PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 Mei ms. 14-19
  • Carilah “Kota yang Kekal”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Carilah “Kota yang Kekal”
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • PERCAYALAH KEPADA TUHAN YANG TIDAK AKAN MENINGGALKAN ANDA
  • PATUHI MEREKA YANG MENGAMBIL PIMPINAN
  • TUNJUKKAN KASIH DAN BERSIKAP MURAH HATI
  • MENANTIKAN MASA DEPAN
  • Sepucuk Surat yang Dapat Membantu Kita Bertabah sampai Akhir
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Bergantung pada Yehuwa semasa Membuat Keputusan
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2023
  • Akuilah bahawa Kita Tidak Mengetahui Segala-Galanya
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Mendekati Satu Sama Lain Baik untuk Kita!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 Mei ms. 14-19

RENCANA PEMBELAJARAN 21

LAGU 21 Terus Mengutamakan Kerajaan Yehuwa

Carilah “Kota yang Kekal”

“Kita mencari dengan bersungguh-sungguh kota yang akan datang.”​—IBR. 13:14.

FOKUS

Bagaimana Ibrani bab 13 dapat membantu kita sekarang dan pada masa depan.

1. Menurut Yesus, apakah yang akan berlaku kepada kota Yerusalem?

BEBERAPA hari sebelum Yesus meninggal, dia memberitahu murid-muridnya apa yang akan berlaku kepada kota Yerusalem. Dia berkata bahawa Yerusalem akan “dikepung oleh tentera.” (Luk. 21:20) Sebaik sahaja murid-muridnya melihat hal itu berlaku, mereka harus segera meninggalkan Yudea.​—Luk. 21:​21, 22.

2. Apakah nasihat Rasul Paulus kepada orang Kristian yang tinggal di Yudea dan Yerusalem?

2 Beberapa tahun sebelum tentera Roma mengepung Yerusalem, Rasul Paulus menulis sepucuk surat kepada orang Kristian di Yudea dan Yerusalem. Surat itu kemudiannya menjadi buku Ibrani dalam Bible. Nasihat Paulus telah membantu mereka terselamat semasa Yerusalem dibinasakan. Apakah yang perlu mereka lakukan? Paulus menasihati mereka agar bersedia untuk meninggalkan rumah, harta, dan perniagaan mereka. Paulus mengingatkan mereka, “Di sini [Yerusalem] kita tidak mempunyai kota yang kekal.” Kemudian dia menambah, “Kita mencari dengan bersungguh-sungguh kota yang akan datang.”​—Ibr. 13:14.

3. Apakah itu “kota yang mempunyai asas yang kukuh,” dan mengapakah kita mencarinya?

3 Semasa orang Kristian membuat keputusan untuk meninggalkan Yerusalem dan Yudea, barangkali banyak orang telah mentertawakan mereka. Tetapi keputusan itu telah menyelamatkan nyawa mereka. Hari ini, orang kata kita bodoh kerana kita tidak mencari kesenangan hidup atau bergantung pada manusia untuk menyelesaikan masalah dunia. Namun, kita membuat keputusan ini kerana kita tahu sistem dunia ini hanyalah sementara. Kita mencari “kota yang mempunyai asas yang kukuh,” iaitu Kerajaan Tuhan. (Ibr. 11:10; Mat. 6:33) Dalam rencana ini, setiap tajuk kecil akan membincangkan bagaimana nasihat Paulus (1) membantu orang Kristian pada abad pertama untuk mencari “kota yang akan datang,” (2) membantu mereka bersedia melarikan diri, dan (3) membantu kita hari ini.

PERCAYALAH KEPADA TUHAN YANG TIDAK AKAN MENINGGALKAN ANDA

4. Mengapakah Yerusalem dekat di hati orang Kristian?

4 Yerusalem dekat di hati orang Kristian atas banyak sebab. Sidang Kristian yang pertama ditubuhkan di situ pada tahun 33 M, dan para saudara yang menganggotai badan pimpinan juga tinggal di situ. Tambahan lagi, banyak orang Kristian memiliki rumah dan harta di Yerusalem. Namun, Yesus telah mengingatkan mereka bahawa mereka perlu meninggalkan Yerusalem dan bahkan kawasan Yudea.—Mat. 24:16.

5. Bagaimanakah Paulus membantu orang Kristian bersedia untuk melarikan diri?

5 Untuk membantu orang Kristian bersedia melarikan diri, Paulus menjelaskan pandangan Yehuwa terhadap kota Yerusalem. Paulus mengingatkan mereka bahawa Yehuwa tidak lagi senang hati dengan Rumah Tuhan, aturan imam, dan korban-korban yang dipersembahkan di Yerusalem. (Ibr. 8:13) Oleh sebab kebanyakan penduduk Yerusalem telah menolak Mesias, Rumah Tuhan di situ bukan lagi pusat ibadat sejati dan akan dibinasakan.​—Luk. 13:​34, 35.

6. Mengapakah nasihat Paulus di Ibrani 13:​5, 6 diberikan tepat pada waktunya?

6 Semasa Paulus menulis suratnya, Yerusalem merupakan kota yang makmur. Seorang penulis dari Roma pada abad pertama menggambarkan Yerusalem sebagai “kota yang termasyhur di kawasan itu.” Setiap tahun, orang Yahudi dari banyak tempat datang ke Yerusalem untuk menyambut perayaan. Mereka membelanjakan banyak wang di situ, justeru menyumbang kepada ekonomi di situ. Situasi itu pasti membawa keuntungan kepada sesetengah orang Kristian. Barangkali itulah sebabnya Paulus mengingatkan mereka, “Hendaklah cara hidup kamu bebas daripada cinta akan wang. Sebaliknya hendaklah kamu berpuas hati dengan apa yang kamu miliki.” Kemudian, dia memetik ayat Bible yang mengandungi jaminan daripada Yehuwa, “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” (Baca Ibrani 13:​5, 6; Ul. 31:6; Mzm. 118:6) Mengapakah nasihat ini diberikan tepat pada masanya? Tidak lama selepas menerima surat Paulus, orang Kristian di Yerusalem dan Yudea terpaksa meninggalkan rumah, perniagaan, dan kebanyakan harta mereka. Selepas itu, mereka perlu membiasakan diri dengan kehidupan di tempat baharu.

7. Mengapakah kita harus menguatkan kepercayaan kepada Yehuwa sekarang?

7 Pengajarannya: Tidak lama lagi, “kesengsaraan besar” akan bermula dan sistem dunia yang jahat ini akan dimusnahkan. (Mat. 24:21) Seperti orang Kristian pada abad pertama, kita harus berjaga-jaga dan tetap bersedia. (Luk. 21:​34-36) Semasa kesengsaraan besar, kita mungkin perlu meninggalkan harta milik kita. Pada masa itu, kita harus percaya sepenuhnya bahawa Yehuwa tidak akan meninggalkan kita. Bahkan sebelum kesengsaraan besar bermula, kita berpeluang untuk menunjukkan sama ada kita percaya kepada Yehuwa atau tidak. Tanyalah diri, “Adakah keputusan dan matlamat hidup saya menunjukkan saya percaya kepada Yehuwa atau kepada kekayaan?” (1 Tim. 6:17) Apa yang berlaku kepada orang Kristian abad pertama memang mengandungi pengajaran yang penting bagi kita. Tetapi memandangkan “kesengsaraan besar” akan jauh lebih dahsyat, bagaimanakah kita akan tahu apa yang perlu kita lakukan pada masa itu?

PATUHI MEREKA YANG MENGAMBIL PIMPINAN

8. Apakah arahan Yesus kepada murid-muridnya?

8 Beberapa tahun selepas menerima surat Paulus, orang Kristian berbangsa Ibrani melihat tentera Roma mengepung Yerusalem. Mereka tahu bahawa itulah masanya untuk melarikan diri kerana Yerusalem akan dibinasakan. (Mat. 24:3; Luk. 21:​20, 24) Namun mereka harus lari ke mana? Yesus hanya berkata, “Hendaklah mereka yang berada di Yudea melarikan diri ke kawasan pergunungan.” (Luk. 21:21) Ada begitu banyak gunung di sekeliling Yerusalem. Jadi mereka harus lari ke gunung yang mana?

9. Apakah yang mungkin membuat orang Kristian bingung? (Lihat juga peta.)

9 Seperti yang dinyatakan, di sekeliling Yerusalem ada banyak gunung. Contohnya gunung di Samaria, gunung di Galilea, gunung di Lebanon, Gunung Hermon, serta kawasan pergunungan di seberang Sungai Yordan. (Lihat peta.) Sesetengah kota di kawasan pergunungan yang disebut tadi nampaknya selamat. Sebagai contoh, kota Gamla terletak di gunung yang tinggi dan sangat susah untuk pergi ke situ. Jadi sesetengah orang Yahudi menganggap tempat itu sesuai. Tetapi di situlah peperangan yang sengit berlaku antara orang Yahudi dengan orang Roma, dan banyak penduduk di situ dibunuh.a

Peta yang menunjukkan beberapa gunung dan kota di Israel pada abad pertama. Di utara Yerusalem terdapat kawasan pergunungan Lebanon, Galilea, Samaria, dan Gilead, serta Gunung Hermon dan Gunung Tabor. Kota-kota di utara Yerusalem ialah Gamla, Kaisarea, dan Pella. Di selatan Yerusalem terdapat kawasan pergunungan Yudea dan Abarim, serta kota Masada. Peta juga menunjukkan perjalanan tentera Roma dan kawasan yang ditawan mereka antara tahun 67 M hingga 73 M.

Ada banyak kawasan pergunungan di sekeliling Yerusalem, tetapi bukan semuanya selamat (Lihat perenggan 9)


10-11. (a) Kemungkinan besar, bagaimanakah Yehuwa telah memberikan arahan kepada umat-Nya? (Ibrani 13:​7, 17) (b) Apakah manfaatnya apabila orang Kristian mematuhi mereka yang mengambil pimpinan? (Lihat juga gambar.)

10 Nampaknya, Yehuwa memberikan arahan kepada umat-Nya menerusi mereka yang mengambil pimpinan dalam sidang. Eusebius, seorang sejarawan menulis, “Tuhan telah memberikan arahan kepada lelaki tertentu dan mereka menyampaikannya kepada sidang di Yerusalem. Orang Kristian disuruh . . . meninggalkan Yerusalem sebelum perang tercetus dan menetap di Pella, sebuah kota di Perea.” Mengapakah Pella merupakan tempat perlindungan yang sangat sesuai? Kota itu tidak jauh dari Yerusalem dan perjalanan ke situ pun tidak susah. Lagipun, kebanyakan penduduk di situ bukan orang Yahudi. Jadi mereka tidak menyokong pejuang Yahudi yang ingin melawan tentera Roma.​—Lihat peta.

11 Orang Kristian yang mengikut nasihat Paulus untuk ‘mematuhi mereka yang mengambil pimpinan’ telah melarikan diri ke kawasan pergunungan. (Baca Ibrani 13:​7, 17.) Hasilnya mereka terselamat. Oleh sebab mereka menantikan “kota yang mempunyai asas yang kukuh,” iaitu Kerajaan Tuhan, Tuhan tidak meninggalkan mereka.​—Ibr. 11:10.

Sekumpulan orang Kristian abad pertama berjalan di kawasan pergunungan sambil membawa harta milik mereka.

Pella merupakan tempat yang selamat dan sesuai (Lihat perenggan 10-11)


12-13. Bagaimanakah Yehuwa membimbing umat-Nya pada masa yang susah?

12 Pengajarannya: Yehuwa menggunakan mereka yang mengambil pimpinan untuk memberikan arahan yang spesifik kepada umat-Nya. Terdapat banyak contoh dalam Bible yang menunjukkan bagaimana Yehuwa telah melantik gembala untuk membimbing umat-Nya pada masa yang susah. (Ul. 31:23; Mzm. 77:20) Hari ini pun kita ada banyak bukti yang menunjukkan bahawa Yehuwa terus berbuat demikian.

13 Sebagai contoh, semasa pandemik COVID-19, “mereka yang mengambil pimpinan” telah memberi kita arahan yang diperlukan. Para penatua menerima arahan tentang cara untuk mengadakan perjumpaan dan terus menjalankan ibadat kita. Tidak lama selepas pandemik bermula, kita telah mengadakan konvensyen bersejarah melalui Internet, TV, dan radio dalam lebih daripada 500 bahasa. Sepanjang pandemik, kita terus menerima makanan rohani, dan hasilnya kita tetap bersatu padu. Kita dapat yakin bahawa tidak kira apa cabaran yang kita hadapi pada masa depan, Yehuwa akan terus menggunakan mereka yang mengambil pimpinan untuk memberi kita arahan yang diperlukan. Selain mempercayai Yehuwa dan mematuhi arahan-Nya, apakah sifat-sifat lain yang dapat membantu kita menghadapi kesengsaraan besar dan bertindak dengan bijak?

TUNJUKKAN KASIH DAN BERSIKAP MURAH HATI

14. Menurut Ibrani 13:​1-3, apakah sifat-sifat yang diperlukan oleh orang Kristian sebelum Yerusalem dibinasakan?

14 Orang Kristian di Yerusalem dan Yudea memang sudah menunjukkan kasih kepada satu sama lain. (Ibr. 10:​32-34) Namun, beberapa tahun sebelum Yerusalem dibinasakan, mereka perlu lebih berusaha untuk “saling mengasihi” dan bersikap murah hati. (Baca Ibrani 13:​1-3.) Itulah yang juga perlu kita lakukan seraya kesengsaraan besar semakin dekat.

15. Mengapakah orang Kristian berbangsa Ibrani perlu menunjukkan kasih dan bersikap murah hati selepas mereka melarikan diri?

15 Semasa tentera Roma yang mengepung Yerusalem tiba-tiba berundur, orang Kristian yang melarikan diri sempat membawa beberapa barang sahaja. (Mat. 24:​17, 18) Maka mereka perlu bergantung pada satu sama lain semasa membuat perjalanan ke kawasan pergunungan dan memulakan kehidupan baharu di sana. Dari masa ke masa, “keperluan yang mendesak” pasti telah timbul, dan ini memberi mereka peluang untuk mengongsi apa yang mereka miliki dan menyokong satu sama lain. (Tit. 3:14) Dengan berbuat demikian, mereka sedang menunjukkan kasih dan bersikap murah hati.

16. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kepada rakan seiman yang memerlukan bantuan? (Lihat juga gambar.)

16 Pengajarannya: Kasih mendorong kita untuk menyokong rakan seiman yang memerlukan bantuan. Ramai antara umat Tuhan sudi menjaga keperluan rohani dan fizikal rakan seiman yang perlu melarikan diri akibat perang atau bencana alam. Seorang saudari dari Ukraine yang terpaksa meninggalkan rumahnya akibat perang berkata, “Kami rasai bimbingan dan bantuan Yehuwa melalui saudara saudari kami. Mereka mengalu-alukan dan membantu kami dengan baik sekali di Ukraine, kemudian di Hungary, dan sekarang di Jerman.” Kita menjadi rakan sekerja Yehuwa apabila kita menunjukkan kemurahan hati kepada rakan seiman yang memerlukan bantuan.​—Ams. 19:17; 2 Kor. 1:​3, 4.

Sepasang suami isteri yang tua berdiri di hadapan rumah mereka dan menyambut sebuah keluarga yang perlu melarikan diri. Keluarga itu membawa sebuah beg troli dan beberapa beg.

Rakan seiman yang melarikan diri memerlukan sokongan kita (Lihat perenggan 16)


17. Mengapakah penting untuk menunjukkan kasih dan bersikap murah hati sekarang?

17 Semasa kesengsaraan besar nanti, kita akan menghadapi cabaran yang jauh lebih besar. (Hab. 3:​16-18) Maka sekaranglah masanya kita dilatih oleh Yehuwa untuk menunjukkan kasih dan bersikap murah hati kerana sifat-sifat ini akan sangat diperlukan pada masa itu.

MENANTIKAN MASA DEPAN

18. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan orang Kristian di Yerusalem?

18 Orang Kristian di Yerusalem terselamat kerana mereka mematuhi arahan untuk melarikan diri ke kawasan pergunungan. Mereka perlu meninggalkan kota Yerusalem, tetapi Yehuwa tidak pernah meninggalkan mereka. Bagaimana pula dengan kita? Kita tidak tahu secara terperinci apa yang akan berlaku pada masa depan. Namun Yesus sudah mengingatkan kita agar sentiasa bersedia. (Luk. 12:40) Kita juga dapat menerapkan nasihat Paulus yang tercatat dalam buku Ibrani. Selain itu, Yehuwa sudah menjamin bahawa Dia sama sekali tidak akan meninggalkan kita atau mengabaikan kita. (Ibr. 13:​5, 6) Maka, marilah kita terus menantikan Kerajaan Tuhan, iaitu kota yang kekal itu dan yang akan membawa berkat buat selama-lamanya.​—Mat. 25:34.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Mengapakah kita harus menguatkan kepercayaan kita kepada Yehuwa sekarang?

  • Mengapakah kepatuhan penting semasa “kesengsaraan besar”?

  • Mengapakah penting untuk menunjukkan kasih dan bersikap murah hati sekarang?

LAGU 157 Damai Akhirnya!

a Perang ini berlaku pada tahun 67 M, tidak lama selepas orang Kristian melarikan diri dari Yudea dan Yerusalem.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi