PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 Mei ms. 2-7
  • Tirulah Teladan Para Malaikat yang Setia

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Tirulah Teladan Para Malaikat yang Setia
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • PARA MALAIKAT BERSIKAP RENDAH HATI
  • PARA MALAIKAT MENGASIHI ORANG
  • PARA MALAIKAT BERTABAH
  • PARA MALAIKAT MEMASTIKAN SIDANG TETAP BERSIH
  • Siapakah atau Apakah Itu Malaikat?
    Jawapan kepada Soalan Bible
  • Cara Malaikat Membantu Anda
    Menara Pengawal (Umum)—2017
  • Kebenaran tentang Malaikat
    Menara Pengawal (Umum)—2017
  • Pertanyaan Pembaca
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 Mei ms. 2-7

RENCANA PEMBELAJARAN 19

LAGU 6 Langit Memuliakan Tuhan

Tirulah Teladan Para Malaikat yang Setia

“Pujilah Yehuwa, hai malaikat-malaikat-Nya.”​—MZM. 103:20.

FOKUS

Apa yang dapat kita belajar daripada para malaikat yang setia.

1-2. (a) Apakah perbezaan antara kita dengan para malaikat? (b) Apakah persamaan antara kita dengan para malaikat?

SEMASA Yehuwa memimpin anda kepada kebenaran, Dia menjemput anda untuk menyertai keluarga besar-Nya yang terdiri daripada saudara saudari di serata dunia serta jutaan malaikat yang setia. (Dan. 7:​9, 10) Apabila kita berfikir tentang malaikat, kita mungkin terfikir perbezaan antara mereka dengan kita. Contohnya, para malaikat hidup jauh lebih lama daripada kita. (Ayb. 38:​4, 7) Mereka juga jauh lebih berkuasa. Selain itu, berbanding manusia yang tidak sempurna, mereka lebih suci dan dapat mematuhi Tuhan dengan sepenuhnya.—Luk. 9:26.

2 Meskipun begitu, kita ada banyak persamaan dengan para malaikat. Contohnya, seperti mereka, kita memiliki kebebasan untuk memilih dan dapat mencerminkan sifat Yehuwa. Seperti para malaikat, kita ada nama, keperibadian, dan tanggungjawab tersendiri, dan kita perlu menyembah Pencipta kita.​—1 Ptr. 1:12.

3. Apakah yang dapat kita pelajari daripada malaikat yang setia?

3 Memandangkan kita ada begitu banyak persamaan dengan para malaikat, teladan mereka dapat menggalakkan dan mengajar kita. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat meniru kerendahan hati para malaikat, kasih mereka terhadap orang, ketabahan mereka, dan usaha mereka untuk memastikan sidang tetap bersih.

PARA MALAIKAT BERSIKAP RENDAH HATI

4. (a) Bagaimanakah para malaikat menunjukkan kerendahan hati? (b) Mengapakah para malaikat rendah hati? (Mazmur 89:7)

4 Malaikat yang setia bersikap rendah hati. Walaupun mereka berpengalaman, berkuasa, dan bijak, mereka mematuhi arahan Yehuwa. (Mzm. 103:20) Semasa bertugas, mereka tidak membanggakan diri atau menunjuk-nunjuk kuasa mereka. Mereka melakukan kehendak Tuhan dengan gembira biarpun orang tidak tahu nama mereka.a (Kej. 32:​24, 29; 2 Raj. 19:35) Mereka juga enggan menerima pujian yang sepatutnya ditujukan kepada Yehuwa. Mengapakah para malaikat begitu rendah hati? Kerana mereka mengasihi Yehuwa dan sangat menghormati-Nya.​—Baca Mazmur 89:7.

5. Bagaimanakah satu malaikat menunjukkan kerendahan hati semasa membetulkan Yohanes? (Lihat juga gambar.)

5 Perhatikan satu contoh yang menunjukkan bahawa malaikat bersikap rendah hati. Sekitar tahun 96 M, satu malaikat yang namanya tidak diketahui menunjukkan satu penglihatan yang menakjubkan kepada Rasul Yohanes. (Why. 1:1) Apakah reaksi Yohanes? Dia cuba menyembah malaikat itu. Namun, malaikat itu segera menghalangnya dan berkata, “Berhati-hatilah! Jangan buat begitu! Sembahlah Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba seperti kamu.” (Why. 19:10) Malaikat itu sangat rendah hati. Dia tidak ingin dipuji dan disanjung. Sebaliknya, dia segera mengingatkan Yohanes untuk menyembah Yehuwa. Pada masa yang sama, malaikat itu tidak memandang rendah terhadap Yohanes. Walaupun dia sudah lama menyembah Yehuwa dan lebih berkuasa daripada Yohanes, dia berkata bahawa dia hanyalah seorang hamba seperti Yohanes. Selain itu, biarpun malaikat tersebut perlu membetulkan Yohanes, dia tidak memarahi Yohanes atau bersikap kasar kepadanya. Sebaliknya, dia bercakap kepada Yohanes dengan lembut. Barangkali dia sedar bahawa Yohanes sujud kepadanya kerana terlalu kagum dengan penglihatan itu.

Satu malaikat menghalang Rasul Yohanes daripada sujud menyembahnya.

Malaikat yang menasihati Yohanes bersikap rendah hati (Lihat perenggan 5)


6. Bagaimanakah kita dapat meniru kerendahan hati para malaikat?

6 Bagaimanakah kita dapat meniru kerendahan hati para malaikat? Kita juga mahu menjalankan tugas tanpa membanggakan diri atau menunjuk-nunjuk. (1 Kor. 4:7) Selain itu, jika kita sudah lama menyembah Yehuwa atau diberi tanggungjawab penting, kita tidak patut memandang rendah terhadap orang lain. Sebaliknya, semakin banyak tanggungjawab kita, kita harus semakin rendah hati, bagaikan padi yang makin berisi, makin tunduk. (Luk. 9:48) Seperti para malaikat, fokus kita ialah berkhidmat untuk orang lain, bukannya menonjolkan diri.

7. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kerendahan hati semasa menasihati seseorang?

7 Kita juga dapat menunjukkan kerendahan hati semasa menasihati rakan seiman atau anak kita. Ada kalanya, kita perlu memberikan nasihat secara terus terang. Tetapi seperti malaikat yang membetulkan Yohanes, kita dapat melakukannya tanpa membuat orang itu berasa dirinya tidak berguna. Jika kita tidak menganggap diri lebih baik daripada orang lain, kita dapat memberikan nasihat daripada Bible dengan cara yang hormat dan pengasih.​—Kol. 4:6.

PARA MALAIKAT MENGASIHI ORANG

8. (a) Menurut Lukas 15:​10, bagaimanakah para malaikat menunjukkan kasih kepada orang? (b) Apakah peranan para malaikat dalam kerja penyebaran? (Lihat juga gambar.)

8 Para malaikat tidak menganggap manusia kurang penting. Sebaliknya, mereka mengasihi dan mengambil berat terhadap manusia. Mereka bersukacita apabila seorang pendosa, iaitu biri-biri yang sesat, bertaubat dan kembali kepada Yehuwa. Mereka juga gembira semasa seseorang mengubah haluan hidupnya dan menerima kebenaran. (Baca Lukas 15:10.) Selain itu, para malaikat terlibat dalam kerja penyebaran secara giat. (Why. 14:6) Walaupun mereka tidak menginjil kepada orang, mereka mungkin memimpin seorang penyiar kepada seseorang yang ingin belajar tentang Yehuwa. Namun, kita tidak dapat berkata dengan pasti bahawa setiap kali kita berjumpa dengan orang yang berminat, hal itu merupakan bimbingan malaikat. Mengapa? Kerana Yehuwa juga dapat menggunakan cara lain, seperti kuasa suci-Nya, untuk membantu orang yang berminat atau membimbing umat-Nya. (Kis. 16:​6, 7) Tetapi memandangkan Yehuwa sering menggunakan para malaikat dalam kerja penyebaran, kita dapat yakin bahawa semasa kita menginjil, para malaikat sedang menyokong kita.​—Lihat kotak “Doa Mereka Dijawab.”

Sepasang suami isteri berjalan sambil membawa rak kesaksian mudah alih di bandar. Dua malaikat di atas membimbing saudari itu untuk memperhatikan seorang wanita muda yang sedang duduk di bangku dengan sedih.

Sepasang suami isteri baru sahaja selesai menjalankan kesaksian awam. Dalam perjalanan pulang, saudari itu nampak seorang wanita yang kelihatan sedih. Saudari itu sedar bahawa malaikat dapat membimbing kita kepada orang yang memerlukan bantuan rohani. Maka dia terdorong untuk bercakap kepada wanita itu (Lihat perenggan 8)


Doa Mereka Dijawab

Dalam beberapa pengalaman berikut, mungkinkah Yehuwa menggunakan malaikat-Nya untuk menjawab doa orang?

  • Semasa melakukan kesaksian menerusi telefon bersama ibunya, seorang gadis yang berumur 12 tahun di Peru bercakap kepada seorang wanita. Wanita itu telah meminta Tuhan mengutus seseorang untuk membantunya. Jadi dia rasa Tuhan telah menjawab doanya. Dia mula belajar Bible dan menghadiri perjumpaan tidak lama selepas itu.

  • Seorang wanita dari Romania belajar Bible untuk seketika tetapi kemudian berhenti. Semasa dia bekerja untuk sebuah keluarga di Itali, dia ingin belajar Bible lagi, tetapi dia tidak kenal Saksi di situ. Jadi dia berdoa kepada Yehuwa meminta tolong. Tidak lama kemudian, keluarga itu menyuruhnya membeli barang di kedai. Mereka menasihatinya agar jangan berbual dengan pemilik kedai itu. Mereka berkata, “Lelaki itu Saksi-Saksi Yehuwa, dan dia suka bercakap dengan pelanggan tentang Bible.” Itulah yang berlaku. Pemilik kedai itu telah memberikan kesaksian kepada wanita tersebut, dan wanita itu rasa doanya telah dijawab. Dia terus belajar Bible dan membuat kemajuan rohani. Teladannya telah menggerakkan seorang anak lelakinya untuk belajar Bible dan menghadiri perjumpaan.

  • Sepasang Saksi membuat keputusan untuk menjual kereta mereka. Apabila sepasang suami isteri datang untuk melihat kereta mereka, pasangan Saksi itu menjelaskan bahawa mereka sedang menyederhanakan hidup agar dapat meluangkan lebih banyak masa untuk membantu orang memahami Bible. Suami pasangan yang datang untuk melihat kereta itu berkata, “Baru kelmarin saya berdoa, ‘Ya Tuhan, hantarlah seseorang untuk membantu saya. Saya rasa hidup saya tidak bermakna, dan saya perlu cari kebenaran.’” Dia menganggap pertemuan mereka ialah jawapan kepada doanya. Maka dia dan isterinya menerima pembelajaran Bible, dan dua orang anak perempuan mereka yang kecil juga mula belajar Bible. Kini, mereka sekeluarga menghadiri perjumpaan.

9. Bagaimanakah kita dapat meniru kasih para malaikat terhadap orang?

9 Bagaimanakah kita dapat meniru kasih para malaikat terhadap orang? Semasa kita mendengar pengumuman bahawa seseorang yang dikeluarkan telah diterima kembali ke dalam sidang, kita turut bersukacita seperti para malaikat. Kita ingin meyakinkan orang itu bahawa kita mengasihinya dan bahawa kita gembira dia sudah kembali. (Luk. 15:​4-7; 2 Kor. 2:​6-8) Kita juga dapat meniru para malaikat dengan bergiat sepenuhnya dalam kerja penyebaran. (Pkh. 11:6) Sepertimana para malaikat menyokong kita semasa kita menginjil, kita pun mahu mencari peluang untuk menyokong saudara saudari kita semasa mereka menginjil. Contohnya, kita boleh merancang untuk bekerja bersama penyiar yang kurang pengalaman. Selain itu, kita boleh membantu rakan seiman yang lanjut usia atau yang sakit supaya mereka pun dapat menyertai kerja penyebaran.

10. Apakah yang kita pelajari daripada pengalaman Sara?

10 Bagaimana pula jika keadaan kita mengehadkan apa yang dapat kita lakukan dalam kerja penyebaran? Kita masih dapat menginjil bersama para malaikat. Fikirkan pengalaman Sara,b seorang saudari di India. Selepas merintis selama kira-kira 20 tahun, Sara jatuh sakit dan terlantar di katil. Pada mulanya, dia sangat tawar hati. Tetapi dengan sentiasa membaca Bible dan mendapat sokongan daripada saudara saudari yang pengasih, Sara mendapat kembali sukacitanya. Sudah pasti, dia perlu mengubah cara dia meneruskan khidmatnya sebagai perintis. Memandangkan dia tidak dapat bangun dari katil, dia hanya dapat memberikan kesaksian menerusi telefon. Dia menelefon kunjungan kembalinya, dan mereka memperkenalkan orang lain yang mungkin berminat untuk belajar Bible. Apakah hasilnya? Dalam beberapa bulan, Sara memulakan 70 pembelajaran Bible! Dia tidak dapat mengendalikan semuanya. Jadi dia menyerahkan beberapa pelajar kepada saudara saudari di sidang. Ramai daripada pelajar itu kini menghadiri perjumpaan. Para malaikat pasti sangat gembira kerana dapat bekerja bersama saudara saudari seperti Sara!

PARA MALAIKAT BERTABAH

11. Bagaimanakah para malaikat yang setia menunjukkan ketabahan yang luar biasa?

11 Para malaikat yang setia menunjukkan ketabahan yang luar biasa. Mereka perlu berdepan dengan ketidakadilan dan kejahatan selama ribuan tahun. Mereka nampak Syaitan dan makhluk roh yang lain memberontak terhadap Yehuwa biarpun dahulu mereka semua menyembah Yehuwa bersama-sama. (Kej. 3:1; 6:​1, 2; Yud. 6) Bible juga memberitahu kita tentang satu malaikat yang setia, yang menghadapi tentangan daripada roh jahat yang berkuasa. (Dan. 10:13) Selain itu, sepanjang sejarah manusia, para malaikat nampak kebanyakan manusia menolak ibadat sejati. Biarpun menghadapi cabaran sebegini, para malaikat yang setia terus menyembah Yehuwa dengan sukacita dan bersemangat. Mereka tahu bahawa pada masa yang ditetapkan oleh Tuhan, Dia akan menyingkirkan semua ketidakadilan.

12. Apakah yang dapat membantu kita bertabah?

12 Bagaimanakah kita dapat meniru ketabahan para malaikat? Seperti para malaikat, kita mungkin melihat ketidakadilan berlaku. Namun seperti mereka, kita yakin bahawa Tuhan akan melenyapkan semua kejahatan pada masa yang sesuai. Maka kita mahu ‘terus berbuat baik tanpa berputus asa.’ (Gal. 6:9) Tuhan juga berjanji untuk membantu kita bertabah. (1 Kor. 10:13) Maka kita boleh berdoa untuk meminta kuasa suci Yehuwa, yang membantu kita bersabar dan bersukacita. (Gal. 5:22; Kol. 1:11) Bagaimana pula jika anda menghadapi tentangan? Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuhnya, dan janganlah takut. Yehuwa akan sentiasa menyokong dan menguatkan anda.​—Ibr. 13:6.

PARA MALAIKAT MEMASTIKAN SIDANG TETAP BERSIH

13. Apakah kerja yang dilakukan oleh para malaikat pada hari-hari terakhir? (Matius 13:​47-49)

13 Sepanjang hari-hari terakhir, kerja penyebaran telah menarik minat jutaan orang daripada pelbagai latar belakang. (Baca Matius 13:​47-49.) Ada antara mereka yang membuat perubahan agar dapat hidup selaras dengan standard Yehuwa, tetapi ada juga yang tidak. Maka Yehuwa memberi para malaikat kerja untuk “memisahkan orang jahat daripada orang baik.” Maksudnya, mereka perlu memastikan sidang tetap bersih. Namun, hal ini tidak bermaksud orang yang berhenti bergaul dengan kita tidak mungkin kembali ke dalam sidang, atau bahawa masalah tidak akan berlaku dalam sidang. Meskipun demikian, kita yakin bahawa para malaikat sedang bekerja keras untuk memastikan sidang tetap bersih.

14-15. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan para malaikat yang memastikan sidang tetap bersih? (Lihat juga gambar.)

14 Bagaimanakah kita dapat meniru teladan para malaikat yang memastikan sidang tetap bersih? Terdapat dua cara. Pertama, jagalah hubungan kita sendiri dengan Yehuwa. Contohnya, kita melindungi hati kita dengan memilih pergaulan yang baik dan menjauhi apa sahaja yang dapat merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa. (Mzm. 101:3) Kedua, bantulah rakan seiman untuk tetap setia kepada Yehuwa. Contohnya, jika kita mendapat tahu bahawa seorang rakan seiman telah melakukan dosa yang serius, kita akan menggesanya untuk meminta bantuan penatua. Jika dia enggan berbuat demikian, kita sendiri akan memberitahu para penatua tentang hal itu. Mengapa? Kerana kita mengasihinya dan ingin dia mendapat bantuan dengan serta-merta!​—Yak. 5:​14, 15.

15 Sedihnya, sesetengah orang yang melakukan dosa yang serius perlu dikeluarkan dari sidang. Jika hal itu berlaku, kita “tidak lagi bergaul” dengan mereka.c (1 Kor. 5:​9-13) Aturan ini memastikan sidang tetap bersih. Selain itu, jika kita tidak bergaul dengan orang yang dikeluarkan dari sidang, kita sebenarnya menunjukkan kasih, kerana hal itu mungkin membantu mereka sedar bahawa mereka perlu kembali kepada Yehuwa. Apabila mereka insaf dan kembali, kita akan bersukacita bersama Yehuwa dan para malaikat.​—Luk. 15:7.

Kolaj: 1. Dua orang saudari duduk di bangku di taman sambil meminum kopi. Salah seorang saudari sedang bercakap, tetapi yang seorang lagi memandang ke arah lain. 2. Kemudian, saudari yang sedang bercakap itu berjumpa dengan dua orang penatua di Dewan Perjumpaan.

Apakah yang harus kita lakukan jika kita mendapat tahu bahawa rakan seiman kita telah melakukan dosa yang serius? (Lihat perenggan 14)d


16. Apakah sifat-sifat para malaikat yang ingin anda tiru?

16 Kita sangat berbesar hati kerana Yehuwa mengajar kita tentang para malaikat dan memberi kita penghormatan untuk bekerja bersama mereka! Semoga kita meniru sifat para malaikat yang rendah hati, mengasihi manusia, tabah, dan yang memastikan sidang tetap bersih secara moral dan rohani. Dengan itu, kita dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Yehuwa buat selama-lamanya.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MENIRU PARA MALAIKAT YANG . . .

  • bersikap rendah hati?

  • mengasihi orang?

  • berusaha memastikan sidang tetap bersih?

LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia

a Biarpun terdapat berbilion-bilion malaikat di syurga, Bible hanya memberitahu kita nama dua malaikat, iaitu Mikhael dan Gabriel.​—Dan. 12:1; Luk. 1:19.

b Nama telah diubah.

c Seperti yang dijelaskan dalam Berita Terkini Badan Pimpinan 2024 #2, jika seseorang yang dikeluarkan dari sidang datang ke perjumpaan, para penyiar boleh menggunakan hati nurani yang dilatih Bible untuk membuat keputusan sama ada mahu memberinya salam yang ringkas dan mengalu-alukannya atau tidak.

d KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari menggesa kawannya untuk meminta bantuan penatua. Beberapa lama kemudian, kawannya tidak berjumpa dengan para penatua, maka saudari itu memberitahu mereka apa yang berlaku.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi