PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 Julai ms. 20-25
  • Sudahkah Anda “Mempelajari Rahsia untuk Berpuas Hati”?

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Sudahkah Anda “Mempelajari Rahsia untuk Berpuas Hati”?
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • MEMUPUK PENGHARGAAN
  • BERTUMPU KEPADA YEHUWA DAN BERSIKAP RENDAH HATI
  • MERENUNGKAN HARAPAN MASA DEPAN
  • “ORANG YANG TAKUT KEPADA-NYA TIDAK AKAN BERKEKURANGAN”
  • Akuilah bahawa Kita Tidak Mengetahui Segala-Galanya
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Ingatlah bahawa Yehuwa Ialah “Tuhan yang Hidup”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Bergantung pada Yehuwa semasa Membuat Keputusan
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2023
  • Dapatkah Anda Membezakan Kebenaran daripada Kepalsuan?
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 Julai ms. 20-25

RENCANA PEMBELAJARAN 31

LAGU 111 Sebab-Sebab Kita Bersukacita

Sudahkah Anda “Mempelajari Rahsia untuk Berpuas Hati”?

“Aku sudah belajar untuk berpuas hati dengan apa yang aku miliki dalam apa jua keadaan.”​—FLP. 4:11.

FOKUS

Belajar untuk berpuas hati dengan memupuk penghargaan, bertumpu kepada Yehuwa dan bersikap rendah hati, dan merenungkan harapan masa depan.

1. Apakah maksud berpuas hati?

ADAKAH anda seorang yang berpuas hati? Seseorang yang berpuas hati menikmati sukacita dan ketenangan minda kerana menghargai segala yang telah diberikan oleh Yehuwa kepadanya. Dia tidak akan berasa marah kerana tidak memiliki apa yang dia inginkan. Namun, bersikap puas hati tidak bermaksud bersikap acuh tak acuh. Contohnya, seorang Kristian akan berusaha untuk meluaskan khidmatnya kepada Yehuwa. (Rm. 12:1; 1 Tim. 3:1) Pada masa yang sama, dia tidak akan hilang sukacita semata-mata kerana tidak menerima sesuatu tugasan yang diinginkannya.

2. Mengapakah sikap tidak berpuas hati begitu bahaya?

2 Sikap tidak berpuas hati boleh menyebabkan kita membuat keputusan yang buruk. Contohnya, orang yang tidak puas hati dengan apa yang mereka miliki mungkin selalu bekerja lebih masa untuk membeli barang yang mereka tidak perlukan. Sedihnya, sesetengah orang Kristian bahkan telah mencuri duit atau benda lain yang mereka inginkan. Mereka mungkin berfikir, “Saya layak menerimanya,” “Saya mahu barang ini sekarang juga,” atau “Saya akan memulangkan duit itu pada kemudian hari.” Namun, perbuatan mencuri tidak menyenangkan hati Yehuwa dan mengaibkan nama-Nya. (Ams. 30:9) Ada orang Kristian pula begitu kecewa kerana tidak diberikan peluang berkhidmat yang diinginkan sehingga berhenti menyembah Yehuwa. (Gal. 6:9) Mengapakah mereka sanggup berbuat demikian? Hal ini kerana mereka mungkin tidak lagi bersikap puas hati.

3. Bagaimanakah kata-kata Paulus di Filipi 4:​11, 12 menggalakkan kita?

3 Paulus menulis bahawa dia telah “belajar untuk berpuas hati dengan apa yang [dia] miliki dalam apa jua keadaan.” (Baca Filipi 4:​11, 12.) Hal ini menggalakkan kita kerana kita semua dapat belajar untuk bersikap puas hati. Dia menulis kata-katanya itu semasa di penjara. Biarpun begitu, dia tidak hilang sukacita. Mengapa? Kerana dia “sudah mempelajari rahsia untuk berpuas hati.” Jadi, jika kita bergelut untuk bersikap puas hati, kata-kata dan pengalaman Paulus dapat menggalakkan kita. Namun, kita mesti belajar untuk bersikap puas hati kerana hal ini tidak datang secara semula jadi. Mari kita bincangkan tiga hal yang dapat membantu kita.

MEMUPUK PENGHARGAAN

4. Bagaimanakah memupuk penghargaan dapat bantu kita bersikap puas hati? Berikan contoh. (1 Tesalonika 5:18)

4 Memupuk penghargaan, atau kesyukuran, dapat bantu kita bersikap puas hati. (Baca 1 Tesalonika 5:18.) Contohnya, jika kita bersyukur kerana mempunyai keperluan asas, kita tidak akan terlalu risau tentang apa yang tidak kita miliki. Jika kita menghargai khidmat kita sekarang, kita akan melakukan yang terbaik dan tidak terlalu risau tentang khidmat lain yang kita inginkan. Itulah sebabnya Bible menggalakkan kita untuk mengucapkan syukur kepada Yehuwa melalui doa. Dengan berbuat demikian, kita akan menikmati “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.”—Flp. 4:​6, 7.

5. Apakah yang dapat membantu orang Israel bersikap puas hati? (Lihat juga gambar.)

5 Orang Israel sering bersungut-sungut terhadap Yehuwa tentang makanan. (Bil. 11:​4-6) Memang, kehidupan di padang belantara tidak senang. Apakah yang dapat membantu orang Israel bersikap puas hati? Mereka sepatutnya merenungkan mukjizat yang telah Yehuwa lakukan untuk mereka. Contohnya, Yehuwa telah menyelamatkan mereka daripada perhambaan dengan mendatangkan Sepuluh Tulah ke atas Mesir. Selepas dibebaskan, mereka “menjarah harta orang Mesir.” Mereka meminta “barang perak dan emas serta pakaian daripada orang Mesir.” (Kel. 12:​35, 36) Apabila mereka dikejar musuh sehingga ke Laut Merah, Yehuwa membelah laut agar mereka dapat berjalan di atas tanah kering. Semasa mereka di padang belantara, Yehuwa memberi mereka manna sebagai makanan setiap hari. Jadi, apakah sebenarnya masalah orang Israel? Mereka bersungut-sungut, bukan kerana tiada makanan, tetapi kerana mereka tidak menghargai apa yang telah Yehuwa lakukan bagi mereka.

Sekumpulan orang Israel bersungut-sungut kepada Musa kerana mereka tidak puas hati dengan manna yang dikumpulkan. Orang Israel lain yang ada dekat mereka terus mengumpulkan manna sambil melihat apa yang berlaku.

Mengapakah orang Israel menjadi tidak puas hati? (Lihat perenggan 5)


6. Bagaimanakah kita dapat memupuk penghargaan?

6 Untuk memupuk penghargaan, fikirkan tiga cara berikut. Satu, bertumpulah kepada hal-hal baik yang anda nikmati setiap hari. Catatkan dua atau tiga hal yang buat anda gembira. (Rat. 3:​22, 23) Dua, tunjukkanlah penghargaan anda. Ucapkan terima kasih kepada orang yang telah membantu anda dan ucapkan syukur kepada Yehuwa setiap hari. (Mzm. 75:1) Tiga, pilihlah kawan yang sering menunjukkan penghargaan kerana sikap tidak berpuas hati mudah berjangkit. (Ul. 1:​26-28; 2 Tim. 3:​1, 2, 5) Jika kita selalu menunjukkan penghargaan, kita dapat belajar untuk bersikap puas hati.

7. Bagaimanakah Aci memupuk penghargaan? Apakah hasilnya?

7 Perhatikan apa yang berlaku kepada Aci yang tinggal di Indonesia. Dia berkata, “Semasa pandemik COVID-19 melanda, saya mula membandingkan situasi saya dengan rakan seiman saya. Akibatnya, saya menjadi sangat tidak puas hati.” (Gal. 6:4) Apakah yang membantu Aci untuk mengubah fikirannya? Dia berkata, “Saya mula menghitung berkat yang saya terima setiap hari dan merenungkan hal-hal baik yang saya nikmati kerana menjadi sebahagian daripada organisasi Yehuwa. Kemudian, saya meluahkan penghargaan saya kepada Yehuwa. Hasilnya, saya betul-betul berasa puas hati.” Jika anda mempunyai fikiran yang negatif, tirulah contoh Aci agar anda dapat memupuk penghargaan dan bersikap puas hati.

BERTUMPU KEPADA YEHUWA DAN BERSIKAP RENDAH HATI

8. Apakah yang berlaku kepada Barukh?

8 Barukh ialah setiausaha Yeremia. Tugasan Barukh agak mencabar kerana dia harus membantu Yeremia menyampaikan mesej penghakiman Tuhan kepada orang Israel yang memberontak terhadap-Nya. Buat suatu masa, Barukh tidak puas hati dengan situasi hidupnya. Dia tidak lagi bertumpu kepada tugasannya tetapi mula bertumpu kepada dirinya dan keinginannya. Melalui Yeremia, Yehuwa memberitahu Barukh, “Engkau pula sibuk memburu kejayaan. Jangan lakukan hal itu lagi.” (Yer. 45:​3-5) Dalam erti kata lain, Yehuwa sedang memberitahunya, “Berpuas hatilah dengan hidup kamu sekarang.” Barukh menerima nasihat Yehuwa dan terus menerima perkenan-Nya.

9. Apakah yang dapat kita belajar daripada 1 Korintus 4:​6, 7? (Lihat juga gambar.)

9 Ada kalanya, seorang Kristian mungkin berasa bahawa dia patut diberikan suatu tugasan. Dia mungkin sangat mahir, rajin, dan berpengalaman. Namun, orang lain pula menerima tugasan yang diinginkannya. Apakah yang dapat membantunya mempunyai pandangan yang seimbang? Dia dapat merenungkan kata-kata Paulus di 1 Korintus 4:​6, 7. (Baca.) Setiap tugasan dan kebolehan kita datang daripada Yehuwa. Yehuwa tidak memberi kita semua ini kerana kita lebih istimewa daripada orang lain. Sebaliknya, Yehuwa mengurniakan semua ini kerana Dia baik hati dan mengasihi kita.​—Rm. 12:​3, 6; Ef. 2:​8, 9.

Kolaj: Saudara dan saudari yang menikmati khidmat tertentu. 1. Seorang saudara memeriksa tekanan paip di sebuah bangunan teokratik. 2. Seorang saudari ditemu ramah oleh seorang saudara di perhimpunan litar bahasa isyarat. 3. Seorang saudara menyampaikan ceramah di perjumpaan.

Segala yang kita miliki ialah kurniaan daripada Yehuwa kerana Dia baik hati dan mengasihi kita (Lihat perenggan 9)b


10. Bagaimanakah kita dapat memupuk kerendahan hati?

10 Kita dapat memupuk kerendahan hati dengan merenungkan teladan Yesus yang sempurna. (Yoh. 13:15) Perhatikan apa yang ditulis oleh Yohanes tentang kedudukan Yesus. Yohanes menulis, “Yesus tahu bahawa [1] Bapa telah menyerahkan segala-galanya ke dalam tangannya. Dia juga tahu bahawa [2] dia berasal daripada Tuhan dan [3] akan pergi kepada Tuhan.” Sebenarnya, Yesus layak menyuruh murid-muridnya untuk membasuh kakinya kerana dia ialah Anak Tuhan dan mempunyai kedudukan yang tinggi. Tetapi Bible kata bahawa dialah yang “membasuh kaki murid-muridnya.” (Yoh. 13:​3-5) Sepanjang kehidupannya di bumi, Yesus tidak pernah berasa bahawa dia perlu menikmati kehidupan yang selesa dan makmur. (Luk. 9:58) Sebaliknya, dia rendah hati dan berpuas hati dengan kehidupannya.

11. Bagaimanakah kerendahan hati membantu Dennis untuk berpuas hati?

11 Dennis, seorang saudara dari Belanda, berusaha untuk meniru kerendahan hati Yesus. Tetapi hal ini tidak mudah baginya. Dia berkata, “Bila seseorang mendapat tugasan yang saya mahu, saya ada kalanya berasa kecewa kerana saya fikir bahawa saya yang patut mendapat tugasan itu. Bila saya sedar saya berasa begitu, saya akan mengkaji tentang sikap rendah hati. Dalam aplikasi JW Library®, saya menggunakan fungsi tag untuk mengumpulkan beberapa ayat Bible tentang kerendahan hati supaya saya dapat mencarinya dengan senang dan membacanya semula. Saya juga telah muat turun beberapa ceramah tentang kerendahan hati dalam telefon saya supaya saya dapat selalu mendengarnya.a Saya belajar bahawa Yehuwa memberi kita tugasan untuk memuliakan-Nya, dan bukannya diri sendiri. Kita dapat berjaya hanya kerana Dia membantu kita.” Jika anda mula berasa tidak puas hati dengan sesuatu situasi, ambillah langkah untuk memupuk kerendahan hati. Hal ini akan menguatkan persahabatan anda dengan Yehuwa dan membantu anda berasa puas hati.​—Yak. 4:​6, 8.

MERENUNGKAN HARAPAN MASA DEPAN

12. Apakah harapan Bible tentang masa depan yang dapat membantu kita berpuas hati? (Yesaya 65:​21-25)

12 Satu lagi cara kita dapat belajar untuk berpuas hati adalah dengan merenungkan harapan masa depan kita. Dalam buku Yesaya, Yehuwa memberitahu kita bahawa Dia tahu kita ada banyak masalah. Tetapi, Dia juga berjanji bahawa Dia akan menyingkirkan semua masalah kita. (Baca Yesaya 65:​21-25.) Kita akan mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa. Kita juga akan mempunyai kerja yang memuaskan, dan kita akan makan makanan yang sedap dan sihat. Selain itu, kita tidak lagi perlu risau tentang bahaya yang mungkin menimpa kita atau anak-anak kita. (Yes. 32:​17, 18; Yeh. 34:25) Sememangnya, Yehuwa telah memberi kita harapan masa depan yang menakjubkan!

13. Hari ini, mengapakah penting bagi kita untuk merenungkan harapan masa depan kita?

13 Kita hidup pada “hari-hari terakhir” dan kita semua ada masalah “yang sukar dihadapi.” (2 Tim. 3:1) Yehuwa membantu kita bertabah setiap hari dengan memberi kita bimbingan, kekuatan, dan sokongan yang kita perlukan. (Mzm. 145:14) Selain itu, harapan masa depan dapat membantu kita, terutamanya semasa kita menghadapi cabaran. Contohnya, biarpun anda bekerja keras, anda mungkin masih bergelut untuk menyediakan keperluan asas keluarga anda. Adakah anda akan hidup miskin buat selama-lamanya? Tidak! Yehuwa telah berjanji untuk memberkati anda dengan melimpah di Firdaus. (Mzm. 9:18; 72:​12-14) Atau anda mungkin menderita akibat penyakit serius, kemurungan, atau masalah kesihatan yang lain. Adakah anda perlu sengsara buat selama-lamanya? Tidak! Yehuwa berjanji untuk melenyapkan kematian dan penyakit di Firdaus. (Why. 21:​3, 4) Harapan Bible dapat membantu kita tetap bersukacita sekarang, biarpun kita kehilangan orang tersayang dalam kematian, dilayan dengan buruk, atau menghadapi masalah lain. Mengapa? Kerana tidak kira betapa besarnya masalah kita sekarang, kita tahu bahawa “kesengsaraan yang kita hadapi hanyalah sementara.” Ya, Firdaus akan tiba tidak lama lagi!​—2 Kor. 4:​17, 18.

14. Bagaimanakah kita dapat menguatkan iman kita terhadap harapan yang dijanjikan Tuhan?

14 Bagaimanakah kita dapat menguatkan iman terhadap harapan kita? Seseorang yang rabun jauh perlu memakai cermin mata untuk melihat dengan jelas. Begitu juga, kita perlu mengambil langkah tertentu untuk melihat harapan masa depan dengan jelas. Contohnya, apabila kita risau tentang keadaan kewangan kita, kita boleh bayangkan kehidupan di Firdaus semasa wang tidak lagi diperlukan dan tiada masalah kemiskinan. Apabila kita risau kerana kita tidak dapat tugasan yang diinginkan, kita boleh ingat bahawa semua ini tidak lagi penting semasa kita sudah hidup sempurna dan menyembah Yehuwa selama ribuan tahun. (1 Tim. 6:19) Memang tidak dapat dinafikan bahawa kerisauan boleh membuat kita berasa susah untuk merenungkan harapan kita. Tetapi semakin kerap kita merenungkan harapan kita, semakin senang bagi kita untuk bertumpu kepada janji Yehuwa dan bukannya masalah kita.

15. Apakah yang dapat anda belajar daripada pengalaman Christa?

15 Kita dapat belajar daripada pengalaman Christa. Dia isteri Dennis, yang disebut sebelum ini. Christa kata, “Saya ada penyakit otot yang serius dan badan saya sakit setiap hari. Saya perlu guna kerusi roda dan kebanyakan masa saya terpaksa berbaring di katil. Baru-baru ini, doktor beritahu saya bahawa saya tiada harapan untuk sembuh. Tapi pandangan saya tentang masa depan sangat berbeza daripada pandangan doktor. Saya bertumpu kepada harapan masa depan yang memberi saya ketenangan minda. Walaupun saya perlu bertabah sekarang, saya akan menikmati hidup dengan sepenuhnya di dunia baru nanti!”

“ORANG YANG TAKUT KEPADA-NYA TIDAK AKAN BERKEKURANGAN”

16. Mengapakah Daud menulis bahawa orang yang takut kepada Yehuwa “tidak akan berkekurangan”?

16 Selepas belajar rahsia untuk berpuas hati, adakah hal itu bermaksud kita tidak akan menghadapi apa-apa masalah? Tidak! Perhatikan contoh Raja Daud. Dia kehilangan sekurang-kurangnya tiga orang anaknya. Dia juga diburu oleh Saul selama bertahun-tahun, difitnah, dan dikhianati orang. Namun, walaupun dia masih menghadapi cabaran, dia berpuas hati dan dapat berkata, “Orang yang takut kepada [Yehuwa] tidak akan berkekurangan.” (Mzm. 34:​9, 10) Sebagai umat Tuhan, kita tidak mengharapkan kehidupan yang bebas daripada masalah dalam dunia hari ini. Tetapi seperti Daud, kita yakin bahawa Yehuwa pasti menyokong kita dan menjaga keperluan kita. (Mzm. 145:16) Maka, tidak kira apa cabaran yang kita hadapi, kita dapat tetap bersukacita dan berpuas hati.

17. Mengapakah anda bertekad untuk belajar rahsia berpuas hati?

17 Yehuwa mahu anda berpuas hati. Maka, bertekadlah untuk terus belajar rahsia berpuas hati. Jika anda memupuk penghargaan, bertumpu kepada Yehuwa dan tetap bersikap rendah hati, dan merenungkan harapan masa depan, anda dapat berkata dengan yakin, “Aku berasa puas hati.”​—Mzm. 131:​1, 2.

BAGAIMANAKAH HAL YANG BERIKUT DAPAT MEMBANTU ANDA BERSIKAP PUAS HATI?

  • Memupuk penghargaan

  • Bertumpu kepada Yehuwa dan bersikap rendah hati

  • Merenungkan harapan masa depan

LAGU 118 “Berilah Kami Lebih Banyak Iman”

a Sebagai contoh, sila tonton program Penyembahan Pagi yang bertajuk Yehuwa Mengambil Berat terhadap Orang yang Rendah Hati dan Keangkuhan Mengakibatkan Kemusnahan di jw.org.

b KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah bangunan teokratik, seorang saudari yang berkhidmat di sidang bahasa isyarat ditemu ramah di perhimpunan litar, dan seorang saudara menyampaikan ceramah umum.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi