RENCANA PEMBELAJARAN 33
LAGU 4 “Yehuwa, Engkaulah Gembalaku”
Yakinlah akan Kasih Yehuwa
“Kerana kasih ini, Aku memimpin engkau kepada-Ku.”—YER. 31:3.
FOKUS
Mengapa kita perlu yakin akan kasih Yehuwa dan bagaimana kita dapat menguatkan keyakinan kita bahawa Dia mengasihi kita.
1. Mengapakah anda membaktikan diri kepada Yehuwa? (Lihat juga gambar.)
DAPATKAH anda ingat masanya anda membaktikan diri kepada Yehuwa? Anda membuat keputusan itu kerana anda mengenali Yehuwa dan mengasihi-Nya. Anda berjanji untuk mengutamakan kehendak-Nya dalam kehidupan anda dan akan terus mengasihi-Nya dengan sepenuhnya. (Mrk. 12:30) Sejak masa itu, kasih anda kepada Yehuwa bertambah kuat. Bagaimanakah anda akan jawab jika ada orang tanya, “Adakah kamu betul-betul mengasihi Yehuwa?” Tanpa teragak-agak, anda akan jawab, “Saya mengasihi Yehuwa lebih daripada sesiapa pun dan apa-apa pun!”
Semasa anda membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis, anda sangat mengasihi Yehuwa. Adakah anda masih ingat perasaan anda itu? (Lihat perenggan 1)
2-3. Yehuwa mahu kita yakin akan hal apa, dan apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini? (Yeremia 31:3)
2 Biarpun anda tahu bahawa anda sangat mengasihi Yehuwa, anda mungkin tidak begitu yakin jika Yehuwa mengasihi anda. Mungkin anda rasa tidak layak dikasihi-Nya. Seorang saudari yang tidak menerima kasih sayang semasa membesar berkata, “Saya mengasihi Yehuwa dengan segenap hati saya, tapi sering kali saya meragui sama ada Yehuwa mengasihi saya atau tidak.” Apakah yang dapat membantu anda mengetahui perasaan Yehuwa terhadap anda?
3 Yehuwa mahu anda yakin bahawa Dia akan “sentiasa menunjukkan kasih setia” kepada anda. (Baca Yeremia 31:3 dan nota kaki.) Sebenarnya, Yehuwalah yang telah memimpin anda kepada-Nya. Semasa anda membaktikan diri dan dibaptis, anda menerima sesuatu yang sangat berharga, iaitu kasih setia-Nya. Maka, Yehuwa sangat mengasihi anda dan tidak akan mengabaikan anda. Dia menganggap semua penyembah-Nya, termasuk anda, sebagai ‘milik-Nya yang amat bernilai.’ (Mal. 3:17, nota kaki.) Yehuwa mahu anda mempunyai perasaan yang sama seperti Paulus yang menulis, “Aku yakin bahawa baik kematian atau kehidupan atau malaikat-malaikat atau kerajaan atau perkara yang ada sekarang atau perkara yang akan datang atau kuasa-kuasa atau ketinggian atau kedalaman atau mana-mana ciptaan lain, tidak dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan.” (Rm. 8:38, 39) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan mengapa kita perlu menguatkan keyakinan kita bahawa Yehuwa mengasihi kita dan apa yang dapat membantu kita berbuat demikian.
MENGAPAKAH KITA PERLU YAKIN AKAN KASIH YEHUWA?
4. Bagaimanakah kita dapat menentang salah satu muslihat Iblis yang licik?
4 Jika kita yakin akan kasih Yehuwa terhadap kita, kita dapat menentang salah satu “muslihat Iblis yang licik.” (Ef. 6:11) Syaitan sanggup buat apa sahaja agar kita berhenti menyembah Yehuwa. Salah satu muslihatnya adalah untuk membuat kita percaya bahawa Yehuwa tidak mengasihi kita. Bible menyamakan Syaitan dengan seekor singa. (1 Ptr. 5:8, 9) Singa suka menyerang binatang yang lemah. Begitu juga, Syaitan selalunya menyerang kita semasa kita lemah, mungkin disebabkan pengalaman buruk pada masa lampau, cabaran yang sedang dihadapi, atau kerisauan tentang masa depan. (Ams. 24:10) Syaitan berharap bahawa dia dapat membuat kita begitu lemah sehingga kita berhenti menyembah Yehuwa. Tetapi kita dapat melawan Iblis dan muslihatnya yang licik dengan menguatkan keyakinan kita bahawa Yehuwa mengasihi kita.—Yak. 4:7.
5. Mengapakah penting untuk yakin bahawa Yehuwa mengasihi kita?
5 Jika kita yakin bahawa Yehuwa mengasihi kita, kita akan lebih menghampiri-Nya. Yehuwa menciptakan manusia dengan keperluan untuk dikasihi dan mengasihi orang lain. Apabila orang mengasihi kita, kita terdorong untuk membalas kasih mereka. Jadi, semakin banyak kita merasai kasih Yehuwa, semakin dalam kasih kita kepada-Nya. (1 Yoh. 4:19) Apabila kasih kita kepada Yehuwa semakin mendalam, kasih-Nya kepada kita juga semakin kuat. Bible kata, “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.” (Yak. 4:8) Apakah yang dapat bantu kita yakin akan kasih Yehuwa?
APAKAH YANG DAPAT BANTU KITA YAKIN AKAN KASIH YEHUWA?
6. Untuk yakin akan kasih Yehuwa, apakah yang dapat kita doakan?
6 Berdoalah secara spesifik dan dengan tekun. (Luk. 18:1; Rm. 12:12) Setiap hari, anda mungkin perlu berdoa banyak kali agar memiliki pandangan Yehuwa terhadap anda. Kadangkala anda mungkin berasa tidak layak menerima kasih Yehuwa, namun ingatlah bahawa Yehuwa lebih besar daripada hati anda. (1 Yoh. 3:19, 20) Dia lebih mengenali anda daripada anda mengenali diri sendiri. Dia melihat sifat-sifat baik anda biarpun anda sendiri tidak menyedarinya. (1 Sam. 16:7; 2 Taw. 6:30) Maka, janganlah teragak-agak untuk mencurahkan perasaan anda kepada Yehuwa dan meminta bantuan-Nya untuk percaya bahawa Dia mengasihi anda. (Mzm. 62:8) Kemudian, bertindaklah selaras dengan doa anda dengan menerapkan cadangan-cadangan berikut.
7-8. Bagaimanakah kata-kata di Mazmur meyakinkan kita akan kasih Yehuwa?
7 Percayalah kata-kata Yehuwa dalam Firman-Nya. Oleh sebab Yehuwa mengilhami penulis Bible, catatan tentang diri-Nya adalah tepat dan boleh dipercayai. Contohnya, Daud menulis, “Yehuwa dekat dengan orang yang remuk hati; Dia menyelamatkan orang yang patah semangat.” (Mzm. 34:18, nota kaki.) Semasa anda tawar hati, anda mungkin berasa keseorangan. Tetapi Yehuwa berjanji bahawa pada masa sedemikian, Dia dekat dengan anda kerana anda sangat memerlukan-Nya. Dalam satu lagi mazmur, Daud menulis, “Ya Tuhan, tolonglah simpan semua air mataku di dalam kirbat-Mu.” (Mzm. 56:8) Yehuwa sangat mengambil berat tentang anda semasa melihat anda menderita. Sepertimana setiap titisan air sangat berharga bagi seorang pengembara di padang gurun, begitu juga setiap titisan air mata anda sangat berharga bagi Yehuwa, dan Dia seolah-olah mengumpulkannya. Mazmur 139:3 kata, “Engkau [Yehuwa] mengetahui segala perbuatanku.” Biarpun Yehuwa melihat segala sesuatu yang anda lakukan, Dia bertumpu kepada perbuatan baik anda. (Ibr. 6:10) Mengapa? Kerana Dia sangat menghargai segala usaha yang anda curahkan untuk menyenangkan hati-Nya.a
8 Yehuwa menggunakan ayat-ayat Bible sebegini untuk memberitahu anda bahawa Dia sangat mengasihi anda dan mengambil berat terhadap anda. Seperti yang telah dibincangkan, Syaitan mahu anda percaya bahawa Yehuwa tidak mengasihi anda. Jika ada kalanya anda meragui kasih Yehuwa, berhentilah sejenak dan tanyalah diri, “Siapakah yang akan saya percaya—‘bapa segala dusta’ atau ‘Tuhan sumber kebenaran’?”—Yoh. 8:44; Mzm. 31:5.
9. Apakah janji Yehuwa kepada orang yang mengasihi-Nya? (Keluaran 20:5, 6)
9 Renungkan perasaan Yehuwa terhadap orang yang mengasihi-Nya. Perhatikan kata-kata Yehuwa kepada Musa dan orang Israel. (Baca Keluaran 20:5, 6.) Yehuwa berjanji bahawa Dia akan terus menunjukkan kasih setia-Nya kepada penyembah-Nya. Maksudnya, jika kita menunjukkan kasih kepada Yehuwa, Dia pasti membalas kasih kita kerana Dia Tuhan yang setia. (Neh. 1:5) Maka jika anda meragui kasih Yehuwa terhadap anda, tanyalah diri, “Adakah saya mengasihi Yehuwa?” Kemudian, fikirkan hal ini: Jika anda mengasihi Yehuwa dan sedang berusaha untuk menyenangkan hati-Nya, anda boleh yakin sepenuhnya bahawa Dia sangat mengasihi anda. (Dan. 9:4; 1 Kor. 8:3) Dalam erti kata lain, jika anda tidak meragui kasih anda terhadap Yehuwa, anda tidak perlu meragui kasih-Nya terhadap anda. Sememangnya, Yehuwa sangat mengasihi anda dan tidak akan meninggalkan anda.
10-11. Bagaimanakah Yehuwa mahu anda memandang korban tebusan Yesus? (Galatia 2:20)
10 Merenungkan korban tebusan Yesus. Kurniaan yang paling bernilai daripada Yehuwa ialah korban tebusan Yesus. (Yoh. 3:16) Tetapi, adakah Yehuwa mengutus Anak-Nya untuk mati bagi anda secara peribadi? Ya! Mari kita lihat pengalaman Paulus. Dia melakukan beberapa dosa serius sebelum menjadi orang Kristian dan dia perlu terus bergelut dengan kelemahan diri sendiri. (Rm. 7:24, 25; 1 Tim. 1:12-14) Namun, Paulus yakin bahawa korban Yesus ialah hadiah peribadi daripada Yehuwa kepadanya. (Baca Galatia 2:20.) Ingatlah bahawa catatan Paulus diilhami Tuhan dan segala yang ditulis di dalam Bible berguna untuk mengajar kita. (Rm. 15:4) Maka, kata-kata Paulus menunjukkan bahawa Yehuwa mahu anda memandang korban tebusan sebagai hadiah peribadi daripada-Nya. Dengan berbuat demikian, anda dapat menguatkan keyakinan anda bahawa Yehuwa mengasihi anda sebagai seorang individu.
11 Kita sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana mengutus Yesus ke bumi untuk mati demi kita. Satu lagi sebab Yesus datang ke bumi adalah untuk memberitahu orang lain kebenaran tentang Tuhan. (Yoh. 18:37) Kebenaran itu termasuk betapa dalamnya kasih Yehuwa terhadap penyembah-Nya.
BAGAIMANAKAH YESUS MEMBANTU KITA YAKIN AKAN KASIH YEHUWA?
12. Mengapakah kita boleh percaya kata-kata Yesus tentang Yehuwa?
12 Semasa Yesus di bumi, dia suka memberitahu orang lain tentang Yehuwa dan sifat-sifat-Nya. (Luk. 10:22) Kita boleh percaya kata-kata Yesus tentang Yehuwa kerana dia pernah hidup di syurga bersama Yehuwa selama berbilion-bilion tahun. (Kol. 1:15) Daripada pemerhatian dan pengalamannya, Yesus tahu betapa dalamnya kasih Yehuwa terhadap anak-anak-Nya yang setia. Bagaimanakah Yesus membantu orang lain yakin akan kasih Yehuwa?
13. Bagaimanakah Yesus mahu kita memandang Yehuwa?
13 Yesus mahu kita memandang Yehuwa sebagai “Bapa” kita. Dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, Yesus sering merujuk kepada Yehuwa sebagai Bapanya. Semasa bercakap kepada murid-muridnya, Yesus menggunakan ungkapan seperti “Bapa kamu” atau “Bapa kamu yang di syurga.” (Mat. 6:8, 26) Sebelum Yesus turun ke bumi, umat Yehuwa yang setia menggunakan gelaran seperti Tuhan Yang Maha Kuasa, Tuhan Yang Maha Tinggi, dan Pencipta Agung, untuk merujuk kepada Yehuwa. Tetapi, mengapakah Yesus sering memanggil Yehuwa sebagai “Bapanya”? Sepertimana seorang anak yang kecil berasa rapat dengan bapanya yang penyayang, begitulah caranya Yesus mahu kita memandang Yehuwa. Sekarang, mari kita lihat dua contoh bagaimana Yesus menggunakan istilah “Bapa.”
14. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa kita masing-masing berharga di mata Yehuwa? (Matius 10:29-31) (Lihat juga gambar.)
14 Mari kita lihat satu contoh bagaimana Yesus menggunakan istilah “Bapa” di Matius 10:29-31. (Baca.) Burung pipit ialah burung kecil yang tidak mungkin mengasihi atau menyembah Yehuwa. Namun bagi Yehuwa, seekor burung pipit pun sangat berharga, dan Dia tahu apabila burung pipit itu jatuh ke tanah. Sudah pasti, sebagai penyembah Yehuwa yang mengasihi-Nya, kita jauh lebih berharga di mata-Nya berbanding burung pipit. Yesus juga kata bahawa Bapa kita tahu jumlah rambut di kepala kita. Jika Yehuwa tahu bahkan butiran yang kecil tentang kita, kita dapat yakin bahawa Dia sangat mengambil berat tentang kita. Jelaslah, Yesus mahu kita yakin bahawa kita masing-masing berharga di mata Yehuwa.
Bagi Yehuwa, seekor burung pipit pun sangat berharga dan Dia tahu apabila burung pipit itu jatuh ke tanah. Sudah pasti, sebagai penyembah-Nya, anda jauh lebih berharga di mata-Nya. (Lihat perenggan 14)
15. Menurut Yohanes 6:44, apakah yang Yesus ingin ajar anda tentang Yehuwa?
15 Perhatikan satu lagi contoh bagaimana Yesus menggunakan istilah “Bapa.” (Baca Yohanes 6:44.) Bapa kita yang di syurga telah memimpin anda ke dalam kebenaran. Mengapa? Kerana Dia melihat sesuatu yang baik dalam diri anda. (Kis. 13:48) Semasa Yesus mengucapkan kata-kata di Yohanes 6:44, dia mungkin merujuk kepada kata-kata Yehuwa di buku Yeremia yang menyatakan, “Kerana kasih ini, Aku memimpin engkau kepada-Ku [atau, Aku sentiasa menunjukkan kasih setia kepadamu].” (Yer. 31:3; nota kaki; bandingkan Hosea 11:4.) Jadi, apakah yang Yesus ingin mengajar anda? Biarpun anda tidak menyedari kebaikan dalam diri anda, Yehuwa terus mencari hal-hal baik dalam diri anda dan mengasihi anda.
16. (a) Apakah yang Yesus telah ajar kita, dan mengapakah kita patut mempercayainya? (b) Bagaimanakah anda dapat menguatkan keyakinan anda bahawa Yehuwa ialah Bapa yang anda perlukan? (Lihat kotak “Yehuwa ialah Bapa yang Kita Perlukan.”)
16 Dengan menggambarkan Yehuwa sebagai Bapa kita, Yesus seolah-olah sedang memberitahu kita, “Memang Yehuwa ialah Bapa saya, tetapi Dia juga ialah Bapa kamu. Saya mahu meyakinkan kamu bahawa Dia mengasihi kamu dan sangat mengambil berat terhadap kamu.” Maka, jika ada kalanya anda meragui sama ada Yehuwa mengasihi anda atau tidak, ingatlah kata-kata Yesus dan percayalah dia. Mengapa? Kerana Yesus tidak mungkin berdusta, dan dia paling mengenali Bapa kita.—1 Ptr. 2:22.
TERUS KUATKAN KEYAKINAN ANDA
17. Mengapakah kita mesti terus menguatkan keyakinan kita akan kasih Yehuwa?
17 Kita mesti terus menguatkan keyakinan kita bahawa Yehuwa mengasihi kita. Seperti yang kita sudah belajar, Syaitan akan melakukan apa sahaja untuk membuat kita berhenti menyembah Yehuwa. Untuk melemahkan tekad kita, Syaitan mahu membuat kita percaya bahawa Yehuwa tidak mengasihi kita. Sudah pasti kita tidak mahu mempercayai dusta Syaitan!—Ayb. 27:5.
18. Bagaimanakah anda dapat menguatkan keyakinan anda akan kasih Yehuwa?
18 Untuk menguatkan keyakinan anda akan kasih Yehuwa, teruslah berdoa untuk memiliki pandangan-Nya terhadap diri anda. Fikirkanlah secara mendalam bagaimana penulis Bible menggambarkan kasih-Nya. Ingatlah bahawa Yehuwa akan sentiasa mengasihi orang yang mengasihi-Nya. Renungkanlah mengapa anda dapat memandang korban tebusan Yesus sebagai kurniaan peribadi daripada Yehuwa kepada anda. Percayalah kata-kata Yesus bahawa Yehuwa ialah Bapa anda yang di syurga. Dengan demikian, jika ada orang bertanya, “Adakah kamu pasti Yehuwa mengasihi kamu?” anda dapat jawab dengan yakin, “Ya, saya pasti! Dan saya akan berusaha menunjukkan kasih saya kepada-Nya setiap hari!”
LAGU 154 Kasih yang Abadi