RENCANA PEMBELAJARAN 15
LAGU 124 Selalu Setia
Kuatkanlah Keyakinan Anda terhadap Organisasi Yehuwa
“Ingatlah akan mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu, iaitu mereka yang telah menyampaikan firman Tuhan kepada kamu.”—IBR. 13:7.
FOKUS
Cara menguatkan dan mengekalkan keyakinan kita terhadap organisasi Yehuwa.
1. Bagaimanakah umat Yehuwa diaturkan pada abad pertama?
SETIAP kali Yehuwa memberi umat-Nya tugasan, Dia menghendaki mereka melakukannya dengan teratur. (1 Kor. 14:33) Contohnya, Tuhan ingin agar berita baik disebarkan ke seluas dunia. (Mat. 24:14) Yehuwa telah melantik Yesus untuk mengetuai kerja ini, dan Yesus telah memastikan kerja ini dilakukan secara teratur. Pada abad pertama, terdapat badan pimpinan di Yerusalem yang terdiri daripada para rasul dan penatua. Mereka membuat keputusan yang akan dipatuhi oleh sidang-sidang di merata tempat. (Kis. 15:2; 16:4) Di setiap sidang pula, terdapat penatua yang mengambil pimpinan dan menyampaikan arahan yang diberikan. (Kis. 14:23) Apabila orang di sidang mematuhi arahan itu, ‘iman mereka semakin teguh’ dan “bilangan mereka semakin bertambah.”—Kis. 16:5.
2. Sejak tahun 1919, bagaimanakah Yehuwa memberi umat-Nya bimbingan dan makanan rohani?
2 Dewasa ini, Yehuwa terus mengaturkan umat-Nya. Sejak tahun 1919, Yesus menggunakan sekumpulan kecil saudara terurap untuk mengaturkan kerja penyebaran dan menyediakan makanan rohani untuk para pengikutnya.a (Luk. 12:42) Terdapat bukti yang jelas bahawa Yehuwa sedang memberkati kerja mereka.—Yes. 60:22; 65:13, 14.
3-4. (a) Apakah manfaatnya jika kerja kita dilakukan secara teratur? Berikan contoh. (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
3 Jika kita tidak teratur, kita tidak akan dapat melaksanakan kerja yang diberikan oleh Yesus. (Mat. 28:19, 20) Contohnya, jika kawasan penyebaran tidak dibahagikan, para penyiar boleh menginjil di mana sahaja yang mereka suka. Akibatnya, sesetengah kawasan mungkin asyik dikunjungi, manakala kawasan lain pula langsung tidak dikunjungi. Dapatkah anda memikirkan manfaat lain jika kerja kita teratur?
4 Pada zaman ini, Yesus juga mengaturkan para pengikutnya. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana Yesus mengaturkan orang Kristian pada abad pertama dan bagaimana organisasi kita mengikut teladan Yesus. Kita juga akan membincangkan bagaimana kita dapat menunjukkan bahawa kita yakin terhadap organisasi Yehuwa.
ORGANISASI KITA MENGIKUT TELADAN YESUS
5. Apakah satu cara organisasi kita mengikut teladan Yesus? (Yohanes 8:28)
5 Yesus mengatakan dan melakukan apa yang diperintahkan oleh Yehuwa. Seperti Yesus, organisasi Yehuwa mengikut ajaran Bible semasa memberikan arahan dan semasa mengajar tentang apa yang betul dan salah. (Baca Yohanes 8:28; 2 Tim. 3:16, 17) Kita sering diingatkan untuk mengkaji Bible. Apakah manfaatnya jika kita berbuat demikian?
6. Apakah satu manfaat yang kita raih kerana mengkaji Bible?
6 Kita meraih manfaat yang besar apabila kita mengkaji Bible dengan menggunakan bahan bacaan Kristian kita. Sebagai contoh, kita dapat membandingkan ajaran Bible dengan arahan yang diberikan oleh organisasi kita. Apabila kita mendapati bahawa arahan itu selaras dengan ajaran Bible, keyakinan kita terhadap organisasi Yehuwa akan semakin kuat.—Rm. 12:2.
7. Apakah berita yang disebarkan oleh Yesus, dan bagaimanakah organisasi Yehuwa meniru teladannya?
7 Yesus menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan.” (Luk. 4:43, 44) Yesus juga menyuruh para pengikutnya untuk menyebarkan berita yang sama. (Luk. 9:1, 2; 10:8, 9) Hari ini, semua orang dalam organisasi Yehuwa menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan tidak kira di mana mereka tinggal atau berapa banyak tanggungjawab yang mereka pikul dalam organisasi Tuhan.
8. Apakah penghormatan yang kita ada?
8 Kita berbesar hati untuk mengongsikan kebenaran tentang Kerajaan Tuhan kepada orang lain! Penghormatan ini tidak diberikan kepada sesiapa sahaja. Sebagai contoh, semasa Yesus di bumi, dia melarang roh-roh jahat daripada memberitahu orang lain tentangnya. (Luk. 4:41) Hari ini, sebelum seseorang boleh menginjil bersama umat Tuhan, dia perlu memenuhi syarat-syarat tertentu. Kita menunjukkan bahawa kita menghargai penghormatan untuk menginjil dengan memberikan kesaksian di mana-mana tempat atau pada bila-bila masa yang sesuai. Seperti Yesus, tujuan kita adalah untuk menanam dan menyiram benih Kerajaan Tuhan dalam hati orang.—Mat. 13:3, 23; 1 Kor. 3:6.
9. Bagaimanakah organisasi kita membantu orang mengenali nama Tuhan?
9 Yesus membantu orang mengenali nama Tuhan. Semasa berdoa kepada Bapanya, Yesus berkata, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata.” (Yoh. 17:26) Seperti Yesus, organisasi Yehuwa melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membantu orang mengenali nama Tuhan. Sebagai contoh, mereka menerbitkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu, sebuah terjemahan Bible yang mengembalikan nama Tuhan ke tempat asalnya. Kini, sebahagian atau seluruh terjemahan ini terdapat dalam lebih daripada 270 bahasa. Lampiran A4 dan A5 dalam terjemahan ini menjelaskan dengan lebih lanjut mengapa dan bagaimana nama Tuhan dikembalikan dalam Bible. Lampiran C dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia pula menunjukkan bukti yang kukuh bahawa nama Tuhan patut muncul sebanyak 237 kali dalam Kitab Yunani Kristian.
10. Apakah yang anda belajar daripada kata-kata seorang wanita yang tinggal di Myanmar?
10 Seperti Yesus, kita mahu membantu sebanyak orang yang mungkin untuk mengenali nama Tuhan. Semasa mendapat tahu bahawa Tuhan ada nama, seorang wanita yang berusia 67 tahun yang tinggal di Myanmar mula menangis sambil berkata, “Sepanjang hayat saya, inilah kali pertama saya belajar bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa. . . . Kamu telah ajar saya hal yang terpenting dalam hidup saya.” Daripada kata-katanya, kita belajar bahawa apabila orang yang berhati jujur mengenali nama Tuhan, hal itu dapat mengubah hidup mereka.
TERUS MENUNJUKKAN KEYAKINAN TERHADAP ORGANISASI KITA
11. Bagaimanakah para penatua menunjukkan bahawa mereka mempercayai organisasi Yehuwa? (Lihat juga gambar.)
11 Apakah salah satu cara para penatua menunjukkan bahawa mereka mempercayai organisasi Yehuwa? Semasa diberi arahan, mereka perlu membacanya dengan teliti dan berusaha sebaik-baiknya untuk mengikut arahan itu. Misalnya, mereka diberi arahan tentang cara mengendalikan perjumpaan, cara mengucapkan doa bagi sidang, dan cara menjaga biri-biri Kristus. Apabila para penatua mengikut arahan daripada organisasi Tuhan, saudara saudari akan berasa selamat dan dikasihi.
Para penatua membantu kita mempercayai arahan daripada organisasi Yehuwa (Lihat perenggan 11)b
12. (a) Mengapakah kita patut bekerjasama dengan mereka yang mengambil pimpinan? (Ibrani 13:7, 17) (b) Mengapakah kita patut bertumpu kepada sifat-sifat baik mereka yang mengambil pimpinan?
12 Semasa kita menerima arahan daripada para penatua, kita harus mematuhinya dengan rela. Dengan itu, kita akan meringankan kerja mereka. Bible menggalakkan kita untuk patuh dan tunduk kepada mereka yang mengambil pimpinan. (Baca Ibrani 13:7, 17.) Hal itu ada kalanya mencabar kerana mereka tidak sempurna. Namun jika kita bertumpu kepada kelemahan mereka dan bukannya sifat-sifat baik mereka, kita sebenarnya sedang membantu para penentang. Mengapa? Sikap kita mungkin membuat orang lain hilang kepercayaan terhadap organisasi Tuhan, dan itulah yang diingini oleh para penentang. Bagaimanakah kita dapat mengenal pasti dan menolak dusta musuh kita?
JANGAN BIARKAN ORANG LAIN MELEMAHKAN KEYAKINAN ANDA
13. Bagaimanakah musuh Tuhan cuba memburuk-burukkan organisasi-Nya?
13 Organisasi Tuhan berpegang pada standard yang tinggi, tetapi musuh Tuhan memburuk-burukkan mereka kerana berbuat demikian. Sebagai contoh, Bible menyatakan bahawa Yehuwa mahu para penyembah-Nya tetap bersih dari segi fizikal, moral, dan rohani. Jika seseorang enggan berhenti melakukan perbuatan yang najis, dia harus disingkirkan daripada sidang. (1 Kor. 5:11-13; 6:9, 10) Oleh sebab kita mematuhi perintah Bible itu, para penentang menuduh bahawa kita tidak bertoleransi, suka menghakimi orang, dan tidak pengasih.
14. Siapakah dalang di sebalik cerita palsu tentang organisasi kita?
14 Kenal pasti dalang di sebalik cerita palsu. Syaitan Si Iblis merupakan dalang di sebalik cerita palsu tentang organisasi kita. Dia ialah “bapa segala dusta.” (Yoh. 8:44; Kej. 3:1-5) Jadi kita tidak berasa hairan apabila Syaitan menggunakan para pengikutnya untuk menyebarkan cerita palsu mengenai organisasi Tuhan. Sebenarnya, hal ini pun pernah berlaku pada abad pertama.
15. Apakah yang dilakukan oleh para pemimpin agama terhadap Yesus dan para pengikutnya?
15 Walaupun Yesus sempurna dan melakukan banyak mukjizat, penyokong Syaitan pada abad pertama menyebarkan banyak dusta tentangnya. Sebagai contoh, para pemimpin agama memberitahu orang bahawa kuasa Yesus untuk mengusir roh-roh jahat diberikan oleh “ketua roh-roh jahat.” (Mrk. 3:22) Semasa Yesus dibicarakan, mereka menuduhnya menghina Tuhan dan menghasut orang ramai untuk menuntut agar Yesus dihukum mati. (Mat. 27:20) Kemudian, semasa murid-murid Kristus menyebarkan berita baik, para penentang “menghasut orang daripada bangsa-bangsa lain untuk membenci” dan menganiaya mereka. (Kis. 14:2, 19) Mengenai catatan di Kisah 14:2, Menara Pengawal terbitan 1 Disember 1998 menjelaskan, “Setelah menolak mesej yang disampaikan oleh orang Kristian, para penentang Yahudi tidak berpuas hati. Mereka bahkan memburuk-burukkan orang Kristian di hadapan bangsa lain supaya orang bukan Yahudi pun menentang orang Kristian.”
16. Apakah yang harus kita ingat jika kita terdengar cerita palsu?
16 Syaitan tidak berhenti menyesatkan orang pada abad pertama. Hari ini, dia juga “sedang menyesatkan seluruh dunia.” (Why. 12:9) Jika anda terdengar cerita palsu mengenai organisasi kita atau saudara-saudara yang terlantik, ingatlah bahawa hal yang sama pernah terjadi kepada Yesus dan orang Kristian pada abad pertama. Dewasa ini, umat Tuhan dianiaya dan difitnah, seperti yang dinubuatkan dalam Bible. (Mat. 5:11, 12) Jika kita tidak mahu diperdaya oleh cerita palsu sebegini, kita harus ingat siapa dalang di sebaliknya dan segera melakukan sesuatu. Apakah yang harus kita lakukan?
17. Apakah yang harus kita lakukan supaya tidak diperdaya oleh cerita palsu? (2 Timotius 1:13) (Lihat juga kotak “Jika Anda Terdedah kepada Cerita Palsu.”)
17 Menolak cerita palsu. Rasul Paulus menjelaskan apa yang harus kita lakukan jika kita terdengar cerita palsu. Dia menyuruh Timotius untuk “memberikan perintah kepada orang tertentu supaya tidak . . . memberikan perhatian kepada cerita-cerita palsu” dan ‘tidak mendengarkan cerita-cerita palsu yang menghina Tuhan.’ (1 Tim. 1:3, 4; 4:7) Seorang bayi akan mengambil apa sahaja yang dijumpainya di lantai dan memasukkannya ke dalam mulut. Tetapi orang dewasa tahu perbuatan sebegini berbahaya dan tidak akan berbuat demikian. Begitu juga, kita menolak cerita palsu kerana kita tahu siapa dalangnya. Kita bertekad untuk berpegang pada ‘kata-kata yang sihat,’ iaitu ajaran yang benar.—Baca 2 Timotius 1:13.
18. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mempercayai organisasi Yehuwa?
18 Kita sudah membincangkan tiga cara organisasi Tuhan meniru teladan Yesus. Sebenarnya, terdapat banyak lagi cara organisasi Tuhan berbuat demikian dan anda dapat menyelidikinya semasa mengkaji Bible. Semoga anda menunjukkan bahawa anda mempercayai organisasi Yehuwa dengan terus menyembah Yehuwa dan berpaut pada organisasi yang digunakan-Nya untuk melaksanakan kehendak-Nya. Selain itu, bantulah orang lain dalam sidang untuk membina kepercayaan mereka terhadap organisasi Tuhan. (Mzm. 37:28) Marilah kita terus menghargai penghormatan untuk tergolong antara umat Tuhan yang setia dan pengasih.
APAKAH JAWAPAN ANDA?
Bagaimanakah organisasi Tuhan meniru teladan Yesus?
Bagaimanakah kita dapat terus menunjukkan bahawa kita mempercayai organisasi Tuhan?
Apakah yang harus kita lakukan jika kita terdengar cerita palsu?
LAGU 103 Gembala—Kurniaan Tuhan
a Lihat kotak “Mengapa 1919?” dalam buku Ibadat Sejati kepada Yehuwa Akhirnya Dipulihkan! ms. 102-103.
b KETERANGAN GAMBAR: Selepas para penatua membincangkan aturan bagi kesaksian awam, penyelia kumpulan menyampaikan keputusan para penatua kepada penyiar. Mereka diminta untuk berdiri membelakangi dinding semasa kesaksian awam sebagai langkah keselamatan.