RENCANA PEMBELAJARAN 25
LAGU 96 Kitab Tuhan yang Tak Ternilai
Pengajaran daripada Kata-Kata Terakhir Yakub—Bahagian 2
“Dia memberikan berkat yang sesuai kepada setiap anaknya.”—KEJ. 49:28.
FOKUS
Pengajaran daripada nubuat Yakub mengenai lapan orang anak lelakinya.
1. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
DUA BELAS orang anak Yakub berkumpul di sekelilingnya sambil mendengar kata-kata terakhir bapa mereka. Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelumnya, Yakub telah mengucapkan kata-kata yang mengejutkan kepada Ruben, Simeon, Lewi, dan Yehuda. Maka lapan orang anaknya yang lain pasti tertanya-tanya apa yang akan dikatakan oleh bapa mereka nanti. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan apa yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yakub kepada Zebulon, Isakhar, Dan, Gad, Asyer, Naftali, Yusuf, dan Benyamin.a
ZEBULON
2. Apakah nubuat Yakub tentang Zebulon, dan bagaimanakah kata-kata Yakub menjadi kenyataan? (Kejadian 49:13) (Lihat juga kotak.)
2 Baca Kejadian 49:13. Yakub menyatakan bahawa keturunan Zebulon akan tinggal di persisiran laut. Lebih daripada 200 tahun kemudian, suku Zebulon menerima tanah warisan mereka yang terletak di antara Tasik Galilea dan Laut Mediterranean. Mengenai suku Zebulon, Musa bernubuat, “Hai Zebulon, bersukacitalah sewaktu engkau keluar untuk berdagang.” (Ul. 33:18) Walaupun tanah warisan Zebulon tidak bersempadan dengan laut, mengapakah mereka ada sebab untuk bersukacita? Hal ini demikian kerana kedudukan tanah mereka yang strategik memudahkan mereka untuk pergi ke Tasik Galilea dan Laut Mediterranean untuk berdagang.
3. Apakah yang dapat membantu kita berpuas hati?
3 Pengajarannya. Tidak kira di mana kita tinggal atau apa situasi hidup kita, kita dapat bersukacita. Kuncinya ialah kita perlu berpuas hati dengan apa yang kita miliki. (Mzm. 16:6; 24:5) Kadangkala kita terlalu berfokus kepada apa yang kita tidak miliki sehingga lupa akan berkat yang kita ada. Jadi, cubalah bersikap positif dan berfokus kepada hal-hal baik dalam kehidupan.—Gal. 6:4.
ISAKHAR
4. Apakah nubuat Yakub tentang Isakhar, dan bagaimanakah kata-kata Yakub menjadi kenyataan? (Kejadian 49:14, 15) (Lihat juga kotak.)
4 Baca Kejadian 49:14, 15. Yakub memuji kerajinan Isakhar dengan mengatakan bahawa dia seperti keldai yang kuat tulangnya, dan dapat memikul beban yang berat. Yakub juga menyatakan bahawa Isakhar akan diberi negeri yang sangat indah. Selaras dengan kata-kata Yakub, keturunan Isakhar menerima tanah warisan dekat Sungai Yordan yang sangat subur. (Yos. 19:22) Mereka bukan sahaja bekerja keras untuk mengusahakan tanah sendiri tetapi juga untuk membantu orang lain. (1 Raj. 4:7, 17) Sebagai contoh, mereka telah menawarkan diri untuk melawan musuh orang Israel pada zaman Hakim Barak dan Nabi Debora.—Hak. 5:15.
5. Mengapakah kita harus bersikap rajin?
5 Pengajarannya. Sepertimana Yehuwa menghargai suku Isakhar yang bersikap rajin, Dia menghargai usaha kita untuk berkhidmat kepada-Nya. (Pkh. 2:24) Fikirlah tentang contoh para saudara yang bekerja keras untuk menjaga sidang. (1 Tim. 3:1) Mereka tidak perlu turun ke medan perang, tetapi mereka perlu berjuang untuk melindungi umat Tuhan daripada ancaman rohani. (1 Kor. 5:1, 5; Yud. 17-23) Mereka juga bekerja keras untuk menyediakan dan menyampaikan ceramah supaya dapat menggalakkan sidang.—1 Tim. 5:17.
DAN
6. Apakah tugasan yang diterima oleh suku Dan? (Kejadian 49:17, 18) (Lihat juga kotak.)
6 Baca Kejadian 49:17, 18. Yakub berkata bahawa Dan seperti seekor ular yang menyerang binatang yang lebih besar, contohnya kuda yang digunakan semasa berperang. Seperti yang dinubuatkan, suku Dan telah menyerang musuh orang Israel dengan berani. Sepanjang perjalanan ke Tanah yang Dijanjikan, suku Dan melindungi bangsa Israel dengan “menjadi pengawal barisan belakang.” (Bil. 10:25) Biarpun suku-suku lain tidak dapat melihat kerja yang dilakukan oleh suku Dan, tugasan mereka sangat penting.
7. Apakah yang harus kita ingat tentang kerja yang kita lakukan untuk Yehuwa?
7 Pengajarannya. Kadangkala anda mungkin perlu membantu membersihkan dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan atau melakukan kerja di sebalik tabir semasa konvensyen, perhimpunan, atau masa lain. Tidak kira orang lain nampak usaha anda atau tidak, anda harus dipuji. Ingatlah bahawa Yehuwa melihat dan menghargai usaha anda. Apabila anda menjalankan tugas kerana mengasihi Yehuwa dan bukannya kerana ingin dipuji, Dia sangat senang hati.—Mat. 6:1-4.
GAD
8. Mengapakah senang bagi musuh orang Israel untuk menyerang suku Gad? (Kejadian 49:19) (Lihat juga kotak.)
8 Baca Kejadian 49:19. Yakub bernubuat bahawa Gad akan diserang oleh kumpulan perompak. Lebih daripada 200 tahun kemudian, suku Gad menduduki tanah di sebelah timur Sungai Yordan, iaitu tanah yang bersempadan dengan negeri musuh. Kedudukan mereka membuat mereka senang diserang musuh. Namun, suku Gad mahu tinggal di sana kerana tanah di sana sangat sesuai untuk penternakan. (Bil. 32:1, 5) Suku Gad memang sangat berani. Tetapi yang lebih penting, mereka bergantung pada bantuan Yehuwa untuk mempertahankan sempadan mereka daripada serangan musuh. Mereka bahkan mengutus pasukan tentera untuk membantu suku-suku lain menakluki bahagian barat Sungai Yordan. (Bil. 32:16-19) Biarpun mereka harus berjauhan daripada anak isteri mereka selama bertahun-tahun, mereka yakin bahawa Yehuwa akan melindungi keluarga mereka. Sememangnya Yehuwa telah memberkati keberanian dan sikap rela berkorban yang ditunjukkan oleh mereka.—Yos. 22:1-4.
9. Jika kita yakin Yehuwa akan menjaga kita, apakah yang sudi kita lakukan?
9 Pengajarannya. Untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa di bawah situasi yang mencabar, kita mesti percaya kepada-Nya. (Mzm. 37:3) Hari ini, ramai saudara saudari menunjukkan bahawa mereka percaya kepada Yehuwa dengan membuat pengorbanan untuk menyertai projek pembinaan teokratik, berkhidmat di kawasan yang memerlukan lebih banyak bantuan, atau melakukan tugasan rohani yang lain. Mereka sudi berbuat demikian kerana mereka yakin Yehuwa pasti akan menjaga mereka.—Mzm. 23:1.
ASYER
10. Apakah yang gagal dilakukan oleh suku Asyer, dan apakah kesannya? (Kejadian 49:20) (Lihat juga kotak.)
10 Baca Kejadian 49:20. Yakub menubuatkan bahawa suku Asyer akan menjadi makmur, dan itulah yang telah berlaku. Tanah warisan suku Asyer merupakan antara tanah yang paling subur di seluruh Israel. (Ul. 33:24) Tanah warisan Asyer juga bersempadan dengan Laut Mediterranean dan merangkumi pelabuhan Sidon yang kaya. Namun, suku Asyer gagal menghalau semua orang Kanaan daripada tanah mereka. (Hak. 1:31, 32) Apakah kesannya? Pengaruh buruk orang Kanaan dan kemakmuran suku Asyer mungkin telah membuat mereka tidak mengutamakan ibadat kepada Yehuwa. Semasa Hakim Barak menjemput orang Israel untuk melawan musuh, suku Asyer tidak datang. Akibatnya mereka tidak melihat hal-hal menakjubkan yang Yehuwa lakukan untuk membantu orang Israel meraih kemenangan “dekat mata air Megido.” (Hak. 5:19-21) Semasa Barak dan Debora menyanyikan lagu kemenangan, mereka berkata, “Suku Asyer duduk termenung di pantai.” (Hak. 5:17) Orang daripada suku Asyer pasti berasa malu mendengarnya kerana mereka langsung tidak menyumbang kepada kemenangan orang Israel.
11. Mengapakah kita harus memiliki pandangan yang seimbang terhadap harta benda?
11 Pengajarannya. Kita ingin memberi Yehuwa yang terbaik. Oleh itu, kita perlu mempunyai pandangan yang seimbang terhadap wang. (Ams. 18:11) Kita tidak akan terlalu mementingkan keselesaan dan harta seperti yang dilakukan banyak orang di dunia. (Pkh. 7:12; Ibr. 13:5) Kita juga tidak akan sibuk mengejar kekayaan sehingga tiada masa untuk berkhidmat kepada Tuhan. Sebaliknya, kita berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada Yehuwa sekarang, kerana kita yakin Yehuwa akan memberi kita kehidupan yang benar-benar selesa dan bahagia pada masa depan.—Mzm. 4:8.
NAFTALI
12. Bagaimanakah nubuat Yakub tentang Naftali menjadi kenyataan? (Kejadian 49:21) (Lihat juga kotak.)
12 Baca Kejadian 49:21. Yakub berkata bahawa Naftali akan mengucapkan “kata-kata yang indah.” Nubuat ini mungkin menjadi kenyataan semasa Yesus berada di bumi. Yesus mengucapkan “kata-kata yang indah” semasa dia mengajar, dan dia “menetap di Kapernaum,” sebuah kota di tanah suku Naftali. (Mat. 4:13; 9:1; Yoh. 7:46) Tentang Yesus, Yesaya bernubuat bahawa penduduk Zebulon dan Naftali akan “melihat cahaya yang gemilang.” (Yes. 9:1, 2) Melalui ajarannya, Yesus menjadi “cahaya sejati yang menerangi segala macam orang.”—Yoh. 1:9.
13. Bagaimanakah kita dapat mengucapkan “kata-kata yang indah” yang menggembirakan Yehuwa?
13 Pengajarannya. Yehuwa memerhatikan apa yang kita katakan dan cara kita mengatakannya. Bagaimanakah kita dapat mengucapkan “kata-kata yang indah” yang menggembirakan Yehuwa? Kita harus sentiasa bercakap benar. (Mzm. 15:1, 2) Selain itu, kita patut mengucapkan kata-kata yang membina dengan cepat memuji dan lambat mengkritik atau merungut. (Ef. 4:29) Tambahan lagi, kita dapat berusaha menjadi lebih mahir memulakan perbualan supaya berpeluang untuk memberikan kesaksian.
YUSUF
14. Bagaimanakah nubuat Yakub tentang Yusuf menjadi kenyataan? (Kejadian 49:22, 26) (Lihat juga kotak.)
14 Baca Kejadian 49:22, 26. Yakub pasti sangat bangga dengan Yusuf. Dia berkata bahawa Yusuf ialah “orang yang terpilih dalam kalangan adik-beradiknya.” Yakub juga memanggilnya “dahan daripada pokok yang berbuah lebat.” Pokok itu merujuk kepada Yakub, dan dahan itu ialah Yusuf. Yusuf ialah anak sulung Rahel, iaitu isteri kesayangan Yakub. Ruben kehilangan haknya sebagai anak sulung dan Yakub menubuatkan bahawa Yusuf akan menerima hak itu. (Kej. 48:5, 6; 1 Taw. 5:1, 2) Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan? Dua orang anak Yusuf, iaitu Efraim dan Manasye, telah menjadi dua suku Israel dan menerima tanah warisan daripada Yehuwa.—Kej. 49:25; Yos. 14:4.
15. Apakah reaksi Yusuf semasa dilayan dengan buruk?
15 Yakub juga menyebut tentang para pemanah yang “melepaskan anak panah ke [arah Yusuf] dan asyik menaruh dendam terhadapnya.” (Kej. 49:23) Para pemanah itu ialah abang-abang Yusuf yang dahulunya berasa cemburu terhadapnya dan melayannya dengan buruk. Meskipun perbuatan mereka membuat Yusuf sangat menderita, dia tidak membenci abang-abangnya atau menyalahkan Yehuwa. Yakub menggambarkan reaksi Yusuf dengan berkata, “Busurnya tidak berganjak, dan tangannya tetap kuat dan tangkas.” (Kej. 49:24) Semasa menderita, Yusuf bergantung pada Yehuwa, dan dia bukan sahaja memaafkan abang-abangnya, malah melayan mereka dengan baik. (Kej. 47:11, 12) Cubaan yang dialami Yusuf telah memurnikan sifat-sifatnya dan menjadikannya lebih berguna bagi Yehuwa.—Mzm. 105:17-19.
16. Semasa menghadapi cubaan, bagaimanakah teladan Yusuf dapat membantu kita?
16 Pengajarannya. Semasa menghadapi cubaan, kita tidak mahu membiarkan kasih kita kepada Yehuwa dan saudara saudari menjadi dingin. Ingatlah, Yehuwa mungkin mengizinkan kita menghadapi cubaan untuk melatih kita. (Ibr. 12:7, nota kaki) Latihan sedemikian dapat membantu kita memupuk dan memurnikan sifat-sifat Kristian. Contohnya, kita akan menjadi lebih berbelas kasihan dan lebih sudi mengampuni. (Ibr. 12:11) Sepertimana Yehuwa telah memberkati ketabahan Yusuf, Yehuwa juga pasti memberkati ketabahan kita.
BENYAMIN
17. Bagaimanakah nubuat tentang Benyamin menjadi kenyataan? (Kejadian 49:27) (Lihat juga kotak.)
17 Baca Kejadian 49:27. Yakub menubuatkan bahawa suku Benyamin akan mempunyai pahlawan yang gagah seperti serigala. (Hak. 20:15, 16; 1 Taw. 12:2) Yakub menambah, “Pada waktu pagi, dia akan memakan mangsanya.” Nubuat ini menjadi kenyataan semasa Saul daripada suku Benyamin menjadi raja pertama orang Israel, dan dia menentang orang Filistin dengan gagah. (1 Sam. 9:15-17, 21) Yakub juga menubuatkan, “Pada waktu petang, dia akan membahagi-bahagikan mangsanya.” Nubuat ini menjadi kenyataan berabad-abad kemudian semasa Ester dan Mordekhai daripada suku Benyamin menyelamatkan orang Israel agar tidak dilenyapkan oleh musuh.—Est. 2:5-7; 8:3; 10:3.
18. Bagaimanakah kita dapat meniru kesetiaan suku Benyamin?
18 Pengajarannya. Kita mahu tetap setia kepada para saudara yang dilantik oleh Yehuwa untuk memimpin umat-Nya hari ini. (1 Tes. 5:12) Bagaimanakah suku Benyamin menunjukkan bahawa mereka setia kepada Yehuwa? Suku Benyamin pasti sangat gembira semasa orang daripada suku mereka dilantik sebagai raja. Namun, semasa Yehuwa melantik Daud yang berasal daripada suku Yehuda sebagai raja, suku Benyamin akhirnya menyokong Daud juga. (2 Sam. 3:17-19) Bertahun-tahun kemudian, semasa suku-suku lain memberontak terhadap suku Yehuda, suku Benyamin tetap setia kepada raja yang dilantik Yehuwa.—1 Raj. 11:31, 32; 12:19, 21.
19. Apakah manfaat yang telah kita raih daripada nubuat Yakub?
19 Kita telah meraih banyak pengajaran yang bermanfaat daripada kata-kata terakhir Yakub. Setelah mengkaji bagaimana kata-katanya menjadi kenyataan, kita bertambah yakin bahawa semua nubuat dalam Bible pasti ditunaikan. Setelah membincangkan bagaimana anak-anak Yakub diberkati, kita juga lebih memahami cara untuk menyenangkan hati Yehuwa.
LAGU 128 Bertahan hingga Akhir
a Yakub memberkati Ruben, Simeon, Lewi, dan Yehuda mengikut urutan umur, tetapi dia tidak berbuat demikian semasa memberkati lapan orang anaknya yang lain.