RENCANA PEMBELAJARAN 40
LAGU 30 Bapaku, Tuhanku, dan Kawanku
Yehuwa “Menyembuhkan Orang yang Hancur Hati”
“Dia menyembuhkan orang yang hancur hati; Dia membalut luka mereka.”—MZM. 147:3.
FOKUS
Yehuwa sangat mengambil berat terhadap mereka yang mempunyai luka emosi. Rencana ini akan menunjukkan bagaimana Dia membantu kita sembuh secara emosi dan membolehkan kita membantu orang lain.
1. Apakah perasaan Yehuwa terhadap hamba-hamba-Nya?
YEHUWA memperhatikan segala yang berlaku kepada hamba-hamba-Nya di bumi. Dia tahu akan semua suka dan duka kita. (Mzm. 37:18) Semasa Dia melihat kita berusaha sedaya upaya untuk menyembah-Nya meskipun kita menderita secara emosi, Dia bukan sahaja sangat bangga dengan kita, malah mahu menyokong dan melegakan kita.
2. Apakah yang Yehuwa lakukan untuk orang yang hancur hati? Apakah yang perlu kita lakukan untuk disembuhkan?
2 Mazmur 147:3 kata Yehuwa “membalut luka” orang yang hancur hati. Ayat ini menunjukkan bahawa Yehuwa menjaga orang yang remuk hati dengan penuh kasih. Namun, apakah yang perlu kita lakukan? Fikirkan contoh ini: Doktor yang mahir dapat membantu orang yang cedera untuk sembuh. Namun orang itu harus mengikut arahan doktor dengan teliti. Begitu juga, kita perlu mengikut arahan Yehuwa jika kita mahu disembuhkan. Dalam rencana ini, kita akan belajar tentang nasihat Yehuwa bagi orang yang mempunyai luka emosi dan cara untuk menerapkan nasihat-Nya dalam hidup kita.
YEHUWA MENGINGATKAN KITA BAHAWA KITA BERNILAI
3. Mengapakah sesetengah orang rasa mereka tidak berguna?
3 Banyak orang dalam dunia ini tidak menunjukkan kasih. Akibatnya, mereka membuat orang lain rasa tidak bernilai. Seorang saudari yang bernama Helena berkata, “Ibu bapa saya tidak penyayang. Bapa saya ganas. Setiap hari dia beritahu saya dan adik-beradik saya bahawa kami tidak berguna.” Jika anda pernah ditindas, dimaki, dan dihina seperti Helen, anda mungkin rasa tiada sesiapa pun yang mengasihi anda.
4. Menurut Mazmur 34:18, apakah janji Yehuwa kepada kita?
4 Biarpun anda rasa diri anda tidak bernilai, yakinlah bahawa Yehuwa mengasihi dan menghargai anda. Dia berjanji bahawa Dia “dekat dengan orang yang remuk hati.” (Baca Mazmur 34:18.) Maka jika anda rasa “tawar hati,” ingatlah bahawa Yehuwa memimpin anda kepada-Nya kerana Dia nampak sesuatu yang baik dalam hati anda. (Yoh. 6:44) Dia sentiasa bersedia untuk membantu anda kerana anda sangat berharga di mata-Nya.
5. Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa daripada cara Yesus melayan orang yang dipandang rendah?
5 Kita dapat lebih memahami perasaan Yehuwa dengan mengkaji teladan Yesus. Semasa di bumi, Yesus prihatin terhadap mereka yang dipandang rendah dan melayan mereka dengan baik. (Mat. 9:9-12) Contohnya, semasa seorang wanita yang sakit teruk menyentuh jubahnya kerana ingin disembuhkan, Yesus menenangkan hatinya dan memujinya kerana beriman. (Mrk. 5:25-34) Yesus mencerminkan sifat Bapanya dengan sempurna. (Yoh. 14:9) Maka percayalah bahawa Yehuwa juga menghargai anda dan melihat sifat-sifat baik anda, termasuk iman dan kasih anda terhadap-Nya.
6. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda rasa tidak berguna?
6 Apakah yang dapat anda lakukan jika anda selalu rasa tidak berguna? Bacalah dan renungkanlah ayat-ayat Bible yang mengingatkan anda bahawa anda bernilai di mata Yehuwa.b (Mzm. 94:19) Janganlah membandingkan diri dengan orang lain atau berfokus kepada hal yang tidak mampu anda capai. Yehuwa Tuhan yang munasabah. (Mzm. 103:13, 14) Jika anda pernah didera, janganlah salahkan diri sendiri. Ingatlah, yang berdosa di mata Yehuwa ialah pendera, bukan mangsa. (1 Ptr. 3:12) Sandra, yang didera semasa kecil, berkata, “Saya sering berdoa kepada Yehuwa dan meminta-Nya membantu saya memandang diri dalam cara yang seimbang, iaitu dalam cara Dia memandang saya.”
7. Jika anda mempunyai pengalaman buruk pada masa lalu, bagaimanakah anda dapat menggunakannya untuk membantu orang lain?
7 Jika anda mempunyai pengalaman buruk pada masa lalu, Yehuwa dapat menggunakan pengalaman anda untuk membantu orang lain. Dia telah memberi anda penghormatan untuk menjadi rakan sekerja-Nya dalam kerja penyebaran. (1 Kor. 3:9) Barangkali, cabaran yang anda lalui telah membantu anda lebih memahami dan menyelami perasaan orang lain. Jadi, anda lebih bersedia membantu mereka. Helen, yang disebut tadi, telah menerima bantuan, dan kini dia dapat membantu orang lain. Dia berkata, “Dulu saya rasa tidak berguna. Tetapi Yehuwa membuat saya berasa dikasihi dan menggunakan saya untuk membantu orang lain.” Sekarang, Helen seorang perintis yang bahagia.
YEHUWA MAHU KITA MENERIMA PENGAMPUNAN-NYA
8. Apakah jaminan yang terdapat di Yesaya 1:18?
8 Sesetengah umat Yehuwa masih berasa bersalah akibat dosa lampau, tidak kira dosa mereka dilakukan sebelum atau selepas dibaptis. Namun ingatlah bahawa Yehuwa amat mengasihi kita. Itulah sebabnya Dia menyediakan tebusan agar dosa kita dapat diampunkan. Sudah pasti Dia mahu kita menerima pengampunan-Nya. Yehuwa menjamin bahawa selepas kita “selesaikan perkara ini”c dengan-Nya, Dia akan mengampuni kita dengan sepenuhnya dan tidak lagi mengingat dosa kita. (Baca Yesaya 1:18.) Pada masa yang sama, Dia tidak akan melupakan perbuatan baik kita. Tuhan kita sangat pengasih, bukan?—Mzm. 103:9, 12; Ibr. 6:10.
9. Mengapakah kita tidak patut terus memikirkan dosa lampau kita?
9 Jika anda dibelenggu rasa bersalah atas dosa lampau, berusahalah sedaya upaya untuk berfikir tentang keadaan anda sekarang dan masa depan. Fikirkan contoh Rasul Paulus. Dulu, dia menganiaya orang Kristian dengan teruk. Namun dia tahu Yehuwa telah memaafkannya setelah dia bertaubat. (1 Tim. 1:12-15) Sebagaimana dia tidak terus berfikir tentang pencapaian lampaunya semasa dia masih mengikut agama Yahudi, dia juga tidak terus berfikir tentang dosa lampaunya. (Flp. 3:4-8, 13-15) Sebaliknya, Paulus menjalankan kerja penyebaran dengan bersemangat dan melihat apa yang ada di depannya. Seperti Paulus, anda tidak dapat mengubah apa yang sudah berlaku pada masa lalu. Namun anda dapat memuliakan Yehuwa sekarang dan menantikan masa depan yang cerah yang dijanjikan-Nya.
10. Apakah yang dapat kita lakukan jika dosa lampau kita telah menyakiti orang lain?
10 Jika dosa lampau anda telah menyakiti orang lain, apakah yang dapat anda lakukan? Lakukanlah apa yang terdaya untuk membaiki kesilapan anda, contohnya dengan meminta maaf. (2 Kor. 7:11) Selain itu, berdoalah kepada Yehuwa supaya membantu orang yang anda lukai. Dia dapat membantu anda dan orang itu untuk bertabah dan terus menyembah-Nya dengan hati yang tenang.
11. Apakah yang kita pelajari daripada contoh Nabi Yunus? (Lihat juga gambar.)
11 Jika anda pernah berbuat silap, belajarlah daripada kesilapan anda dan teruslah menerima apa sahaja tugasan yang diberikan oleh Yehuwa. Perhatikan contoh Nabi Yunus. Tuhan mengutusnya ke Niniwe, tetapi dia melarikan diri ke arah yang bertentangan. Yunus telah diberi disiplin, dan dia belajar daripada kesilapannya. (Yun. 1:1-4, 15-17; 2:7-10) Selepas itu, Yehuwa terus menggunakan Yunus sebagai nabi-Nya. Semasa Dia memberi Yunus peluang lagi untuk pergi ke Niniwe, Yunus segera mentaati-Nya. Biarpun Yunus menyesali kesilapannya, dia tidak membiarkan perasaan itu menghalangnya daripada terus berkhidmat kepada Yehuwa.—Yun. 3:1-3.
Selepas Nabi Yunus diselamatkan daripada ikan besar, Yehuwa mengutusnya lagi ke Niniwe untuk menyampaikan perkhabaran-Nya (Lihat perenggan 11)
YEHUWA MELEGAKAN KITA MENERUSI KUASA SUCI-NYA
12. Bagaimanakah Yehuwa memberi kita kedamaian apabila sesuatu yang buruk berlaku? (Filipi 4:6, 7)
12 Apabila sesuatu yang buruk berlaku kepada kita, Yehuwa melegakan kita menerusi kuasa suci-Nya. Perhatikan pengalaman Ron dan Carol. Anak lelaki mereka telah membunuh diri. Mereka berkata, “Kami pernah menghadapi cubaan, tetapi inilah cubaan yang paling teruk bagi kami. Banyak kali kami tidak dapat tidur pada waktu malam. Jadi kami berdoa kepada Yehuwa, dan Dia memberi kami kedamaian yang disebut di Filipi 4:6, 7.” (Baca.) Jika anda sedang menghadapi cubaan yang besar, curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa. Anda boleh berdoa seberapa kerap dan lama yang anda mahu. (Mzm. 86:3; 88:1) Mintalah berulang kali agar Yehuwa memberi anda kuasa suci-Nya. Dia pasti menunaikan permintaan anda.—Luk. 11:9-13.
13. Bagaimanakah kuasa suci membantu kita menyembah Yehuwa dengan setia? (Efesus 3:16)
13 Adakah anda rasa lemah setelah mengharungi cubaan yang berat? Kuasa suci Tuhan dapat memberi anda kekuatan untuk terus menyembah Yehuwa dengan setia. (Baca Efesus 3:16.) Fikirkan pengalaman Saudari Flora. Dia dan suaminya berkhidmat sebagai mubaligh, tetapi kemudian suaminya berlaku curang, dan mereka pun bercerai. Flora berkata, “Hati saya hancur, dan fikiran saya bercelaru. Saya berdoa meminta kuasa suci Yehuwa untuk bantu saya bertabah. Walaupun luka di hati saya nampaknya mustahil sembuh, Yehuwa telah menguatkan dan melegakan saya.” Bantuan Tuhan telah mendorong Flora untuk lebih mempercayai-Nya dan yakin bahawa Dia akan terus menyokongnya tidak kira apa cubaan yang dihadapinya. Flora menambah, “Kata-kata dalam buku Mazmur tepat menggambarkan bagaimana Yehuwa membantu saya: ‘Aku akan mematuhi perintah-Mu dengan bersungguh-sungguh, kerana Engkau memberi aku keyakinan.’”—Mzm. 119:32, nota kaki.
14. Apakah yang perlu kita lakukan supaya kuasa suci Tuhan membantu kita?
14 Selepas berdoa meminta kuasa suci Tuhan, apakah yang perlu anda lakukan? Sertailah aktiviti yang memberi anda lebih banyak peluang untuk menerima kuasa suci Tuhan, seperti menghadiri perjumpaan dan menginjil. Selain itu, bacalah Bible setiap hari supaya minda anda diisi dengan fikiran Yehuwa. (Flp. 4:8, 9) Semasa membaca Bible, perhatikan watak-watak Bible yang menghadapi kesusahan dan renungkan bagaimana Yehuwa membantu mereka bertabah. Sandra, yang disebut tadi, ditimpa banyak masalah dalam hidupnya. Dia berkata, “Kisah hidup Yusuf amat menyentuh hati saya. Walaupun dia dilayan dengan tidak adil dan menghadapi banyak cubaan, dia memastikan hubungannya dengan Yehuwa tetap kuat.”—Kej. 39:21-23.
YEHUWA MELEGAKAN KITA MELALUI RAKAN SEIMAN
15. Siapakah yang dapat melegakan hati kita? Bagaimanakah mereka dapat membantu kita? (Lihat juga gambar.)
15 Semasa kita menderita, rakan seiman kita dapat menjadi “sumber kelegaan hati yang besar.” (Kol. 4:11) Yehuwa menggunakan saudara saudari kita untuk menunjukkan kasih-Nya kepada kita. Rakan seiman kita dapat melegakan hati kita dengan mendengar luahan kita dengan penuh empati, atau mereka dapat menyokong kita dengan berada di sisi kita. Mereka juga mungkin mengongsi ayat Bible atau berdoa bersama kita.d (Rm. 15:4) Kadangkala, saudara saudari kita mungkin mengingatkan kita tentang pemikiran Yehuwa dan bantu kita mempunyai pandangan yang betul. Mereka juga dapat memberikan bantuan praktikal, contohnya dengan menyediakan makanan untuk kita.
Sahabat matang yang boleh dipercayai dapat menyokong dan melegakan anda (Lihat perenggan 15)
16. Apakah yang perlu kita lakukan supaya saudara saudari dapat membantu kita?
16 Saudara saudari memang mengasihi kita dan mahu membantu kita. (Ams. 17:17) Namun mereka mungkin tidak tahu apa perasaan atau keperluan kita. (Ams. 14:10) Jadi kita perlu meminta bantuan. Jika anda rasa sangat susah hati, kongsilah perasaan anda dengan sahabat yang matang. Beritahulah mereka apa yang anda perlukan. Anda boleh memilih untuk meluahkan perasaan anda kepada satu atau dua orang penatua yang anda rasa selesa. Sesetengah saudari berasa lebih selesa semasa meluahkan perasaan mereka kepada saudari yang matang.
17. Apakah sesetengah perkara yang mungkin menghalang kita daripada menerima galakan? Namun, apakah yang patut kita lakukan?
17 Semasa hati anda terluka, anda mungkin tidak mahu bergaul dengan orang lain. Namun, lawanlah kecenderungan untuk menyendiri. Ada kalanya, saudara saudari mungkin tidak memahami perasaan anda atau mengatakan sesuatu yang membuat luka di hati anda bertambah parah. (Yak. 3:2) Janganlah membiarkan perkara sebegini menghalang anda daripada menerima galakan. Gavin, seorang penatua yang menghadapi masalah kemurungan, berkata, “Sering kali, saya tidak mahu jumpa saudara saudari atau bercakap kepada mereka.” Meskipun begitu, dia berusaha untuk bergaul dengan saudara saudari, dan dia berasa lebih lega selepas itu. Seorang saudari yang bernama Amy berkata, “Pengalaman buruk saya dulu membuat saya susah mempercayai orang. Tetapi saya belajar untuk mengasihi dan mempercayai saudara saudari, kerana Yehuwa pun mengasihi dan mempercayai mereka. Saya tahu usaha saya buat Yehuwa gembira, dan saya pun rasa gembira.”
JANJI YEHUWA DAPAT MELEGAKAN KITA
18. Apakah yang kita nantikan pada masa depan? Apakah yang dapat kita lakukan sekarang?
18 Kita tahu bahawa pada masa depan, Yehuwa akan menyembuhkan kita dengan sepenuhnya secara fizikal dan emosi. (Why. 21:3, 4) Pada masa itu, semua perkara yang menyakiti kita sekarang “tidak akan dikenang sama sekali.” (Yes. 65:17) Seperti yang telah kita bincangkan, Yehuwa bahkan “membalut luka” kita sekarang. Maka terimalah segala bantuan yang disediakan oleh Yehuwa untuk melegakan hati kita. Ingatlah, ‘Dia mengambil berat tentang kita.’—1 Ptr. 5:7.
LAGU 7 Yehuwalah Kekuatanku
a Nama-nama telah diubah.
b Lihat kotak “Yehuwa Menghargai Anda.”
c Untuk “selesaikan perkara ini” dengan Yehuwa, kita perlu membuktikan bahawa kita sudah bertaubat dengan meminta pengampunan daripada-Nya dan mengubah kelakuan kita. Jika kita telah melakukan dosa yang serius, kita perlu meminta bantuan daripada para penatua di sidang.—Yak. 5:14, 15.
d Sebagai contoh, lihat ayat-ayat Bible di bawah topik “Kekhuatiran” dan “Kelegaan” dalam buku Ayat Bible untuk Kehidupan Kristian.