RENCANA PEMBELAJARAN 30
LAGU 97 Hidup Berpegang pada Firman Tuhan
Teruslah Belajar daripada Ajaran Asas Bible
“Aku ingin selalu mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini, walaupun kamu sudah mengetahuinya dan sudah berakar umbi dalam kebenaran yang telah kamu pelajari.”—2 PTR. 1:12.
FOKUS
Belajarlah bagaimana ajaran asas Bible masih dapat membantu anda biarpun anda sudah lama dalam kebenaran.
1. Selepas belajar kebenaran asas Bible, bagaimanakah hal itu mempengaruhi hidup anda?
AJARAN asas Bible telah mengubah hidup kita. Contohnya, semasa kita belajar bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa, kita menghampiri-Nya sebagai sahabat kita. (Yes. 42:8) Apabila kita belajar keadaan sebenar orang mati, kita tidak lagi tertanya-tanya sama ada orang kesayangan kita yang meninggal sedang menderita. (Pkh. 9:10) Apabila kita belajar janji Tuhan tentang Firdaus, kita tidak lagi risau tentang masa depan kita. Kita yakin kita dapat hidup selama-lamanya, dan bukan hanya untuk 70 atau 80 tahun.—Mzm. 37:29; 90:10.
2. Bagaimanakah 2 Petrus 1:12, 13 menunjukkan bahawa ajaran asas Bible dapat membantu bahkan orang Kristian yang matang?
2 Kita tidak patut sekali-kali memandang remeh terhadap ajaran asas Bible. Dalam suratnya, Petrus menulis kepada orang Kristian yang “sudah berakar umbi dalam kebenaran.” (Baca 2 Petrus 1:12, 13.) Pada masa itu, terdapat orang jahat di dalam sidang yang mahu menyesatkan mereka. (2 Ptr. 2:1-3) Untuk membantu mereka melawan ancaman ini, Petrus mengingatkan mereka tentang sesetengah ajaran asas Bible yang dapat membantu mereka untuk tetap setia kepada Yehuwa.
3. Mengapakah semua orang Kristian patut terus mengkaji ajaran asas Bible? Berikan contoh.
3 Semua orang Kristian patut terus mengkaji ajaran asas Bible kerana kita dapat belajar hal-hal baharu. Fikirkan contoh berikut: Terdapat dua tukang masak yang diberikan bahan yang sama untuk menyediakan makanan. Seorang ialah tukang masak yang berpengalaman dan seorang lagi tukang masak yang baru belajar. Biasanya tukang masak yang berpengalaman mempunyai peluang untuk berlatih dan menggunakan pelbagai teknik yang berbeza untuk menghasilkan hidangan yang baharu. Begitu juga, orang yang sudah lama dalam kebenaran dan orang yang baru belajar Bible mempunyai sudut pandangan yang berbeza tentang ajaran asas Bible. Selepas dibaptis, keadaan hidup dan khidmat kita kepada Yehuwa juga mungkin berubah. Jika kita terus mengkaji ajaran asas Bible, kita dapat belajar cara yang baharu untuk menerapkannya sesuai dengan keadaan hidup kita. Sekarang, mari kita lihat apa yang dapat kita belajar daripada tiga ajaran asas Bible.
YEHUWA IALAH PENCIPTA
4. Selepas kita mengetahui bahawa Yehuwa ialah Pencipta, bagaimanakah hal itu mempengaruhi hidup kita?
4 Bible kata, “Tuhanlah yang membina segala sesuatu.” (Ibr. 3:4) Kita tahu bahawa bumi dan segala sesuatu di bumi diciptakan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana. Memandangkan Dia menciptakan kita, Dia sangat mengenali kita. Dia juga mengambil berat terhadap kita dan tahu apa yang terbaik untuk kita. Selepas kita mengetahui bahawa Yehuwa ialah Pencipta, hidup kita berubah dan kita mempunyai tujuan hidup yang sejati.
5. Apakah hal lain yang dapat kita belajar daripada kebenaran bahawa Yehuwa ialah Pencipta? (Yesaya 45:9-12)
5 Kebenaran bahawa Yehuwa ialah Pencipta dapat mengajar kita untuk bersikap rendah hati. Selepas Ayub terlalu bertumpu kepada diri sendiri dan orang lain, Yehuwa mengingatkan Ayub bahawa Dia ialah Pencipta Yang Maha Kuasa. (Ayb. 38:1-4) Peringatan ini membantu Ayub untuk lihat bahawa cara Yehuwa jauh lebih unggul daripada cara manusia. Pada kemudian hari, Nabi Yesaya menulis, “Patutkah tanah liat bertanya kepada Tukang Tembikar, ‘Apakah yang sedang kamu buat?’”—Baca Yesaya 45:9-12.
6. Siapakah terutamanya yang dapat meraih manfaat dengan merenungkan kedudukan Yehuwa sebagai Pencipta? (Lihat juga gambar.)
6 Seorang Kristian yang telah lama menyembah Yehuwa mungkin mula bergantung pada pandangannya sendiri, dan bukannya pada Yehuwa dan Bible. (Ayb. 37:23, 24) Apakah yang dapat membantu dia untuk tetap rendah hati dan mempunyai pandangan yang seimbang terhadap fikirannya? Dia harus berfikir dengan mendalam tentang kebijaksanaan dan kedudukan Yehuwa sebagai Pencipta.—Yes. 40:22; 55:8, 9.
Apakah yang dapat membantu kita bersikap seimbang terhadap pandangan sendiri? (Lihat perenggan 6)d
7. Apakah yang Rahela lakukan apabila dia berasa susah untuk menerima arahan baharu daripada organisasi Yehuwa?
7 Rahela, yang tinggal di Slovenia, kadang-kadang berasa susah untuk menerima keputusan yang dibuat oleh saudara yang mengambil pimpinan. Dia kata, “Biarpun selepas saya menonton Berita Terkini Badan Pimpinan 2023 #8 yang menyatakan bahawa tidak salah bagi saudara untuk menyimpan janggut, saya rasa terkejut apabila kali pertama saya nampak seorang saudara yang berjanggut memberikan ceramah. Jadi saya berdoa kepada Yehuwa untuk membantu saya menerima perubahan ini.” Rahela merenungkan bahawa Yehuwa ialah Pencipta dan Dia sentiasa tahu cara yang terbaik untuk membimbing organisasi-Nya. Seperti Rahela, adakah anda juga berasa susah untuk menerima pemahaman atau arahan yang baharu? Jika ya, ambillah masa untuk berfikir secara mendalam tentang betapa bijak dan berkuasanya Pencipta kita.—Rm. 11:33-36.
MENGAPA TUHAN MENGIZINKAN PENDERITAAN
8. Bagaimanakah jawapan Bible tentang mengapa Tuhan mengizinkan penderitaan membantu kita?
8 Sesetengah orang tidak tahu mengapa Tuhan mengizinkan penderitaan. Oleh itu, mereka menjadi marah dengan Tuhan atau membuat kesimpulan bahawa Dia langsung tidak wujud! (Ams. 19:3) Tetapi kita tahu Yehuwa tidak menyebabkan penderitaan kita. Kita menderita kerana mewarisi dosa dan ketidaksempurnaan. Kita juga belajar bahawa kesabaran Yehuwa membolehkan jutaan orang untuk mengenali-Nya dan mengetahui bagaimana Dia akan melenyapkan penderitaan. (2 Ptr. 3:9, 15) Jawapan Bible kepada soalan ini telah melegakan hati kita dan membantu kita menghampiri Yehuwa.
9. Bilakah terutamanya kita perlu merenungkan sebabnya Yehuwa mengizinkan penderitaan?
9 Kita tahu kita perlu bersabar sementara menunggu masa Yehuwa mengakhiri penderitaan. Namun, semasa kita atau ahli keluarga kita mengalami kesusahan, dilayan dengan tidak adil, atau kehilangan orang tersayang, kita mungkin tertanya-tanya mengapa Yehuwa mengambil masa yang lama untuk mengakhiri penderitaan. (Hab. 1:2, 3) Pada masa sedemikian, adalah bijak jika kita merenungkan sebabnya Yehuwa mengizinkan orang baik mengalami penderitaan.a (Mzm. 34:19) Kita juga dapat merenungkan tujuan Yehuwa untuk mengakhiri penderitaan buat selama-lamanya.
10. Bagaimanakah Anne menangani kehilangan ibunya dalam kematian?
10 Jika kita ingat sebabnya Yehuwa mengizinkan penderitaan, hal itu dapat bantu kita bertabah. Anne, yang tinggal di Pulau Mayotte, di Lautan Hindi, berkata, “Beberapa tahun lalu, saya kehilangan ibu saya dalam kematian dan hal itu membuat saya sangat sedih. Namun, saya sering mengingatkan diri sendiri bahawa Yehuwa tidak menyebabkan penderitaan saya. Sebaliknya, Dia tidak sabar untuk melenyapkan semua jenis penderitaan dan Dia mahu membangkitkan orang kesayangan kita. Selepas merenungkan hal-hal itu, saya berasa tenang dan digalakkan.”
11. Apakah salah satu sebab Yehuwa mengizinkan penderitaan, dan bagaimanakah hal itu mendorong kita untuk terus menginjil?
11 Apabila kita tahu sebabnya Yehuwa mengizinkan penderitaan, kita didorong untuk terus menginjil. Petrus menjelaskan bahawa salah satu sebab Yehuwa mengizinkan penderitaan adalah supaya orang berpeluang untuk bertaubat dan diselamatkan. Petrus juga kata, “Kamu seharusnya berkelakuan suci dan melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa kamu mengabdikan diri kepada Tuhan.” (2 Ptr. 3:11) Antara “hal-hal yang menunjukkan bahawa [kita] mengabdikan diri kepada Tuhan” ialah kerja penyebaran kita. Seperti Yehuwa, kita mengasihi orang lain dan mahu mereka hidup di dunia baharu. Alangkah besarnya penghormatan kita untuk menjadi rakan sekerja Tuhan! Sudah tentu, hal itu akan mendorong kita untuk membantu seramai orang yang mungkin untuk belajar tentang Yehuwa sebelum akhir datang.—1 Kor. 3:9.
KITA HIDUP PADA “HARI-HARI TERAKHIR”
12. Bagaimanakah mengetahui bahawa kita hidup pada “hari-hari terakhir” membantu kita?
12 Bible menubuatkan sikap orang pada “hari-hari terakhir.” (2 Tim. 3:1-5) Apabila kita melihat sikap orang menjadi semakin teruk, kita sedar nubuat ini sedang menjadi kenyataan. Hal ini bantu kita yakin sepenuhnya bahawa Firman Tuhan dapat dipercayai.—2 Tim. 3:13-15.
13. Selaras dengan perumpamaan Yesus di Lukas 12:15-21, apakah soalan yang patut kita tanya diri sendiri?
13 Oleh sebab kita tahu kita hidup pada hari-hari terakhir, hal itu dapat membantu kita mempunyai keutamaan hidup yang betul. Perhatikan perumpamaan Yesus di Lukas 12:15-21. (Baca.) Mengapakah lelaki yang kaya itu dipanggil “orang yang tidak munasabah”? Hal ini kerana dia tidak mempunyai keutamaan hidup yang betul. Dia menggunakan masanya untuk “menyimpan harta untuk diri sendiri tetapi tidak kaya di mata Tuhan.” Namun, Tuhan berkata kepadanya, “Malam ini engkau akan kehilangan nyawamu.” Jadi usahanya sia-sia sahaja kerana dia tidak menggunakan masanya yang tertinggal dengan bijak. Tidak lama lagi, sistem dunia ini akan dimusnahkan. Jadi kita patut tanya diri, “Adakah matlamat saya menunjukkan bahawa saya mempunyai keutamaan hidup yang betul? Adakah saya menggalakkan anak-anak saya untuk mempunyai matlamat rohani? Adakah saya menggunakan masa, tenaga, dan wang saya untuk mengumpulkan harta bagi diri sendiri, atau mengumpulkan harta di syurga?”
14. Bagaimanakah kebenaran bahawa kita hidup pada hari-hari terakhir mempengaruhi keutamaan hidup kita? Berikan contoh.
14 Kebenaran bahawa kita hidup pada hari-hari terakhir dapat membantu kita memilih keutamaan hidup yang betul. Itulah yang berlaku kepada seorang saudari yang bernama Miki. Dia berkata, “Selepas tamat sekolah, saya mahu melanjutkan pendidikan di universiti dan belajar lebih banyak tentang binatang. Saya juga ada matlamat untuk menjadi perintis biasa dan berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan. Ada saudara saudari di sidang saya menggalakkan saya untuk berfikir secara mendalam sama ada realistik bagi saya untuk melakukan kedua-duanya pada masa yang sama. Mereka mengingatkan saya bahawa sistem yang jahat ini akan dimusnahkan tidak lama lagi. Sebaliknya di dunia baharu, saya dapat belajar tentang binatang buat selama-lamanya. Oleh itu, saya memilih untuk mengikuti sebuah kursus yang pendek, yang membolehkan saya mendapat kerja dan mempunyai masa yang cukup untuk merintis. Kemudian, saya berpindah ke Ecuador dan berkhidmat di tempat yang memerlukan lebih banyak bantuan.” Sekarang, Miki dan suaminya berkhidmat dalam kerja litar di negara itu.
15. Patutkah kita berputus asa terhadap orang yang tidak menyambut berita baik sekarang? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)
15 Kita tidak patut berasa tawar hati jika orang menolak berita baik pada mulanya. Hal ini kerana orang boleh berubah. Perhatikan contoh Yakobus, adik Yesus. Seraya mereka membesar bersama, Yakobus melihat Yesus menjadi Mesias dan mengajar orang dengan mahir. Walaupun begitu, selama bertahun-tahun, Yakobus tidak menjadi pengikut Yesus. Hanya selepas Yesus dibangkitkan, barulah Yakobus menjadi pengikut Yesus yang bersemangat.b (Yoh. 7:5; Gal. 2:9) Maka, adalah penting untuk tidak berputus asa terhadap saudara-mara atau orang lain yang tidak menunjukkan minat pada mulanya. Ingatlah bahawa kerja menginjil sangat penting kerana kita hidup pada hari-hari terakhir. Apa yang kita katakan sekarang mungkin akan membantu mereka menerima berita baik pada masa depan, bahkan selepas kesengsaraan besar bermula.c
Apakah yang dapat membantu kita tidak berputus asa terhadap ahli keluarga yang tidak seiman? (Lihat perenggan 15)e
SENTIASA MENGHARGAI PERINGATAN DARIPADA YEHUWA
16. Bagaimanakah makanan rohani yang asas dapat membantu anda? (Lihat juga kotak “Gunakan Makanan Rohani yang Asas untuk Membantu Orang.”)
16 Sesetengah makanan rohani yang kita terima disediakan untuk orang yang tidak pernah mendengar ajaran asas Bible. Sebagai contoh, ceramah umum, majalah umum, serta sesetengah video dan rencana di jw.org disediakan untuk orang yang bukan Saksi. Biarpun begitu, makanan rohani yang asas dapat membantu kita mempunyai kasih yang lebih mendalam untuk Yehuwa, menguatkan iman kita terhadap Firman-Nya, dan membantu kita menjadi guru yang lebih efektif.—Mzm. 19:7.
17. Apakah tiga ajaran asas Bible yang patut kita renungkan?
17 Apabila kita menerima pemahaman baharu tentang kebenaran Bible, kita sangat teruja. Tetapi kita juga sangat bersyukur kerana dapat belajar ajaran asas Bible. Jika kita tergoda untuk berkeras dengan pandangan kita dan berasa susah untuk mengikut arahan, kita mahu tetap rendah hati dan ingat bahawa yang membimbing organisasi kita ialah Pencipta kita yang Maha Bijaksana dan Maha Kuasa. Jika kita atau orang tersayang kita menderita, kita mahu bersabar dan merenungkan mengapa Yehuwa mengizinkan penderitaan. Selain itu, jika kita ingat bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir, kita akan menggunakan masa, tenaga, dan wang kita dengan bijak. Semoga peringatan Yehuwa terus menguatkan kita, mendorong kita, dan menjadikan kita bijak!
LAGU 95 Cahaya Rohani Kian Terang
a Lihat rencana “Mengapa Semua Penderitaan Segera Berakhir” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 15 Mei 2007, ms. 21-25.
c Lihat rencana “Apakah yang Kita Tahu tentang Penghakiman Yehuwa pada Masa Depan?” dalam Menara Pengawal terbitan Mei 2024, ms. 8-13.
d KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua mengongsi cadangannya, tetapi cadangan itu tidak disetujui oleh badan penatua. Pada malam itu, dia memandang ke langit yang penuh dengan bintang dan merenungkan bahawa fikiran dan kehendak Yehuwa lebih penting daripada fikirannya sendiri.
e KETERANGAN GAMBAR: Semasa melakukan pembelajaran peribadi, seorang Saksi mengkaji bukti bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Hal ini mendorongnya untuk menelefon dan menginjil kepada kakaknya.