PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 Jun ms. 26-31
  • Diajar oleh Pendidik Agung Seumur Hidup Kami

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Diajar oleh Pendidik Agung Seumur Hidup Kami
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • TELADAN IBU BAPA SAYA
  • MULA BERKHIDMAT SEPENUH MASA
  • KEHIDUPAN SEBAGAI MUBALIGH
  • EROPAH—KEMUDIAN KE AFRIKA
  • KE TIMUR TENGAH
  • KEMBALI KE AFRIKA
  • Bertekad untuk Tidak Tawar Hati
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2018
  • Berkat daripada Yehuwa Jauh Melebihi Jangkaan Saya
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
  • Yehuwa Telah ‘Meluruskan Jalan Hidupku’
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Khidmat kepada Yehuwa Membawa Banyak Pengajaran dan Kejutan Istimewa
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2023
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 Jun ms. 26-31
Franco Dagostini.

KISAH HIDUP

Diajar oleh Pendidik Agung Seumur Hidup Kami

DICERITAKAN OLEH FRANCO DAGOSTINI

SEMASA saya dan isteri berkhidmat sebagai perintis dan mubaligh, kami pernah berdepan dengan askar yang bersenjata, pejuang yang membakar barang di tengah jalan, puting beliung, perang saudara, dan kami juga terpaksa melarikan diri dari rumah. Namun jika diberi peluang lagi, kami tetap akan memilih kehidupan ini. Sepanjang hidup ini, Pendidik Agung kita telah menyokong dan memberkati kami, dan mengajar kami banyak hal yang berharga.​—Ayb. 36:22; Yes. 30:20.

TELADAN IBU BAPA SAYA

Pada lewat tahun 1950-an, ibu bapa saya berpindah dari Itali ke Kindersley di Saskatchewan, Kanada. Tidak lama kemudian, kami belajar kebenaran dan menjadikannya keutamaan hidup kami. Semasa saya kecil, saya akan keluar menginjil bersama keluarga saya sehari suntuk. Jadi kadangkala saya berjenaka bahawa saya mula menjadi perintis sokongan sejak umur lapan tahun!

Franco semasa kecil, bersama ibu bapa dan adik-beradiknya.

Bersama keluarga saya, sekitar 1966

Ibu bapa saya miskin, tetapi mereka sangat rela membuat pengorbanan demi Yehuwa. Contohnya, pada tahun 1963, mereka menjual banyak harta milik mereka agar mendapat cukup wang untuk menghadiri konvensyen antarabangsa di Pasadena, California, A.S. Kemudian pada tahun 1972, kami berpindah kira-kira 1,000 km ke Trail di British Columbia, Kanada, untuk membantu kawasan penyebaran bahasa Itali. Untuk menyara keluarga, bapa saya melakukan kerja pembersihan. Semasa diberi peluang untuk naik pangkat, bapa saya menolak kerana dia ingin bertumpu kepada hal-hal rohani.

Saya bersyukur atas teladan baik yang ditetapkan oleh ibu bapa untuk saya dan tiga orang adik-beradik saya. Melalui teladan mereka, Yehuwa mula mendidik saya. Sepanjang hidup saya, saya ingat pengajaran penting ini: Jika saya mengutamakan Kerajaan Tuhan, Yehuwa akan menjaga saya.​—Mat. 6:33.

MULA BERKHIDMAT SEPENUH MASA

Pada tahun 1980, saya berkahwin dengan Debbie, seorang saudari yang cantik dan berpandangan rohani. Kami berdua ingin berkhidmat sepenuh masa. Jadi tiga bulan selepas kami berkahwin, Debbie mula merintis. Setahun selepas berkahwin, kami berpindah ke sebuah sidang kecil yang memerlukan bantuan, dan saya pun mula merintis.

Franco dan Debbie pada hari perkahwinan mereka.

Hari perkahwinan kami, 1980

Beberapa lama kemudian, kami menjadi tawar hati dan mahu pindah sidang. Tapi sebelum itu, kami bercakap kepada penyelia litar. Dengan pengasih dan terus terang dia memberitahu kami, “Sebenarnya pandangan kamu yang merumitkan keadaan. Kamu sedang bertumpu kepada hal-hal negatif. Cubalah bertumpu kepada hal-hal yang positif.” Itulah nasihat yang kami perlukan. (Mzm. 141:5) Kami menerapkan nasihatnya dengan serta-merta dan mula melihat banyak hal yang positif dalam sidang kami. Beberapa orang dalam sidang, termasuk kaum muda dan saudari dengan suami yang tidak seiman, ingin meluaskan khidmat kepada Yehuwa. Peristiwa ini mengajar kami hal yang penting: Kami harus bertumpu kepada hal-hal yang baik dan menantikan Yehuwa untuk membetulkan situasi yang nampaknya mencabar. (Mi. 7:7) Tidak lama kemudian, kami mendapat kembali sukacita kami, dan situasi kami juga bertambah baik.

Semasa menghadiri sekolah perintis buat kali pertama, kami mempunyai pengajar yang pernah berkhidmat di luar negara. Mereka menunjukkan gambar serta menceritakan cabaran dan berkat mereka semasa berkhidmat di negara-negara lain. Pengalaman mereka membuat kami bercita-cita untuk menjadi mubaligh.

Tempat letak kereta di Dewan Perjumpaan yang telah dibersihkan selepas ribut salji.

Dewan Perjumpaan di British Columbia, 1983

Untuk mencapai matlamat itu, pada tahun 1984 kami berpindah ke Quebec yang terletak lebih daripada 4,000 km dari British Columbia. Orang di Quebec menuturkan bahasa Perancis, jadi kami harus belajar bahasa baharu dan kebudayaan baharu. Satu lagi cabaran yang kami hadapi ialah kami sering tidak cukup duit. Buat satu tempoh masa, seorang petani mengizinkan kami untuk memungut sisa tuaian daripada ladang kentangnya. Itu sahaja makanan kami. Maka Debbie belajar untuk memasak kentang dalam pelbagai cara yang sedap. Biarpun kami menghadapi cabaran, kami dapat bertabah kerana kami sedar Yehuwa sedang menjaga kami.​—Mzm. 64:10.

Suatu hari, kami mendapat panggilan telefon dan dijemput untuk berkhidmat di Bethel Kanada. Sebelum itu, kami sudah memohon untuk pergi ke Sekolah Gilead. Jadi kami pergi ke Bethel dengan perasaan yang bercampur baur. Selepas tiba di Bethel, kami berjumpa dengan Saudara Kenneth Little, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan. Kami bertanya, “Bagaimana pula dengan permohonan kami untuk Sekolah Gilead?” Dia menjawab, “Kita tunggu dan lihat apa yang berlaku.”

Kami tidak perlu tunggu lama kerana seminggu kemudian kami terima jemputan untuk menghadiri Sekolah Gilead. Sekarang kami harus memilih sama ada untuk terus di Bethel atau pergi ke Gilead. Saudara Little memberitahu kami, “Tidak kira apa yang kamu pilih, kadangkala kamu akan rasa pilihan yang satu lagi lebih bagus. Tapi ingat, setiap pilihan ada baik buruknya, dan Yehuwa boleh memberkati mana-mana pilihan kamu.” Jadi kami memilih sekolah Gilead. Sepanjang khidmat kami, kami mendapati nasihat Saudara Little memang bijak. Apabila saudara saudari bingung tentang tugasan mana yang harus mereka pilih, kami akan kongsi nasihat yang diberikan oleh Saudara Little.

KEHIDUPAN SEBAGAI MUBALIGH

(Kiri) Ulysses Glass

(Kanan) Jack Redford

Kami sangat teruja kerana dapat menyertai kelas Gilead yang ke-83. Kelas kami ada 24 orang pelajar dan bermula pada April 1987 di Brooklyn, New York. Pengajar utama kami ialah Saudara Ulysses Glass dan Jack Redford. Masa berlalu dengan cepat. Lima bulan kemudian, kami menerima sijil pada 6 September 1987 lalu ditugaskan ke Haiti bersama John dan Marie Goode.

Franco dan Debbie di tepi pantai di Haiti semasa mereka keluar menginjil.

Di Haiti, 1988

Sebenarnya, sejak lulusan Gilead dihalau dari Haiti pada tahun 1962, tiada mubaligh lain yang dihantar ke sana. Tiga minggu selepas majlis penyampaian sijil, kami mula berkhidmat di sebuah sidang kecil di kawasan pergunungan Haiti yang ada 35 orang penyiar. Kami dua sahaja dihantar ke sana dan kami masih muda dan tidak berpengalaman. Orang di situ sangat miskin dan kebanyakan daripada mereka tidak dapat membaca. Pada masa itu, kami berdepan dengan pergolakan politik, perampasan kuasa, pejuang yang membakar barang di tengah jalan, dan bencana alam seperti puting beliung.

Namun, kami belajar banyak daripada saudara saudari di Haiti yang tetap tabah dan bersukacita. Biarpun hidup mereka susah, mereka mengasihi Yehuwa dan suka menginjil. Ada seorang saudari tua yang tidak dapat membaca, tetapi sudah menghafal kira-kira 150 ayat Bible. Semasa melihat betapa susahnya kehidupan orang di situ, kami semakin bertekad untuk memberitahu mereka bahawa hanya Kerajaan Tuhan yang dapat menyelesaikan masalah mereka. Ada antara pelajar Bible kami yang kemudiannya menjadi perintis biasa, perintis khas, dan penatua, dan hal itu membuat kami sangat gembira.

Semasa di Haiti, saya bertemu dengan Trevor, seorang mubaligh Mormon yang muda, dan kami berpeluang membincangkan Bible untuk beberapa kali. Bertahun-tahun kemudian, saya menerima sepucuk surat daripadanya. Dia menulis, “Saya akan dibaptis pada perhimpunan yang akan datang. Saya mahu kembali ke tempat yang sama di Haiti di mana saya menjadi mubaligh Mormon dahulu dan berkhidmat sebagai perintis khas.” Itulah yang dilakukannya selama bertahun-tahun bersama isterinya.

EROPAH—KEMUDIAN KE AFRIKA

Franco bekerja di pejabat.

Bekerja di Slovenia, 1994

Kami ditugaskan ke sebuah kawasan di Eropah kerana sekatan terhadap kerja penyebaran di sana semakin berkurang. Pada tahun 1992, kami tiba di Ljubljana, Slovenia. Ibu bapa saya dibesarkan berhampiran kawasan ini sebelum mereka berpindah ke Itali. Pada masa itu, perang masih berlaku di sesetengah kawasan di bekas negara Yugoslavia. Sebelum itu, kerja penyebaran di kawasan itu dijaga oleh saudara-saudara dari Austria, Croatia, dan Serbia. Tetapi Badan Pimpinan telah memutuskan bahawa empat negara bekas Yugoslavia akan mempunyai Bethel masing-masing.

Di Slovenia, kami perlu menyesuaikan diri dengan bahasa dan budaya baharu. Orang tempatan pun memberitahu kami bahasa mereka sangat susah, tapi kami digalakkan semasa melihat kesetiaan saudara saudari. Mereka rela menerima perubahan dalam organisasi, dan Yehuwa telah memberkati mereka. Sekali lagi, kami lihat bagaimana Yehuwa selalu bertindak tepat pada masanya. Kami belajar banyak hal baharu di Slovenia dan apa yang sudah kami belajar sebelum itu telah membantu kami bertabah.

Namun, ada lagi perubahan yang menantikan kami. Pada tahun 2000, kami ditugaskan ke Côte d’Ivoire di Afrika Barat. Kemudian apabila perang saudara tercetus di situ, kami dipindahkan ke Sierra Leone pada November 2002. Memang susah bagi kami untuk meninggalkan Côte d’Ivoire secara tiba-tiba, dan keadaan di Sierra Leone juga agak teruk kerana perang saudara yang telah berlangsung selama 11 tahun di situ baru sahaja berakhir. Namun, apa yang telah kami belajar sebelum ini telah membantu kami agar tidak kehilangan sukacita.

Di situ kami bertumpu kepada hal-hal yang positif. Contohnya, banyak orang mahu belajar kebenaran dan saudara saudari amat pengasih dan tabah biarpun hidup di zon perang selama bertahun-tahun. Mereka miskin tetapi sangat murah hati. Pernah sekali, seorang saudari mahu memberi Debbie pakaian. Pada mulanya, Debbie tidak mahu menerimanya, tetapi saudari itu berkata, “Semasa perang, saudara saudari di tempat lain membantu kami. Sekarang giliran kami untuk membantu kamu.” Kami bertekad untuk meniru teladan mereka.

Kami kemudiannya kembali ke Côte d’Ivoire, tetapi pergolakan politik tercetus lagi. Jadi pada November 2004, kami terpaksa melarikan diri dengan menaiki helikopter, dan setiap orang hanya dibenarkan membawa satu beg kecil. Kami tidur di lantai pangkalan tentera Perancis pada malam itu, dan hari berikutnya kami menaiki kapal terbang ke Switzerland. Semasa kami tiba di pejabat cawangan, masanya sudah hampir tengah malam. Tetapi ahli Jawatankuasa Cawangan dan para pengajar Sekolah Latihan Pengorganisasian dan isteri mereka menyambut kami dengan mesra. Mereka memeluk kami, menyediakan makanan yang panas, dan menghidangkan banyak coklat yang sedap. Kami sangat tersentuh.

Franco menyampaikan ceramah dari pentas Dewan Perjumpaan di Côte d’Ivoire.

Menyampaikan ceramah semasa konvensyen di Côte d’Ivoire, 2005

Buat sementara waktu kami ditugaskan ke Ghana, dan apabila keadaan di Côte d’Ivoire menjadi lebih tenang, kami kembali ke sana. Kebaikan hati saudara saudari membantu kami mengharungi masa yang tidak menentu itu dan menyesuaikan diri dengan tugasan yang berubah-ubah. Biarpun organisasi Yehuwa penuh dengan saudara saudari yang pengasih, saya dan Debbie setuju bahawa kami tidak mahu sekali-kali memandang remeh kurniaan ini. Sebenarnya kami juga belajar banyak hal yang penting sepanjang masa yang susah ini.

KE TIMUR TENGAH

Franco dan Debbie melawat tapak bersejarah di Timur Tengah.

Di Timur Tengah, 2007

Pada tahun 2006, ibu pejabat sedunia menugaskan kami ke Timur Tengah. Sekali lagi, kami perlu membiasakan diri dengan pengalaman baharu, cabaran baharu, bahasa baharu, dan budaya yang baharu. Isu politik dan agama di situ juga sangat sensitif. Namun, kami sangat suka saudara saudari di sidang. Mereka berasal daripada pelbagai budaya dan menuturkan bahasa yang berlainan, tetapi mereka bersatu padu kerana mengikut arahan daripada organisasi. Kami juga kagum dengan mereka kerana ramai antara mereka perlu berdepan dengan tentangan daripada keluarga, rakan sekolah, rakan sekerja, dan jiran.

Pada tahun 2012, kami menghadiri konvensyen istimewa di Tel Aviv, Israel. Itu sememangnya konvensyen yang sukar dilupakan kerana buat kali pertama sejak Pentakosta 33 M, umat Yehuwa di kawasan itu dapat berkumpul secara beramai-ramai!

Kami pernah ditugaskan untuk melawat sebuah negara yang menyekat kerja kita. Kami dapat membawa bahan bacaan ke situ, menyertai kerja penyebaran, dan menghadiri perhimpunan yang diadakan dalam skala kecil. Kami nampak sekatan jalan dan askar yang bersenjata di merata tempat. Tetapi kami berhati-hati dan sentiasa ditemani penyiar tempatan, jadi kami berasa selamat.

KEMBALI KE AFRIKA

Franco menggunakan komputer ribanya.

Menyiapkan ceramah di Congo, 2014

Pada tahun 2013, kami ditugaskan untuk berkhidmat di pejabat cawangan Kinshasa, Congo. Negara Congo sangat cantik, tetapi sangat miskin dan penuh dengan pergolakan. Mula-mula kami berfikir, “Kami bersedia untuk pergi ke Afrika kerana kami pernah berkhidmat di sana.” Tetapi masih ada banyak hal yang perlu kami belajar, terutamanya semasa kami mengadakan perjalanan di tempat yang tiada jalan raya atau jambatan. Kami bertumpu kepada hal-hal yang positif. Contohnya, ketabahan dan sukacita saudara saudari biarpun menghadapi masalah ekonomi, semangat mereka untuk keluar menginjil, dan usaha mereka untuk menghadiri perjumpaan dan perhimpunan. Kami sedar hanya dengan adanya berkat dan sokongan Yehuwa, barulah kerja penyebaran dapat berkembang dengan pesat. Kami belajar banyak hal yang penting semasa di Congo dan mendapat banyak kawan rapat yang bagaikan keluarga.

Franco sedang menginjil. Dia berjalan bersama saudara saudari ke arah sebuah kampung.

Menginjil di Afrika Selatan, 2023

Pada hujung tahun 2017, kami ditugaskan ke pejabat cawangan Afrika Selatan. Kami tidak pernah bekerja di Bethel yang begitu besar, dan tugasan kami pun sesuatu yang baharu. Sekali lagi kami perlu belajar banyak hal baharu, tetapi hal-hal yang telah kami pelajari selama ini banyak membantu kami. Kami mengasihi saudara saudari di sini yang telah menyembah Yehuwa dengan tabah selama puluhan tahun. Kami juga kagum kerana walaupun para pekerja di Bethel berasal daripada pelbagai bangsa dan budaya, mereka tetap bersatu padu. Oleh sebab mereka mengenakan keperibadian baharu dan berusaha hidup menurut prinsip Bible, Yehuwa telah mengurniai mereka kedamaian.

Dalam hidup kami, saya dan Debbie telah menerima banyak tugasan yang menarik, menyesuaikan diri dengan pelbagai budaya, dan mempelajari bahasa-bahasa baharu. Biarpun kami menghadapi banyak cabaran, kami sentiasa merasai kasih setia Yehuwa melalui organisasi-Nya dan rakan seiman. (Mzm. 144:2) Kami percaya latihan yang kami terima semasa berkhidmat sepenuh masa untuk Yehuwa telah bantu kami menjadi orang Kristian yang lebih matang.

Saya berterima kasih atas ajaran daripada ibu bapa saya, sokongan daripada Debbie, dan teladan baik daripada saudara saudari di serata dunia. Saya dan Debbie bertekad untuk terus belajar daripada Pendidik Agung kita buat selama-lamanya.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi