KAUM MUDA BERTANYA
Patutkah Saya Buat Beberapa Perkara pada Masa yang Sama?
Adakah kamu suka buat beberapa perkara pada masa yang sama?
Banyak orang fikir bahawa orang pada zaman ini lebih mahir melakukan beberapa perkara sekali gus kerana mereka membesar dalam zaman teknologi yang maju. Tapi, adakah itu betul?
BETUL atau SALAH?
Jika kamu melakukan beberapa perkara pada masa yang sama, kamu dapat siapkan kerja dengan cepat.
Jika kamu sering melakukan beberapa perkara pada masa yang sama, kamu akan jadi lebih mahir.
Orang muda lebih pandai melakukan beberapa perkara pada masa yang sama berbanding orang tua.
Jika kamu menjawab “betul,” nampaknya kamu sudah kena tipu.
Tanggapan yang salah
Adakah kamu dapat lakukan dua perkara pada masa yang sama? Ya, kamu mungkin dapat melakukan sesetengah aktiviti tanpa hilang tumpuan. Contohnya, kamu dapat mengemas bilik sambil mendengar lagu.
Tetapi sesetengah kerja memerlukan lebih banyak tumpuan. Jadi apakah akibatnya jika kamu cuba melakukan dua kerja sebegitu pada masa yang sama? Kedua-duanya tidak akan berjaya. Seorang gadis bernama Katherine berkata, “Semuanya akan gagal kalau kamu cuba melakukan banyak perkara pada masa yang sama.”
“Saya terima SMS semasa sedang cakap dengan seseorang. Jadi saya cuba SMS dan berbual pada masa yang sama. Akhirnya, saya tidak dengar pun apa orang itu cakap dan hampir semua ejaan dalam SMS saya salah.”—Caleb.
Sherry Turkle, seorang pakar teknologi, menulis, “Apabila kita melakukan beberapa perkara pada masa yang sama, kita mungkin rasa kita sangat produktif. Tetapi sebenarnya, tumpuan dan prestasi kita semakin merosot.”a
“Kadang-kadang saya fikir saya dapat bercakap dengan orang sambil SMS. Tapi akhirnya saya cakap benda yang saya mahu taip, dan apa yang saya mahu cakap pula, saya taip dalam SMS.”—Tamara.
Orang yang suka buat begitu hanya menyusahkan diri sendiri. Contohnya, mereka ambil waktu yang lebih lama untuk siapkan kerja, dan mungkin terpaksa buat semula kerja mereka. Akibatnya, banyak masa dibazirkan dan mereka tidak ada masa untuk buat hal yang lain.
Thomas Kersting, seorang ahli psikoterapi dan guru penasihat, berkata, “Jika otak kita seperti sebuah almari dengan banyak fail, otak orang yang suka buat banyak perkara sekali gus akan kelihatan sangat semak.”b
“Semakin banyak kerja yang kamu buat pada masa yang sama, semakin banyak maklumat penting yang diabaikan. Akhirnya, kamu terpaksa buat lebih banyak kerja dan buang lebih banyak masa.”—Teresa.
Seseorang yang suka buat banyak perkara pada masa yang sama adalah seperti orang yang cuba memandu di dua jalan pada masa yang sama
Cara yang lebih baik
Latih diri untuk bertumpu pada satu tugas. Hal ini tidak mudah, terutamanya jika kamu sudah biasa buat beberapa aktiviti pada masa yang sama. Contohnya kamu mungkin suka belajar sambil SMS. Tapi Bible menasihati kita untuk “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.” (Filipi 1:10) Setiap tugasan berbeza, jadi tentukan tugasan mana yang lebih penting, dan cuba siapkannya terlebih dahulu.
“Otak kita kadang-kadang seperti anak kecil yang susah dikawal. Jadi kita perlu bertegas dengan diri sendiri. Kita mesti melatih diri untuk bertumpu pada satu hal sahaja.”—Maria.
Elakkan gangguan. Adakah kamu tergoda untuk melihat telefon semasa belajar? Letaklah telefon itu di bilik yang lain. Matikan TV dan jangan fikir tentang media sosial! Ingatlah nasihat Bible ini: “Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”—Kolose 4:5.
“Saya rasa bertumpu pada satu kerja sahaja lebih baik. Saya gembira bila saya selesaikan satu tugas dan kemudian beralih ke tugas lain. Itu buat saya rasa sangat puas hati.”—Onya.
Tumpukan perhatian semasa berbual. Melihat telefon semasa bercakap dengan orang lain sebenarnya biadab dan tidak membawa apa-apa kebaikan. Bible menasihati kita untuk melayan orang lain sepertimana kita ingin dilayan.—Matius 7:12.
“Kadangkala semasa bercakap dengan adik saya, dia akan melihat telefon atau SMS seseorang. Saya geram betul! Tapi saya sedar, saya pun ada buat begitu.”—David.