PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 September ms. 8-13
  • Cara Terbaik untuk Menghadapi Ketidakadilan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Cara Terbaik untuk Menghadapi Ketidakadilan
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • YEHUWA DAN YESUS MEMBENCI KETIDAKADILAN
  • APAKAH REAKSI YESUS TERHADAP KETIDAKADILAN?
  • TIRULAH TELADAN YESUS SEMASA MENGHADAPI KETIDAKADILAN
  • APAKAH YANG DAPAT KITA LAKUKAN SEKARANG?
  • Cara Menghadapi Ketidakadilan
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Adakah Seruan untuk Meminta Keadilan Akan Dijawab?
    Topik-Topik Lain
  • Jawapan Bible
    Menara Pengawal—2014
  • “Adakah Tuhan Tidak Adil?”
    Hampirilah Yehuwa
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 September ms. 8-13

RENCANA PEMBELAJARAN 37

LAGU 114 Bersabarlah

Cara Terbaik untuk Menghadapi Ketidakadilan

“Dia mengharapkan mereka berlaku adil, tetapi mereka berlaku tidak adil.”​—YES. 5:7.

FOKUS

Bagaimana teladan Yesus membantu kita menghadapi ketidakadilan dalam cara yang menyenangkan hati Yehuwa.

1-2. Apakah reaksi ramai orang terhadap ketidakadilan? Apakah soalan yang mungkin ditanya?

DUNIA kita penuh dengan ketidakadilan. Orang mungkin dilayan dengan tidak adil kerana keadaan kewangan, jantina, atau bangsa mereka. Selain itu, ramai orang menderita kerana ketamakan ahli niaga dan ahli politik. Sememangnya, ketidakadilan mempengaruhi kita semua secara langsung atau tidak langsung.

2 Ramai orang berasa tawar hati dan marah terhadap ketidakadilan. Semua orang ingin hidup di dunia yang adil dan selamat. Oleh itu, sesetengah orang terlibat dalam gerakan sosial; mereka menyertai protes dan menyokong pemimpin politik yang berjanji untuk melawan ketidakadilan. Namun, sebagai orang Kristian, kita “bukan sebahagian daripada dunia” dan kita menantikan Kerajaan Tuhan untuk melenyapkan semua ketidakadilan. (Yoh. 17:16) Biarpun begitu, kita mungkin tertanya-tanya, “Apakah seharusnya reaksi saya terhadap ketidakadilan? Dapatkah saya melakukan apa-apa sekarang?” Kita akan membincangkan jawapannya dalam rencana ini. Mula-mula, mari kita lihat perasaan Yehuwa dan Yesus terhadap ketidakadilan.

YEHUWA DAN YESUS MEMBENCI KETIDAKADILAN

3. Mengapakah kita membenci ketidakadilan? (Yesaya 5:7)

3 Bible memberitahu kita bahawa Yehuwa “mencintai keadilan dan kejujuran.” Memandangkan kita diciptakan menurut gambaran Yehuwa, kita membenci ketidakadilan. (Mzm. 33:5; Kej. 1:26) Yehuwa selalu bertindak dengan adil dan Dia mahu kita meniru teladan-Nya. (Ul. 32:​3, 4; Mi. 6:8; Za. 7:9) Pada zaman Nabi Yesaya, banyak orang Israel dilayan dengan buruk. Bible memberitahu kita bahawa Yehuwa mendengar ‘raungan mangsa-mangsa’ itu. (Baca Yesaya 5:7.) Yehuwa bertindak dengan menghukum orang yang berulang kali melanggar perintah-Nya dan melayan orang lain dengan tidak adil.​—Yes. 5:​5, 13.

4. Apakah perasaan Yesus terhadap ketidakadilan? (Lihat juga gambar.)

4 Seperti Yehuwa, Yesus juga mencintai keadilan dan membenci ketidakadilan. Pernah sekali, Yesus nampak seorang lelaki yang sebelah tangannya lumpuh. Yesus berasa kasihan terhadapnya dan tergerak untuk menyembuhkannya. Namun, apabila pemimpin agama melihat hal itu, mereka menjadi sangat marah. Mereka menuduh Yesus melanggar hukum Sabat kerana menyembuhkan lelaki itu. Mereka langsung tidak prihatin tentang lelaki itu. Apakah perasaan Yesus terhadap reaksi mereka? Dia “berasa sangat sedih kerana hati mereka tidak peka.”​—Mrk. 3:​1-6.

Yesus berada di rumah ibadat dan bercakap dengan para pemimpin agama sebelum menyembuhkan seorang lelaki yang tangannya lumpuh. Para pemimpin agama memandang Yesus dengan penuh kebencian.

Para pemimpin agama melayan orang dengan tidak adil, tetapi Yesus mengasihi orang dan membantu mereka (Lihat perenggan 4)


5. Mengapakah kita tidak patut terus berasa marah apabila ketidakadilan berlaku?

5 Memandangkan Yehuwa dan Yesus berasa marah apabila ketidakadilan berlaku, memang tidak salah bagi kita untuk berasa marah juga. (Ef. 4:26) Namun, kita tidak mahu terus berasa marah, atau dikuasai kemarahan, kerana hal itu tidak akan menyelesaikan masalah ketidakadilan. Jika kita terus berasa marah, hal itu akan memudaratkan kita secara emosi dan fizikal. (Mzm. 37:​1, 8; Yak. 1:20) Jadi, bagaimanakah kita harus menangani ketidakadilan? Mari kita belajar daripada teladan Yesus.

APAKAH REAKSI YESUS TERHADAP KETIDAKADILAN?

6. Apakah ketidakadilan yang dihadapi oleh orang Yahudi semasa Yesus di bumi? (Lihat juga gambar.)

6 Yesus nampak ramai orang Yahudi dilayan dengan tidak adil semasa dia di bumi. Dia menyaksikan orang biasa ditindas oleh pemimpin agama. (Mat. 23:​2-4) Dia juga tahu pihak berkuasa Roma melayan orang dengan buruk. Oleh itu, ramai orang Yahudi ingin dibebaskan daripada kuasa Roma. Sesetengah orang, seperti kumpulan Zealot, bahkan sanggup berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Namun, Yesus tidak memulakan atau menyokong mana-mana gerakan sosial. Apabila Yesus mendapati orang ingin menjadikannya raja, Yesus segera beredar dari situ.​—Yoh. 6:15.

Yesus berjalan seorang diri di gunung. Banyak orang berada di kaki gunung.

Apabila orang ingin menjadikan Yesus raja, dia beredar dari situ (Lihat perenggan 6)


7-8. Mengapakah Yesus tidak cuba untuk menyingkirkan ketidakadilan semasa dia di bumi? (Yohanes 18:36)

7 Semasa Yesus di bumi, dia tidak melibatkan diri dalam sistem politik zamannya untuk menyingkirkan ketidakadilan. Mengapa? Dia tahu manusia tidak mempunyai hak atau kebolehan untuk memerintah diri sendiri. (Mzm. 146:3; Yer. 10:23) Mereka juga tidak dapat menyingkirkan punca ketidakadilan, iaitu Syaitan dan ketidaksempurnaan manusia. Syaitan Si Iblis ialah penguasa dunia ini. Dia kejam dan banyak orang di dunia terikut-ikut sikap buruknya. (Yoh. 8:44; Ef. 2:2) Disebabkan ketidaksempurnaan, bahkan orang yang baik pun tidak dapat menyelesaikan masalah dunia ini kerana mereka tidak dapat sentiasa melakukan apa yang adil.​—Pkh. 7:20.

8 Yesus tahu bahawa hanya Kerajaan Tuhan yang dapat menyingkirkan punca ketidakadilan dengan sepenuhnya. Itulah sebabnya dia menggunakan masa dan tenaganya untuk “menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan.” (Luk. 8:1) Dia meyakinkan “orang yang lapar dan haus akan keadilan” bahawa penderitaan dan semua hal buruk akan berakhir. (Mat. 5:6; Luk. 18:​7, 8) Namun, hal itu tidak akan dibawa melalui gerakan sosial tetapi melalui pemerintahan Kerajaan Tuhan yang “bukan sebahagian daripada dunia ini.”​—Baca Yohanes 18:36.

TIRULAH TELADAN YESUS SEMASA MENGHADAPI KETIDAKADILAN

9. Apakah yang meyakinkan anda bahawa hanya Kerajaan Tuhan yang akan menyingkirkan semua ketidakadilan?

9 Hari ini, kita nampak lebih banyak ketidakadilan berbanding Yesus semasa dia di bumi. Pada “hari-hari terakhir” ini, punca ketidakadilan masih sama, iaitu Syaitan dan ketidaksempurnaan manusia. (2 Tim. 3:​1-5, 13; Why. 12:12) Seperti Yesus, kita tahu hanya Kerajaan Tuhan yang akan menyingkirkan ketidakadilan. Oleh sebab kita menyokong Kerajaan Tuhan, kita tidak terlibat dalam protes, rusuhan, atau hal-hal lain untuk melawan ketidakadilan. Perhatikan pengalaman Saudari Stacy.a Sebelum dia belajar kebenaran, Stacy sering menyertai gerakan sosial. Namun, dia mula berasa usahanya sia-sia sahaja. Dia berkata, “Apabila saya menyertai protes, saya tertanya-tanya sama ada saya berada di pihak yang betul atau tidak. Tetapi oleh sebab sekarang saya menyokong Kerajaan Tuhan, saya yakin saya melakukan hal yang betul. Saya tahu Yehuwa akan mengakhiri semua penderitaan dan saya tidak dapat melakukan hal itu.”​—Mzm. 72:​1, 4.

10. Mengapakah gerakan sosial tidak selaras dengan nasihat Yesus di Matius 5:​43-48? (Lihat juga gambar.)

10 Banyak orang hari ini menyertai gerakan sosial untuk membawa perubahan. Tetapi sering kali, mereka dikuasai kemarahan, melanggar undang-undang, dan mencederakan orang lain. Semua ini tidak selaras dengan ajaran Yesus. (Ef. 4:31) Seorang saudara yang bernama Jeffrey berkata, “Saya tahu bahawa protes yang nampaknya aman dapat berubah menjadi ganas dalam sekelip mata. Orang yang menyertai protes bahkan merosakkan dan mencuri harta milik orang lain.” Namun, Yesus mahu kita mengasihi semua orang, termasuk orang yang tidak setuju dengan pandangan kita atau yang menganiaya kita. (Baca Matius 5:​43-48.) Sebagai orang Kristian, kita mahu berusaha untuk hidup selaras dengan ajaran Yesus.

Sekumpulan orang sedang memprotes. Seorang saudari berjalan menjauhi mereka dengan tenang.

Kita memerlukan keberanian untuk tetap berpendirian neutral dalam isu politik dan sosial (Lihat perenggan 10)


11. Mengapakah kita kadangkala susah untuk meniru teladan Yesus?

11 Kita tahu bahawa Kerajaan Tuhan akan mengakhiri semua penderitaan. Namun, apabila kita dilayan dengan tidak adil, kita mungkin berasa susah untuk meniru teladan Yesus. Perhatikan pengalaman Janiya yang dilayan dengan tidak adil. Dia berkata, “Saya berasa kecewa. Saya juga sangat marah dan ingin orang yang melayan saya dengan buruk dijatuhkan hukuman. Kemudian, saya terfikir untuk menyokong gerakan yang melawan prasangka kaum dan diskriminasi. Bagi saya, itulah cara yang selamat untuk meluahkan kemarahan saya.” Namun tidak lama kemudian, Janiya sedar bahawa dia perlu mengubah pemikirannya. Dia berkata, “Oleh sebab saya membenarkan orang lain mempengaruhi pemikiran saya, saya mula mempercayai manusia dan bukannya Yehuwa. Jadi, saya memutuskan untuk tidak lagi bergaul dengan orang yang terlibat dalam gerakan itu.” Kita mesti berhati-hati agar tidak membenarkan kemarahan kita menyebabkan kita terlibat dalam hal ehwal politik dan sosial lalu menjadi tidak neutral.​—Yoh. 15:19.

12. Mengapakah kita patut memilih dengan bijak maklumat yang kita baca, tonton, atau dengar?

12 Apakah yang dapat bantu kita bertenang apabila berdepan dengan ketidakadilan? Satu hal yang dapat membantu kita ialah memilih dengan bijak maklumat yang kita baca, tonton, dan dengar. Sesetengah media sosial membesar-besarkan cerita orang yang dilayan dengan tidak adil dan menggalakkan gerakan sosial. Syarikat media dan organisasi lain pula mungkin melaporkan suatu berita dalam cara yang menyokong pendirian politik mereka atau kepentingan diri sendiri. Biarpun berita yang dilaporkan itu benar, jika kita terlalu bertumpu kepada maklumat sedemikian, hal itu hanya akan membuat kita lebih tawar hati dan marah. (Ams. 24:10) Lebih teruk lagi, kita mungkin lupa bahawa Kerajaan Tuhanlah yang akan menyelesaikan segala ketidakadilan di dunia ini.

13. Bagaimanakah tabiat pembacaan Bible yang baik membantu kita mempunyai pandangan yang betul terhadap ketidakadilan? Berikan contoh.

13 Tabiat pembacaan Bible yang baik dan perenungan dapat membantu kita mempunyai pandangan yang seimbang terhadap ketidakadilan. Perhatikan contoh Saudari Alia. Dia nampak sesetengah orang di komunitinya dilayan dengan buruk, tetapi orang yang berbuat jahat itu tidak dihukum. Hal itu buat dia sangat marah. Dia berkata, “Saya sedar bahawa saya perlu mengubah pemikiran saya. Saya menanya diri, ‘Adakah saya benar-benar percaya bahawa Yehuwa akan menyelesaikan semua masalah ini?’ Pembacaan Bible saya pada masa itu ialah di buku Ayub dan saya membaca Ayub 34:​22-29. Ayat-ayat itu mengingatkan saya bahawa tiada apa-apa yang tersembunyi daripada Yehuwa. Hanya Yehuwa yang mempunyai keadilan yang sempurna dan Dia dapat menegakkan keadilan dengan sepenuhnya.” Sementara menantikan Kerajaan Tuhan untuk membawa keadilan sejati, apakah yang dapat kita lakukan sekarang?

APAKAH YANG DAPAT KITA LAKUKAN SEKARANG?

14. Apakah satu hal yang dapat kita lakukan sekarang? (Kolose 3:​10, 11)

14 Kita tidak dapat mengawal perbuatan orang lain yang tidak adil, tetapi satu hal yang kita dapat lakukan sekarang adalah mengawal perbuatan sendiri. Seperti yang dibincangkan, kita meniru teladan Yesus dengan menunjukkan kasih. Kasih sedemikian akan menggerakkan kita untuk melayan semua orang dengan hormat, termasuk orang yang melayan kita dengan tidak adil. (Mat. 7:12; Rm. 12:17) Yehuwa senang hati semasa kita melayan semua orang dengan baik hati dan adil.​—Baca Kolose 3:​10, 11.

15. Apakah cara terbaik untuk membantu orang menangani ketidakadilan? Mengapa?

15 Cara terbaik untuk membantu orang menangani ketidakadilan adalah dengan mengongsi kebenaran Bible dengan mereka. Mengapa? Kerana “pengetahuan tentang Yehuwa” dapat mengubah keperibadian seseorang. Seseorang yang dahulunya agresif dan ganas dapat berubah menjadi orang yang baik hati, pengasih, dan suka akan kedamaian. (Yes. 11:​6, 7, 9) Itulah pengalaman Jemal. Sebelum dia belajar tentang Yehuwa, dia menyertai kumpulan pemberontak untuk melawan kerajaan yang dia rasa menindas rakyat. Dia berkata, “Kamu tidak boleh memaksa orang untuk berubah. Tetapi apabila mereka belajar kebenaran Bible, mereka dapat berubah.” Apa yang Jemal belajar daripada Bible telah membantunya untuk membuat perubahan dan berhenti berperang. Jadi, semakin ramai orang yang belajar kebenaran Bible dan mengubah keperibadian mereka, semakin kurang orang yang akan menyumbang kepada ketidakadilan sekarang.

16. Mengapakah anda ingin memberitahu orang lain tentang Kerajaan Tuhan?

16 Seperti Yesus, kita ingin memberitahu orang lain bahawa Kerajaan Tuhan akan menyelesaikan semua masalah kita buat selama-lamanya. Harapan itu dapat menggalakkan orang yang mengalami ketidakadilan. (Yer. 29:11) Stacy, yang disebut sebelum ini, menjelaskan, “Selepas belajar kebenaran Bible, saya dibantu untuk menangani ketidakadilan yang saya nampak dan alami. Yehuwa menggunakan mesej Bible untuk melegakan hati saya.” Jika kita membuat persiapan yang baik dan yakin sepenuhnya akan ajaran Bible yang dibincangkan dalam rencana ini, kita akan lebih bersedia untuk mengongsi harapan Bible di sekolah atau di tempat kerja.b

17. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita menangani ketidakadilan sekarang?

17 Kita tahu kita akan menghadapi ketidakadilan selagi Syaitan ialah “pemerintah dunia ini.” Tetapi kita bukannya tidak berdaya atau tiada harapan sementara menantikan Syaitan “diusir.” (Yoh. 12:31) Melalui Bible, Yehuwa memberitahu kita mengapa ada begitu banyak penderitaan dan bahawa Dia mengambil berat terhadap mereka yang dilayan dengan tidak adil. (Mzm. 34:​17-19) Melalui Yesus, Yehuwa mengajar kita apa seharusnya reaksi kita terhadap ketidakadilan dan bagaimana Kerajaan Tuhan akan melenyapkan ketidakadilan buat selama-lamanya. (2 Ptr. 3:13) Sementara menantikan bumi ini dipenuhi dengan “keadilan dan kebaikan,” semoga kita terus menginjil dengan semangat yang berkobar-kobar.​—Yes. 9:7.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Mengapakah kita membenci ketidakadilan?

  • Mengapakah kita tidak menyokong usaha manusia untuk melawan ketidakadilan?

  • Apakah yang dapat kita lakukan semasa menghadapi ketidakadilan?

LAGU 158 Hari-Mu Tidak Akan Terlambat!

a Sesetengah nama telah diubah.

b Lihat juga lampiran A poin 24-27 dalam brosur Kasihi Orang​—Jadikanlah Mereka Pengikut Yesus.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi