PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w24 Julai ms. 14-19
  • Teruslah Berjaga-Jaga agar Dapat Melawan Godaan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Teruslah Berjaga-Jaga agar Dapat Melawan Godaan
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • TERUS BERJAGA-JAGA​—DALAM SITUASI APA?
  • CARA UNTUK BERJAGA-JAGA
  • TERUS BERJAGA-JAGA
  • BERKAT YANG DIRAIH KERANA TETAP BERJAGA-JAGA
  • Anda Dapat Berjaya Melawan Keinginan yang Salah!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • “Terus Mengikut” Yesus selepas Dibaptis
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Bergantung pada Yehuwa semasa Membuat Keputusan
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2023
  • Akuilah bahawa Kita Tidak Mengetahui Segala-Galanya
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
w24 Julai ms. 14-19

RENCANA PEMBELAJARAN 29

LAGU 121 Kita Memerlukan Kawalan Diri

Teruslah Berjaga-Jaga agar Dapat Melawan Godaan

“Teruslah berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu semua tidak terjerat oleh godaan.”​—MAT. 26:41.

FOKUS

Mengingatkan kita pentingnya berusaha menjauhi dosa dan hal-hal yang menjurus kepada dosa.

1-2. (a) Yesus mengingatkan murid-muridnya tentang apa? (b) Mengapakah murid-murid Yesus meninggalkannya? (Lihat juga gambar.)

“HATI ingin membuat apa yang benar tetapi tubuh lemah.”a (Mat. 26:41b) Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa dia memahami kelemahan manusia yang tidak sempurna. Namun, kata-katanya juga mengingatkan kita agar tidak terlalu yakin pada diri sendiri. Beberapa jam sebelum Yesus mengucapkan kata-kata itu, murid-muridnya berkata dengan yakin bahawa mereka tidak akan sekali-kali meninggalkan Yesus. (Mat. 26:35) Motif mereka memang baik. Namun mereka tidak sedar bahawa manusia mudah menyerah kepada godaan semasa di bawah tekanan. Itulah sebabnya Yesus mengingatkan mereka, “Teruslah berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu semua tidak terjerat oleh godaan.”​—Mat. 26:41a.

2 Sedihnya, murid-murid Yesus tidak berjaga-jaga. Semasa Yesus ditangkap, apakah reaksi mereka? Mereka melarikan diri padahal mereka sudah berkali-kali menegaskan bahawa mereka tidak akan meninggalkan Yesus.​—Mat. 26:56.

Kolaj: Yesus dan para rasulnya di Taman Getsemani pada waktu malam. 1. Yesus bercakap dengan para rasulnya. 2. Para rasul tidur. 3. Para rasul melarikan diri semasa Yesus ditangkap.

Yesus mengingatkan murid-muridnya untuk terus berjaga-jaga agar tidak terjerat oleh godaan, tetapi mereka meninggalkannya semasa dia ditangkap (Lihat perenggan 1-2)


3. (a) Mengapakah orang yang ingin tetap setia kepada Yehuwa tidak boleh terlalu yakin pada diri sendiri? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Biarpun kita bertekad untuk tidak meninggalkan Yehuwa dalam apa jua situasi, kita tidak boleh terlalu yakin pada diri sendiri, kerana kita tidak sempurna dan cenderung berdosa. (Rm. 5:12; 7:​21-23) Kita mungkin tiba-tiba berdepan dengan situasi yang menggoda kita untuk berdosa. Untuk membantu kita tetap setia kepada Yehuwa dan Anak-Nya, kita perlu mengikut nasihat Yesus untuk terus berjaga-jaga dan melawan godaan. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga soalan berikut: (1) Kita perlu berjaga-jaga khasnya dalam situasi apa? (2) Bagaimanakah kita dapat mengelakkan godaan? (3) Bagaimanakah kita dapat terus berjaga-jaga?

TERUS BERJAGA-JAGA​—DALAM SITUASI APA?

4-5. Mengapakah penting untuk menjauhi bahkan dosa yang kecil?

4 Sesetengah dosa lebih kecil daripada dosa yang lain. Namun, dosa yang kecil pun dapat melemahkan hubungan kita dengan Yehuwa dan membuat kita melakukan dosa yang besar pada kemudian hari.

5 Kita semua menghadapi godaan, tetapi kelemahan kita berbeza-beza. Ada yang cenderung melakukan dosa yang serius seperti perbuatan seks yang tidak bermoral. Yang lain pula cenderung melakukan amalan yang najis seperti melancap atau melihat pornografi. Ada juga yang bergelut dengan pemikiran yang salah seperti takut akan manusia, kesombongan, panas baran, atau hal-hal lain. Yakobus berkata, “Setiap orang dicubai semasa dia digoda dan diumpan oleh keinginannya sendiri.”​—Yak. 1:14.

6. Apakah yang mesti kita akui?

6 Adakah anda tahu kelemahan diri sendiri? Janganlah menipu diri dengan berfikir bahawa kita cukup kuat secara rohani atau tiada kelemahan. (1 Yoh. 1:8) Paulus menulis bahawa orang yang “matang secara rohani” pun mungkin terjerat oleh godaan jika mereka tidak berhati-hati. (Gal. 6:1) Oleh itu, kita mesti jujur dengan diri sendiri dan mengakui kelemahan kita.—2 Kor. 13:5.

7. Kita harus memberikan perhatian khusus kepada apa? Jelaskan dengan memberikan contoh.

7 Setelah mengenal pasti hal apa yang paling mudah menggoda kita, apakah yang mesti kita lakukan? Kuatkanlah pertahanan kita! Fikirkan contoh ini: Pada zaman Bible, bahagian tembok kota yang paling lemah ialah pintu gerbang. Maka, bahagian itulah yang dikawal dengan paling ketat. Begitu juga, kita perlu memberikan perhatian khusus kepada kelemahan kita.​—1 Kor. 9:27.

CARA UNTUK BERJAGA-JAGA

8-9. Bagaimanakah pemuda yang disebut di Amsal bab 7 dapat mengelakkan dosa yang serius? (Amsal 7:​8, 9, 13, 14, 21)

8 Bagaimanakah kita dapat melindungi diri daripada melakukan dosa yang serius? Perhatikan apa yang dapat kita belajar daripada pemuda yang disebut di Amsal bab 7. Dia melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral dengan seorang wanita jalang. Ayat 22 memberitahu kita bahawa pemuda itu mengikutnya “tanpa berfikir.” Tetapi ayat-ayat sebelumnya menunjukkan bahawa hal itu tidak berlaku secara tiba-tiba. Pemuda itu telah mengambil beberapa langkah yang secara beransur-ansur membuatnya berdosa.

9 Mula-mula, pada waktu petang, dia “lalu di selekoh berhampiran rumah” wanita itu. Kemudian, dia menuju ke arah rumah itu. (Baca Amsal 7:​8, 9.) Semasa nampak wanita itu, dia tidak berpatah balik, malah mengizinkan wanita itu menciumnya. Apabila wanita itu berkata bahawa dia sudah mempersembahkan korban pendamaian, kononnya untuk menunjukkan dia seorang yang baik, pemuda itu mendengarkannya. (Baca Amsal 7:​13, 14, 21.) Jika pemuda itu tidak mengambil langkah-langkah itu, barangkali dia dapat mengelakkan godaan dan dosa.

10. Bagaimanakah seseorang mungkin mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh pemuda yang disebut di Amsal bab 7?

10 Kata-kata Salomo menunjukkan bahaya yang mungkin menimpa mana-mana penyembah Yehuwa. Seseorang mungkin terjebak dalam dosa yang serius dan berasa bahawa semua itu berlaku secara tiba-tiba. Namun, jika dia fikir kembali apa yang berlaku, dia mungkin sedar bahawa dia telah terlibat dalam pergaulan buruk, menikmati hiburan yang tidak sihat, sering melawat tempat yang tidak sesuai bagi orang Kristian, atau melayari laman web yang tidak senonoh. Dia juga mungkin telah mengabaikan tabiat berdoa, membaca Bible, menghadiri perjumpaan, atau menginjil. Seperti pemuda di Amsal bab 7, dia telah mengambil langkah yang menyebabkannya beransur-ansur terjatuh ke dalam dosa.

11. Apakah yang harus kita lakukan supaya kita tidak berdosa?

11 Apakah pengajarannya? Kita bukan sahaja perlu menjauhi perbuatan berdosa, tetapi juga perlu menjauhi hal-hal yang menjurus kepada dosa. Itulah yang ditekankan oleh Salomo selepas menulis kisah tentang pemuda dan perempuan jalang itu. Mengenai perempuan itu, Salomo berkata, “Janganlah menyimpang ke jalannya.” (Ams. 7:25) Dia juga berkata, “Jauhkanlah dirimu daripada perempuan jalang; janganlah mendekati pintu rumahnya.” (Ams. 5:​3, 8) Ya, untuk menjauhi perbuatan berdosa, kita perlu menjauhi apa sahaja yang dapat menyebabkan kita berdosa,b termasuk situasi atau aktiviti yang bukannya terang-terang salah, tetapi dapat menyebabkan kita tergoda.​—Mat. 5:​29, 30.

12. Apakah tekad Ayub, dan bagaimanakah hal itu membantunya untuk mengelakkan godaan? (Ayub 31:1)

12 Untuk mengelakkan situasi yang boleh menyebabkan kita tergoda, kita harus bertekad untuk berjaga-jaga. Itulah yang dilakukan oleh Ayub. Dia ‘membuat perjanjian dengan matanya’ untuk tidak melihat wanita lain dengan perasaan berahi. (Baca Ayub 31:1.) Dengan berpegang teguh pada tekadnya, dia dapat mengelakkan apa-apa pun yang mungkin menggodanya untuk berzina. Kita juga mahu melakukan hal yang sama.

13. Mengapakah kita harus berhati-hati tentang apa yang kita fikirkan? (Lihat juga gambar.)

13 Kita juga mesti berhati-hati tentang apa yang kita fikirkan. (Kel. 20:17) Sesetengah orang berfikir bahawa tiada salahnya membayangkan diri menuruti nafsu yang jahat asalkan mereka tidak melakukannya dalam hidup sebenar. Namun pemikiran sebegini salah. Seseorang yang asyik berfikir tentang nafsunya yang jahat akan membuat keinginannya itu menjadi semakin kuat. Akibatnya, dia perlu melawan godaan yang diciptakannya sendiri. Sudah tentu, keinginan yang salah akan timbul dari masa ke masa. Jadi kita perlu membuangnya dengan segera dan menggantikannya dengan fikiran yang sihat. Dengan demikian, kita mencegah keinginan yang salah daripada bertumbuh menjadi godaan yang susah dilawan, yang mungkin mengakibatkan kita melakukan dosa yang serius.​—Flp. 4:8; Kol. 3:2; Yak. 1:​13-15.

Kolaj: 1. Seorang saudara menonton TV pada waktu malam. 2. Dia memandang seorang rakan sekerja wanita dengan berahi. 3. Dia dan rakan sekerja itu minum bersama di bar.

Kita perlu menjauhi apa-apa yang mungkin membuat kita digoda (Lihat perenggan 13)


14. Apa lagi yang dapat membantu kita menjauhi godaan?

14 Apa lagi yang dapat membantu kita menjauhi godaan? Kita perlu yakin sepenuhnya bahawa mematuhi hukum Yehuwa sentiasa membawa manfaat. Memang benar, ada kalanya kita perlu berjuang keras untuk mengubah fikiran dan perasaan kita menurut kehendak Yehuwa. Namun, usaha kita berbaloi dan akan mendatangkan kebahagiaan yang sejati.

15. Mengapakah memupuk keinginan yang betul dapat membantu kita menjauhi godaan?

15 Kita juga perlu belajar untuk ‘membenci apa yang jahat dan mencintai apa yang baik.’ (Amo. 5:15) Dengan memupuk keinginan yang betul, kita dapat menguatkan tekad kita untuk melakukan apa yang betul. Dengan itu, kita dapat menghindari situasi yang dapat membuat kita berdosa dan melawan godaan yang timbul secara tiba-tiba.

16. Jika kita tetap melakukan aktiviti rohani, bagaimanakah hal itu membantu kita terus berjaga-jaga? (Lihat juga gambar.)

16 Bagaimanakah kita dapat memupuk keinginan yang betul? Kita harus sibuk dalam aktiviti rohani. Semasa menghadiri perjumpaan atau menginjil, kita tidak begitu mudah tergoda untuk berdosa. Sebaliknya, kita sedang menguatkan tekad kita untuk menyenangkan hati Yehuwa. (Mat. 28:​19, 20; Ibr. 10:​24, 25) Selain itu, semasa kita membaca, mengkaji, serta merenungkan Bible, kita semakin mengasihi apa yang benar dan membenci apa yang jahat. (Yos. 1:8; Mzm. 1:​2, 3; 119:​97, 101) Doa juga sangat penting, kerana Yesus pernah memberitahu para pengikutnya, ‘Teruslah berdoa supaya kamu semua tidak terjerat oleh godaan.’ (Mat. 26:41) Apabila kita meluangkan masa untuk berdoa kepada Yehuwa, kita sedang memberi-Nya peluang untuk membantu kita, dan tekad kita untuk menyenangkan hati-Nya akan menjadi semakin kuat.​—Yak. 4:8.

Tabiat rohani yang baik menguatkan kita untuk melawan godaan (Lihat perenggan 16)c


TERUS BERJAGA-JAGA

17. Apakah kelemahan Petrus yang kembali menghantuinya?

17 Sesetengah kelemahan kita mungkin dapat diatasi dengan sepenuhnya, tetapi ada juga kelemahan kita yang mungkin terus menghantui kita dari masa ke masa. Fikirkan contoh Rasul Petrus. Dia pernah tunduk kepada rasa takut akan manusia dan berkata sebanyak tiga kali bahawa dia tidak mengenal Yesus. (Mat. 26:​69-75) Semasa Petrus memberikan kesaksian dengan berani di hadapan Majlis Orang Yahudi, nampaknya dia sudah berjaya mengatasi kelemahan itu. (Kis. 5:​27-29) Namun, beberapa tahun kemudian, dia “takut akan orang daripada golongan bersunat” dan tidak mahu makan bersama orang Kristian yang bukan berbangsa Yahudi. (Gal. 2:​11, 12) Kelemahan Petrus telah kembali menghantuinya. Barangkali, dia perlu melawan kelemahannya itu seumur hidupnya.

18. Apakah yang perlu kita ingat tentang sesetengah kelemahan kita?

18 Seperti Petrus, sesetengah kelemahan yang kita fikir kita sudah atasi mungkin menghantui kita lagi pada masa depan. Sebagai contoh, seorang saudara berkata, “Setelah menjauhi pornografi selama 10 tahun, saya fikir saya sudah berjaya mengatasi ketagihan pornografi. Tetapi kelemahan itu adalah seperti binatang buas yang bersembunyi dan menantikan peluang untuk menyerang saya.” Syukurlah saudara kita tidak berputus asa. Dia sedar bahawa dia perlu berusaha keras setiap hari untuk melawan kecenderungannya yang salah itu dan pergelutannya mungkin berterusan sepanjang hidupnya dalam dunia Syaitan. Dengan bantuan isterinya dan para penatua, dia mengambil langkah yang lebih tegas untuk mengelakkan pornografi.

19. Jika kita mempunyai kelemahan yang asyik menggoda kita, apakah yang dapat kita lakukan?

19 Jika kita mempunyai kelemahan yang asyik menggoda kita, apakah yang dapat kita lakukan? Ikutlah nasihat Yesus: “Teruslah berjaga-jaga.” Biarpun anda rasa anda dapat berdiri teguh, teruslah menjauhi situasi yang dapat membuat anda tergoda. (1 Kor. 10:12) Selain itu, teruslah mengambil langkah-langkah yang telah membantu anda menolak godaan selama ini. Bible menyatakan, “Berbahagialah orang yang sentiasa berjaga-jaga.”​—Ams. 28:​14, nota kaki; 2 Ptr. 3:14.

BERKAT YANG DIRAIH KERANA TETAP BERJAGA-JAGA

20-21. (a) Apakah berkat yang akan kita raih jika kita tetap berjaga-jaga? (b) Jika kita berusaha menjauhi godaan setiap hari, apakah yang akan Yehuwa lakukan untuk kita? (2 Korintus 4:7)

20 Yakinlah bahawa apa sahaja usaha yang kita kerahkan untuk tetap berjaga-jaga dan menjauhi godaan amat berbaloi. Biarpun menuruti keinginan berdosa mungkin terasa seronok, nikmat itu hanya “bersifat sementara.” (Ibr. 11:25) Tetapi jika kita mematuhi Yehuwa, kita akan jauh lebih bahagia kerana Yehuwa telah menciptakan kita untuk hidup menurut standard-Nya. (Kej. 1:27; Mzm. 19:8) Kita akan menikmati hati nurani yang murni dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya.​—1 Tim. 6:12; 2 Tim. 1:3; Yud. 20, 21.

21 Memang benar kata-kata Yesus bahawa ‘tubuh kita lemah.’ Namun hal itu tidak bermaksud bahawa kita tidak mampu melakukan apa-apa. Yehuwa bersedia memberi kita kuasa yang diperlukan. (Baca 2 Korintus 4:7.) Yehuwa berjanji untuk memberi kita kuasa yang luar biasa. Tetapi kita perlu menggunakan kuasa kita sendiri terlebih dahulu untuk menjauhi godaan setiap hari. Itulah tanggungjawab kita. Jika kita berbuat demikian, Yehuwa pasti memberi kita kuasa luar biasa ketika kita memerlukannya. (1 Kor. 10:13) Ya, dengan bantuan Yehuwa, kita dapat terus berjaga-jaga agar dapat melawan godaan.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Kita mesti menjauhi godaan dalam situasi apa?

  • Bagaimanakah kita dapat menjauhi godaan?

  • Mengapakah kita mesti sentiasa berjaga-jaga?

LAGU 47 Berdoalah kepada Yehuwa Setiap Hari

a MAKSUD UNGKAPAN: Yesus menggunakan perkataan “hati” di Matius 26:41 untuk menunjukkan bahawa kita memiliki keinginan atau niat untuk melakukan apa yang betul. Kemudian, dia menggunakan perkataan “tubuh” untuk menekankan bahawa oleh sebab kita tidak sempurna dan berdosa, kita sering memikirkan atau melakukan apa yang salah. Jadi biarpun kita mahu berbuat baik, jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin tunduk kepada godaan dan berbuat salah.

b Orang yang telah melakukan dosa yang serius boleh mengkaji maklumat dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! pelajaran 57, poin 1-3 dan rencana “Pandanglah ke Masa Depan!” dalam majalah Menara Pengawal terbitan November 2020, ms. 27-29, per. 12-17.

c KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara membaca ayat harian pada waktu pagi, membaca Bible semasa makan tengah hari, dan menghadiri perjumpaan pertengahan minggu pada waktu malam.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi