RENCANA PEMBELAJARAN 18
LAGU 1 Sifat-Sifat Yehuwa
Percayalah bahawa “Hakim bagi Seluruh Bumi” Pasti Berbelas Kasihan!
“Mungkinkah Hakim bagi seluruh bumi bertindak dengan tidak adil?”—KEJ. 18:25.
FOKUS
Untuk membantu kita lebih memahami bahawa Yehuwa pasti berlaku adil dan menunjukkan belas kasihan semasa membangkitkan orang yang tidak baik.
1. Apakah kebenaran penting yang diajarkan oleh Yehuwa kepada Abraham?
RIBUAN tahun lalu, Tuhan mengutus malaikat-Nya untuk memberitahu Abraham bahawa Dia akan membinasakan kota Sodom dan Gomora. Semasa mendengar hal ini, Abraham berasa bingung dan bertanya, “Adakah Engkau benar-benar akan membinasakan orang yang baik bersama-sama orang yang jahat? . . . Mungkinkah Hakim bagi seluruh bumi bertindak dengan tidak adil?” Dengan sabar, Yehuwa mengajar sahabat-Nya yang setia itu satu kebenaran yang penting: Dia sama sekali tidak akan membinasakan orang yang baik. Tidakkah hal ini melegakan anda?—Kej. 18:23-33.
2. Apakah yang meyakinkan kita bahawa penghakiman Yehuwa sentiasa adil dan berbelas kasihan?
2 Mengapakah kita dapat yakin bahawa penghakiman Yehuwa sentiasa adil dan berbelas kasihan? Kerana “Yehuwa melihat hati orang.” (1 Sam. 16:7) Bible kata Dia “tahu isi hati setiap manusia.” (1 Raj. 8:39; 1 Taw. 28:9) Sungguh hebat, bukan? Yehuwa jauh lebih bijak daripada kita, jadi kita tidak selalunya dapat memahami mengapa Dia membuat keputusan tertentu. Rasul Paulus berkata, “Tiada sesiapa pun yang dapat memahami penghakiman dan jalan-jalan Tuhan!”—Rm. 11:33.
3-4. Apakah soalan yang mungkin kita fikirkan? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini? (Yohanes 5:28, 29)
3 Meskipun demikian, ada kalanya kita mungkin memikirkan soalan yang sama seperti Abraham. Contohnya, “Adakah orang yang dibinasakan oleh Yehuwa, seperti penduduk Sodom dan Gomora, masih ada harapan? Mungkinkah ada antara mereka yang akan hidup semula semasa Tuhan ‘membangkitkan orang yang tidak baik’?”—Kis. 24:15.
4 Mari kita ulang kaji apa yang kita faham tentang pembangkitan. Baru-baru ini, kita diberi penjelasan yang dikemaskinikan tentang maksud “bangkit dan meraih kehidupan kekal” dan “bangkit dan dihakimi.”a (Baca Yohanes 5:28, 29.) Disebabkan penjelasan ini, pemahaman kita tentang hal-hal lain juga perlu dikemaskinikan. Rencana ini dan rencana yang seterusnya akan membincangkan pemahaman yang dikemaskinikan itu. Sekarang, mari kita membincangkan apa yang kita tidak tahu dan apa yang kita tahu tentang penghakiman Yehuwa.
APA YANG KITA TIDAK TAHU
5. Dahulu, apakah yang dikatakan dalam bahan bacaan kita tentang penduduk Sodom dan Gomora yang dibinasakan oleh Yehuwa?
5 Dahulu, bahan bacaan kita membincangkan apa yang akan berlaku kepada orang yang tidak baik. Kita belajar bahawa orang yang dibinasakan oleh Yehuwa, seperti penduduk Sodom dan Gomora, tiada peluang untuk dibangkitkan. Namun, setelah berdoa dan menyelidiki hal ini, nampaknya kesimpulan ini tidak betul. Mengapa?
6. Bagaimanakah Yehuwa pernah menghukum orang yang tidak baik? Apakah yang kita tidak tahu tentang penghakiman Yehuwa?
6 Fikirkan beberapa catatan Bible tentang bagaimana Yehuwa menghukum orang yang tidak baik. Semasa Banjir pada zaman Nuh, Yehuwa membinasakan semua orang yang di luar bahtera. Yehuwa juga menyuruh umat-Nya membinasakan tujuh bangsa yang mendiami Tanah yang Dijanjikan. Selain itu, Yehuwa mengutus malaikat-Nya untuk membunuh 185,000 orang askar Assyria dalam satu malam. (Kej. 7:23; Ul. 7:1-3; Yes. 37:36, 37) Adakah Bible menyatakan dengan jelas bahawa Yehuwa telah menjatuhkan hukuman pembinasaan kekal ke atas semua orang itu, dan mereka tidak mungkin dibangkitkan? Tidak. Mengapakah kita dapat berkata demikian?
7. Apakah yang kita tidak tahu tentang orang yang mati semasa Banjir atau penduduk Kanaan yang dibunuh oleh orang Israel? (Lihat gambar.)
7 Dalam beberapa contoh tadi, kita tidak tahu bagaimana Yehuwa menghakimi setiap orang. Kita juga tidak tahu jika mereka yang dibunuh telah diberi peluang untuk belajar tentang Yehuwa dan bertaubat. Bible memang menyatakan bahawa sebelum Banjir, Nuh “menyebarkan apa yang benar.” (2 Ptr. 2:5) Tetapi Bible tidak menyatakan bahawa semasa Nuh membina bahtera, dia cuba menginjil kepada semua orang di bumi. Begitu juga, kita tidak tahu jika semua orang jahat di negeri Kanaan telah diberi peluang untuk belajar tentang Yehuwa dan mengubah haluan hidup mereka.
Nuh dan keluarganya sibuk membina bahtera. Kita tidak tahu jika Nuh cuba menginjil kepada semua orang di bumi sebelum Banjir melanda (Lihat perenggan 7)
8. Apakah yang kita tidak tahu tentang penduduk Sodom dan Gomora?
8 Bagaimana pula dengan penduduk Sodom dan Gomora? Mereka memang jahat. Bible melaporkan bahawa “semua lelaki di kota Sodom, baik yang muda mahupun yang tua,” cuba merogol tetamu Lot. (Kej. 19:4; 2 Ptr. 2:7) Daripada perbualan Yehuwa dengan Abraham, kita tahu bahawa tidak ada 10 orang yang baik pun di kota itu. Maka Yehuwa telah menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka. (Kej. 18:32) Namun, bolehkah kita berkata bahawa Yehuwa, Tuhan yang berbelas kasihan, telah memutuskan bahawa tiada seorang pun antara mereka yang akan dibangkitkan? Bible tidak memberitahu kita bahawa Lot telah menginjil kepada setiap orang di kota itu. Jadi kita tidak tahu sama ada mereka semua berpeluang untuk mengenali Yehuwa dan standard-Nya atau tidak. Jika begitu, bolehkah kita 100 peratus yakin bahawa tiada seorang pun antara mereka yang akan hidup semula semasa Tuhan “membangkitkan . . . orang yang tidak baik”? Tidak, kita tidak tahu!
9. Apakah yang kita tidak tahu tentang Salomo?
9 Bagaimana pula dengan orang baik yang kemudiannya menjadi tidak baik, contohnya Raja Salomo? Salomo mengenali Yehuwa dan menyembah-Nya, dan Yehuwa telah memberkatinya. Sedihnya, pada kemudian hari, dia mula menyembah dewa dewi palsu. Hal itu membangkitkan kemurkaan Yehuwa, dan selama ratusan tahun, orang Israel menderita akibat dosanya. Bible kata bahawa Salomo “meninggal lalu dikebumikan di Kota Daud” bersama nenek moyangnya yang setia. (1 Raj. 11:5-9, 43; 2 Raj. 23:13) Adakah hal ini bermaksud Salomo pasti dibangkitkan? Bible tidak memberitahu kita. Sesetengah orang berfikir bahawa Salomo akan dibangkitkan, kerana Bible kata, “Apabila seseorang mati, hutang dosanya sudah dilangsaikan.” (Rm. 6:7) Tetapi pandangan itu tidak benar. Pembangkitan ialah kurniaan daripada Tuhan kita yang pengasih. Jika Dia mahu memberi seseorang peluang untuk berkhidmat kepada-Nya buat selama-lamanya, barulah Dia akan membangkitkan orang itu. (Ayb. 14:13, 14; Yoh. 6:44) Adakah Salomo akan menerima kurniaan itu? Hanya Yehuwa yang mengetahui jawapannya. Apa yang kita tahu ialah Yehuwa pasti melakukan apa yang benar.
APA YANG KITA TAHU
10. Apakah perasaan Yehuwa semasa menghakimi manusia? (Yehezkiel 33:11) (Lihat juga gambar.)
10 Baca Yehezkiel 33:11. Yehuwa memberitahu kita perasaan-Nya semasa menghakimi umat manusia. Seperti yang ditulis oleh Nabi Yehezkiel, Rasul Petrus berkata, “Yehuwa . . . tidak ingin seorang pun dibinasakan.” (2 Ptr. 3:9) Kata-kata ini melegakan hati kita. Kita tahu Yehuwa tidak akan menghapuskan seseorang buat selama-lamanya kecuali jika Dia ada sebab yang baik untuk berbuat demikian. Yehuwa penuh dengan belas kasihan, dan Dia mencari peluang untuk menunjukkannya.
Semasa orang yang tidak baik dibangkitkan, bermacam-macam orang akan berpeluang untuk belajar tentang Yehuwa (Lihat perenggan 10)
11. Siapakah yang tidak akan dibangkitkan, dan bagaimanakah kita tahu?
11 Apakah yang kita tahu tentang siapa yang tidak akan dibangkitkan? Bible hanya menyebut beberapa orang.b Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa Yudas Iskariot tidak akan dibangkitkan.c (Mrk. 14:21; Yoh. 17:12) Yudas sengaja melawan Yehuwa dan Anak-Nya, padahal dia tahu perbuatannya salah. (Lihat Markus 3:29 dan nota pembelajaran dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia.) Yesus juga kata sesetengah pemimpin agama yang menentangnya tidak akan dibangkitkan. (Mat. 23:33; lihat Yohanes 19:11 dan nota pembelajaran “orang” dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia.) Rasul Paulus pula menyatakan bahawa orang murtad yang enggan bertaubat tidak akan dibangkitkan.—Ibr. 6:4-8; 10:29.
12. Apakah yang kita tahu tentang belas kasihan Yehuwa? Berikan contoh.
12 Apakah yang kita tahu tentang belas kasihan Yehuwa? Dia betul-betul “tidak ingin seorang pun dibinasakan,” dan hal ini jelas kelihatan semasa Dia menunjukkan belas kasihan kepada orang yang telah melakukan dosa yang serius. Contohnya, Daud telah berzina dan membunuh. Namun, selepas Daud bertaubat, Yehuwa berbelas kasihan terhadapnya dan memaafkannya. (2 Sam. 12:1-13) Raja Manasye juga telah melakukan banyak hal yang kejam dan keji sepanjang hidupnya. Tetapi apabila dia bertaubat dengan ikhlas, Yehuwa telah memaafkannya. (2 Taw. 33:9-16) Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa jika seseorang sedar bahawa dia telah melakukan dosa yang serius dan bertaubat, Yehuwa akan berbelas kasihan terhadapnya. Orang sebegini ada harapan untuk dibangkitkan.
13. (a) Mengapakah Yehuwa berbelas kasihan terhadap orang Niniwe? (b) Ratusan tahun kemudian, apakah yang dikatakan Yesus tentang penduduk Niniwe?
13 Kita juga tahu Yehuwa berbelas kasihan terhadap orang Niniwe. Yehuwa memberitahu Yunus, “Umumkanlah berita penghakiman kepada penduduknya, kerana Aku telah memperhatikan kejahatan yang dilakukan oleh mereka.” Tetapi apabila orang Niniwe bertaubat, Yehuwa mengampuni mereka. Semasa Yunus naik marah kerana Yehuwa berbuat demikian, Yehuwa mengingatkannya bahawa orang Niniwe “tidak tahu membezakan apa yang benar daripada apa yang salah.” (Yun. 1:1, 2; 3:10; 4:9-11) Ya, Yehuwa jauh lebih berbelas kasihan berbanding Yunus. Ratusan tahun kemudian, Yesus menggunakan contoh orang Niniwe untuk menonjolkan keadilan dan belas kasihan Yehuwa. Yesus berkata, “Pada masa penghakiman, penduduk Niniwe akan dibangkitkan.”—Mat. 12:41.
14. Apakah maksud orang Niniwe akan “bangkit dan dihakimi”?
14 Apakah maksud kata-kata Yesus? Orang Niniwe akan dibangkitkan “pada masa penghakiman,” iaitu semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Ketika itu, “orang yang baik dan orang yang tidak baik” akan dibangkitkan. (Kis. 24:15) Orang yang tidak baik akan “bangkit dan dihakimi.” (Yoh. 5:29) Maksudnya, selepas mereka dibangkitkan, Yehuwa dan Yesus akan melihat jika mereka sudi mengubah kelakuan mereka menurut standard Yehuwa. Jika seorang penduduk Niniwe yang dibangkitkan enggan menyertai ibadat sejati, dia tidak akan diberi kehidupan kekal. (Yes. 65:20) Tetapi orang yang memilih untuk menyembah Yehuwa dengan setia akan diberi peluang untuk hidup selama-lamanya!—Dan. 12:2.
15. (a) Mengapakah kita tidak patut mengatakan bahawa tiada seorang pun daripada penduduk Sodom dan Gomora yang akan dibangkitkan? (b) Adakah kata-kata di Yudas 7 bercanggahan dengan kata-kata Yesus? (Lihat kotak “Apakah Maksud Yudas?”)
15 Yesus berkata bahawa penduduk Sodom dan Gomora akan dijatuhi hukuman yang lebih ringan “pada Hari Penghakiman” berbanding orang yang telah menolaknya dan ajarannya. (Mat. 10:14, 15; 11:23, 24; Luk. 10:12) Adakah Yesus berkata demikian hanya sebagai hiperbola untuk menekankan bahawa orang pada zamannya sangat jahat?d Tidak. Semasa dia berkata bahawa orang Niniwe akan bangkit “pada masa penghakiman,” dia benar-benar bermaksud mereka akan hidup semula. Jadi, semasa Yesus berkata bahawa orang Sodom dan Gomora akan diadili “pada Hari Penghakiman,” kita boleh menyimpulkan bahawa ada antara mereka yang benar-benar akan dibangkitkan. “Hari Penghakiman” dan “masa penghakiman” yang disebut oleh Yesus merujuk kepada peristiwa yang sama. Seperti orang Niniwe, orang Sodom dan Gomora juga melakukan hal-hal yang jahat. Yesus pernah berkata bahawa “orang yang berbuat jahat” juga akan “bangkit dan dihakimi.” (Yoh. 5:29) Memandangkan orang Niniwe diberi peluang untuk bertaubat, kita boleh menyimpulkan bahawa beberapa orang Sodom dan Gomora mungkin akan dibangkitkan “pada Hari Penghakiman” dan diberi peluang untuk bertaubat. Nampaknya, kita mungkin berpeluang untuk mengajar mereka tentang Yehuwa dan Yesus Kristus.
16. Apakah yang kita tahu tentang keputusan Yehuwa semasa membangkitkan orang yang mati? (Yeremia 17:10)
16 Baca Yeremia 17:10. Ayat ini membantu kita menyimpulkan apa yang kita tahu: Yehuwa sentiasa “memeriksa hati manusia, dan menyelidiki fikiran manusia yang tersembunyi.” Semasa memutuskan siapa yang akan Dia bangkitkan, Dia akan sentiasa “memperlakukan setiap orang menurut tingkah lakunya.” Yehuwa sentiasa mencari peluang untuk menunjukkan belas kasihan dan hanya akan bersikap tegas jika perlu. Jadi, kita tidak patut membuat andaian bahawa seseorang tidak akan dibangkitkan, kecuali kita tahu Bible memang berkata demikian!
“HAKIM BAGI SELURUH BUMI” PASTI BERLAKU ADIL
17. Apakah harapan bagi manusia yang telah meninggal?
17 Sejak Adam dan Hawa menyokong Syaitan dan memberontak terhadap Tuhan Yehuwa, berbilion-bilion manusia telah menjadi mangsa kepada “musuh terakhir” kita, iaitu kematian. (1 Kor. 15:26) Apakah harapan bagi semua manusia ini? Sebilangan daripada pengikut Kristus yang setia, iaitu sebanyak 144,000 orang, akan dibangkitkan ke syurga dan diberi kehidupan yang tidak dapat mati. (Why. 14:1) Sekumpulan besar lelaki dan wanita yang mengasihi Yehuwa akan hidup semula semasa ‘Tuhan membangkitkan orang yang baik.’ Jika mereka tetap setia semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus dan semasa ujian terakhir, mereka akan hidup selama-lamanya di bumi. (Dan. 12:13; Ibr. 12:1) Dalam seribu tahun itu, “orang yang tidak baik,” termasuk mereka yang tidak pernah menyembah Yehuwa atau bahkan mereka “yang berbuat jahat,” akan diberi peluang untuk berubah dan menyembah Yehuwa dengan setia. (Luk. 23:42, 43) Namun, ada segelintir manusia yang begitu jahat, yang berkeras menentang Yehuwa dan tujuan-Nya. Maka Yehuwa telah memutuskan bahawa mereka tidak akan dibangkitkan sama sekali.—Luk. 12:4, 5.
18-19. (a) Mengapakah kita dapat yakin bahawa semasa Yehuwa menghakimi orang, Dia pasti berlaku adil? (Yesaya 55:8, 9) (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana berikutnya?
18 Dapatkah kita yakin sepenuhnya bahawa setiap kali Yehuwa menghakimi orang, Dia pasti membuat keputusan yang betul? Ya! Abraham tahu bahawa Yehuwa ialah “Hakim bagi seluruh bumi” yang berbelas kasihan, sempurna, dan bijaksana. Dia sudah melatih Anak-Nya dan memberi Anak-Nya tanggungjawab untuk menghakimi semua orang. (Yoh. 5:22) Yehuwa dan Yesus dapat membaca hati setiap manusia. (Mat. 9:4) Maka setiap kali mereka menghakimi orang, mereka pasti berlaku adil!
19 Semoga kita yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan sentiasa membuat keputusan yang terbaik. Kita harus ingat bahawa kita tidak layak untuk menghakimi orang! (Baca Yesaya 55:8, 9.) Maka, kita akan menyerahkan semua kerja penghakiman kepada Yehuwa dan Yesus. Kita juga yakin bahawa Yesus, Raja kita, akan mencerminkan keadilan dan belas kasihan Bapanya dengan sempurna. (Yes. 11:3, 4) Namun, bagaimanakah Yehuwa dan Yesus akan menghakimi orang semasa kesengsaraan besar? Apakah yang kita tidak tahu? Apakah yang kita tahu? Hal ini akan dibincangkan dalam rencana yang berikutnya.
LAGU 57 Menginjil kepada Semua Orang
b Mengenai Adam, Hawa, dan Kain, lihat buku Tirulah Iman Mereka bab 1, ms. 10, nota kaki.
c Di Yohanes 17:12, Yesus menggunakan ungkapan “dia yang akan dimusnahkan” untuk merujuk kepada Yudas. Kata-katanya menunjukkan bahawa Yudas akan mati buat selama-lamanya dan tidak akan dibangkitkan.
d Gaya penulisan hiperbola ialah ungkapan kiasan yang berlebih-lebihan atau dibesar-besarkan untuk memperoleh kesan tertentu dan tidak patut ditafsirkan secara harfiah. Tetapi kata-kata Yesus tentang penduduk Sodom dan Gomora bukanlah hiperbola.