PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 Oktober ms. 12-17
  • Kasih Tuhan Kekal Abadi

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Kasih Tuhan Kekal Abadi
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • KASIH YEHUWA IALAH AJARAN ASAS BIBLE
  • INGATLAH BAHAWA YEHUWA “MENGASIHI KAMU”
  • SEBABNYA KITA MUNGKIN MERAGUI KASIH YEHUWA
  • TETAP SETIA KEPADA YEHUWA
  • Yehuwa Mempunyai Kasih yang Mendalam terhadap Anda
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Yakinlah akan Kasih Yehuwa
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Cara Mengatasi Keraguan
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Kasih Setia Yehuwa—Manfaatnya bagi Anda
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 Oktober ms. 12-17

RENCANA PEMBELAJARAN 41

LAGU 108 Kasih Setia Tuhan

Kasih Tuhan Kekal Abadi

“Bersyukurlah kepada Yehuwa kerana Dia baik; kasih setia-Nya kekal abadi.”—MZM. 136:1.

FOKUS

Belajar bagaimana kasih Yehuwa ialah ajaran asas Bible yang dapat membantu kita tetap stabil semasa kita menghadapi masalah.

1-2. Apakah perasaan banyak orang Kristian apabila menghadapi masalah?

BAYANGKAN sebuah kapal layar di tengah laut. Tiba-tiba, laut mula bergelora kerana ditiup angin yang sangat kencang. Kapal layar itu terumbang-ambing kerana dipukul ombak besar. Tanpa sauh, kapal itu pasti dibawa arus. Namun, sauh dapat membantu menstabilkan kapal itu agar tidak hanyut semasa ribut melanda.

2 Semasa anda menghadapi cabaran yang berat, emosi anda mungkin berubah-ubah. Emosi anda mungkin sekejap naik sekejap turun seperti gelora laut. Satu hari, anda yakin akan kasih dan sokongan Yehuwa, tetapi hari berikutnya, anda mungkin tertanya-tanya, “Adakah Yehuwa betul-betul nampak apa yang sedang saya lalui?” (Mzm. 10:1; 13:1) Atau seorang kawan mungkin mengucapkan kata-kata yang menggalakkan anda dan anda berasa lega buat suatu ketika. (Ams. 17:17; 25:11) Namun tidak lama kemudian, anda mula meragui kasih Yehuwa. Anda bahkan mungkin berasa bahawa Yehuwa sudah berputus asa terhadap anda. Bagaimanakah anda dapat menjadi lebih stabil semasa menghadapi cabaran? Dalam kata lain, bagaimanakah anda dapat tetap yakin akan kasih dan sokongan Yehuwa?

3. Apakah maksud istilah ‘kasih setia’ yang digunakan di Mazmur 31:7 dan 136:1? Bagaimanakah Bible menggambarkan kasih setia Yehuwa? (Lihat juga gambar.)

3 Satu cara kita dapat menjadi lebih stabil semasa menghadapi cabaran adalah dengan mengingati kasih setia Yehuwa. (Baca Mazmur 31:7; 136:1.) Istilah “kasih setia” merujuk kepada kasih yang didorong oleh kesetiaan dan rasa sayang yang mendalam, dan ini bukan perasaan yang sementara. Yehuwa menetapkan teladan yang terbaik dalam menunjukkan kasih yang setia. Bagaimanakah Bible menggambarkan kasih setia Yehuwa? Bible kata bahawa Yehuwa “menunjukkan kasih setia yang melimpah.” (Kel. 34:​6, 7) Bible juga kata, ‘Yehuwa sentiasa menunjukkan kasih setia-Nya kepada semua orang yang berseru kepada-Nya.’ (Mzm. 86:5) Apakah maksudnya bagi kita? Yehuwa tidak akan sekali-kali meninggalkan penyembah-Nya yang setia. Apabila kita ingat bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang setia, hal itu dapat membantu kita menjadi lebih stabil semasa menghadapi cabaran yang berat.—Mzm. 23:4.

Sauh sebuah kapal layar membantu kapal itu tidak hanyut semasa ribut.

Sepertimana sauh membantu sebuah kapal tidak hanyut semasa ribut melanda, begitu juga keyakinan kita terhadap kasih Yehuwa akan membantu kita stabil semasa kita menghadapi cabaran (Lihat perenggan 3)


KASIH YEHUWA IALAH AJARAN ASAS BIBLE

4. Apakah beberapa ajaran asas Bible? Mengapakah kita percaya sepenuhnya terhadap semua ajaran itu?

4 Satu lagi cara kita dapat menjadi lebih stabil semasa menghadapi cabaran adalah dengan mengingat bahawa kasih Yehuwa ialah salah satu ajaran asas Bible. “Ajaran asas Bible” merujuk kepada kebenaran yang telah kita belajar daripada Firman Tuhan. Contohnya, kita telah belajar bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa, Yesus ialah Anak tunggal Tuhan, orang mati tidak tahu apa-apa, dan manusia ada harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi Firdaus. (Mzm. 83:18; Pkh. 9:5; Yoh. 3:16; Why. 21:​3, 4) Mengapakah kita percaya sepenuhnya terhadap semua ajaran itu? Kerana kita sedar bahawa semua ajaran itu ialah fakta yang tidak dapat dipertikaikan. Mari kita lihat bagaimana mengingat bahawa kasih Yehuwa ialah ajaran asas Bible dapat membantu kita menyingkirkan keraguan bahawa Yehuwa tidak memperhatikan atau tidak peduli tentang kesusahan kita.

5. Bagaimanakah seseorang menolak ajaran palsu?

5 Semasa anda mula belajar Bible, bagaimanakah anda menolak ajaran palsu? Barangkali anda telah membandingkan ajaran agama anda dengan ajaran Bible. Contohnya, dulu anda mungkin percaya bahawa Yesus ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Tetapi selepas mengkaji bukti-bukti daripada Bible, anda menolak ajaran palsu itu dan percaya kebenaran Bible ini: Yesus ialah “anak sulung antara semua ciptaan,” dan dia ialah “Anak tunggal Tuhan.” (Kol. 1:15; Yoh. 3:18) Bible kata bahawa ajaran palsu adalah seperti “perkara-perkara yang sudah berurat berakar” dan tidak mudah bagi kita untuk melepaskannya. (2 Kor. 10:​4, 5) Namun, selepas anda belajar Bible dan berpaut pada kebenaran, anda tidak lagi percaya ajaran agama palsu.—Flp. 3:13.

6. Mengapakah ungkapan “kasih setia-Nya kekal abadi” diulangi banyak kali di Mazmur 136?

6 Anda juga dapat melakukan hal yang sama tentang ajaran Bible mengenai kasih Yehuwa. Jika anda meragui kasih Yehuwa terhadap anda semasa menghadapi cubaan, bandingkan keraguan anda dengan kata-kata di Mazmur 136:​1, yang merupakan ayat tema bagi rencana ini. Yehuwa memberitahu kita bahawa kasih-Nya ialah ‘kasih yang setia.’ Ungkapan “kasih setia-Nya kekal abadi,” diulangi 26 kali dalam mazmur itu. Hal ini meyakinkan kita bahawa Yehuwa mengasihi kita. Seperti yang telah dibincangkan, kasih Yehuwa ialah salah satu ajaran asas Bible. Pandangan bahawa Yehuwa tidak mengasihi anda atau menganggap anda tidak bernilai adalah salah. Tolaklah fikiran salah itu sepertimana anda akan menolak mana-mana ajaran palsu yang lain!

7. Berikan beberapa contoh ayat Bible yang dapat meyakinkan kita akan kasih Yehuwa.

7 Terdapat banyak ayat Bible yang meyakinkan kita akan kasih Yehuwa. Sebagai contoh, Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.” (Mat. 10:31) Yehuwa sendiri berkata kepada umat-Nya, “Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu. Aku pasti akan memegangmu dengan tangan kanan-Ku yang menegakkan keadilan.” (Yes. 41:10) Ayat-ayat Bible ini sangat jelas. Yesus tidak kata, “Kamu mungkin lebih berharga daripada,” dan Yehuwa tidak kata, “Aku mungkin membantumu.” Sebaliknya, mereka kata, “Kamu lebih berharga daripada” dan “Aku akan membantumu.” Jika anda meragui kasih Yehuwa terhadap anda semasa menghadapi cabaran, ayat-ayat sebegini bukan sahaja dapat membantu anda berasa lebih lega, malah dapat meyakinkan anda akan kasih Yehuwa. Semua ayat Bible ini ialah fakta yang tidak dapat dinafikan. Jika anda berdoa kepada Yehuwa tentang keraguan anda dan merenungkan ayat-ayat Bible ini, anda dapat mengucapkan kata-kata yang dinyatakan di 1 Yohanes 4:16: “Kita sudah tahu dan percaya bahawa Tuhan mengasihi kita.”a

8. Apakah yang dapat anda lakukan jika ada kalanya anda meragui kasih Yehuwa terhadap anda?

8 Ada kalanya, anda mungkin masih meragui kasih Yehuwa terhadap anda. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda berasa begitu? Bandingkanlah perasaan anda dengan apa yang sudah anda tahu. Perasaan kita dapat berubah-ubah dan tidak selalunya boleh dipercayai. Tetapi kasih Yehuwa, seperti yang diajarkan dalam Bible, ialah fakta yang tidak boleh berubah. Jika kita tidak percaya bahawa Yehuwa mengasihi kita, maksudnya kita tidak menghiraukan sifat-Nya yang paling penting, iaitu kasih.—1 Yoh. 4:8.

INGATLAH BAHAWA YEHUWA “MENGASIHI KAMU”

9-10. Apakah konteks kata-kata Yesus: “Bapa sendiri mengasihi kamu”? (Yohanes 16:​26, 27) (Lihat juga gambar.)

9 Yesus memberitahu murid-muridnya, “Bapa sendiri mengasihi kamu.” (Baca Yohanes 16:​26, 27.) Kita dapat belajar lebih banyak tentang kasih Yehuwa daripada kata-kata Yesus itu. Apabila kita melihat konteks ayat-ayat itu, kita tahu Yesus bukannya sedang membincangkan perasaan murid-muridnya, tetapi dia sedang membincangkan topik yang lain, iaitu doa.

10 Sebelum ini, Yesus memberitahu murid-muridnya bahawa mereka harus berdoa melaluinya dan bukan kepadanya. (Yoh. 16:​23, 24) Mengapakah hal ini penting bagi mereka? Selepas Yesus dibangkitkan, murid-murid Yesus mungkin ingin berdoa kepadanya kerana Yesus ialah kawan mereka. Mereka mungkin berfikir bahawa memandangkan Yesus mengasihi mereka, dia akan mendengar rayuan mereka dan menyampaikan permohonan mereka kepada Yehuwa. Namun, Yesus berkata bahawa mereka tidak sepatutnya berfikir begitu. Mengapa? Dia memberitahu mereka, “Bapa sendiri mengasihi kamu.” Hal itu bermaksud Yehuwa akan mendengar doa mereka. Begitu juga, selepas anda belajar Bible, anda mengenali Yesus dan mengasihinya. (Yoh. 14:21) Tetapi seperti murid-murid Yesus pada abad pertama, anda dapat berdoa kepada Yehuwa dengan yakin. Hal ini demikian kerana anda tahu ‘Bapa sendiri mengasihi anda,’ dan Dia akan mendengar doa anda. Jadi setiap kali anda berdoa kepada Yehuwa, anda membuktikan bahawa anda mempercayai kata-kata Yesus.—1 Yoh. 5:14.

Kolaj: Seorang saudara berdoa tentang tiga hal penting dalam hidupnya semasa dia duduk di bangku. 1. Dia membawa makanan kepada isterinya yang berbaring di katil kerana sakit. 2. Anak perempuannya menikmati pembelajaran Bible bersamanya. 3. Dia menyemak beberapa penyata kewangan.

Anda dapat berdoa kepada Yehuwa dengan yakin kerana anda tahu ‘Dia sendiri mengasihi anda’ (Lihat perenggan 9-10)b


SEBABNYA KITA MUNGKIN MERAGUI KASIH YEHUWA

11. Mengapakah Syaitan gembira jika kita meragui kasih Yehuwa?

11 Apakah salah satu sebab kita mungkin meragui kasih Yehuwa? Bible kata bahawa Syaitan sedang “mencari mangsa untuk dibaham,” dan dia gembira jika kita meragui kasih Yehuwa. (1 Ptr. 5:8) Maka, Syaitan mahu kita berasa bahawa kita tidak layak untuk meraih manfaat daripada tebusan, yang menunjukkan kasih Yehuwa kepada kita. (Ibr. 2:9) Sebenarnya, Syaitanlah yang telah kehilangan kasih Yehuwa. Tetapi, Syaitan mahu buat kita fikir bahawa Yehuwa tidak mengasihi kita dan kita tidak mungkin mendapat perkenan-Nya. Inilah salah satu ‘muslihat Iblis yang paling licik.’ (Ef. 6:11) Memandangkan kita sudah tahu muslihat Syaitan, hal ini dapat menguatkan tekad kita untuk melawannya.—Yak. 4:7.

12-13. Bagaimanakah keadaan kita yang berdosa membuat kita meragui kasih Yehuwa?

12 Satu lagi sebab yang membuat kita meragui kasih Yehuwa ialah keadaan kita yang berdosa. (Mzm. 51:5; Rm. 5:12) Dosa menjejaskan hubungan kita dengan Yehuwa. Dosa juga menjejaskan pemikiran, emosi, dan kesihatan kita.

13 Dosa menyebabkan kita mempunyai perasaan negatif seperti perasaan bersalah, risau, tidak selamat, dan malu. Kita mengalami perasaan sebegini apabila kita melakukan dosa. Namun, biarpun kita tidak melakukan dosa, perasaan sebegini juga mungkin timbul kerana kita sedar kita tidak sempurna. Ini bukan tujuan asal Tuhan semasa Dia menciptakan manusia. (Rm. 8:​20, 21) Sepertimana sebuah kereta yang tayarnya pancit tidak dapat berfungsi dengan baik, begitu juga sebagai manusia yang tidak sempurna, kita tidak dapat mencapai potensi kita dengan sepenuhnya, seperti tujuan asal Tuhan. Maka, tidak hairanlah kadangkala kita perlu bergelut dengan perasaan atau emosi kita. Jika kita meragui kasih Yehuwa, kita harus ingat bahawa Yehuwa ‘menunjukkan kasih setia kepada orang yang mengasihi-Nya dan mematuhi hukum-Nya.’—Neh. 1:5.

14. Bagaimanakah merenungkan korban tebusan membantu kita jika kita meragui kasih Yehuwa? (Roma 5:8) (Lihat juga kotak “Lawanlah ‘Tipu Daya Dosa.’”)

14 Kadangkala, kita mungkin berasa kita tidak layak menerima kasih Yehuwa dan sebenarnya kita tidak layak menerimanya. Kita tidak dapat memperoleh kasih Yehuwa atas usaha sendiri dan itulah yang membuat kasih Yehuwa kepada kita sangat istimewa. Yehuwa menyediakan aturan tebusan untuk menutupi dosa kita kerana Dia mengasihi kita. (1 Yoh. 4:10) Selain itu, ingatlah bahawa Yesus datang ke bumi untuk menyelamatkan pendosa, bukannya orang yang sempurna. (Baca Roma 5:8.) Yehuwa tidak mengharapkan kesempurnaan daripada kita kerana Dia tahu kita tidak sempurna. Apabila kita ingat bahawa keadaan kita yang berdosa boleh membuat kita meragui kasih Yehuwa, kita akan lebih bertekad untuk mengatasi keraguan kita dengan merenungkan korban tebusan.—Rm. 7:​24, 25.

Lawanlah “Tipu Daya Dosa”

Bible menyebut tentang “tipu daya dosa.” (Ibr. 3:13) Keadaan kita yang berdosa bukan sahaja menyebabkan kita cenderung melakukan perbuatan yang salah, tetapi juga membuat kita sering meragui kasih Yehuwa terhadap kita. Sememangnya, dosa dapat menipu kita.

Kita mungkin fikir bahawa mustahil kita ditipu. Contohnya, kita mungkin fikir kita tidak akan kena scam atau menjadi mangsa penipuan. Namun, jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin ditipu dan mengalami kerugian yang besar.

Begitu juga, kita harus sedar apabila keadaan kita yang berdosa cuba “menipu” kita dan membuat kita percaya bahawa Yehuwa tidak mengasihi kita. Keadaan kita yang berdosa mungkin membuat kita bertumpu kepada kelemahan dan kesilapan kita. Tetapi kita harus berusaha untuk melawan “tipu daya dosa.”

TETAP SETIA KEPADA YEHUWA

15-16. Apakah keyakinan kita jika kita tetap setia kepada Yehuwa? Mengapa? (2 Samuel 22:26)

15 Yehuwa mahu kita membuat keputusan yang betul dengan “berpaut pada-Nya.” (Ul. 30:​19, 20) Jika kita berbuat demikian, kita yakin bahawa Yehuwa akan tetap setia kepada kita. (Baca 2 Samuel 22:26.) Selagi kita tetap setia kepada Yehuwa, kita yakin bahawa Dia akan membantu kita mengharungi apa sahaja cabaran yang timbul dalam hidup kita.

16 Seperti yang sudah dibincangkan, kasih dan sokongan Yehuwa dapat bantu kita menjadi lebih stabil semasa kita menghadapi cabaran. Itulah yang diajarkan dalam Bible. Jika kita meragui kasih Yehuwa, kita mahu merenungkan apa yang kita tahu tentang kasih Yehuwa dan bukannya mengikut perasaan sendiri. Semoga kita tetap yakin bahawa kasih setia Yehuwa kekal abadi!

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Bagaimanakah mengingat bahawa kasih Yehuwa ialah ajaran asas Bible dapat membantu kita?

  • Apakah hal-hal yang mungkin membuat kita meragui kasih Yehuwa?

  • Apakah yang dapat membantu kita jika kita meragui kasih Yehuwa?

LAGU 159 Beri Yehuwa Kemuliaan

a Lihat Ulangan 31:​8, Mazmur 94:​14, dan Yesaya 49:15 untuk contoh lain.

b KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara berdoa untuk meminta bantuan Yehuwa bagi menjaga isterinya yang sakit, mengurus perbelanjaannya dengan bijak, dan melatih anak perempuannya untuk mengasihi Yehuwa.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi