saya, bersaing dengan saya, dan melayan saya dengan buruk.” Lam, seorang wanita di Vietnam, berkata, “Saya nampak banyak orang cuba mendapat kerja yang bergaji tinggi. Mereka fikir jika mereka ada banyak wang, hidup mereka akan terjamin. Tetapi sering kali mereka berasa risau, jatuh sakit, dan menjadi murung.”

MENGAPA PENDIDIKAN DAN WANG TIDAK DAPAT MENJAMIN MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK

Memang benar, kita memerlukan pendidikan asas dan wang untuk menyara hidup kita dan keluarga kita. Namun, sekadar memiliki pendidikan dan wang tidak cukup untuk menjamin masa depan yang baik. Mengapa? Perhatikan apa yang dikatakan dalam Ayat-Ayat Suci.

PENDIDIKAN TINGGI TIDAK SELALUNYA MEMBAWA KEJAYAAN

“Orang yang cepat tidak semestinya menjadi juara, . . . orang yang pandai tidak semestinya kaya, dan orang yang berpengetahuan tidak semestinya berjaya, kerana waktu dan kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang.”​—PENGKHUTBAH 9:11.

Orang yang terpelajar tidak semestinya berjaya dalam hidup kerana terdapat faktor-faktor yang di luar kawalan mereka. Contohnya, ketidakstabilan ekonomi, ketidakadilan, dan prasangka, dapat menghalang orang yang berpendidikan tinggi daripada mencapai cita-cita mereka.

KEKAYAAN TIDAK BERKEKALAN

“Jangan berjerih lelah untuk mendapatkan kekayaan. Berhentilah berbuat demikian dan tunjukkanlah pengertian. Kekayaan itu boleh hilang dalam sekelip mata, seolah-olah kekayaan itu bersayap dan terbang ke langit seperti burung helang.”​—AMSAL 23:4, 5.

Wang tidak dapat memberi jaminan yang kekal. Akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu, seseorang mungkin kehilangan semua wang simpanannya dalam sekelip mata. Selain itu, bencana alam seperti gempa bumi, kebakaran hutan, dan taufan, mungkin menyebabkan seseorang bankrap dan tinggal sehelai sepinggang.

WANG SERING KALI MEMBAWA MASALAH

“Orang kaya yang mempunyai banyak harta tidak dapat tidur.”​—PENGKHUTBAH 5:12.

Franklin, yang tinggal di Hong Kong, telah melihat sendiri betapa benarnya kata-kata itu. Dia ada pendidikan tinggi dan kerja yang gajinya lumayan. Kemudian, dia dinaikkan pangkat sebagai pengurus. Namun, dia berkata, “Saya begitu stres sehingga kesihatan saya terjejas. Saya sangat risau sehingga tidak dapat tidur.” Akhirnya, dia tidak dapat tahan lagi. Dia berkata, “Saya tertanya-tanya mengapa saya melakukan semua ini, dan saya juga fikir apa tujuan hidup saya.”

“Jangan berjerih lelah untuk mendapatkan kekayaan.”​—AMSAL 23:4

Seperti Franklin, ramai orang sedar bahawa terdapat hal yang lebih penting daripada mengejar pendidikan tinggi dan kekayaan. Jadi, daripada bertumpu kepada harta benda, mereka berusaha untuk menjadi insan yang baik dan melakukan kerja kebajikan kerana berfikir hal-hal itu dapat memberi mereka masa depan yang baik. Apakah hasilnya? Lihatlah rencana yang seterusnya.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi