RENCANA PEMBELAJARAN 43
LAGU 41 Dengarlah Doa Aku
Berdoalah untuk Orang Lain
“Berdoa untuk satu sama lain . . . Doa yang sungguh-sungguh daripada orang yang melakukan apa yang benar sangat berkesan.”—YAK. 5:16.
FOKUS
Mengapa penting untuk berdoa bagi orang lain dan bagaimana kita dapat melakukannya.
1. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa mahu mendengar doa kita?
DOA ialah kurniaan yang menakjubkan. Fikirkan hal ini: Yehuwa telah mengamanahkan tugas tertentu kepada para malaikat. (Mzm. 91:11) Dia juga telah memberi Anak-Nya tanggungjawab yang penting. (Mat. 28:18) Namun, adakah Yehuwa mengamanahkan tugas mendengar doa kepada individu lain? Tidak. Sebagai “Pendengar doa,” Dia memilih untuk mendengar doa kita.—Mzm. 65:2.
2. Dalam soal doa, apakah teladan yang ditetapkan oleh Rasul Paulus?
2 Biarpun kita boleh berdoa kepada Yehuwa tentang kerisauan kita, kita juga patut berdoa untuk orang lain. Rasul Paulus menetapkan teladan yang baik dalam soal ini. Contohnya, dia menulis kepada sidang di Efesus, “Semasa berdoa, aku sentiasa menyebut kamu.” (Ef. 1:16) Paulus juga berdoa untuk sesetengah individu secara spesifik. Contohnya, dia memberitahu Timotius, “Aku bersyukur kepada Tuhan dan aku tidak pernah melupakanmu semasa aku merayu kepada-Nya siang dan malam.” (2 Tim. 1:3) Paulus memang ada berdoa tentang masalahnya sendiri. (2 Kor. 11:23; 12:7, 8) Namun, dia juga meluangkan masa untuk berdoa bagi orang lain.
3. Mengapakah kita mungkin lupa untuk berdoa bagi orang lain?
3 Kadangkala, kita mungkin lupa untuk berdoa bagi orang lain. Mengapa? Seorang saudari yang bernama Sabrinaa berkata, “Hari ini, hidup kita sangat sibuk. Kita mungkin terlalu bertumpu kepada masalah kita sehingga hanya berdoa untuk keperluan sendiri.” Pernahkah anda berasa begitu? Jika ya, rencana ini dapat membantu anda. Dalam rencana ini, kita akan bincangkan (1) mengapa penting untuk berdoa bagi orang lain dan (2) bagaimana anda dapat melakukannya.
MENGAPA PENTING UNTUK BERDOA BAGI ORANG LAIN
4-5. Bagaimanakah doa kita membantu orang lain? (Yakobus 5:16)
4 Berdoa untuk orang lain “sangat berkesan.” (Baca Yakobus 5:16.) Doa kita dapat membantu orang lain dan bahkan dapat mengubah situasi mereka. Contohnya, Yesus tahu bahawa Rasul Petrus akan menyangkalnya tidak lama lagi. Namun dia berkata, “Aku telah merayu kepada Tuhan bagi pihakmu agar kamu tidak kehilangan iman.” (Luk. 22:32) Paulus juga tahu bahawa doa sangat berkuasa. Oleh itu, semasa Paulus dipenjarakan di Roma, dia menulis kepada Filemon, “Aku berharap agar melalui doa-doa kamu, aku akan kembali kepada kamu.” (Flm. 22) Tidak lama kemudian, Paulus dibebaskan dan dia dapat terus menjalankan kerja penyebarannya.
5 Adakah hal ini bermaksud bahawa setiap kali kita berdoa untuk orang lain, Yehuwa terpaksa menunaikan permintaan kita? Tidak. Sebenarnya, Yehuwa memperhatikan kesungguhan kita semasa berdoa dan Dia kadangkala memilih untuk memenuhi permintaan kita. Oleh itu, kita mahu berdoa dengan tekun kepada Yehuwa dan menyerahkan hal itu ke dalam tangan-Nya.—Mzm. 37:5; 2 Kor. 1:11.
6. Bagaimanakah berdoa untuk orang lain mempengaruhi perasaan kita terhadap mereka? (1 Petrus 3:8)
6 Membantu kita “berbelas kasihan.” (Baca 1 Petrus 3:8.) Belas kasihan bermaksud memiliki keinginan yang kuat untuk menghulurkan bantuan apabila melihat orang lain menderita. (Mrk. 1:40, 41) Seorang penatua yang bernama Michael berkata, “Apabila saya berdoa tentang keperluan orang lain, saya lebih peka terhadap pergelutan mereka dan hal ini buat saya lebih mengasihi mereka. Saya rasa lebih dekat dengan mereka walaupun mereka mungkin tidak menyedarinya.” Seorang lagi penatua yang bernama Richard berkata, “Apabila kita berdoa untuk seseorang, kita lebih terdorong untuk membantunya.” Dia menambah, “Apabila kita membantunya, hal itu seolah-olah Yehuwa menggunakan kita untuk melegakannya.”
7. Bagaimanakah berdoa untuk orang lain membantu kita mempunyai pandangan yang seimbang terhadap masalah kita? (Filipi 2:3, 4) (Lihat juga gambar.)
7 Mempunyai pandangan yang seimbang terhadap masalah kita. (Baca Filipi 2:3, 4.) Oleh sebab kita hidup di dunia Syaitan, kita masing-masing menghadapi masalah. (1 Yoh. 5:19; Why. 12:12) Apabila kita mempunyai tabiat untuk berdoa bagi orang lain, kita diingatkan bahawa saudara saudari di seluruh dunia “sedang mengalami penderitaan yang sama.” (1 Ptr. 5:9) Seorang perintis yang bernama Katherine berkata, “Berdoa untuk orang lain mengingatkan saya bahawa mereka juga menghadapi cabaran hidup. Hal ini membantu saya agar tidak terlalu bertumpu kepada masalah sendiri.”
Apabila kita berdoa untuk orang lain, kita akan mempunyai pandangan yang seimbang terhadap situasi kita (Lihat perenggan 7)d
BERDOA UNTUK SEKUMPULAN ORANG
8. Kita dapat berdoa untuk siapa?
8 Kita dapat berdoa untuk siapa? Kita dapat berdoa untuk sekumpulan rakan seiman yang menghadapi situasi yang berbeza. Contohnya, mereka yang menghadapi masalah kesihatan, kaum muda yang diejek dan menghadapi tekanan rakan sebaya di sekolah, atau mereka yang menghadapi cabaran kerana usia tua. Ramai rakan seiman kita juga menghadapi tentangan daripada ahli keluarga atau pihak berkuasa. (Mat. 10:18, 36; Kis. 12:5) Sesetengah saudara saudari perlu meninggalkan rumah mereka kerana pergolakan politik. Yang lain pula merupakan mangsa bencana alam. Kita mungkin tidak kenal saudara saudari ini secara peribadi. Tetapi apabila kita berdoa untuk mereka, kita menunjukkan bahawa kita mematuhi perintah Yesus untuk “saling mengasihi.”—Yoh. 13:34.
9. Mengapakah kita patut berdoa untuk mereka yang mengambil pimpinan dalam organisasi Yehuwa dan isteri mereka?
9 Kita juga boleh berdoa untuk mereka yang mengambil pimpinan dalam organisasi Yehuwa. Ini merangkumi Badan Pimpinan dan pembantu mereka, ahli Jawatankuasa Cawangan, penyelia di pejabat cawangan, penatua, dan pembantu sidang. Banyak daripada saudara ini menghadapi cabaran sendiri, tetapi mereka bekerja keras untuk membantu kita. (2 Kor. 12:15) Contohnya, seorang penyelia litar yang bernama Mark berkata, “Salah satu cabaran terbesar bagi saya ialah tinggal berjauhan daripada ibu bapa saya yang lanjut usia dan sakit. Walaupun kakak saya dan suaminya menjaga mereka, saya berasa susah hati kerana saya tidak dapat membuat banyak untuk membantu ibu bapa saya.” Walaupun kita tidak tahu masalah yang dihadapi oleh para saudara ini, kita patut terus berdoa untuk mereka. (1 Tes. 5:12, 13) Kita juga boleh berdoa untuk isteri para saudara ini kerana mereka terus menyokong suami mereka.
10-11. Adakah Yehuwa senang hati apabila kita berdoa bagi saudara saudari yang kita tidak kenal secara peribadi? Jelaskan.
10 Seperti yang telah kita bincangkan, kita sering berdoa untuk sekumpulan saudara saudari. Contohnya, walaupun kita tidak berfikir tentang seseorang secara spesifik, kita mungkin meminta Yehuwa untuk membantu mereka yang dipenjarakan atau untuk melegakan hati mereka yang kehilangan orang tersayang dalam kematian. Seorang penatua yang bernama Donald berkata, “Kita ada banyak saudara saudari yang sedang menghadapi masalah dan kadangkala kita mahu mengucapkan doa yang dapat merangkumi semua saudara saudari yang sedang menderita.”
11 Adakah Yehuwa senang hati dengan doa sedemikian? Sudah tentu! Walaupun kita tidak tahu keperluan semua rakan seiman kita, kita masih dapat berdoa untuk mereka. (Yoh. 17:20; Ef. 6:18) Doa sebegini menunjukkan bahawa kita ‘mengasihi semua saudara seiman.’—1 Ptr. 2:17.
BERDOA UNTUK SEORANG INDIVIDU
12. Bagaimanakah menggunakan daya pemerhatian membantu kita untuk berdoa secara spesifik?
12 Gunakan daya pemerhatian. Selain berdoa bagi sekumpulan saudara saudari, kita juga patut berdoa secara spesifik untuk seseorang. Contohnya, adakah seseorang di sidang anda sedang menghadapi masalah kesihatan yang serius? Adakah seorang anak muda berasa tawar hati kerana menghadapi tekanan di sekolah? Adakah seorang ibu atau bapa tunggal menghadapi cabaran untuk membesarkan anak “dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa”? (Ef. 6:4) Dengan menggunakan daya pemerhatian anda, anda akan lebih prihatin terhadap saudara saudari. Hal itu akan memperdalam kasih anda terhadap mereka dan menguatkan keinginan anda untuk berdoa secara spesifik bagi mereka.b—Rm. 12:15.
13. Bagaimanakah kita dapat berdoa untuk seseorang yang kita tidak kenal?
13 Berdoa dengan menggunakan nama seseorang. Biarpun kita tidak mengenali seseorang, kita dapat berdoa untuknya. Sebagai contoh, fikirkan saudara saudari yang dipenjarakan di negara seperti Crimea, Eritrea, Rusia, dan Singapura. Di laman jw.org, kita dapat mencari nama saudara saudari yang dipenjarakan kerana iman mereka.c Seorang penyelia litar yang bernama Brian berkata, “Apabila saya mencatatkan nama seorang rakan seiman yang dipenjarakan dan menyebut namanya, hal itu bantu saya untuk mengingat saudara atau saudari itu dan berdoa baginya.”
14-15. Bagaimanakah kita dapat berdoa secara spesifik untuk rakan seiman kita?
14 Berdoa secara spesifik. Michael, yang disebut sebelum ini, berkata, “Semasa saya membaca kisah tentang para saudara yang dipenjarakan di laman jw.org, saya membayangkan diri saya berada dalam situasi mereka. Saya tahu jika saya dipenjarakan, saya akan risau tentang isteri saya dan mahu keperluannya dijaga. Maka, hal ini membantu saya untuk berdoa secara spesifik bagi para saudara yang dipenjarakan itu.”—Ibr. 13:3.
15 Apabila kita memikirkan kehidupan seharian rakan seiman kita di penjara, kita juga dapat mencari cara lain untuk berdoa secara spesifik bagi mereka. Sebagai contoh, kita dapat berdoa agar pengawal penjara akan bersikap baik hati dan para pegawai akan mengizinkan rakan seiman kita untuk beribadat secara bebas di penjara. (1 Tim. 2:1, 2) Kita juga dapat berdoa agar saudara saudari tempatan digalakkan oleh teladan mereka, atau orang yang tidak seiman akan melihat kelakuan baik mereka dan mendengar mesej berita baik. (1 Ptr. 2:12) Sudah tentu, prinsip yang sama dapat digunakan semasa kita berdoa bagi saudara saudari yang menghadapi cabaran lain. Dengan menggunakan daya pemerhatian, berdoa dengan menggunakan nama seseorang, dan berdoa secara spesifik, kita dapat menunjukkan kasih yang “semakin melimpah” terhadap rakan seiman kita.—1 Tes. 3:12.
PANDANGAN YANG SEIMBANG TERHADAP DOA KITA
16. Bagaimanakah kita dapat mempunyai pandangan yang seimbang terhadap doa kita? (Matius 6:8)
16 Seperti yang telah dibincangkan, doa kita dapat membantu orang lain dan mungkin mengubah situasi mereka. Namun, kita perlu mempunyai pandangan yang seimbang. Kita mesti ingat bahawa semasa kita berdoa, kita bukannya sedang memberitahu Yehuwa sesuatu yang Dia tidak tahu, dan Dia tidak memerlukan nasihat kita tentang cara untuk menangani sesuatu situasi. Yehuwa tahu keperluan para penyembah-Nya, bahkan sebelum kita atau rakan seiman kita menyedarinya. (Baca Matius 6:8.) Jika demikian, mengapakah kita mahu berdoa untuk orang lain? Selain sebab-sebab yang dibincangkan dalam rencana ini, kita berdoa untuk orang lain kerana kita prihatin terhadap mereka dan mengasihi satu sama lain. Selain itu, Yehuwa bersukacita semasa melihat kasih yang ditunjukkan oleh para penyembah-Nya.
17-18. Berikan contoh yang menunjukkan mengapa kita mahu berdoa untuk rakan seiman.
17 Biarpun doa kita tidak mengubah situasi rakan seiman kita, doa kita menunjukkan bahawa kita mengasihi mereka dan Yehuwa memperhatikan kasih yang kita tunjukkan. Fikirkan contoh ini. Bayangkan sebuah keluarga dengan dua anak kecil, iaitu seorang kakak dan seorang adik lelaki. Adik lelaki itu sakit dan terlantar di katil. Jadi, kakaknya merayu kepada bapanya, “Ayah, adik sangat sakit. Tolonglah dia!” Sudah tentu, bapa itu mengasihi anak lelakinya dan sedang menjaganya dengan baik. Namun, setelah mendengar kata-kata anak perempuannya, dia pasti bangga dan gembira kerana anak perempuannya sangat mengambil berat terhadap adiknya.
18 Begitu juga, Yehuwa menggalakkan kita untuk saling mengambil berat dan berdoa untuk satu sama lain. Dengan berbuat demikian, doa kita menunjukkan betapa dalamnya kasih kita kepada rakan seiman dan Yehuwa berasa gembira dan bangga dengan kita. (2 Tes. 1:3; Ibr. 6:10) Selain itu, seperti yang telah kita bincangkan, sesetengah doa kita bahkan dapat mengubah situasi rakan seiman kita. Oleh itu, semoga kita terus berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk satu sama lain!
LAGU 101 Kita Bersatu, Sehati Sejiwa
a Sesetengah nama telah diubah.
b Tonton video Takeshi Shimizu: Yehuwa ialah “Pendengar Doa” di jw.org.
c Untuk mengetahui nama rakan seiman yang dipenjarakan, cari rencana “Saksi-Saksi Yehuwa Dipenjarakan kerana Iman Mereka—Mengikut Lokasi” di jw.org.
d KETERANGAN GAMBAR: Saudara saudari yang ada masalah sendiri sedang berdoa untuk orang lain.