Adakah Tuhan Akan Menjawab Doa Saya?
Jawapan Bible
Ya. Contoh dalam Bible dan kisah hidup seseorang menunjukkan bahawa Tuhan menjawab doa. Bible berkata, “Dia memenuhi keinginan orang yang takut akan-Nya; apabila mereka berseru meminta tolong, Dia akan mendengar lalu menyelamatkan mereka.” (Mazmur 145:19) Namun, cara anda berdoa juga dapat menentukan sama ada Tuhan akan menjawab doa anda atau tidak.
Perkara yang penting bagi Tuhan
Doa harus ditujukan kepada Tuhan sahaja, bukannya Yesus, Maria, santo-santo, malaikat-malaikat, atau patung. Hal ini kerana Tuhan Yehuwa sahajalah “Pendengar doa.”—Mazmur 65:2.
Doa harus selaras dengan kehendak Tuhan seperti yang dicatatkan dalam Bible.—1 Yohanes 5:14.
Doa harus diucapkan melalui nama Yesus sebagai tanda kita mengakui kedudukannya. Yesus berkata, “Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.”—Yohanes 14:6.
Doa harus disertai iman. Jika anda kekurangan iman, mintalah Tuhan untuk memberi anda lebih banyak iman.—Matius 21:22; Lukas 17:5.
Tunjukkan kerendahan hati dan keikhlasan. Bible berkata, “Meskipun Yehuwa begitu agung, Dia akrab dengan orang yang rendah hati.”—Mazmur 138:6.
Sentiasa berdoa. Yesus berkata, “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya.”—Lukas 11:9.
Perkara yang tidak penting bagi Tuhan
Kaum atau bangsa anda. “Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.”—Kisah 10:34, 35.
Kedudukan badan anda. Semasa berdoa, anda boleh duduk, bersujud, berlutut, atau berdiri.—1 Tawarikh 17:16; Nehemia 8:6; Daniel 6:10; Markus 11:25.
Sama ada anda berdoa dengan suara atau dalam hati. Tuhan bahkan menjawab doa dalam hati yang tidak diketahui oleh orang lain.—Nehemia 2:1-6.
Sama ada masalah anda besar atau kecil. Tuhan menggalakkan anda untuk ‘lemparkan segala kekhuatiran anda kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang anda.’—1 Petrus 5:7.