RENCANA PEMBELAJARAN 24
LAGU 98 Bible—Diilhami oleh Tuhan
Pengajaran daripada Kata-Kata Terakhir Yakub—Bahagian 1
“Berkumpullah di sini. Aku hendak memberitahu kamu apa yang akan berlaku kepada kamu pada kemudian hari.”—KEJ. 49:1.
FOKUS
Pengajaran daripada nubuat Yakub mengenai Ruben, Simeon, Lewi, dan Yehuda.
1-2. Apakah yang Yakub lakukan tidak lama sebelum dia meninggal, dan mengapa? (Lihat juga gambar.)
KIRA-KIRA 17 tahun telah berlalu semenjak Yakub membuat perjalanan dari Kanaan ke Mesir bersama keluarganya. (Kej. 47:28) Di Mesir, Yakub sangat gembira kerana dapat berjumpa semula dengan anak kesayangannya Yusuf. Akhirnya, dia dapat tinggal bersama semua anak-anak lelakinya. Tetapi sekarang, Yakub sedar bahawa tidak lama lagi dia akan meninggal. Maka dia menyuruh semua anak lelakinya berkumpul kerana dia ada sesuatu yang penting untuk memberitahu mereka.—Kej. 49:28.
2 Pada zaman Bible, sebelum seorang ketua keluarga meninggal, biasanya dia akan mengumpulkan semua ahli keluarganya untuk menyampaikan pesanan terakhirnya. (Yes. 38:1) Dia juga mungkin menyatakan siapa yang akan menggantikannya sebagai ketua keluarga selepas kematiannya.
Sebelum Yakub mati, dia menyuruh 12 orang anak lelakinya untuk berkumpul. Sambil berbaring di katil, dia menyampaikan kata-kata terakhirnya kepada mereka (Lihat perenggan 1-2)
3. Menurut Kejadian 49:1, 2, mengapakah pesanan terakhir Yakub sangat istimewa?
3 Baca Kejadian 49:1, 2. Yakub ialah seorang nabi, dan semasa pertemuan itu, Yehuwa telah mengilhami Yakub untuk bercakap tentang peristiwa masa depan yang akan mempengaruhi keturunannya. Jadi boleh dikatakan pesanan terakhir Yakub ialah sebuah nubuat.
4. Apakah yang akan kita belajar daripada nubuat Yakub? (Lihat juga kotak “Keluarga Yakub.”)
4 Rencana ini akan membincangkan kata-kata Yakub kepada Ruben, Simeon, Lewi, dan Yehuda. Rencana berikutnya akan membincangkan kata-kata Yakub kepada lapan orang anaknya yang lain. Kita akan mendapati bahawa nubuat Yakub bukan hanya tentang anak-anak lelakinya, tetapi juga tentang keturunan mereka yang akhirnya akan membentuk bangsa Israel. Kita akan belajar bagaimana nubuat Yakub telah menjadi kenyataan dan bagaimana nubuatnya mengajar kita cara untuk menyenangkan hati Yehuwa.
RUBEN
5. Apakah yang mungkin Ruben harapkan daripada bapanya?
5 Mula-mula, Yakub bercakap kepada Ruben. Dia berkata, “Kamulah anak sulungku.” (Kej. 49:3) Sebagai anak sulung, barangkali Ruben berharap untuk mewarisi harta dua kali ganda lebih banyak berbanding adik-adiknya. Dia juga mungkin berharap untuk menjadi ketua keluarga selepas bapanya meninggal dan mewariskan kedudukan itu kepada keturunannya.
6. Mengapakah Ruben kehilangan haknya sebagai anak sulung? (Kejadian 49:3, 4)
6 Namun, Ruben kehilangan haknya sebagai anak sulung. (1 Taw. 5:1) Tidak lama selepas kematian Rahel, iaitu isteri kesayangan Yakub, Ruben telah meniduri Bilha, iaitu hamba perempuan Rahel yang merupakan gundik Yakub. (Kej. 35:19, 22) Mengapakah Ruben berbuat begitu? Lea, iaitu ibu Ruben, ialah kakak kepada Rahel, jadi Ruben mungkin meniduri Bilha supaya bapanya Yakub berasa jijik terhadap Bilha dan lebih menyayangi ibunya Lea. Atau Ruben mungkin meniduri Bilha kerana dia tertarik kepada Bilha dan tidak dapat menahan nafsunya. Tidak kira apa sebabnya, Yehuwa dan Yakub tidak senang hati dengan perbuatan Ruben.—Baca Kejadian 49:3, 4.
7. Apakah yang berlaku kepada Ruben dan keturunannya? (Lihat juga kotak “Nubuat Yakub.”)
7 Yakub memberitahu Ruben, “Kamu tidak akan menjadi yang terutama.” Tiada catatan Bible yang menunjukkan bahawa keturunan Ruben pernah menjadi raja, imam, atau nabi. Namun, Yakub tetap mengakui Ruben sebagai anaknya, dan keturunan Ruben telah menjadi salah satu suku dalam bangsa Israel. (Yos. 12:6) Dalam situasi lain, Ruben juga telah menunjukkan sifat-sifat yang baik dan nampaknya dia tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral lagi.—Kej. 37:20-22; 42:37.
8. Apakah yang dapat kita belajar daripada Ruben?
8 Pengajarannya. Kita perlu berusaha keras untuk mengawal diri dan menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral. Semasa digoda, berhentilah sejenak dan fikirkanlah kesannya terhadap Yehuwa, keluarga kita, dan orang lain. Fikirkanlah juga kesannya terhadap diri sendiri kerana Bible kata “seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.” (Gal. 6:7) Kisah Ruben juga mengajar kita tentang belas kasihan Yehuwa. Walaupun kita mungkin perlu menanggung akibat perbuatan kita, jika kita bertaubat dan berusaha melakukan apa yang benar, Yehuwa akan memaafkan kita dan memberkati kita.
SIMEON DAN LEWI
9. Mengapakah Yakub tidak senang hati dengan Simeon dan Lewi? (Kejadian 49:5-7)
9 Baca Kejadian 49:5-7. Seterusnya, Yakub bercakap kepada Simeon dan Lewi. Tetapi dia tidak senang hati dengan mereka. Mengapa? Beberapa tahun sebelum itu, anak perempuan Yakub yang bernama Dina telah dirogol oleh seorang lelaki Kanaan yang bernama Sikhem. Memang semua anak-anak lelaki Yakub sangat marah kerana apa yang telah berlaku. Mereka berjanji untuk berdamai dengan penduduk kota Sikhem jika semua lelaki di kota itu disunat. Tetapi selepas mereka disunat dan masih kesakitan, Simeon dan Lewi bertindak ganas. Mereka “mengambil pedang masing-masing, lalu . . . membunuh semua lelaki di situ.”—Kej. 34:25-29.
10. Bagaimanakah nubuat Yakub tentang Simeon dan Lewi menjadi kenyataan? (Lihat juga kotak “Nubuat Yakub.”)
10 Yakub sangat marah dengan dua orang anaknya yang bertindak ganas, maka dia bernubuat bahawa keturunan Simeon dan Lewi akan dicerai-beraikan di seluruh negeri Israel. Nubuat Yakub telah menjadi kenyataan lebih daripada 200 tahun kemudian semasa orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan. Tanah dan kota yang diwarisi suku Simeon berselerak di seluruh kawasan tanah warisan suku Yehuda. (Yos. 19:1) Suku Lewi pula diberi 48 buah kota yang berselerak di seluruh negeri Israel.—Yos. 21:41.
11. Apakah hal-hal baik yang dilakukan oleh keturunan Lewi dan Simeon?
11 Keturunan Lewi dan Simeon tidak mengulangi kesilapan nenek moyang mereka. Suku Lewi mempertahankan ibadat sejati dengan setia. Semasa Musa naik ke Gunung Sinai untuk menerima Hukum daripada Yehuwa, banyak orang Israel mula menyembah berhala. Tetapi orang Lewi berpihak kepada Musa dan membantunya untuk membunuh orang Israel yang menyembah berhala. (Kel. 32:26-29) Selepas itu, Yehuwa memilih lelaki daripada suku Lewi untuk menjadi imam dalam bangsa Israel. (Kel. 40:12-15; Bil. 3:11, 12) Kemudian semasa orang Israel menakluki Tanah yang Dijanjikan, suku Simeon berlawan bersama suku Yehuda dengan berani, dan hal itu menyenangkan hati Yehuwa.—Hak. 1:3, 17.
12. Apakah yang dapat kita belajar daripada Simeon dan Lewi?
12 Pengajarannya. Kita mesti mengawal emosi kita. Jika kita atau orang tersayang kita dilayan dengan buruk, sudah tentu kita akan berasa marah. (Mzm. 4:4) Tetapi ingatlah, Yehuwa tidak akan senang hati jika kita mengatakan atau melakukan sesuatu untuk menyakiti orang yang membuat kita tersinggung. (Yak. 1:20) Tidak kira kita dilayan dengan tidak adil di dalam atau di luar sidang, kita akan sentiasa berpegang pada prinsip Bible. Dengan itu, kita dapat mengawal kemarahan kita dan tidak bertindak dengan melulu. (Rm. 12:17, 19; 1 Ptr. 3:9) Satu lagi hal yang dapat kita belajar daripada Simeon dan Lewi ialah jika ibu bapa kita bukan teladan yang baik, kita tidak perlu mengikut jejak mereka. Kita boleh memilih untuk menyenangkan hati Yehuwa. Yehuwa pasti menguatkan kita untuk melakukan apa yang benar dan memberkati kita.
YEHUDA
13. Mengapakah Yehuda mungkin berasa risau apabila sampai gilirannya untuk mendengar kata-kata bapanya?
13 Seterusnya, Yakub bercakap kepada Yehuda. Selepas mendengar kata-kata Yakub kepada abang-abangnya, Yehuda mungkin berasa risau. Mengapa? Kerana dia juga pernah melakukan dosa yang serius. Nampaknya selepas Simeon dan Lewi membunuh orang Sikhem, Yehuda menyertai mereka untuk merompak kota itu. (Kej. 34:27) Dia juga bersekongkol dengan adik-beradiknya untuk menjual Yusuf sebagai hamba dan kemudiannya menipu bapa mereka. (Kej. 37:31-33) Selain itu, dia telah mengadakan hubungan seks dengan menantunya Tamar kerana berfikir dia seorang pelacur.—Kej. 38:15-18.
14. Apakah hal-hal baik yang dilakukan Yehuda? (Kejadian 49:8, 9)
14 Yang menariknya, Yehuda tidak ditegur, malah dipuji dan diberkati. (Baca Kejadian 49:8, 9.) Mengapa begitu? Dia sangat mengambil berat terhadap perasaan bapanya. Selain itu, dia begitu mengasihi adik bongsunya Benyamin sehingga sanggup mengambil tempatnya sebagai hamba.—Kej. 44:18, 30-34.
15. Bagaimanakah nubuat Yakub tentang Yehuda menjadi kenyataan?
15 Yakub bernubuat bahawa Yehuda akan menjadi pemimpin dalam kalangan adik-beradiknya. Tetapi nubuat itu tidak menjadi kenyataan dengan serta-merta. Kali pertama suku Yehuda dikatakan mengetuai bangsa Israel ialah kira-kira 200 tahun kemudian semasa orang Israel mengadakan perjalanan dari padang belantara ke Tanah yang Dijanjikan. (Bil. 10:14) Bertahun-tahun kemudian, Yehuwa memilih suku Yehuda untuk pergi terlebih dahulu dan melawan orang Kanaan. (Hak. 1:1, 2) Selain itu, Raja Daud berasal daripada suku Yehuda, dan raja-raja Israel selepasnya semua berasal daripada suku Yehuda. Namun, nubuat Yakub tentang Yehuda akan menjadi kenyataan dalam cara yang lebih besar pada kemudian hari.
16. Bagaimanakah nubuat di Kejadian 49:10 menjadi kenyataan? (Lihat juga kotak “Nubuat Yakub.”)
16 Yakub juga bernubuat bahawa seorang raja akan datang daripada suku Yehuda dan memerintah manusia buat selama-lamanya. (Baca Kejadian 49:10 dan nota kaki.) Raja itu, yang juga digelar Silo, ialah Yesus Kristus. Mengenai Yesus, satu malaikat berkata, “Tuhan Yehuwa akan memberinya takhta Daud, nenek moyangnya.” (Luk. 1:32, 33) Dalam Bible, Yesus juga dipanggil “singa daripada suku Yehuda.”—Why. 5:5.
17. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yehuwa dalam cara kita memandang orang lain?
17 Pengajarannya. Barangkali adik-beradik Yehuda tertanya-tanya mengapa Yehuwa memberkati Yehuda biarpun dia pernah melakukan beberapa dosa besar. Sebenarnya, Yehuwa nampak sifat-sifat baik Yehuda dan memberkatinya. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yehuwa? Semasa rakan seiman kita menerima tugasan yang penting, kita mungkin tidak memahami mengapa dia menerima tugasan itu kerana kita mengetahui kelemahannya. Namun kita harus ingat bahawa Yehuwa senang hati dengan sifat-sifat baiknya. Maka kita mahu meniru teladan Yehuwa dan bertumpu kepada kebaikan saudara saudari kita.
18. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan keturunan Yehuda?
18 Daripada contoh Yehuda, kita juga belajar pentingnya bersabar. Yehuwa pasti menunaikan janji-Nya, tetapi Dia tidak semestinya melakukannya mengikut masa atau cara yang kita harapkan. Sebagai contoh, keturunan Yehuda tidak menjadi pemimpin dengan serta-merta. Meskipun begitu, mereka menyokong pemimpin yang dipilih oleh Yehuwa, tidak kira pemimpin itu ialah Musa dari suku Lewi, Yosua dari suku Efraim, atau Saul dari suku Benyamin. Seperti mereka, marilah kita menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh Yehuwa untuk mengambil pimpinan hari ini.—Ibr. 6:12.
19. Apakah yang dapat kita belajar tentang Yehuwa daripada nubuat Yakub?
19 Apakah yang telah kita belajar tentang Yehuwa daripada nubuat Yakub setakat ini? Kita telah belajar bahawa “pandangan Tuhan bukanlah seperti pandangan manusia.” (1 Sam. 16:7) Yehuwa sangat sabar dan suka mengampuni. Biarpun Yehuwa tidak akan tutup sebelah mata terhadap perbuatan yang salah, Dia juga tidak mengharapkan kesempurnaan daripada para penyembah-Nya. Dia bahkan boleh memilih untuk memberkati seseorang yang telah melakukan dosa yang serius jika orang itu bertaubat dengan ikhlas dan melakukan apa yang baik. Dalam rencana berikutnya, kita akan membincangkan nubuat Yakub tentang lapan orang anaknya yang lain.
LAGU 124 Selalu Setia