PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 Oktober ms. 6-11
  • Yehuwa ialah ‘Sumber Kegembiraan Kita’

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Yehuwa ialah ‘Sumber Kegembiraan Kita’
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • SUMBER KEGEMBIRAAN DAN SUKACITA YANG SEJATI
  • JANGANLAH BIARKAN APA-APA MERAMPAS SUKACITA ANDA
  • Cara untuk Lebih Menikmati Kerja Penyebaran
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Akuilah bahawa Kita Tidak Mengetahui Segala-Galanya
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Nikmati Kebahagiaan yang Lebih Besar kerana Memberi
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Sukacita—Sifat daripada Tuhan
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2018
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 Oktober ms. 6-11

RENCANA PEMBELAJARAN 40

LAGU 111 Sebab-Sebab Kita Bersukacita

Yehuwa ialah ‘Sumber Kegembiraan Kita’

“Engkaulah sumber kegembiraanku yang berlimpah-limpah.”—MZM. 43:4.

FOKUS

Kita akan belajar hal-hal yang mungkin merampas sukacita kita dan bagaimana kita dapat meraih semula sukacita kita.

1-2. (a) Apakah perasaan banyak orang hari ini? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

SEMUA orang mahu hidup gembira. Namun, banyak orang hari ini rasa kosong, sedih, dan tidak dapat mencari sukacita yang berkekalan. Sesetengah umat Tuhan pun berasa begitu. Memandangkan kita hidup “pada hari-hari terakhir,” kita akan berdepan dengan situasi yang “sukar dihadapi,” dan hal itu mungkin buat kita berasa risau atau sedih.—2 Tim. 3:1.

2 Dalam rencana ini, kita akan bincangkan hal-hal yang mungkin merampas sukacita kita dan bagaimana kita dapat meraih semula sukacita kita. Tetapi mula-mula, mari kita kenal pasti Sumber kegembiraan dan sukacita yang sejati.

SUMBER KEGEMBIRAAN DAN SUKACITA YANG SEJATI

3. Apakah yang dapat kita belajar tentang Yehuwa daripada ciptaan-Nya? (Lihat juga gambar.)

3 Yehuwa selalu gembira dan Dia juga mahu kita gembira. Jadi, tidak hairanlah kita melihat sukacita Yehuwa melalui ciptaan-Nya, seperti bumi kita yang cantik, pelbagai warna yang indah, gelagat lucu binatang, dan makanan yang sedap. Sememangnya, Tuhan sangat mengasihi kita dan mahu kita menikmati hidup.

Kolaj: Gelagat lucu pelbagai binatang. 1. Anak gajah bermain dalam air. 2. Anak penguin berjalan terkedek-kedek atas salji. 3. Anak kambing berlompat-lompat di padang rumput. 4. Ikan lumba-lumba melompat keluar dari air dengan riang.

Baby elephant: Image © Romi Gamit/Shutterstock; penguin chicks: Vladimir Seliverstov/500px via Getty Images; baby goats: Rita Kochmarjova/stock.adobe.com; two dolphins: georgeclerk/E+ via Getty Images

Gelagat lucu binatang mencerminkan sukacita Yehuwa (Lihat perenggan 3)


4. (a) Mengapakah Yehuwa tidak hilang sukacita-Nya biarpun melihat penderitaan di dunia ini? (b) Apakah kurniaan Yehuwa kepada kita? (Mazmur 16:11)

4 Biarpun Yehuwa ialah “Tuhan yang gembira,” Dia nampak segala penderitaan di dunia ini. (1 Tim. 1:11) Mengapakah Yehuwa tidak hilang sukacita-Nya? Kerana Dia sudah menetapkan masanya untuk mengakhiri semua kesedihan dan penderitaan buat selama-lamanya. Buat masa sekarang, Yehuwa tetap bersabar. Dia memahami apa yang kita lalui dan mahu membantu kita. Salah satu cara Yehuwa membantu kita adalah dengan memberi kita kurniaan sukacita. (Baca Mazmur 16:11.) Sekarang, mari kita lihat mengapa Yesus selalu gembira.

5-6. Mengapakah Yesus selalu gembira?

5 Antara semua ciptaan Yehuwa, Yesuslah yang paling gembira. Mengapa? Perhatikan beberapa sebab. Bible kata bahawa Yesus merupakan “gambaran kepada Tuhan yang tidak kelihatan.” (Kol. 1:15) Memandangkan Yehuwa gembira, Yesus pun gembira kerana dia mencerminkan keperibadian Bapanya dengan sempurna. (1 Tim. 6:15) Tambahan lagi, Yesus meluangkan paling banyak masa dengan Yehuwa, iaitu Sumber sukacita yang sejati.

6 Selain itu, Yesus sentiasa meraih sukacita semasa melakukan kehendak Bapanya. (Ams. 8:​30, 31; Yoh. 8:29) Oleh sebab dia setia, dia mendapat perkenan Yehuwa.—Mat. 3:17.

7. Bagaimanakah kita dapat menikmati sukacita yang sejati?

7 Seperti Yesus, kita dapat menikmati sukacita dengan menghampiri Yehuwa. Semakin banyak masa yang kita luangkan untuk belajar tentang Yehuwa dan meniru teladan-Nya, semakin besar sukacita kita. Kita juga dapat meraih sukacita dengan melakukan kehendak Tuhan dan mendapat perkenan-Nya.a (Mzm. 33:12) Namun, bagaimana jika kita hilang sukacita? Adakah hal ini bermaksud kita tiada perkenan Yehuwa? Tidak. Yehuwa ingat bahawa kita tidak sempurna dan kadangkala kita menderita akibat kesakitan, kesedihan, atau kemurungan. (Mzm. 103:14) Mari kita bincangkan apa yang mungkin merampas sukacita kita dan bagaimana kita dapat meraih semula sukacita kita.

Bergantung pada Yehuwa untuk Meraih Sukacita

Berdoa untuk kuasa suci Yehuwa. Kita harus bergantung pada Yehuwa untuk meraih sukacita kerana sukacita ialah sebahagian daripada buah kuasa suci-Nya. (Gal. 5:22) Dengan bantuan kuasa suci Yehuwa, kita dapat “tabah menempuh segala sesuatu dengan sabar dan sukacita.”—Kol. 1:11.

Utamakan ibadat kepada Yehuwa. Lakukan pembelajaran secara tetap dengan menggunakan Bible dan bahan bacaan kita. Gunakan setiap peluang untuk menyebarkan “berita baik yang akan membawa sukacita yang besar” kepada orang lain. (Luk. 2:10) Orang yang mengutamakan ibadat kepada Yehuwa ialah orang yang paling gembira.—Mzm. 65:4.

Patuhi Yehuwa pada setiap masa. Ingatlah bahawa perintah Yehuwa adalah demi kebaikan kita. Kepatuhan kepada Yehuwa tidak mengekang kebebasan kita. Sebaliknya, kita akan menikmati kebahagiaan yang sejati.—Luk. 11:28.

JANGANLAH BIARKAN APA-APA MERAMPAS SUKACITA ANDA

8. Bagaimanakah masalah hidup mempengaruhi kita?

8 Hal pertama: Masalah hidup. Adakah anda sedang mengalami kesan buruk akibat penganiayaan, bencana alam, kemiskinan, penyakit, atau usia tua? Hal-hal ini dapat merampas sukacita kita, terutamanya jika hal itu berada di luar kawalan kita. Bible kata bahawa “kepedihan hati mematahkan semangat.” (Ams. 15:13) Charalambos, seorang penatua yang kehilangan abang dan kedua-dua ibu bapanya dalam tempoh masa empat tahun, berkata, “Saya rasa keseorangan dan tidak berdaya. Kadangkala, saya juga rasa susah hati kerana saya sendiri menghadapi masalah dan tidak dapat meluangkan banyak masa bersama ibu bapa dan abang saya sebelum mereka meninggal.” Sememangnya, masalah hidup dapat melemahkan kita secara fizikal dan emosi sehingga kita hilang sukacita.

9. Apakah yang dapat membantu kita meraih semula sukacita kita? (Yeremia 29:​4-7, 10)

9 Apakah yang dapat membantu kita? Kita dapat meraih semula sukacita kita dengan bersikap realistik dan menghargai apa yang kita ada. Dunia memberitahu kita bahawa hidup kita perlu sempurna agar kita dapat gembira. Tetapi hal itu tidak benar. Contohnya, Yehuwa menyuruh orang Yahudi yang dibuang negeri ke Babilon untuk menerima kehidupan baharu mereka dan berusaha untuk menikmati hidup di sana. (Baca Yeremia 29:​4-7, 10.) Pengajarannya? Cubalah untuk menerima situasi baharu anda dan hargailah hal-hal baik dalam hidup anda. Ingatlah, Yehuwa pasti membantu anda. (Mzm. 63:7; 146:5) Effie, yang menjadi lumpuh selepas ditimpa kemalangan, berkata, “Saya terima banyak bantuan daripada Yehuwa, ahli keluarga, dan saudara saudari. Jadi, saya tidak mahu berputus asa. Saya mahu tunjukkan penghargaan saya kepada mereka dengan terus bersukacita.”

10. Mengapakah kita dapat bersukacita biarpun kita menghadapi masalah?

10 Semasa kita atau keluarga kita menghadapi masalah, kita masih dapat bersukacita.b (Mzm. 126:5) Mengapa? Kerana sukacita kita tidak bergantung pada situasi kita. Seorang perintis yang bernama Maria berkata, “Apabila kita menghadapi masalah, ‘tetap bersukacita’ tidak bermaksud kita harus memendamkan perasaan kita. Sebaliknya, kita tidak lupa akan janji-janji Yehuwa dan yakin Dia akan bantu kita tetap bersukacita.” Ingatlah, tidak kira betapa susahnya situasi kita sekarang, semua masalah kita hanyalah sementara. Sepertimana kesan tapak kaki di pantai akan hilang dibawa ombak, Yehuwa juga akan melenyapkan semua masalah kita tidak lama lagi.

11. Bagaimanakah contoh Paulus dapat menggalakkan kita?

11 Adakah masalah yang kita hadapi menunjukkan bahawa kita hilang perkenan Yehuwa? Tidak. Terdapat banyak hamba Yehuwa yang setia juga menghadapi situasi yang sangat susah. Perhatikan contoh Paulus. Dia dipilih oleh Yesus untuk menyebarkan berita baik “kepada raja-raja, umat Israel, dan bangsa-bangsa lain.” (Kis. 9:15) Itu memang penghormatan yang besar! Tetapi Paulus juga menghadapi banyak masalah. (2 Kor. 11:​23-27) Adakah masalah yang dihadapi oleh Paulus menunjukkan bahawa dia hilang perkenan Yehuwa? Sudah tentu tidak. Sebaliknya, ketabahannya menunjukkan bahawa dia ada berkat Yehuwa. (Rm. 5:​3-5) Begitu juga, jika anda sedang menyembah Yehuwa dengan setia dan tabah biarpun menghadapi banyak masalah, anda dapat yakin bahawa anda ada perkenan Yehuwa.

12. Bagaimanakah matlamat rohani yang tidak tercapai mungkin merampas sukacita kita?

12 Hal kedua: Matlamat rohani yang tidak tercapai. (Ams. 13:12) Kasih dan penghargaan kepada Yehuwa mendorong kita untuk menetapkan matlamat rohani. Namun, jika kita tidak dapat mencapainya kerana situasi kita, hal itu mungkin membuat kita berasa tawar hati. (Ams. 17:22) Seorang perintis yang bernama Holly berkata, “Saya mahu menghadiri Sekolah Latihan Penginjil, berkhidmat di negara lain, atau membantu dalam projek pembinaan Ramapo. Tetapi situasi saya berubah dan saya tidak dapat mencapai matlamat saya. Saya berasa sangat sedih dan tawar hati.” Banyak hamba Yehuwa juga berasa begitu.

13. Apakah yang dapat anda lakukan jika keadaan anda tidak mengizinkan anda untuk meluaskan khidmat kepada Yehuwa?

13 Apakah yang dapat membantu kita? Ingatlah bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang munasabah dan Dia tidak mengharapkan terlalu banyak daripada kita. Nilai kita di mata Yehuwa tidak ditentukan oleh apa yang dapat kita lakukan dalam khidmat-Nya. Yehuwa mahu kita bersikap rendah hati dan menyembah-Nya dengan setia. (Mi. 6:8; 1 Kor. 4:2) Yehuwa lebih mementingkan sifat-sifat, fikiran, dan keinginan kita daripada apa yang dapat kita lakukan untuk-Nya. Jadi, kita tidak patut mengharapkan diri untuk melakukan sesuatu yang di luar kemampuan kita.c Jika keadaan anda tidak mengizinkan anda untuk meluaskan khidmat kepada Yehuwa, cubalah bertumpu kepada apa yang dapat anda lakukan sekarang. Contohnya, dapatkah anda melatih kaum muda atau menguatkan saudara saudari yang lebih tua? Dapatkah anda menggalakkan seseorang dengan melawatnya, menelefonnya, atau menghantar mesej kepadanya? Yehuwa senang hati apabila anda melakukan apa yang anda mampu dan Dia akan memberi anda sukacita. Selain itu, tidak lama lagi, kita ada banyak peluang untuk berkhidmat kepada Yehuwa di dunia baharu. Holly, yang disebut sebelum ini, berkata, “Jika saya mula rasa tawar hati, saya akan mengingatkan diri bahawa saya akan hidup selama-lamanya pada masa depan. Pada masa itu, saya dapat melakukan apa yang saya mahu untuk Yehuwa dengan bantuan-Nya.”

14. Apakah hal ketiga yang mungkin merampas sukacita kita?

14 Hal ketiga: Mengejar keseronokan dan kesenangan hidup. Di media sosial, kita sering melihat orang yang nampaknya sangat gembira kerana mengejar keseronokan dan kesenangan hidup. Orang digalakkan untuk mengutamakan hal-hal seperti melakukan hobi, membeli apa yang mereka mahu, atau pergi melancong. Semua hal ini memang tidak salah dan Yehuwa mahu kita menikmati hidup. Namun, apa yang banyak orang fikir akan membawa sukacita sebenarnya merampas sukacita mereka. Seorang perintis yang bernama Eva berkata, “Kita tidak akan pernah puas jika kita mengejar kesenangan diri saja.” Jika kita hanya mengutamakan diri sendiri, kita akan berasa sedih dan kecewa.

15. Apakah yang dapat kita belajar daripada Raja Salomo?

15 Raja Salomo melakukan banyak hal untuk mencari kegembiraan. Contohnya, dia mencuba pelbagai jenis makanan yang sedap, mendengar muzik yang indah, dan membeli barang-barang yang mahal. Namun, hal-hal itu tidak membuat dia gembira. Dia berkata, “Mata tidak pernah puas melihat, dan telinga tidak pernah puas mendengar.” (Pkh. 1:8; 2:​1-11) Ya, pandangan dunia tentang apa yang membawa sukacita yang sejati adalah seperti duit palsu yang nampaknya bernilai tetapi sebenarnya tidak.

16. Bagaimanakah memberi kepada orang lain membantu kita berasa sukacita? (Lihat juga gambar.)

16 Apakah yang dapat membantu kita? Yesus mengajar kita, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” (Kis. 20:35) Seorang penatua yang bernama Alekos berkata, “Saya cuba melakukan hal-hal yang kecil untuk membantu orang lain. Semakin banyak saya memberi, semakin senang bagi saya untuk tidak bertumpu kepada diri sendiri. Maka, saya dapat bersukacita.” Apakah yang dapat anda lakukan untuk orang lain? Jika anda melihat seseorang yang sedih, cubalah untuk menggalakkannya. Anda mungkin tidak dapat menyelesaikan masalahnya, tetapi anda dapat melegakan hatinya dengan mendengar luahannya, bersikap belas kasihan, dan mengingatkannya untuk melemparkan bebannya kepada Yehuwa. (Mzm. 55:22; 68:19) Anda juga boleh meyakinkannya bahawa Yehuwa tidak akan meninggalkannya. (Mzm. 37:28; Yes. 59:1) Selain itu, anda mungkin boleh melakukan sesuatu untuknya, seperti memasak untuknya. Anda juga dapat menjemput dia untuk keluar menginjil. Ya, izinkanlah Yehuwa menggunakan anda untuk membantu orang lain. Apabila kita bertumpu kepada orang lain dan bukannya diri sendiri, kita akan bersukacita.—Ams. 11:25.

Kolaj: 1. Seorang saudari duduk bersendirian di kedai kopi sambil melihat telefonnya. Terdapat banyak beg beli-belah di sebelahnya. 2. Dia melawat seorang saudari yang lanjut usia di rumahnya. Dengan gembira, dia memberikan sejambak bunga kepada saudari tua itu.

Daripada bertumpu kepada keinginan sendiri, bertumpulah kepada keperluan orang lain (Lihat perenggan 16)d


17. Apakah yang mesti kita lakukan untuk menikmati sukacita yang sejati? (Mazmur 43:4)

17 Untuk menikmati sukacita yang sejati, kita mesti terus menghampiri Bapa kita yang di syurga. Bible meyakinkan kita bahawa Yehuwa ialah “sumber kegembiraan [kita] yang berlimpah-limpah.” (Baca Mazmur 43:4.) Jadi, tidak kira apa yang kita perlu lalui dalam hidup kita, kita dapat berasa selamat di pangkuan Yehuwa. Semoga kita terus bertumpu kepada Yehuwa, iaitu Sumber sukacita yang sejati!—Mzm. 144:15.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Mengapakah Yehuwa dan Yesus selalu gembira?

  • Apakah tiga hal yang mungkin merampas sukacita kita?

  • Apakah hal-hal yang dapat membantu kita bersukacita semula?

LAGU 155 Sukacita dari-Mu Kekal Selamanya

a Lihat kotak “Bergantung pada Yehuwa untuk Meraih Sukacita.”

b Sebagai contoh, lihat temu ramah Dennis dan Irina Christensen dalam Berita Terkini Badan Pimpinan 2023 #5 di jw.org.

c Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Pupuklah Harapan yang Masuk Akal, dan Bersukacitalah” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 15 Julai 2008.

d KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari membeli banyak barang untuk diri sendiri, tetapi dia lebih gembira apabila dia memberikan sejambak bunga kepada seorang saudari tua yang memerlukan galakan.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi