-
Adakah Kejujuran Ketinggalan Zaman?Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 2
-
-
TOPIK UTAMA | KEJUJURAN—ADAKAH PENTING?
Adakah Kejujuran Ketinggalan Zaman?
Hitoshi bekerja di bahagian perakaunan dalam sebuah syarikat di Jepun. Semasa memeriksa akaun kewangan bersama majikannya, Hitoshi disuruh membuat laporan palsu. Hitoshi menjelaskan bahawa hati nuraninya tidak membenarkan dia melakukan sesuatu yang tidak jujur. Oleh itu, majikannya mengancam untuk memecatnya. Akhirnya dia dibuang kerja.
Beberapa bulan selepas itu, Hitoshi sangat sedih kerana tidak mendapat pekerjaan. Semasa ditemu duga, Hitoshi mengatakan bahawa dia tidak akan melakukan hal yang tidak jujur. Penemu duga berkata, “Cara pemikiran kamu pelik!” Keluarga dan sahabat Hitoshi menggalakkannya untuk tetap jujur, namun dia mula berasa ragu-ragu. Dia berkata, “Saya tertanya-tanya sama ada lebih baik untuk menyembunyikan kepercayaan saya.”
Pengalaman Hitoshi menunjukkan bahawa tidak semua orang menghargai kejujuran. Sebenarnya, sesetengah orang menganggap kejujuran sesuatu yang membebankan, terutamanya dalam bidang perniagaan. Seorang wanita di Afrika Selatan berkata, “Saya dikelilingi orang yang tidak jujur. Ada kalanya tekanan untuk mengikut mereka sangat kuat.”
Salah satu perbuatan tidak jujur yang berleluasa hari ini ialah menipu. Beberapa tahun dahulu, sebuah kajian oleh Robert S. Feldman, seorang ahli psikologi dari Universiti Massachusetts Amherst, menunjukkan bahawa 60 peratus orang dewasa menipu sekurang-kurangnya sekali setiap 10 minit dalam perbualan mereka. Dia berkata, “Hasil kajian ini sangat mengejutkan. Kami tidak menyangka bahawa penipuan begitu biasa dalam kehidupan seharian.” Kebanyakan orang tidak suka ditipu, tetapi mereka sendiri menipu. Bukankah hal ini pelik?
Mengapakah menipu, mencuri, dan perbuatan tidak jujur yang lain begitu berleluasa? Bagaimanakah ketidakjujuran mempengaruhi masyarakat? Yang lebih penting, bagaimanakah kita dapat mengelakkan jerat ini?
-
-
Bagaimana Ketidakjujuran Mempengaruhi AndaMenara Pengawal (Umum)—2016 | No. 2
-
-
TOPIK UTAMA | KEJUJURAN—ADAKAH PENTING?
Bagaimana Ketidakjujuran Mempengaruhi Anda
“Biasanya kita boleh menyelesaikan suatu situasi yang rumit jika kita tidak jujur.”—Samantha, Afrika Selatan.
Adakah anda setuju dengan pernyataan itu? Seperti Samantha, kita juga kadangkala menghadapi situasi yang susah. Reaksi kita apabila digoda untuk bersikap tidak jujur dapat menunjukkan pegangan hidup kita. Contohnya, jika menjaga air muka adalah sangat penting, kita mungkin menganggap ketidakjujuran sebagai sesuatu yang biasa. Namun apabila kebenaran diketahui, kita mungkin mengalami akibat buruk. Mengapa?
KETIDAKJUJURAN MENGHANCURKAN KEPERCAYAAN
Apabila dua orang saling mempercayai, mereka mempunyai hubungan yang kuat. Mereka akan berasa puas hati dan selamat. Namun sifat saling mempercayai wujud secara beransur-ansur. Mereka perlu meluangkan masa bersama, berkomunikasi dengan jujur, dan menunjukkan bahawa mereka tidak mementingkan diri. Tetapi kepercayaan sebegini boleh lenyap jika salah satu pihak tidak jujur. Apabila hal ini berlaku, hubungan mereka pasti terjejas.
Pernahkah anda ditipu oleh seorang kawan baik? Jika ya, apakah perasaan anda? Sudah tentu anda sakit hati dan berasa dikhianati. Perasaan ini memang biasa. Sememangnya, ketidakjujuran merosakkan hubungan orang.
KETIDAKJUJURAN BOLEH MENULAR
Sebuah kajian oleh Robert Innes, seorang profesor ekonomi di Universiti California, menunjukkan bahawa “ketidakjujuran mudah menular.” Ketidakjujuran boleh disamakan dengan virus. Semakin kerap anda bergaul dengan orang yang tidak jujur, anda juga boleh “dijangkiti” dengan ketidakjujuran.
Bagaimanakah anda boleh mengelak daripada jatuh ke dalam perangkap ketidakjujuran? Bible boleh membantu anda. Marilah kita lihat beberapa prinsip Bible.
-
-
Apakah Manfaat Kejujuran?Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 2
-
-
TOPIK UTAMA | KEJUJURAN—ADAKAH PENTING?
Apakah Manfaat Kejujuran?
“Kami percaya bahawa hati nurani kami murni, dan kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.”—Ibrani 13:18.
Dalam Bible, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “jujur” membawa maksud “sesuatu yang amat baik.” Perkataan ini juga merujuk kepada sesuatu yang indah dari segi moral.
Orang Kristian menganggap penting kata-kata rasul Paulus: “Kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.” Bagaimanakah hal ini dapat dilakukan?
PERGELUTAN BATIN
Ramai orang melihat cermin sebelum keluar rumah setiap pagi. Mengapa? Kerana mereka ingin penampilan mereka kelihatan baik. Tetapi ada sesuatu yang lebih penting daripada rambut yang bergaya atau baju yang berfesyen. Batin kita boleh mengindahkan atau memburukkan penampilan kita.
Firman Tuhan menunjukkan bahawa manusia cenderung berbuat jahat. Kejadian 8:21 berkata, “Sejak masa muda, fikiran manusia itu jahat.” Maka untuk bersikap jujur, kita perlu bergelut dengan kecenderungan yang berdosa. Rasul Paulus menjelaskan pergelutannya dengan berkata, “Di dalam hatiku, aku sangat menyukai hukum Tuhan. Tetapi aku mendapati bahawa terdapat hukum lain yang berperang melawan hukum akal fikiranku, dan hukum itu ialah dosa dalam tubuhku yang menguasai aku.”—Roma 7:22, 23.
Apabila hati kita mendesak kita untuk melakukan sesuatu yang tidak jujur, kita tidak perlu mengikut keinginan itu. Kita boleh membuat pilihan. Apabila kita menolak pemikiran yang salah, kita dapat bersikap jujur walaupun orang di sekeliling tidak jujur.
MEMENANGI PERGELUTAN
Kita memerlukan standard moral yang tinggi untuk bersikap jujur. Sedihnya, banyak orang lebih mementingkan pakaian luaran mereka daripada nilai-nilai moral. Akibatnya, mereka memberikan alasan untuk melakukan perkara yang tidak jujur. Buku The (Honest) Truth About Dishonesty menyatakan, “Meskipun kita menipu, kita biasanya menetapkan suatu batas agar masih dapat mengekalkan imej sebagai seorang yang jujur.” Jadi sejauh manakah kita harus bersikap jujur? Adakah kita mempunyai panduan mengenai hal ini? Ya.
Jutaan orang di serata dunia mendapati bahawa Bible mengandungi nasihat yang terbaik. Bible mempunyai standard moral yang sempurna. (Mazmur 19:8) Bible memberikan panduan yang boleh dipercayai mengenai hal keluarga, pekerjaan, moral, dan kerohanian. Nasihat Bible tidak ketinggalan zaman. Hukum dan prinsipnya boleh diterapkan oleh semua bangsa, kaum, dan suku. Dengan mengkaji Bible, merenungkannya, dan menerapkan nasihatnya, kita dapat melatih hati kita untuk melakukan apa yang jujur dan benar.
Sudah tentu, mendapat pengetahuan daripada Bible sahaja tidak cukup. Kita harus tetap bergelut untuk bersikap jujur. Kita hidup di dunia yang tidak bermoral dan menghadapi tekanan untuk meniru sikap mereka. Itulah sebabnya kita perlu berdoa meminta bantuan dan sokongan daripada Tuhan. (Filipi 4:6, 7, 13) Dengan berbuat demikian, kita akan mendapat keberanian untuk melakukan segala sesuatu dengan jujur.
MANFAAT KEJUJURAN
Hitoshi yang disebutkan dalam rencana pertama meraih manfaat daripada bersikap jujur. Dia mempunyai reputasi yang baik. Sekarang, dia bekerja di bawah seorang majikan yang menghargai kejujurannya. Hitoshi berkata, “Saya sangat bersyukur kerana dapat mencari kerja yang membolehkan saya mempunyai hati nurani yang bersih.”
Orang lain juga berasa sedemikian. Lihatlah manfaat yang diraih oleh mereka yang menerapkan prinsip Bible untuk “melakukan segala sesuatu dengan jujur.”
Hati Nurani yang Bersih
“Saya berhenti sekolah pada umur 13 tahun agar dapat bekerja bersama pencuri. Oleh itu, 95 peratus daripada pendapatan saya diperoleh dengan cara yang tidak jujur. Kemudian, saya berkahwin. Saya dan suami mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Kami belajar bahawa Tuhan Yehuwaa membenci perbuatan yang tidak jujur. Maka kami memutuskan untuk mengubah cara hidup kami. Pada tahun 1990, kami membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.”—Amsal 6:16-19.
“Pada masa dahulu, rumah saya dipenuhi barang yang dicuri. Sekarang, hal itu tidak berlaku lagi. Oleh itu, saya memiliki hati nurani yang bersih. Apabila mengenang kembali perbuatan saya, saya bersyukur kerana Yehuwa berbelas kasihan terhadap saya. Saya dapat tidur lena setiap malam kerana saya tahu bahawa Yehuwa gembira dengan saya.”—Cheryl, Ireland.
“Apabila majikan tahu bahawa saya menolak rasuah daripada seorang pelanggan, dia berkata, ‘Tuhan kamu menjadikan kamu seorang yang boleh dipercayai! Memang baik kamu kerja di syarikat ini.’ Bersikap jujur dalam segala hal memberi saya hati nurani yang bersih di hadapan Yehuwa. Saya juga dapat membantu keluarga saya dan orang lain berbuat demikian.”—Sonny, Hong Kong.
Ketenangan Minda
“Saya bekerja di sebuah bank antarabangsa. Dalam bidang ini, kejujuran diremehkan dan kekayaan diutamakan. Banyak orang beranggapan, ‘Apa salahnya jika kita tidak jujur asalkan hal itu membawa kekayaan dan meningkatkan ekonomi?’ Namun saya mempunyai ketenangan minda kerana saya bersikap jujur. Saya bertekad untuk jujur dalam apa jua situasi. Majikan saya tahu bahawa saya tidak akan menipu mereka atau menipu bagi pihak mereka.”—Tom, Amerika Syarikat.
Nilai Diri yang Tinggi
“Penyelia di tempat kerja saya menggalakkan saya untuk menipu tentang bekalan yang hilang. Namun saya enggan berbuat demikian. Apabila pencuri akhirnya dikenal pasti, majikan saya berterima kasih atas kejujuran saya. Kita perlu berani untuk bersikap jujur di dunia ini. Hasilnya, kita akan dipercayai dan dihormati ramai orang.”—Kaori, Jepun.
Hati nurani yang bersih, ketenangan minda, dan nilai diri yang tinggi menunjukkan bahawa kejujuran memang membawa manfaat. Tidakkah anda setuju?
a Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat di dalam Bible.
-