KAUM MUDA BERTANYA
Bagaimanakah Saya Dapat Menangani Perasaan Malu?
Keburukan: Jika kamu seorang pemalu, kamu mungkin tidak dapat menikmati persahabatan yang baik dan pengalaman yang menarik.
Kebaikan: Perasaan malu juga ada manfaatnya. Sifat ini akan membantu kamu berfikir sebelum bercakap, dan menjadikan kamu seorang pemerhati dan pendengar yang lebih baik.
Berita baik: Perasaan malu dapat diatasi. Kamu boleh menentukan sejauh mana perasaan ini mempengaruhi hidup kamu. Rencana ini dapat membantu kamu.
Ketahui apa yang menyebabkan kamu berasa takut
Perasaan malu dapat membuat kamu berasa takut untuk bercakap dengan orang lain secara bersemuka. Akibatnya, kamu mungkin berasa disisihkan oleh orang lain, seolah-olah kamu berseorangan di dalam bilik yang gelap. Hal itu memang menakutkan. Tetapi jika kamu memahami apa yang membuat kamu berasa takut, kamu mungkin akan sedar bahawa kamu tidak perlu berasa takut. Perhatikan tiga contoh berikut.
Penyebab #1: “Saya tidak tahu mahu cakap apa.”
Fakta: Biasanya orang lebih mengingati cara kamu melayan mereka berbanding apa yang kamu katakan. Kamu dapat mengawal perasaan takut kamu dengan belajar menjadi pendengar yang baik dan menunjukkan minat terhadap apa yang orang katakan.
Cuba renungkan: Adakah kamu suka bersahabat dengan seseorang yang asyik bercakap, atau seorang pendengar yang baik?
Penyebab #2: “Orang akan fikir saya membosankan.”
Fakta: Tidak kira kamu pemalu atau tidak, orang akan mempunyai pandangan sendiri tentang kamu. Kamu boleh mengawal perasaan takut kamu dan membantu orang mempunyai pandangan yang lebih baik tentang kamu, jika kamu membiarkan mereka melihat siapa diri kamu yang sebenar.
Cuba renungkan: Jika kamu berasa bahawa semua orang berfikiran negatif tentang kamu, mungkinkah kamu yang menilai orang secara tidak adil bahawa mereka tidak menyukai kamu?
Penyebab #3: “Jika saya tersalah cakap, saya akan berasa malu.”
Fakta: Hal itu boleh berlaku kepada semua orang. Kamu boleh mengawal perasaan takut kamu. Jika kamu tersilap cakap, anggaplah hal itu sebagai peluang bagi kamu untuk menunjukkan bahawa kamu tidak terlalu serius.
Cuba renungkan: Tidakkah kamu suka bersama dengan orang yang boleh mengakui bahawa mereka juga tidak sempurna?
Tahukah kamu? Sesetengah orang berfikir bahawa mereka bukan seorang pemalu kerana mereka selalu ber-SMS. Tetapi persahabatan yang sejati lebih mudah terjalin apabila kamu berbual dengan orang secara bersemuka. Sherry Turkle, seorang pakar psikologi dan teknologi, menulis: “Kita akan menjadi lebih rapat dengan seseorang apabila kita melihat muka mereka dan mendengar suara mereka semasa berbual.”a
Apabila kamu dapat mengawal perasaan takut kamu, kamu akan mendapati bahawa bercakap dengan orang secara bersemuka tidaklah seteruk yang kamu fikirkan
Cadangan yang praktikal
Elakkan membandingkan diri dengan orang lain. Kamu tidak perlu memaksa diri untuk menjadi seorang yang peramah. Sebaliknya, matlamat kamu adalah untuk mengawal perasaan malu kamu. Dengan itu, kamu tidak akan terlepas peluang untuk menikmati persahabatan yang baik dan pengalaman yang menarik.
“Perbualan tidak semestinya panjang lebar, dan kamu tidak semestinya perlu menjadi tumpuan orang. Kamu hanya perlu memperkenalkan diri kepada orang yang baru kamu jumpa atau tanya beberapa soalan yang mudah.”—Alicia.
Prinsip Bible: “Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri, dan dengan demikian, dia akan berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya dan bukannya kerana dia membandingkan diri dengan orang lain.”—Galatia 6:4.
Gunakan daya pemerhatian. Perhatikan cara orang yang peramah berbual dengan orang lain. Bagaimanakah mereka dapat melakukannya? Apakah yang dapat kamu tiru daripada mereka, dan apakah yang patut kamu elakkan?
“Perhatikanlah dan belajarlah daripada orang yang mudah berkawan. Lihatlah tingkah laku mereka dan apa yang mereka katakan semasa berjumpa dengan orang buat kali pertama.”—Aaron.
Prinsip Bible: “Sebagaimana besi diasah oleh besi, demikianlah manusia belajar daripada satu sama lain.”—Amsal 27:17.
Tanya soalan. Biasanya orang suka memberikan pendapat tentang sesuatu perkara. Jadi apabila kamu menanya soalan, kamu dapat memulakan perbualan dengan mereka. Dengan itu, orang tidak akan terlalu fokus dengan kamu.
“Persediaan dapat mengurangkan kerisauan kamu. Kamu boleh fikirkan beberapa topik atau soalan sebelum menyertai acara sosial supaya kamu tidak terlalu tertekan semasa berjumpa dengan orang baharu.”—Alana.
Prinsip Bible: “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”—Filipi 2:4.
a Daripada buku Reclaiming Conversation.