Rabu, 29 Oktober
Pujilah Yehuwa, hai jiwaku; pujilah nama-Nya yang suci, hai seluruh jiwaku.—Mzm. 103:1.
Nama Yehuwa melibatkan reputasi-Nya. Maka, apabila kita mendengar nama Yehuwa, kita berfikir tentang sifat-sifat-Nya yang indah dan perbuatan-Nya yang menakjubkan. Orang yang mengasihi Yehuwa mahu memuji nama-Nya dengan sepenuh hati. Daud tahu bahawa semasa dia memuji nama Yehuwa, dia juga memuji Yehuwa. Itulah sebabnya dia mahu menyucikan dan memuji nama Bapa-Nya dengan ‘seluruh jiwanya.’ Begitu juga dengan orang Lewi yang mengambil pimpinan untuk memuji Yehuwa. Dengan rendah hati, mereka mengakui bahawa kata-kata yang dilaungkan mereka tidak cukup untuk mengungkapkan pujian yang layak diterima oleh nama suci Yehuwa. (Neh. 9:5) Orang Lewi telah menggembirakan hati Yehuwa kerana memuji nama-Nya. w24.02 9 ¶6
Khamis, 30 Oktober
Tidak kira apa tahap kemajuan kita, marilah kita terus maju dengan cara yang sama.—Flp. 3:16.
Yehuwa tidak akan menyalahkan anda jika anda gagal mencapai matlamat yang di luar kemampuan anda. (2 Kor. 8:12) Belajarlah daripada kegagalan. Ingatlah apa yang sudah anda capai. Bible kata, “[Tuhan] tidak melupakan kerja yang telah kamu lakukan.” (Ibr. 6:10) Jika begitu, anda pun tidak patut melupakan apa yang sudah anda capai, seperti memupuk persahabatan dengan Yehuwa, mengongsi kebenaran dengan orang, atau dibaptis. Anda pernah membuat kemajuan dan mencapai matlamat rohani pada masa lalu, jadi anda pasti dapat terus membuat kemajuan dan mencapai matlamat yang seterusnya. Dengan bantuan Yehuwa, anda dapat melakukannya. Seraya anda berusaha untuk mencapai matlamat rohani anda, perhatikanlah bagaimana Yehuwa membantu dan memberkati usaha anda sepanjang perjalanan rohani anda. (2 Kor. 4:7) Jika anda tidak putus asa, anda akan menerima berkat yang jauh lebih besar.—Gal. 6:9. w23.05 31 ¶16-18
Jumaat, 31 Oktober
Bapa sendiri mengasihi kamu, kerana kamu mengasihi aku dan percaya bahawa aku datang sebagai wakil Tuhan.—Yoh. 16:27.
Yehuwa suka memberitahu orang yang dikasihi-Nya bahawa Dia berkenan kepada mereka. Dalam Bible, sebanyak dua kali Yehuwa memberitahu Yesus bahawa Dia mengasihinya dan berkenan kepadanya. (Mat. 3:17; 17:5) Inginkah anda mendengar Yehuwa berkata demikian kepada anda? Walaupun Yehuwa tidak bercakap kepada kita dari syurga, kita dapat “mendengar” suara-Nya melalui Bible, terutamanya menerusi kata-kata Yesus. Yesus mencerminkan keperibadian Bapanya dengan sempurna. Jadi semasa membaca bagaimana Yesus memberitahu murid-muridnya yang tidak sempurna bahawa dia berkenan kepada mereka, kita dapat membayangkan Yehuwa sedang mengucapkan kata-kata yang sama kepada kita. (Yoh. 15:9, 15) Jika ada cubaan, hal itu tidak bermaksud kita hilang perkenan Tuhan. Sebaliknya, cubaan kita memberi kita peluang untuk membuktikan betapa kuatnya kasih dan kepercayaan kita kepada Tuhan.—Yak. 1:12. w24.03 28 ¶10-11