PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • es25 ms. 67-77
  • Julai

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Julai
  • Mengkaji Ayat-Ayat Suci Setiap Hari—2025
  • Tajuk Kecil
  • Selasa, 1 Julai
  • Rabu, 2 Julai
  • Khamis, 3 Julai
  • Jumaat, 4 Julai
  • Sabtu, 5 Julai
  • Ahad, 6 Julai
  • Isnin, 7 Julai
  • Selasa, 8 Julai
  • Rabu, 9 Julai
  • Khamis, 10 Julai
  • Jumaat, 11 Julai
  • Sabtu, 12 Julai
  • Ahad, 13 Julai
  • Isnin, 14 Julai
  • Selasa, 15 Julai
  • Rabu, 16 Julai
  • Khamis, 17 Julai
  • Jumaat, 18 Julai
  • Sabtu, 19 Julai
  • Ahad, 20 Julai
  • Isnin, 21 Julai
  • Selasa, 22 Julai
  • Rabu, 23 Julai
  • Khamis, 24 Julai
  • Jumaat, 25 Julai
  • Sabtu, 26 Julai
  • Ahad, 27 Julai
  • Isnin, 28 Julai
  • Selasa, 29 Julai
  • Rabu, 30 Julai
  • Khamis, 31 Julai
Mengkaji Ayat-Ayat Suci Setiap Hari—2025
es25 ms. 67-77

Julai

Selasa, 1 Julai

Dia pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang.​—Kis. 10:38.

Semua perbuatan dan kata-kata Yesus, termasuk mukjizatnya, mencerminkan pemikiran dan perasaan Bapanya dengan sempurna. (Yoh. 14:9) Apakah yang kita pelajari daripada mukjizat Yesus? Yesus dan Bapanya sangat mengasihi kita. Semasa di bumi, dia menunjukkan betapa dalamnya kasihnya terhadap orang dengan melakukan mukjizat untuk membantu mereka. Pernah sekali, dua lelaki buta memohon bantuannya. (Mat. 20:​30-34) Yesus “berasa kasihan” lalu tergerak untuk menyembuhkan mereka. Kata kerja bahasa Yunani yang diterjemahkan sebagai “berasa kasihan” menunjukkan bahawa Yesus dapat menyelami penderitaan mereka. Hal ini mencerminkan kasih Yesus dan juga mendorongnya memberikan makanan kepada orang yang lapar dan menyembuhkan pesakit kusta. (Mat. 15:32; Mrk. 1:41) Maka, yakinlah bahawa Yehuwa, Tuhan yang “sangat berbelas kasihan,” dan Anak-Nya sangat mengasihi kita dan susah hati semasa kita menderita. (Luk. 1:78; 1 Ptr. 5:7) Mereka pasti ingin melenyapkan masalah kita! w23.04 3 ¶4-5

Rabu, 2 Julai

Wahai orang yang mengasihi Yehuwa, bencilah apa yang jahat. Dia melindungi nyawa orang yang setia kepada-Nya. Dia menyelamatkan mereka daripada cengkaman orang yang jahat.​—Mzm. 97:10.

Kita perlu berusaha untuk tidak melihat atau mendengar idea salah yang sering dipaparkan dalam dunia Syaitan. Kita perlu mengkaji Bible agar minda kita diisi dengan fikiran yang sihat. Kita perlu menghadiri perjumpaan dan menginjil supaya fikiran kita dilindungi. Dengan demikian, Yehuwa berjanji untuk tidak membiarkan kita menghadapi godaan yang tidak dapat kita tanggung. (1 Kor. 10:​12, 13) Berdoalah sentiasa agar dapat tetap setia kepada Yehuwa lebih-lebih lagi pada hari-hari terakhir ini. Yehuwa mahu kita ‘mencurahkan isi hati kita’ kepada-Nya. (Mzm. 62:8) Pujilah Yehuwa dan ucapkanlah syukur atas segala yang telah dilakukan-Nya. Mohonlah keberanian untuk menginjil, dan ketabahan untuk menghadapi masalah dan melawan godaan. Janganlah biarkan apa-apa pun menghalang anda daripada berdoa kepada Yehuwa secara tetap. w23.05 7 ¶17-18

Khamis, 3 Julai

Marilah kita memperhatikan satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan.​—Ibr. 10:​24, 25.

Tujuan utama kita menghadiri perjumpaan adalah untuk memuji Yehuwa. (Mzm. 26:12; 111:1) Kita juga ingin saling menggalakkan pada masa yang susah ini. (1 Tes. 5:11) Sebenarnya, apabila kita mengangkat tangan untuk memberikan komen, kita sedang memuji Yehuwa dan saling menggalakkan. Tetapi kita mungkin menghadapi cabaran. Kita mungkin sangat gementar untuk memberikan komen, atau kita mungkin sangat suka memberikan komen, tetapi jarang dipanggil. Bagaimanakah kita dapat menangani cabaran ini? Paulus mengingatkan kita bahawa kita patut “saling memberikan dorongan.” Apabila kita ingat bahawa komen kita yang ringkas pun dapat menggalakkan saudara saudari lain, kita akan lebih sudi memberikan komen. Jika kita jarang diberikan peluang untuk memberikan komen pula, kita dapat berasa gembira kerana orang lain di sidang berpeluang untuk memberikan komen.​—1 Ptr. 3:8. w23.04 20 ¶1-3

Jumaat, 4 Julai

Pulang ke Yerusalem, dan binalah semula Rumah Yehuwa.​—Ezr. 1:3.

Raja sudah bertitah! Orang Yahudi yang ditawan di Babilon selama 70 tahun boleh kembali ke Israel. (Ezr. 1:​2-4) Hanya Yehuwa yang dapat menyebabkan hal ini berlaku kerana Babilon tidak pernah membebaskan tawanannya. (Yes. 14:​4, 17) Tetapi Babilon sudah dijatuhkan, dan raja yang baharu telah mengumumkan bahawa orang Yahudi boleh pulang. Setiap orang Yahudi, terutamanya ketua keluarga, perlu membuat keputusan penting ini: Adakah mereka akan meninggalkan Babilon, atau terus tinggal di situ? Keputusan ini mungkin mencabar. Ramai orang Yahudi yang lanjut usia tidak larat untuk membuat perjalanan jauh ke negeri Israel. Ada orang Yahudi yang muda pula dilahirkan di Babilon. Jadi bagi mereka, negeri Israel hanyalah tanah air nenek moyang mereka. Sesetengah orang Yahudi yang hidup makmur di Babilon mungkin susah meninggalkan rumah dan perniagaan mereka lalu berpindah ke tempat yang tidak pernah dilihat mereka. w23.05 14 ¶1-2

Sabtu, 5 Julai

Pastikan bahawa kamu bersedia.​—Mat. 24:44.

Bible menggalakkan kita untuk terus memupuk ketabahan, belas kasihan, dan kasih. Lukas 21:19 kata, “Jika kamu tabah, nyawa kamu akan terpelihara.” Kolose 3:12 kata, “Hendaklah kamu mengenakan belas kasihan.” Di 1 Tesalonika 4:​9, 10 kata, “Kamu sendiri diajar oleh Tuhan untuk saling mengasihi. . . . Tetapi saudara-saudara, kami menggesa kamu semua agar terus melakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.” Ayat-ayat ini ditujukan kepada orang Kristian yang sudah menunjukkan ketabahan, belas kasihan, dan kasih. Namun, mereka digalakkan untuk terus memupuk sifat-sifat ini. Kita juga harus buat hal yang sama. Untuk melakukannya, belajarlah cara orang Kristian abad pertama menunjukkan sifat tersebut. Kemudian, belajarlah cara kita dapat meniru mereka dan bersedia untuk menghadapi kesengsaraan besar. Dengan memantapkan ketabahan kita sekarang, kita dapat terus bertabah semasa kesengsaraan besar bermula. w23.07 3 ¶4, 8

Ahad, 6 Julai

Di sana akan ada jalan besar yang dipanggil Jalan Kesucian.​—Yes. 35:8.

Tidak kira kita ialah orang Kristian terurap atau “biri-biri lain,” kita harus terus berjalan di “Jalan Kesucian.” (Yoh. 10:16) Dengan itu, kita dapat terus menyembah Yehuwa sekarang dan menikmati berkat yang akan dibawa oleh Kerajaan Tuhan. Sejak tahun 1919, jutaan lelaki, wanita, dan kanak-kanak telah meninggalkan Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu sedunia, dan mula berjalan di “Jalan Kesucian.” Semasa orang Yahudi meninggalkan Babilon, Yehuwa menyingkirkan halangan di jalan mereka. (Yes. 57:14) Adakah Dia juga berbuat demikian untuk “Jalan Kesucian” pada zaman moden? Ya. Ratusan tahun sebelum tahun 1919, Yehuwa menggunakan orang yang setia untuk menyediakan jalan supaya orang dapat meninggalkan Babilon Besar. (Bandingkan Yesaya 40:3.) Mereka seolah-olah membantu membuat kerja persiapan agar orang yang berhati jujur lebih mudah memasuki firdaus rohani, iaitu ibadat sejati yang dipulihkan. w23.05 16 ¶8-9

Isnin, 7 Julai

Berkhidmatlah kepada Yehuwa dengan gembira. Datanglah ke hadirat-Nya dengan seruan sukacita.​—Mzm. 100:2.

Yehuwa mahu kita menyembah-Nya dengan rela dan sukacita. (2 Kor. 9:7) Jadi, patutkah kita memaksa diri untuk mencapai suatu matlamat jika kita tiada motivasi untuk melakukannya? Perhatikan contoh Paulus. Dia berkata, ‘Aku mendisiplinkan tubuhku dengan tegas dan mengawalnya seperti hamba.’ (1 Kor. 9:​25-27, nota kaki) Paulus pun perlu memaksa diri untuk melakukan apa yang benar. Adakah Yehuwa memperkenankannya? Ya! Yehuwa memberkati usahanya. (2 Tim. 4:​7, 8) Yehuwa juga gembira apabila kita berusaha mencapai matlamat kita biarpun kita kurang motivasi untuk melakukannya. Dia gembira kerana biarpun kita tidak selalunya menyukai matlamat yang kita tetapkan, kita masih berusaha mencapainya kerana kita mengasihi-Nya. Sepertimana Yehuwa memberkati Paulus, Dia juga akan memberkati kita. (Mzm. 126:5) Apabila kita merasai berkat Yehuwa, motivasi kita mungkin akan bertambah. w23.05 29 ¶9-10

Selasa, 8 Julai

Hari Yehuwa akan datang.​—1 Tes. 5:2.

Paulus menggambarkan orang yang tidak akan terselamat semasa hari Yehuwa dengan orang yang tidur. Orang yang tidur biasanya tidak sedar apa yang berlaku dan bahawa masa sedang berlalu. Jadi, apabila ada hal penting berlaku, mereka tidak tahu dan tidak dapat bertindak. Hari ini, kebanyakan orang sedang tidur secara rohani. (Rm. 11:8) Mereka tidak peduli akan bukti yang menunjukkan bahawa kita hidup pada “hari-hari terakhir” dan bahawa kesengsaraan besar sudah dekat. (2 Ptr. 3:​3, 4) Namun kita sedar bahawa hari itu semakin dekat. Maka amatlah penting bagi kita untuk terus berjaga-jaga hari demi hari. (1 Tes. 5:6) Kita mesti tetap tenang dan stabil supaya kita tidak terbawa-bawa dengan isu politik atau sosial. Apabila hari Yehuwa semakin dekat, kita akan diberi banyak tekanan untuk terlibat dalam isu sebegini. Namun, kita yakin kuasa suci Tuhan dapat memberi kita minda yang tenang dan stabil supaya kita dapat membuat keputusan bijak.​—Luk. 12:​11, 12. w23.06 10 ¶6-7

Rabu, 9 Julai

Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, tolonglah ingat akan aku. Tolonglah kuatkan aku.​—Hak. 16:28.

Apakah yang terlintas di fikiran anda semasa mendengar nama Simson? Anda mungkin berfikir tentang seorang lelaki yang sangat kuat. Namun, Simson pernah membuat keputusan buruk yang membawa padah. Biarpun begitu, Yehuwa bertumpu kepada kesetiaan Simson, yang dicatatkan dalam Bible demi manfaat kita. Yehuwa menggunakan Simson untuk melaksanakan hal-hal yang menakjubkan demi umat Israel. Berabad-abad selepas kematian Simson, Yehuwa mengilhami Rasul Paulus untuk mencatatkan nama Simson antara nama-nama orang yang beriman. (Ibr. 11:​32-34) Teladan Simson dapat menggalakkan kita. Dia bergantung pada Yehuwa, bahkan pada masa yang mencabar. Kita dapat belajar daripada Simson dan teladannya dapat menggalakkan kita. w23.09 2 ¶1-2

Khamis, 10 Julai

Nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan.​—Flp. 4:6.

Kita dapat menguatkan ketabahan kita dengan sering berdoa kepada Yehuwa. (1 Tes. 5:17) Sekarang anda mungkin tidak menghadapi cubaan yang teruk. Namun, adakah anda memohon bimbingan Yehuwa setiap kali anda sedih, keliru, atau bingung? Jika anda sudah biasa melakukannya semasa menghadapi cabaran seharian, anda tidak akan teragak-agak untuk berbuat demikian semasa menghadapi masalah yang lebih besar. Ketika itu, anda akan yakin bahawa Yehuwa tahu cara dan masa yang terbaik untuk menjawab doa anda. (Mzm. 27:​1, 3) Jika kita tabah sekarang, kita akan berasa lebih mudah untuk tetap setia semasa kesengsaraan besar. (Rm. 5:3) Mengapa? Ramai saudara saudari belajar bahawa setiap cubaan yang dilalui telah membantu mereka menghadapi cubaan yang seterusnya. Oleh sebab mereka bertabah, iman mereka dikuatkan, dan mereka yakin bahawa Yehuwa sentiasa sedia membantu mereka. Hasilnya, mereka mampu menghadapi cubaan dengan berjaya.​—Yak. 1:​2-4. w23.07 3 ¶7-8

Jumaat, 11 Julai

Aku akan mengabulkan permintaanmu.​—Kej. 19:21.

Kerendahan hati dan belas kasihan Yehuwa mendorong-Nya untuk bersikap munasabah. Misalnya, fikirkan bagaimana Yehuwa menunjukkan kerendahan hati semasa Dia ingin memusnahkan kota Sodom. Melalui malaikat-Nya, Yehuwa menyuruh Lot untuk pergi ke kawasan pergunungan. Tetapi Lot takut dan merayu agar dia dan keluarganya dibenarkan pergi ke Zoar, padahal Yehuwa pun ingin membinasakan kota itu. Sebenarnya Yehuwa boleh menolak permintaan Lot dan menyuruhnya untuk mengikut arahan. Namun Dia mengubah rancangan-Nya demi Lot dan tidak membinasakan Zoar. (Kej. 19:​18-22) Berabad-abad kemudian, Yehuwa berbelas kasihan terhadap penduduk Niniwe. Dia mengutus Nabi Yunus untuk mengumumkan bahawa kota itu dan penduduknya yang jahat akan dimusnahkan. Tetapi apabila penduduk Niniwe bertaubat, Yehuwa berbelas kasihan terhadap mereka dan tidak memusnahkan kota itu.​—Yun. 3:​1, 10; 4:​10, 11. w23.07 21 ¶5

Sabtu, 12 Julai

Mereka membunuh Yehoas, tetapi mereka tidak mengebumikannya di makam diraja.​—2 Taw. 24:25.

Yehoas bagaikan tumbuhan yang akarnya tidak dalam, yang perlu diikatkan pada sebatang kayu untuk menstabilkannya. Semasa “kayu,” iaitu Yehoyada, sudah tiada, dan semasa ditiup “angin,” iaitu pengaruh murtad, Yehoas telah tumbang. Hal ini mengajar kita bahawa rasa takut kita kepada Tuhan tidak boleh hanya bergantung pada pengaruh baik rakan seiman, termasuk ahli keluarga. Kita mesti sering membuat pembelajaran peribadi, perenungan, dan berdoa untuk memperdalam kasih kita kepada Tuhan dan sentiasa takut kepada-Nya. (Yer. 17:​7, 8; Kol. 2:​6, 7) Apa yang diharapkan oleh Yehuwa tidaklah banyak. Dia hanya mahu kita buat apa yang dinyatakan di Pengkhutbah 12:13: “Takutlah kepada Tuhan yang benar, dan patuhilah perintah-Nya kerana inilah kewajipan setiap orang.” Apabila kita takut akan Tuhan, kita dapat berdiri teguh semasa menghadapi cubaan. Tiada yang dapat merosakkan hubungan kita dengan-Nya. w23.06 19 ¶17-19

Ahad, 13 Julai

Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baharu.​—Why. 21:5.

Jaminan Tuhan bermula dengan kata-kata berikut: “Dia yang duduk di atas takhta berfirman.” (Why. 21:5a) Kata-kata ini diucapkan oleh Yehuwa. Hanya tiga kali Yehuwa sendiri bercakap dalam penglihatan di buku Wahyu. Memandangkan jaminan ini bukan daripada malaikat berkuasa, atau Yesus yang sudah dibangkitkan, hal ini membuktikan bahawa kita dapat percaya apa yang dikatakan Yehuwa selepas itu. Mengapa? Kerana Yehuwa “tidak dapat berdusta.” (Tit. 1:2) Jadi, kata-kata di Wahyu 21:​5, 6 dapat dipercayai. Perhatikan perkataan “Lihatlah!” Istilah Yunani yang diterjemahkan sebagai “lihatlah!” digunakan berulang kali di buku Wahyu. Apakah yang dikatakan Yehuwa seterusnya? Dia berkata, “Aku sedang menjadikan semuanya baharu.” Biarpun hal ini akan berlaku pada masa depan, Dia begitu yakin janji-Nya akan ditunaikan sehingga Dia menggunakan perkataan “sedang” untuk menunjukkan bahawa janji-Nya seolah-olah sedang berlaku.​—Yes. 46:10. w23.11 3-4 ¶7-8

Isnin, 14 Julai

Dia pun keluar dan menangis tersedu-sedu.​—Mat. 26:75.

Petrus perlu bergelut dengan kelemahannya. Contohnya, semasa Yesus berkata bahawa dia akan menderita dan mati seperti yang dinubuatkan dalam Bible, Petrus menegur Yesus. (Mrk. 8:​31-33) Petrus dan rasul lain juga sering bertengkar tentang siapa yang terbesar. (Mrk. 9:​33, 34) Pada malam sebelum Yesus dibunuh, Petrus mengerat telinga seorang lelaki. (Yoh. 18:10) Pada malam itu juga, Petrus begitu takut sehingga berkata sebanyak tiga kali bahawa dia tidak mengenal Yesus. (Mrk. 14:​66-72) Selepas itu, dia menangis tersedu-sedu. Yesus tidak berputus asa terhadap Petrus yang sangat tawar hati. Selepas dibangkitkan, Yesus memberi Petrus peluang untuk membuktikan kasihnya dengan menjemput Petrus menjaga biri-birinya. (Yoh. 21:​15-17) Petrus menerima jemputan Yesus. Jadi, pada hari Pentakosta, Petrus berada di Yerusalem dan menjadi antara orang Kristian pertama yang diurapi kuasa suci Tuhan. w23.09 22 ¶6-7

Selasa, 15 Julai

Hendaklah kamu menggembala anak bebiriku.​—Yoh. 21:16.

Petrus menggesa para penatua, “Hendaklah kamu menggembala kawanan Tuhan.” (1 Ptr. 5:​1-4) Para penatua, kami tahu anda mengasihi saudara saudari dan ingin menggembala mereka. Namun, kadangkala anda mungkin sibuk atau penat sehingga tidak mampu menjalankan tanggungjawab itu. Apakah yang dapat anda buat? Beritahulah Yehuwa kekhuatiran anda. Petrus menulis, “Jika seseorang berkhidmat kepada orang lain, hendaklah dia berbuat demikian dengan bergantung pada kekuatan yang diberikan oleh Tuhan.” (1 Ptr. 4:11) Ingatlah bahawa Yesus ialah “ketua gembala.” Sesetengah masalah saudara saudari mungkin hanya dapat diselesaikan di dunia baharu. Namun, Yesus dapat membantu mereka dalam cara yang tidak mampu anda lakukan, baik sekarang mahupun pada masa depan. Tuhan hanya mahu anda menjadi “teladan bagi kawanan,” mengasihi, dan menggembala mereka. w23.09 29-30 ¶13-14

Rabu, 16 Julai

Yehuwa tahu bahawa pemikiran orang bijaksana itu sia-sia.​—1 Kor. 3:20.

Kita harus mengelak daripada mengikut pemikiran manusia. Jika kita melihat sesuatu perkara dari sudut pandangan manusia, kita mungkin mengabaikan Yehuwa dan standard-Nya. (1 Kor. 3:19) “Kebijaksanaan dunia ini” menggalakkan kita untuk memenuhi nafsu sendiri. Beberapa orang Kristian di sidang Pergamus dan Tiatira terikut dengan pandangan orang di sekeliling mereka terhadap penyembahan berhala dan perbuatan yang tidak bermoral. Jadi, Yesus memberi mereka nasihat yang tegas. (Why. 2:​14, 20) Hari ini, kita diberi tekanan untuk menerima pandangan yang salah. Ahli keluarga dan kenalan mungkin menyuruh kita melanggar hukum Yehuwa dan mengikut hati kita. Misalnya, mereka mendakwa bahawa standard moral Bible sudah lapuk dan tidak salah untuk menuruti nafsu kita. Ada kalanya, kita mungkin berasa bahawa arahan Yehuwa tidak jelas. Kita mungkin ingin buat “sesuatu yang melebihi apa yang tertulis.”​—1 Kor. 4:6. w23.07 16 ¶10-11

Khamis, 17 Julai

Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.​—Ams. 17:17.

Maria, iaitu ibu Yesus, memerlukan kekuatan. Dia belum berkahwin, tetapi akan menjadi hamil. Dia juga tiada pengalaman membesarkan anak, tetapi perlu menjaga anak yang akan menjadi Mesias. Selain itu, dia risau bagaimana mahu menjelaskan kepada tunangnya Yusuf, bahawa dia mengandung biarpun tidak pernah bersetubuh. (Luk. 1:​26-33) Bagaimanakah Maria mendapat kekuatan? Dia meminta bantuan orang. Contohnya, dia meminta Gabriel memberinya maklumat yang terperinci tentang tugasannya. (Luk. 1:34) Kemudiannya, dia pergi ke “kawasan pergunungan” di Yehuda untuk melawat Elisabet. Elisabet memuji Maria dan dia diilhami Yehuwa untuk mengongsi nubuat yang menggalakkan tentang anak Maria yang belum lahir. (Luk. 1:​39-45) Maria berkata bahawa Yehuwa telah “bertindak dengan tangan-Nya yang perkasa.” (Luk. 1:​46-51) Melalui Gabriel dan Elisabet, Yehuwa telah menguatkan Maria. w23.10 14-15 ¶10-12

Jumaat, 18 Julai

Dia menjadikan kita raja dan imam yang mengabdi kepada Tuhannya dan Bapanya.​—Why. 1:6.

Sebilangan kecil pengikut Kristus diurapi dengan kuasa suci Tuhan, dan mereka ada hubungan istimewa dengan Yehuwa. Mereka berjumlah 144,000 orang dan akan berkhidmat sebagai imam bersama Yesus di syurga. (Why. 14:1) Bilik Suci dalam khemah suci melambangkan keadaan mereka di bumi selepas diurapi sebagai anak-anak Tuhan. (Rm. 8:​15-17) Bilik Maha Suci pula melambangkan syurga, iaitu tempat tinggal Yehuwa. “Tirai” yang memisahkan Bilik Suci daripada Bilik Maha Suci melambangkan tubuh jasmani Yesus. Selagi Yesus ada tubuh jasmaninya, dia tidak boleh ke syurga untuk berkhidmat sebagai Imam Agung di Rumah Rohani Tuhan. Dengan mengorbankan tubuh jasmaninya sebagai tebusan, Yesus membuka jalan bagi orang Kristian terurap untuk hidup di syurga. Mereka juga harus mati sebelum menerima ganjaran di syurga.​—Ibr. 10:​19, 20; 1 Kor. 15:50. w23.10 28 ¶13

Sabtu, 19 Julai

Masa tidak akan cukup jika aku bercerita tentang Gideon.​—Ibr. 11:32.

Gideon menjawab dengan lemah lembut apabila dikritik oleh orang Efraim. (Hak. 8:​1-3) Daripada naik marah, dia mendengar pandangan mereka dengan rendah hati. Hasilnya, dia meredakan situasi tegang itu. Seperti Gideon, penatua yang bijak akan mendengar dengan teliti dan menjawab dengan lemah lembut semasa dikritik. (Yak. 3:13) Maka, perpaduan sidang dapat dipelihara. Apabila orang memuji Gideon kerana menyelamatkan mereka daripada orang Midian, Gideon menghalakan pujian kepada Yehuwa. (Hak. 8:​22, 23) Para penatua juga dapat meniru Gideon. (1 Kor. 4:​6, 7) Misalnya, jika seorang penatua dipuji kerana pandai mengajar, dia dapat mengingatkan saudara saudari bahawa ajarannya berdasarkan Bible, atau menjelaskan bagaimana organisasi Yehuwa telah melatihnya. Dari masa ke masa, para penatua patut memeriksa diri untuk memastikan mereka tidak menghalakan perhatian kepada diri mereka tanpa disedari. w23.06 4 ¶7-8

Ahad, 20 Julai

Fikiran-Ku bukan seperti fikiran kamu.​—Yes. 55:8.

Jika doa kita tidak dijawab, kita boleh tanya diri, “Adakah saya berdoa untuk perkara yang betul?” Sering kali, kita fikir bahawa kita tahu apa yang terbaik bagi diri, tetapi apa yang kita minta tidak selalunya bermanfaat dalam jangka masa panjang. Jika kita berdoa tentang suatu masalah, mungkin ada penyelesaian yang lebih bagus daripada penyelesaian yang kita minta. Kadangkala apa yang kita minta mungkin tidak selaras dengan kehendak Yehuwa. (1 Yoh. 5:14) Contohnya, fikirkan ibu bapa yang meminta Yehuwa untuk membantu anak mereka tetap berada dalam kebenaran. Permintaan itu nampaknya munasabah. Namun, Yehuwa tidak akan memaksa sesiapa pun untuk menyembah-Nya. Dia mahu kita semua, termasuk anak-anak, untuk memilih menyembah-Nya. (Ul. 10:​12, 13; 30:​19, 20) Maka, ibu bapa itu boleh mengubah doa mereka dan meminta Yehuwa membantu mereka mencapai hati anak agar anak tergerak untuk mengasihi Yehuwa dan menjadi sahabat-Nya.​—Ams. 22:6; Ef. 6:4. w23.11 21 ¶5; 23 ¶12

Isnin, 21 Julai

Teruslah melegakan hati satu sama lain.​—1 Tes. 4:18.

Mengapakah melegakan hati orang merupakan satu cara penting untuk menunjukkan kasih? Menurut sebuah rujukan Bible, perkataan “melegakan hati” yang digunakan Paulus bermaksud “berdiri di sisi seseorang untuk menggalakkannya apabila dia mengalami cubaan besar.” Maka, dengan melegakan hati rakan seiman yang menderita, kita membantunya untuk bangun semula dan terus berjalan di haluan kehidupan. Setiap kali kita melegakan mereka, kita sedang menunjukkan kasih. (2 Kor. 7:​6, 7, 13) Sifat belas kasihan dan melegakan orang saling berkaitan. Seseorang yang berbelas kasihan tergerak untuk melegakan orang dan meringankan beban mereka. Maka, kita harus memiliki sifat belas kasihan terlebih dahulu. Perhatikan bagaimana Paulus mengaitkan belas kasihan Tuhan dengan kelegaan hati yang diberikan-Nya. Dia memanggil Yehuwa sebagai “Bapa yang berbelas kasihan dan Tuhan yang melegakan hati kita.”​—2 Kor. 1:3. w23.11 9-10 ¶8-10

Selasa, 22 Julai

Bersukacita semasa menghadapi kesengsaraan.​—Rm. 5:3.

Contoh Paulus menunjukkan bahawa semua pengikut Kristus akan mengalami kesengsaraan. Dia memberitahu orang di Tesalonika, “Semasa kami bersama-sama kamu, awal-awal lagi kami telah memberitahu kamu bahawa kita akan menghadapi kesengsaraan.” (1 Tes. 3:4) Dia juga berkata kepada orang di Korintus, “Saudara-saudara, kami mahu kamu mengetahui kesengsaraan yang kami alami . . . Kami tidak pasti sama ada kami dapat terus hidup atau tidak.” (2 Kor. 1:8; 11:​23-27) Orang Kristian hari ini juga akan menghadapi kesengsaraan. (2 Tim. 3:12) Oleh sebab anda beriman kepada Yesus dan mengikutnya, kawan dan saudara-mara mungkin melayan anda dengan buruk. Adakah anda menghadapi masalah di tempat kerja kerana bersikap jujur? (Ibr. 13:18) Adakah anda ditentang oleh pihak berkuasa kerana mengongsi harapan Bible dengan orang? Tidak kira apa kesengsaraan kita, Paulus berkata bahawa kita harus bersukacita. w23.12 10-11 ¶9-10

Rabu, 23 Julai

Kamu berdua telah banyak menyusahkan aku.​—Kej. 34:30.

Yakub menghadapi banyak masalah. Dua anak lelakinya, iaitu Simeon dan Lewi, telah melakukan hal yang memalukan keluarga dan memburukkan nama Yehuwa. Selain itu, isteri kesayangan Yakub, iaitu Rahel, meninggal semasa melahirkan anak kedua. Semasa Yakub sudah tua, dia terpaksa berpindah ke Mesir kerana kebuluran yang teruk. (Kej. 35:​16-19; 37:28; 45:​9-11, 28) Meskipun begitu, Yakub tidak pernah meragui Yehuwa dan janji-Nya, dan Yehuwa menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada Yakub. Misalnya, Yehuwa memberkati Yakub dengan memberinya banyak harta. Kemudian, semasa Yakub berjumpa semula dengan Yusuf, dia pasti bersyukur kepada Yehuwa kerana sebelum itu, dia menyangka bahawa Yusuf sudah mati! Yakub mempunyai persahabatan erat dengan Yehuwa, maka dia dapat menghadapi cubaan dengan berjaya. (Kej. 30:43; 32:​9, 10; 46:​28-30) Jika kita tetap akrab dengan Yehuwa, kita pun dapat menghadapi cabaran yang tidak terduga dengan berjaya. w23.04 15 ¶6-7

Khamis, 24 Julai

Ya Yehuwa, Engkaulah Gembalaku. Aku tidak akan kekurangan apa-apa.​—Mzm. 23:1.

Penulis Mazmur 23 ialah Daud. Lagu ini mengungkapkan keyakinan Daud terhadap kasih dan jagaan Yehuwa. Dia menggambarkan hubungannya yang akrab dengan Gembalanya, Yehuwa. Oleh sebab Daud percaya kepada Yehuwa dengan sepenuhnya, dia mahu Yehuwa membimbing hidupnya. Dia yakin Yehuwa akan menunjukkan kasih kepadanya setiap hari sepanjang hayatnya. Mengapakah Daud begitu yakin? Daud rasa dia dijaga dengan baik kerana Yehuwa sentiasa menyediakan keperluannya. Daud juga menikmati persahabatan dan perkenan Yehuwa. Itulah sebabnya dia yakin bahawa tidak kira apa yang berlaku dalam hidupnya, Yehuwa akan terus menjaganya. Daud percaya bahawa Yehuwa mengasihinya dan akan terus menjaganya, jadi dia tidak terlalu risau. Sebaliknya, dia gembira dan puas.​—Mzm. 16:11. w24.01 28-29 ¶12-13

Jumaat, 25 Julai

Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.​—Mat. 28:20.

Sejak Perang Dunia Kedua, umat Tuhan di banyak negara dapat menginjil dalam keadaan yang bebas dan damai. Hasilnya, kerja penyebaran telah berkembang maju. Hari ini, Badan Pimpinan terus bergantung pada bimbingan Kristus dan berusaha untuk memastikan arahan yang mereka berikan mencerminkan fikiran Yehuwa dan Yesus. Mereka menggunakan penyelia litar dan para penatua untuk menyampaikan arahan mereka kepada sidang-sidang. Bible kata bahawa para penatua ada ‘di dalam tangan kanan Kristus.’ (Why. 2:1) Namun, para penatua tidak sempurna dan akan membuat kesilapan. Pada zaman dulu, Musa dan Yosua pun pernah berbuat silap, begitu juga dengan para rasul. (Bil. 20:12; Yos. 9:​14, 15; Rm. 3:23) Biarpun begitu, Kristus sedang membimbing hamba yang setia dan para penatua, dan dia akan terus berbuat demikian. Maka kita dapat mempercayai sepenuhnya bimbingan yang diberikan melalui saudara yang terlantik. w24.02 23-24 ¶13-14

Sabtu, 26 Julai

Ikutlah teladan Tuhan sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya.​—Ef. 5:1.

Kita dapat menyenangkan hati Yehuwa dengan memberitahu orang bahawa kita sangat menghargai dan mengasihi-Nya. Semasa menginjil, tujuan utama kita adalah untuk membantu orang menghampiri Yehuwa dan mengasihi-Nya. (Yak. 4:8) Melalui Bible, kita menunjukkan bagaimana Yehuwa memperlihatkan kasih, keadilan, kebijaksanaan, kuasa, dan sebagainya. Kita juga memuji dan menyenangkan hati Yehuwa semasa kita meniru-Nya. Hasilnya, orang mungkin sedar bahawa kita sangat berbeza daripada orang di sekeliling kita dan ingin tahu sebabnya. (Mat. 5:​14-16) Semasa berurusan dengan mereka dalam kehidupan seharian kita, kita dapat mengongsi sebabnya kita berbeza daripada orang lain. Hal ini mungkin mendorong orang yang tulus hati untuk menghampiri Tuhan. Apabila kita memuji Yehuwa dalam cara-cara ini, kita menggembirakan-Nya.​—1 Tim. 2:​3, 4. w24.02 10 ¶7

Ahad, 27 Julai

Dapat memberikan galakan dan menegur.​—Tit. 1:9.

Untuk menjadi lelaki Kristian yang matang, anda perlu belajar kemahiran yang berguna. Dengan ini, anda dapat memikul tanggungjawab dalam sidang, bekerja untuk menyara diri atau keluarga, dan ada hubungan baik dengan orang. Misalnya, belajar kemahiran membaca dan menulis. Bible kata orang yang ingin bahagia dan berjaya harus membaca dan merenungkan Bible setiap hari. (Mzm. 1:​1-3) Dengan membaca Bible setiap hari, dia akan mengenali fikiran Yehuwa. Hasilnya, dia dapat membuat pertimbangan yang baik dan tahu cara menerapkan prinsip Bible. (Ams. 1:​3, 4) Saudara saudari memerlukan saudara yang cekap untuk memberikan nasihat dan ajaran berdasarkan Bible. Jika anda dapat membaca dan menulis dengan baik, anda dapat menyediakan ceramah dan komen yang meningkatkan pengetahuan mereka dan yang menguatkan iman mereka. Selain itu, anda dapat membuat nota berguna yang membantu anda membina iman sendiri dan menguatkan orang lain. w23.12 26-27 ¶9-11

Isnin, 28 Julai

Dia yang bersatu dengan kamu itu lebih besar daripada dia yang bersatu dengan dunia.​—1 Yoh. 4:4.

Jika anda takut, renungkan harapan yang dijanjikan Yehuwa semasa Syaitan dihapuskan. Di konvensyen serantau 2014, sebuah demonstrasi menunjukkan seorang bapa membincangkan 2 Timotius 3:​1-5 dengan keluarganya dan ubah ayat-ayat itu untuk berbunyi, “Di dunia baharu nanti, akan ada hari-hari yang amat bahagia. Manusia akan mengasihi satu sama lain, mencintai hal-hal rohani, rendah hati, tidak angkuh, dan suka memuji Tuhan. Mereka akan mentaati ibu bapa, tahu berterima kasih, setia, menyayangi ahli keluarga, sudi dibawa berbincang, sentiasa bercakap baik tentang orang lain, mampu mengawal diri, lemah lembut, dan mencintai kebaikan. Mereka juga boleh dipercayai, tidak keras kepala, tidak sombong, dan mencintai Tuhan, bukannya kesenangan. Mereka juga berusaha untuk hidup selaras dengan ibadat mereka. Hampirilah orang sebegini.” Adakah anda bincang tentang hidup di dunia baharu dengan keluarga atau rakan seiman? w24.01 6 ¶13-14

Selasa, 29 Julai

Aku berkenan kepadamu.​—Luk. 3:22.

Bible menyatakan, “Yehuwa berkenan kepada umat-Nya.” (Mzm. 149:4) Hal itu pasti melegakan kita. Namun, sesetengah penyembah Yehuwa ada kalanya berasa begitu tawar hati sehingga berfikir, “Adakah Yehuwa berkenan kepada saya?” Sebilangan hamba Yehuwa pada zaman Bible pun pernah berasa begitu. (1 Sam. 1:​6-10; Ayb. 29:​2, 4; Mzm. 51:11) Bible menjelaskan bahawa manusia yang tidak sempurna boleh mendapat perkenan Yehuwa. Bagaimana? Kita mesti beriman kepada Yesus Kristus dan dibaptis. (Yoh. 3:16) Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan kepada orang ramai bahawa kita sudah bertaubat dan berjanji kepada Tuhan untuk melakukan kehendak-Nya. (Kis. 2:38; 3:19) Apabila kita mengambil beberapa langkah ini agar dapat menjadi sahabat Yehuwa, Dia berasa sangat gembira. Selagi kita berusaha sedaya upaya untuk menunaikan ikrar pembaktian kita, Yehuwa akan berkenan kepada kita dan menganggap kita sebagai sahabat akrab-Nya.​—Mzm. 25:14. w24.03 26 ¶1-2

Rabu, 30 Julai

Kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.​—Kis. 4:20.

Tirulah murid-murid Yesus dengan terus menginjil biarpun dilarang oleh pihak berkuasa. Kita boleh berdoa agar Yehuwa memberi kita keberanian dan kebijaksanaan untuk menginjil serta menghadapi masalah dengan tabah. Kita yakin Yehuwa pasti membantu kita. Ramai antara kita menghadapi masalah fizikal atau emosi, masalah keluarga, penganiayaan, kematian orang tersayang, atau cabaran lain. Hal ini mungkin bertambah berat akibat pandemik atau peperangan. Maka curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa sepertimana anda meluahkannya kepada seorang kawan rapat. Yakinlah Yehuwa “akan bertindak bagi pihakmu.” (Mzm. 37:​3, 5) Dengan tekun berdoa, kita dapat ‘bertabah hati semasa ditimpa kesengsaraan.’ (Rm. 12:12) Yehuwa tahu apa yang dilalui umat-Nya, dan Dia berjanji bahawa “apabila mereka berseru meminta tolong, Dia akan mendengar lalu menyelamatkan mereka.”​—Mzm. 145:​18, 19. w23.05 5-6 ¶12-15

Khamis, 31 Julai

Teruslah mengenal pasti perkara-perkara yang diperkenankan Tuan kita.​—Ef. 5:10.

Semasa membuat keputusan yang penting, kita perlu “memahami kehendak Yehuwa” dan bertindak selaras dengannya. (Ef. 5:17) Jika kita mencari prinsip Bible yang berkaitan dengan situasi kita, kita sedang mencari nasihat Yehuwa. Apabila kita menerapkan prinsip Yehuwa, kita akan dapat membuat keputusan yang lebih bijak. Musuh kita, “Si Jahat,” mahu kita begitu sibuk dengan hal-hal duniawi sehingga tiada masa untuk berkhidmat kepada Tuhan. (1 Yoh. 5:19) Jika seorang Kristian terlalu bertumpu kepada kekayaan, pendidikan, atau kerjayanya, sehingga tidak memikirkan apa yang dapat dilakukannya untuk Yehuwa, dia sudah diracuni oleh fikiran dunia. Sudah tentu, kekayaan, pendidikan, atau kerjaya bukanlah dosa, tetapi hal-hal ini tidak patut menjadi keutamaan hidup kita. w24.03 24 ¶16-17

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi