Ahad, 26 Oktober
Tuhan menentang orang yang angkuh, tetapi Dia menunjukkan kebaikan hati yang unggul kepada orang yang rendah hati.—Yak. 4:6.
Bible mempunyai banyak contoh wanita setia yang mengasihi Yehuwa dan menyembah-Nya. Mereka “sederhana dalam segala hal” dan “setia dalam segala sesuatu.” (1 Tim. 3:11) Selain itu, para saudari dapat mencari teladan saudari yang matang dalam sidang sendiri. Saudari-saudari muda, carilah beberapa orang saudari yang matang dan tirulah teladan mereka. Perhatikanlah sifat-sifat baik mereka dan cubalah untuk menirunya. Kerendahan hati penting bagi seorang saudari Kristian yang matang. Jika seorang saudari bersikap rendah hati, dia akan menikmati hubungan yang baik dengan Yehuwa dan orang lain. Contohnya, seorang saudari yang mengasihi Yehuwa akan menyokong aturan kekepalaan yang diasaskan oleh-Nya. (1 Kor. 11:3) Aturan itu boleh diterapkan dalam sidang dan dalam lingkungan keluarga. w23.12 18-19 ¶3-5
Isnin, 27 Oktober
Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri.—Ef. 5:28.
Yehuwa mahu suami mengasihi isteri dan menjaga keperluan fizikal, emosi, dan rohaninya. Pupuklah daya pemikiran, melayan wanita dengan hormat, dan menjadi orang yang boleh diharapkan. Selepas berkahwin, anda mungkin menjadi seorang bapa. Bagaimanakah teladan Yehuwa dapat membantu anda menjadi bapa yang baik? (Ef. 6:4) Yehuwa memberitahu Anak-Nya Yesus secara terbuka bahawa Dia mengasihinya dan berkenan kepadanya. (Mat. 3:17) Jika anda ialah bapa, pastikan anda sering memberitahu anak bahawa anda mengasihi mereka. Pujilah mereka selalu apabila mereka buat sesuatu yang baik. Bapa yang meniru Yehuwa akan membantu anak mereka menjadi lelaki dan wanita Kristian yang matang. Bagaimanakah anda dapat bersedia sekarang untuk menjadi bapa dan suami yang baik? Jagalah dan sayangilah ahli keluarga dan rakan seiman. Belajarlah juga untuk meluahkan kasih dan penghargaan terhadap mereka.—Yoh. 15:9. w23.12 28-29 ¶17-18
Selasa, 28 Oktober
Yehuwa gunung batuku; maka aku tidak sekali-kali goyah.—Mzm. 62:2.
Sebagai penyembah Yehuwa yang setia, kita menghadapi kesusahan dan masalah penyakit yang biasa dialami orang. Kita juga perlu menghadapi tentangan atau penganiayaan daripada orang yang membenci umat Tuhan. Walaupun Yehuwa tidak melindungi kita daripada semua masalah, Dia berjanji untuk membantu kita. (Yes. 41:10) Dengan bantuan-Nya, kita dapat bersukacita, buat keputusan bijak, dan tetap setia, bahkan dalam situasi yang mencabar. Yehuwa berjanji untuk memberi kita ‘kesejahteraan daripada-Nya.’ (Flp. 4:6, 7) Kesejahteraan ini ialah ketenangan hati dan minda yang dirasai kerana kita ada hubungan rapat dengan Yehuwa. Kesejahteraan ini luar biasa dan “jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” Pernahkah anda berdoa dengan bersungguh-sungguh dan tiba-tiba berasa sangat tenang? Itulah “kesejahteraan daripada Tuhan.” w24.01 20 ¶2; 21 ¶4