PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 Mac ms. 20-25
  • Teruslah Hidup Berdasarkan Iman

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Teruslah Hidup Berdasarkan Iman
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • SEMASA MEMILIH PEKERJAAN
  • SEMASA MEMILIH PASANGAN HIDUP
  • SEMASA MENERIMA ARAHAN DARIPADA ORGANISASI KITA
  • Bergantung pada Yehuwa semasa Membuat Keputusan
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2023
  • Akuilah bahawa Kita Tidak Mengetahui Segala-Galanya
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Cara Mengatasi Keraguan
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Buatlah Keputusan yang Menyenangkan Hati Yehuwa
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 Mac ms. 20-25

RENCANA PEMBELAJARAN 12

LAGU 119 Kita Mesti Memiliki Iman

Teruslah Hidup Berdasarkan Iman

“Kita hidup berdasarkan iman, dan bukannya berdasarkan apa yang dapat dilihat.”​—2 KOR. 5:7.

FOKUS

Belajar cara membuat keputusan yang penting berdasarkan iman.

1. Mengapakah Rasul Paulus berpuas hati dengan kehidupannya?

TIDAK lama sebelum Rasul Paulus dihukum mati, dia berkata, “Aku sudah berlari dalam perlumbaan sampai ke akhir, dan aku tetap teguh dalam kepercayaan.” (2 Tim. 4:​6-8) Mengapakah dia berpuas hati dengan kehidupannya? Kerana dia membuat keputusan yang bijak untuk menyembah Yehuwa, dan dia yakin bahawa Yehuwa senang hati terhadapnya. Kita juga mahu membuat keputusan yang bijak dan menyenangkan hati Tuhan. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

2. Apakah maksud hidup berdasarkan iman?

2 Mengenai dirinya dan orang Kristian setia yang lain, Paulus berkata, “Kita hidup berdasarkan iman, dan bukannya berdasarkan apa yang dapat dilihat.” (2 Kor. 5:7) Apakah maksud Paulus? Seseorang yang tidak beriman kepada Yehuwa membuat keputusan hanya berdasarkan apa yang dapat dia lihat, dengar, dan rasa. Sebaliknya, seseorang yang hidup berdasarkan iman memikirkan kehendak Yehuwa semasa membuat keputusan. Dia percaya bahawa Yehuwa akan memberkatinya dan bahawa dia akan meraih manfaat jika dia mematuhi nasihat Yehuwa dalam Bible.​—Mzm. 119:66; Ibr. 11:6.

3. Apakah manfaatnya jika kita hidup berdasarkan iman? (2 Korintus 4:18)

3 Sudah tentu, ada kalanya kita perlu membuat keputusan berdasarkan apa yang kita lihat, dengar, dan rasa. Namun, jika kita membuat keputusan yang penting hanya berdasarkan faktor-faktor ini, kita mungkin tidak dapat membuat keputusan yang bijak. Mengapa? Deria kita tidak selalunya boleh dipercayai. Biarpun deria kita sangat peka, jika kita membuat keputusan hanya berdasarkan apa yang dapat dilihat, kita mungkin tidak mempedulikan nasihat atau kehendak Tuhan. (Pkh. 11:9; Mat. 24:​37-39) Sebaliknya, jika kita hidup berdasarkan iman, kita akan meraih banyak manfaat. Kita dapat membuat keputusan “yang diperkenankan Tuan kita” dengan lebih mudah. (Ef. 5:10) Kita juga akan hidup bahagia, dan hati kita akan tenteram. (Mzm. 16:​8, 9; Yes. 48:​17, 18) Tambahan lagi, dengan terus hidup berdasarkan iman, kita berpeluang untuk hidup selama-lamanya.​—Baca 2 Korintus 4:18.

4. Bagaimanakah seseorang dapat mengetahui sama ada dia hidup berdasarkan iman atau tidak?

4 Bagaimanakah kita dapat mengetahui sama ada kita hidup berdasarkan iman atau tidak? Tanyalah diri, “Semasa membuat keputusan, adakah saya hanya bergantung pada apa yang dapat dilihat? Atau adakah saya bergantung pada nasihat Yehuwa?” Mari kita bincang bagaimana kita dapat terus hidup berdasarkan iman dalam tiga aspek berikut: Semasa memilih pekerjaan, semasa memilih pasangan, dan semasa menerima arahan daripada organisasi kita. Dalam setiap aspek itu, kita akan memikirkan apa yang perlu dipertimbangkan supaya kita dapat membuat keputusan yang bijak.

SEMASA MEMILIH PEKERJAAN

5. Apakah yang perlu kita fikirkan semasa memilih pekerjaan?

5 Kita semua mahu menjaga keperluan sendiri dan keluarga kita. (Pkh. 7:12; 1 Tim. 5:8) Sesetengah kerja menawarkan gaji yang lumayan dan membolehkan seseorang membiayai kos hidup dan mempunyai simpanan. Tetapi kerja lain pula menawarkan gaji yang cukup untuk membeli keperluan asas sahaja. Semasa memilih pekerjaan, kita memang perlu memikirkan jumlah gaji yang ditawarkan. Tetapi, jika itulah satu-satunya faktor yang dipertimbangkan, barangkali keputusan itu dibuat berdasarkan apa yang dapat dilihat.

6. Bagaimanakah kita dapat hidup berdasarkan iman semasa memilih pekerjaan? (Ibrani 13:5)

6 Jika kita hidup berdasarkan iman, kita juga akan memikirkan bagaimana pekerjaan kita akan mempengaruhi persahabatan kita dengan Yehuwa. Tanyalah diri, “Adakah kerja itu melibatkan hal yang Yehuwa benci?” (Ams. 6:​16-19) “Adakah ibadat saya akan terjejas atau adakah saya perlu berjauhan daripada keluarga saya buat masa yang lama?” (Flp. 1:10) Jika ya, adalah bijak untuk tidak menerima pekerjaan itu biarpun susah untuk mencari kerja. Apabila kita membuat keputusan yang berdasarkan iman, kita menunjukkan bahawa kita yakin Yehuwa akan menjaga keperluan kita.​—Mat. 6:33; baca Ibrani 13:5.

7-8. Bagaimanakah seorang saudara di Amerika Selatan hidup berdasarkan iman? (Lihat juga gambar.)

7 Perhatikan bagaimana Javier,a seorang saudara di Amerika Selatan, menyedari pentingnya hidup berdasarkan iman. Dia berkata, “Saya telah memohon untuk kerja yang gajinya dua kali ganda lebih tinggi berbanding gaji sebelumnya. Saya juga sangat suka kerja ini.” Namun, Javier juga mahu merintis. Dia berkata, “Sebelum temu duga dengan pengurus, saya berdoa meminta bantuan Yehuwa. Saya yakin Dia tahu apa yang terbaik bagi saya. Saya memang mahu naik pangkat dan mendapat gaji yang lebih tinggi. Tetapi jika kerja ini menghalang saya mencapai matlamat rohani saya, saya tidak mahu melakukannya.”

8 Javier menceritakan apa yang berlaku semasa temu duga: “Pengurus beritahu saya bahawa saya perlu selalu kerja lebih masa. Maka saya beritahunya saya tidak dapat melakukannya kerana saya mahu menginjil.” Dua minggu selepas menolak tawaran kerja itu, Javier mula merintis. Beberapa bulan kemudian, dia mendapat kerja sambilan. Dia berkata, “Yehuwa telah mendengar doa saya dan membantu saya mendapat kerja yang membolehkan saya merintis. Saya sangat gembira kerana ada lebih banyak masa untuk berkhidmat kepada Yehuwa dan saudara saudari.”

Seorang saudara yang memakai baju kerja dan memegang topi keselamatan dijemput ke dalam pejabat. Penyelianya menunjukkan tempat duduk yang kosong dan menawarkan kenaikan pangkat.

Jika anda ditawarkan jawatan yang lebih tinggi, adakah keputusan anda akan menunjukkan bahawa anda yakin Yehuwa tahu apa yang terbaik bagi anda? (Lihat perenggan 7-8)


9. Apakah yang anda belajar daripada pengalaman Trésor?

9 Bagaimana pula jika kerja kita sekarang menghalang kita daripada hidup berdasarkan iman? Perhatikan pengalaman Trésor dari Congo. Dia berkata, “Kerja dahulu saya ialah kerja idaman saya. Gaji saya tiga kali ganda lebih tinggi berbanding gaji sebelumnya, dan saya dihormati.” Namun, Trésor selalu tidak dapat menghadiri perjumpaan kerana perlu kerja lebih masa. Dia juga diberi tekanan untuk berbohong tentang amalan yang tidak jujur di tempat kerja. Trésor mahu berhenti kerja, tetapi dia risau tidak dapat mencari kerja baharu. Apakah yang membantunya? Dia berkata, “Habakuk 3:​17-19 membantu saya sedar bahawa biarpun saya hilang sumber pendapatan, Yehuwa ada cara untuk jaga saya. Jadi saya letak jawatan.” Dia menambah, “Banyak majikan fikir bahawa pekerja mereka sanggup mengorbankan apa-apa sahaja, termasuk keluarga dan hal rohani, untuk mendapat gaji yang lumayan. Saya gembira kerana saya mengutamakan hubungan saya dengan Yehuwa. Setahun kemudian, Yehuwa membantu saya mencari kerja yang stabil yang membolehkan saya hidup sederhana dan mempunyai lebih banyak masa untuk aktiviti rohani. Apabila kita mengutamakan Yehuwa, kita mungkin menghadapi masalah kewangan untuk seketika. Tetapi Yehuwa pasti menjaga kita.” Ya, jika kita mempercayai nasihat dan janji Yehuwa, kita dapat terus hidup berdasarkan iman dan menerima berkat-Nya.

SEMASA MEMILIH PASANGAN HIDUP

10. Apakah yang mungkin menyebabkan kita tidak hidup berdasarkan iman semasa memilih pasangan hidup?

10 Perkahwinan ialah kurniaan Yehuwa, dan keinginan untuk berkahwin memang normal. Semasa seorang saudari berfikir tentang saudara yang ingin dikahwininya, dia mungkin mempertimbangkan sifat, penampilan, reputasi, keadaan kewangan, tanggungjawab keluarga, dan perasaannya ketika bersama saudara itu.b Semua hal ini memang penting. Namun, jika dia hanya berfikir tentang hal-hal ini, dia tidak hidup berdasarkan iman.

11. Bagaimanakah kita dapat hidup berdasarkan iman semasa memilih pasangan hidup? (1 Korintus 7:39)

11 Yehuwa pasti sangat bangga dengan saudara saudari kita yang bergantung pada nasihat-Nya semasa memilih pasangan hidup. Sebagai contoh, mereka mengikut prinsip Bible untuk berdating selepas mereka “sudah melewati masa remaja.” (1 Kor. 7:36; lihat juga nota kaki) Mereka juga mempertimbangkan jika bakal teman hidup mereka mempunyai sifat-sifat baik yang disebut oleh Yehuwa. (Ams. 31:​10-13, 26-28; Ef. 5:33; 1 Tim. 5:8) Jika seseorang yang bukan Saksi menunjukkan minat terhadap mereka, mereka mematuhi nasihat Bible untuk hanya berkahwin dengan “pengikut Tuan kita.” (Baca 1 Korintus 7:39.) Mereka terus hidup berdasarkan iman kerana mereka yakin bahawa Yehuwa akan sentiasa menjaga keperluan emosi mereka.​—Mzm. 55:22.

12. Apakah yang anda belajar daripada pengalaman Rosa?

12 Perhatikan pengalaman Rosa, seorang perintis di Colombia. Disebabkan kerjanya, dia perlu sering berjumpa dengan seorang lelaki yang bukan Saksi, dan lelaki itu mula menunjukkan minat terhadapnya. Rosa pun tertarik kepada lelaki itu. Rosa berkata, “Dia lelaki yang baik. Dia buat kerja sukarela dan tidak ada tabiat buruk. Saya suka cara dia melayan saya. Saya rasa dia boleh jadi suami yang bagus. Sayangnya, dia bukan Saksi. Saya rasa susah untuk menolaknya kerana pada masa itu saya rasa sunyi dan mahu berkahwin, tetapi tiada saudara yang sesuai dalam sidang.” Namun, Rosa tidak hanya memikirkan apa yang dapat dilihatnya. Dia juga merenungkan bagaimana keputusannya akan mempengaruhi hubungannya dengan Yehuwa. Oleh itu, dia tidak lagi berjumpa dengan lelaki itu, dan dia sibuk melakukan kegiatan rohani. Tidak lama kemudian, dia dijemput untuk menghadiri Sekolah Latihan Penginjil, dan kini dia seorang perintis khas. Rosa berkata, “Yehuwa telah memberi saya sukacita yang besar.” Ada kalanya, kita mungkin perlu bergelut dengan emosi sendiri agar dapat hidup berdasarkan iman. Tetapi usaha kita pasti berbaloi.

SEMASA MENERIMA ARAHAN DARIPADA ORGANISASI KITA

13. Apakah mungkin reaksi kita semasa menerima arahan daripada organisasi kita?

13 Sering kali, kita menerima arahan daripada organisasi Yehuwa menerusi penatua di sidang, penyelia litar, pejabat cawangan, atau Badan Pimpinan. Tetapi, apakah mungkin reaksi kita jika kita tidak memahami sebabnya sesuatu arahan diberikan? Kita mungkin berfikir bahawa arahan itu hanya menyusahkan kita. Kita bahkan mungkin mula bertumpu kepada ketidaksempurnaan saudara yang memberikan arahan itu.

14. Apakah yang akan membantu kita mematuhi arahan daripada organisasi? (Ibrani 13:17)

14 Jika kita hidup berdasarkan iman, kita akan mematuhi arahan daripada organisasi Tuhan dengan segera dan rela hati. (Baca Ibrani 13:17.) Apakah yang dapat membantu kita berbuat demikian? Kita yakin bahawa Yehuwa sedang membimbing organisasi-Nya dan bahawa Dia memahami situasi kita. Kita juga ingat bahawa ketaatan kita akan menyumbang kepada perpaduan sidang. (Ef. 4:​2, 3) Selain itu, kita percaya bahawa biarpun para saudara yang mengambil pimpinan tidak sempurna, Yehuwa akan memberkati ketaatan kita. (1 Sam. 15:22) Tambahan lagi, jika ada apa-apa yang perlu dibetulkan, kita yakin bahawa Yehuwa akan bertindak pada masa yang sesuai.​—Mi. 7:7.

15-16. Apakah yang membantu seorang saudara mematuhi arahan organisasi biarpun dia berasa ragu-ragu terhadap arahan itu? (Lihat juga gambar.)

15 Perhatikan satu pengalaman yang menunjukkan manfaatnya hidup berdasarkan iman. Di Peru, kebanyakan orang memahami bahasa Sepanyol. Tetapi ramai penghuni rumah menuturkan bahasa peribumi, seperti bahasa Quechua. Pernah sekali, organisasi memberitahu saudara saudari yang berbahasa Quechua bahawa cara mereka mencari penghuni rumah yang menuturkan bahasa itu perlu diubah agar dapat memenuhi tuntutan undang-undang yang baharu. (Rm. 13:1) Sesetengah penyiar tertanya-tanya jika perubahan itu akan menyebabkan usaha mereka menjadi kurang berkesan. Namun, apabila mereka ikut arahan organisasi, Yehuwa memberkati usaha mereka, dan mereka telah menjumpai banyak orang yang berbahasa Quechua.

16 Kevin, seorang penatua dalam sidang bahasa Quechua, menjelaskan perasaannya semasa menerima arahan organisasi. Dia berkata, “Saya tertanya-tanya, ‘Jika kami ikut arahan ini, macam mana kami dapat cari orang yang berbahasa Quechua?’” Apakah yang membantu Kevin mematuhi arahan organisasi? Dia berkata, “Saya teringat Amsal 3:​5, dan saya merenungkan contoh Musa. Dia disuruh memimpin orang Israel keluar dari Mesir, tetapi ke arah yang nampaknya membuat mereka semua terperangkap. Walaupun begitu, dia mematuhi arahan dan Yehuwa melakukan mukjizat yang menakjubkan untuk memberkatinya.” (Kel. 14:​1, 2, 9-11, 21, 22) Apakah hasilnya setelah Kevin rela mematuhi arahan organisasi? Dia berkata, “Yehuwa memberkati kami dalam cara yang luar biasa. Dahulu, kami perlu berjalan sangat jauh untuk jumpa satu atau dua orang yang berbahasa Quechua. Tetapi sekarang, kami berfokus kepada kawasan penyebaran yang ada banyak orang yang berbahasa Quechua. Kami dapat berbual dengan lebih banyak orang, mempunyai lebih banyak kunjungan kembali dan pembelajaran Bible, dan hadirin di perjumpaan pun bertambah.” Jelaslah, apabila kita hidup berdasarkan iman, kita akan diberkati Yehuwa.

Seorang lelaki yang berbahasa Quechua bercakap kepada sepasang suami isteri Saksi yang sedang menginjil. Dia memberitahu mereka di mana terdapat penghuni rumah yang berbahasa Quechua.

Saudara saudari menjumpai banyak orang yang memberitahu mereka di mana terdapat penghuni rumah yang berbahasa Quechua (Lihat perenggan 15-16)


17. Apakah yang telah anda belajar daripada rencana ini?

17 Kita telah belajar cara untuk hidup berdasarkan iman dalam tiga aspek kehidupan. Tetapi, kita harus terus hidup berdasarkan iman dalam semua aspek kehidupan kita, termasuk semasa memilih hiburan atau rekreasi, dan semasa membuat keputusan tentang pendidikan dan cara membesarkan anak. Tidak kira apa keputusan yang kita buat, kita mahu memikirkan hubungan kita dengan Yehuwa, nasihat-Nya, dan janji-Nya untuk menjaga kita. Jika kita berbuat demikian, “kita akan menyandang nama Yehuwa, Tuhan kita, buat selama-lamanya.”​—Mi. 4:5.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT HIDUP BERDASARKAN IMAN . . .

  • semasa memilih pekerjaan?

  • semasa memilih pasangan hidup?

  • semasa menerima arahan daripada organisasi Tuhan?

LAGU 156 Dengan Iman

a Sesetengah nama telah diubah.

b Biarpun perenggan ini menyebut tentang saudari yang ingin berkahwin, nasihat yang sama juga boleh diterapkan oleh saudara yang ingin mencari pasangan.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi