PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • cl bab 24 ms. 240-249
  • Tiada Apa-Apa yang “Dapat Memisahkan Kita daripada Kasih Tuhan”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Tiada Apa-Apa yang “Dapat Memisahkan Kita daripada Kasih Tuhan”
  • Hampirilah Yehuwa
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Yehuwa Menghargai Anda
  • Apakah yang Yehuwa Nampak dalam Diri Kita?
  • Yehuwa Mencari Hal-Hal yang Baik dalam Diri Kita
  • Yehuwa Memperlihatkan Kasih-Nya
  • Yehuwa Menghargai Anda!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Yakinlah akan Kasih Yehuwa
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tuhanmu Yehuwa Menghargaimu!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • Tetap Menghampiri Yehuwa
    Apakah yang Diajarkan Bible?
Lihat Selanjutnya
Hampirilah Yehuwa
cl bab 24 ms. 240-249
Seorang wanita yang sedang menangis.

BAB 24

Tiada Apa-Apa yang “Dapat Memisahkan Kita daripada Kasih Tuhan”

1. Apakah perasaan negatif yang dialami oleh banyak orang?

ADAKAH Yehuwa mengasihi anda? Yohanes 3:16 menyatakan bahawa Dia mengasihi umat manusia. Tetapi ada orang berasa bahawa Tuhan tidak mungkin mengasihi mereka secara peribadi. Kadangkala orang Kristian sejati pun berasa sedemikian. Seorang lelaki yang dirundung rasa kecewa berkata, “Mustahil Tuhan mengambil berat tentang saya.”

2, 3. Siapakah yang mahu kita berasa bahawa Tuhan tidak mengasihi kita? Bagaimanakah kita dapat melawan perasaan sedemikian?

2 Syaitan mahu kita percaya bahawa Yehuwa tidak menghargai dan tidak mengasihi kita. Syaitan memang suka membuat orang bersikap sombong atau angkuh. (2 Korintus 11:3) Tetapi dia juga suka meremukkan semangat orang atau membuat mereka berasa hilang harga diri. (Yohanes 7:47-49; 8:13, 44) Dewasa ini, banyak orang membesar dalam keluarga yang “tidak memiliki kasih sayang.” Ada pula yang sentiasa dikelilingi orang yang ganas, mementingkan diri sendiri, dan degil. (2 Timotius 3:1-5) Yang lain pula dilayan dengan kejam, menghadapi rasa prasangka, atau dibenci selama bertahun-tahun. Oleh itu, mereka yakin bahawa mereka tidak berguna atau tidak layak dikasihi.

3 Jika anda juga memiliki perasaan sedemikian, janganlah putus asa. Kebanyakan daripada kita terlalu tegas terhadap diri sendiri. Tetapi ingatlah, Bible dapat “membetulkan segala sesuatu” dan “merobohkan perkara-perkara yang sudah berurat berakar.” (2 Timotius 3:16; 2 Korintus 10:4) Bible menyatakan, “Kita memiliki keyakinan dalam hati bahawa Tuhan mengasihi kita meskipun hati kita mungkin menyalahkan kita. Hal ini demikian kerana Tuhan lebih besar daripada hati kita dan mengetahui segala sesuatu.” (1 Yohanes 3:19, 20) Sekarang, mari kita bincangkan empat bukti daripada Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa mengasihi kita.

Yehuwa Menghargai Anda

4, 5. Bagaimanakah perumpamaan Yesus tentang burung pipit mengajar kita bahawa Yehuwa mengasihi kita?

4 Pertama, Tuhan menghargai setiap penyembah-Nya. Contohnya, Yesus berkata, “Bukankah dua ekor burung pipit dijual dengan mata wang yang kecil nilainya? Meskipun demikian, tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa diketahui oleh Bapa kamu. Sebenarnya, bahkan rambut di kepala kamu sudah dihitung. Oleh itu, janganlah takut. Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.” (Matius 10:29-31) Apakah maksudnya?

Seekor burung pipit menyuap anak burung.

“Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit”

5 Pada zaman Yesus, burung pipit ialah burung paling murah yang dijual sebagai makanan. Perhatikan bahawa satu mata wang yang kecil nilainya dapat membeli dua ekor burung pipit. Tetapi jika seseorang membelanjakan dua mata wang yang kecil nilainya, dia akan mendapat lima ekor burung pipit. Burung yang kelima itu seolah-olah tidak bernilai sama sekali dan diberikan secara percuma. Tetapi Yesus berkata, “Tidak seekor pun [termasuk burung yang kelima itu] dilupakan oleh Tuhan.” (Lukas 12:6, 7) Maka Yesus membantu para pendengarnya untuk sedar bahawa jika Bapanya mengasihi seekor burung pipit, sudah pasti Dia lebih mengasihi manusia! Yesus juga menjelaskan bahawa Yehuwa tahu segala sesuatu tentang kita. Ya, bahkan semua rambut di kepala kita sudah dihitung oleh Tuhan!

6. Adakah kata-kata Yesus tidak realistik? Jelaskan.

6 Ada orang berasa bahawa kata-kata Yesus itu tidak realistik. Tetapi fikirlah tentang harapan pembangkitan. Yehuwa perlu tahu dan mengingat segala sesuatu tentang kita, termasuk kod genetik dan semua memori kita, agar Dia dapat membangkitkan kita.a Jika dibandingkan dengan semua itu, menghitung rambut kita merupakan sesuatu yang sangat senang bagi Tuhan kerana secara purata, bilangan rambut yang ada di kepala seorang manusia ialah 100,000 utas.

Apakah yang Yehuwa Nampak dalam Diri Kita?

7, 8. (a) Apakah sifat-sifat baik yang dihargai oleh Yehuwa? (b) Berikan beberapa contoh perbuatan baik yang dihargai oleh Yehuwa.

7 Kedua, Yehuwa menghargai sifat-sifat baik kita dan usaha yang kita curahkan untuk menyenangkan hati-Nya. Daud berkata, “Yehuwa menyelidiki hati semua orang, dan Dia tahu fikiran dan keinginan mereka.” (1 Tawarikh 28:9) Hati kebanyakan orang dewasa ini sarat dengan kebencian dan mereka suka melakukan hal-hal yang ganas. Maka Tuhan pasti berasa senang hati apabila Dia menjumpai orang yang mencintai kedamaian, kebenaran, dan keadilan. Apakah perasaan Yehuwa terhadap orang yang mengasihi-Nya, berusaha mempelajari tentang-Nya, dan sudi memberitahu orang lain tentang-Nya? Bible memberitahu kita, “Di hadapan Yehuwa, sebuah kitab peringatan ditulis. Nama setiap orang yang takut akan-Nya dan merenungkan nama-Nya dicatat dalam kitab itu.” (Maleakhi 3:16) Ya, Yehuwa menghargai sifat-sifat baik penyembah-Nya.

8 Apakah beberapa perbuatan baik yang dihargai oleh Yehuwa? Dia menghargai usaha kita untuk meniru teladan Anak-Nya. (1 Petrus 2:21) Dia juga menghargai usaha kita untuk menginjil. Roma 10:15 menyatakan, “Betapa indahnya kaki orang yang mengkhabarkan berita baik tentang hal-hal yang baik!” Ungkapan “betapa indahnya kaki orang” merujuk kepada usaha para penyembah Tuhan untuk menginjil. Bagi Yehuwa, usaha sedemikian adalah indah dan berharga.​—Matius 24:14; 28:19, 20.

9, 10. (a) Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa menghargai ketabahan kita? (b) Adakah Yehuwa membandingkan kita dengan orang lain?

9 Yehuwa menghargai ketabahan kita. (Matius 24:13) Syaitan mahu kita meninggalkan Yehuwa. Maka Yehuwa menghargai usaha yang kita curahkan setiap hari untuk tetap setia kepada-Nya. (Amsal 27:11) Kadangkala masalah kesihatan, emosi, kewangan, atau cabaran lain, menguji ketabahan kita. Harapan yang tidak tercapai juga dapat membuat kita berasa tawar hati. (Amsal 13:12) Tetapi ketabahan kita di bawah keadaan yang mencabar amat dihargai Tuhan. Itulah sebabnya Daud berkata bahawa semua air matanya disimpan ‘di dalam kirbat Tuhan’ dan segala penderitaannya ‘tercatat dalam kitab Tuhan.’ (Mazmur 56:8) Ya, Yehuwa akan menyimpan dan mengingat semua air mata kita yang dititiskan demi mengekalkan kesetiaan kepada-Nya.

Yehuwa menghargai usaha kita untuk “bertahan sehingga akhir”

10 Kita mungkin berfikir, “Yehuwa pasti kecewa apabila Dia membandingkan saya dengan orang lain yang lebih baik daripada saya!” Tetapi Yehuwa tidak berbuat demikian. Dia selalu berbelas kasihan dan tidak terlalu tegas. (Galatia 6:4) Dia mengetahui segala isi hati kita dan menghargai setiap hal yang baik dalam hati kita, biarpun hal itu kecil.

Yehuwa Mencari Hal-Hal yang Baik dalam Diri Kita

11. Apakah yang dapat kita pelajari tentang Yehuwa daripada kisah Abia?

11 Ketiga, Yehuwa selalu mencari hal-hal yang baik dalam diri kita dengan teliti. Sebagai contoh, semasa Yehuwa memerintahkan agar semua keturunan Raja Yerobeam dihukum mati, Dia juga memerintahkan agar salah seorang anak Yerobeam, iaitu Abia, dikebumikan. Mengapa? Selepas Yehuwa memeriksa hati Abia dengan teliti, Dia “menemukan sesuatu yang baik” dalam diri Abia. (1 Raja-Raja 14:1, 10-13) Tidak kira betapa kecil kebaikan yang ditemui-Nya itu, Dia menganggapnya sebagai sesuatu yang bernilai dan memastikan hal itu dicatatkan dalam Firman-Nya. Ya, Dia berbelas kasihan terhadap Abia meskipun seluruh keluarganya sangat jahat.

12, 13. (a) Bagaimanakah kisah Raja Yehosafat menunjukkan bahawa Yehuwa mencari kebaikan dalam diri kita meskipun kita telah berdosa? (b) Bagaimanakah Yehuwa membuktikan diri-Nya sebagai Bapa yang paling pengasih?

12 Semasa Raja Yehosafat berdosa, nabi Yehuwa memberitahu dia bahawa ‘Yehuwa murka terhadapnya.’ Tetapi nabi itu juga berkata, “Walaupun demikian, Tuhan juga menemui hal-hal baik dalam diri tuanku.” (2 Tawarikh 19:1-3) Meskipun Yehuwa kecewa dengan perbuatan Yehosafat, Dia tetap mengingat perbuatan baiknya. Ya, Yehuwa sangat berbeza daripada manusia yang tidak sempurna. Semasa orang mengecewakan kita, kita sering kali buta terhadap kebaikan mereka. Jika kita berdosa, kita juga mungkin diselubungi rasa malu dan rasa bersalah sehingga kita lupa kebaikan dalam diri kita. Namun ingatlah, jika kita bertaubat dan berusaha agar tidak mengulanginya, Yehuwa akan mengampuni kita.

13 Fikirkanlah perumpamaan berikut: Semasa seseorang mencari emas, dia akan membuang batu-batu kecil yang tidak berharga dan menyimpan ketulan emas yang berharga. Begitu juga, semasa Yehuwa memeriksa kita, Dia akan menyingkirkan dosa kita, tetapi menyimpan sifat dan perbuatan baik kita dalam hati-Nya. Pernahkah anda melihat ibu bapa yang menyimpan lukisan dan hasil kerja sekolah anak-anak mereka? Biarpun anak-anak mereka telah melupakannya, ibu bapa mereka menghargainya. Sebenarnya Yehuwa ialah Bapa yang paling pengasih. Maka selagi kita setia kepada-Nya, Dia tidak akan melupakan sifat-sifat dan perbuatan baik kita. Bible memberitahu kita bahawa “Tuhan bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan” kebaikan kita.​—Ibrani 6:10.

14, 15. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa melihat potensi kita? Berikan contoh. (b) Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa dengan hal baik yang ditemui-Nya dalam diri kita, dan apakah pandangan-Nya terhadap umat-Nya yang setia?

14 Yehuwa juga melihat potensi kita meskipun kita tidak sempurna. Sebagai contoh, banyak orang suka hasil karya seni dan sanggup melakukan apa sahaja untuk membaiki lukisan atau karya seni yang rosak. Misalnya, semasa seseorang merosakkan lukisan Leonardo da Vinci, yang bernilai kira-kira 30 juta dolar, lukisan itu tidak dibuang meskipun mengalami kerosakan yang teruk. Mengapakah lukisan yang dibuat kira-kira 500 tahun dahulu dibaiki dengan serta-merta? Hal itu demikian kerana orang yang suka hasil karya seni menganggapnya sebagai mahakarya yang sangat berharga. Jika lukisan yang dibuat dengan kapur dan arang pun dianggap begitu berharga, sudah pasti manusia jauh lebih berharga daripada lukisan sedemikian, meskipun kita dinodai ketidaksempurnaan. (Mazmur 72:12-14) Sememangnya, Yehuwa akan membuat apa yang diperlukan untuk memastikan bahawa kita menikmati kesempurnaan pada masa hadapan.​—Kisah 3:21; Roma 8:20-22.

15 Yehuwa melihat hal baik dalam diri kita meskipun kita sendiri tidak menyedarinya. Seraya kita menyembah-Nya, Dia akan membantu kita untuk mengembangkan potensi kita sehingga akhirnya kita menjadi sempurna. Tidak kira bagaimana dunia Syaitan telah memperlakukan kita, Yehuwa menganggap semua penyembah-Nya sebagai orang yang amat berharga.​—Hagai 2:7.

Yehuwa Memperlihatkan Kasih-Nya

16. Apakah bukti terbesar kasih Yehuwa kepada kita? Bagaimanakah kita tahu bahawa kurniaan itu bermanfaat bagi kita secara peribadi?

16 Keempat, Yehuwa membuktikan kasih-Nya kepada kita melalui perbuatan-Nya. Syaitan telah berdusta bahawa manusia tidak bernilai atau tidak layak dikasihi. Tetapi dengan menyediakan korban tebusan Yesus, Yehuwa membuktikan bahawa kita berharga di mata-Nya dan layak dikasihi. Yesus telah menderita sampai mati di atas tiang seksaan dan Yehuwa mengalami keperitan yang besar seraya melihat Anak kesayangan-Nya diseksa. Hal itu merupakan bukti terbesar bahawa Yehuwa dan Yesus mengasihi kita. Malangnya, banyak orang tidak sedar akan kasih yang ditunjukkan oleh mereka dan berasa tidak layak untuk menerima kurniaan itu. Ingatlah bahawa Rasul Paulus pernah menganiaya para pengikut Yesus. Namun dia menulis, “[Yesus] mengasihi aku dan telah menyerahkan dirinya bagi aku.”​—Galatia 1:13; 2:20.

17. Bagaimanakah Yehuwa memimpin kita kepada-Nya dan kepada Anak-Nya?

17 Yehuwa juga membuktikan kasih-Nya kepada kita dengan membantu kita secara peribadi untuk meraih manfaat daripada korban tebusan Yesus. Yesus berkata, “Tiada seorang pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa yang mengutus aku memimpinnya kepadaku.” (Yohanes 6:44) Ya, Yehuwa telah memimpin kita masing-masing kepada Anak-Nya agar kita memperoleh kehidupan kekal. Dia berbuat demikian menerusi kerja menginjil. Dia juga menggunakan kuasa suci-Nya untuk membantu kita memahami dan menerapkan ajaran Bible meskipun kita tidak sempurna. Yehuwa memberitahu kita, “Aku telah menunjukkan kasih abadi kepadamu. Kerana kasih ini, Aku memimpin engkau kepada-Ku.”​—Yeremia 31:3.

18, 19. (a) Apakah bukti lain yang menunjukkan bahawa Yehuwa mengasihi kita? Bagaimanakah kita tahu bahawa Dia sendiri mendengar doa kita? (b) Bagaimanakah Bible meyakinkan kita bahawa Yehuwa memiliki sifat empati?

18 Selain itu, Yehuwa memperlihatkan kasih-Nya dengan memberi kita penghormatan untuk berdoa kepada-Nya. Bible menyatakan, “Berdoalah sentiasa.” (1 Tesalonika 5:17) Yehuwa ialah “Pendengar doa,” dan Dia sendirilah yang mendengar doa kita. (Mazmur 65:2) Dia tidak memberikan tugas ini kepada sesiapa pun, termasuk Yesus. Bayangkan hal ini: Pencipta seluruh alam semesta mahu kita berdoa kepada-Nya dan meluahkan isi hati kita kepada-Nya. Tetapi adakah Dia mendengar doa kita secara sambil lewa? Pastinya tidak!

19 Yehuwa memiliki sifat empati. Apakah itu sifat empati? Seorang saudara yang tua pernah menjelaskan bahawa empati ialah kebolehan untuk membayangkan atau menyelami perasaan atau pengalaman orang lain. Dapatkah Yehuwa merasai kepedihan hati kita? Bible menyatakan, “Semasa mereka menderita, Tuhan juga berasa sedih.” (Yesaya 63:9) Maka jelaslah bahawa Yehuwa bukan sahaja nampak penderitaan umat-Nya, Dia bahkan juga merasai penderitaan mereka. Untuk membantu kita memahami hal ini, Yehuwa pernah berfirman, “Sesiapa yang menyentuh kamu, menyentuh biji mata-Ku.”b (Zakharia 2:8) Hal itu pasti amat menyakitkan! Sememangnya, Yehuwa dapat menyelami perasaan kita. Apabila kita menderita, Dia turut menderita.

20. Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat di Roma 12:3?

20 Meskipun Tuhan amat mengasihi kita, kita tidak patut menggunakan kasih-Nya sebagai alasan untuk menjadi sombong atau angkuh. Paulus menulis, “Melalui kebaikan hati yang unggul yang diberikan kepada aku, aku memberitahu kamu semua agar tidak menganggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya. Kamu haruslah berfikiran sihat, sesuai dengan iman yang diberikan oleh Tuhan kepada kamu masing-masing.” (Roma 12:3) Alkitab Versi Borneo pula menyatakan, “Janganlah nilai dirimu lebih tinggi daripada sepatutnya, sebaliknya nilailah dirimu sewajarnya.” Maka marilah kita sentiasa berfikiran sihat dan ingat bahawa kita sebenarnya tidak berhak atau tidak layak untuk menerima kasih Tuhan.​—Lukas 17:10.

21. Apakah dusta Syaitan yang harus kita tolak? Apakah tekad kita?

21 Berusahalah sedaya upaya untuk menolak segala dusta Syaitan, termasuk dustanya yang menyatakan bahawa kita tidak bernilai atau tidak dapat dikasihi. Janganlah percaya bahawa pengalaman buruk dalam kehidupan anda membuat anda tidak dapat menerima kasih Tuhan. Janganlah berfikir bahawa perbuatan baik anda terlalu kecil dan tidak dilihat oleh Tuhan, atau dosa anda terlalu besar sehingga tidak dapat ditebus dengan korban Yesus. Tolaklah semua tipu helah sedemikian! Semoga kita menguatkan tekad kita dan yakin akan kebenaran berikut yang ditulis oleh Paulus: “Aku yakin bahawa baik kematian atau kehidupan atau malaikat-malaikat atau kerajaan atau perkara yang ada sekarang atau perkara yang akan datang atau kuasa-kuasa atau ketinggian atau kedalaman atau mana-mana ciptaan lain, tidak dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan yang ditunjukkan melalui Kristus Yesus, Tuan kita.”​—Roma 8:38, 39.

a Bible selalu mengaitkan harapan pembangkitan dengan daya ingatan Yehuwa. Ayub berkata kepada Yehuwa, “Tentukanlah waktu untuk mengingat aku kembali.” (Ayub 14:13) Yesus bercakap tentang pembangkitan “semua orang di dalam makam peringatan.” Ya, daya ingatan Yehuwa adalah sempurna dan Dia dapat mengingat segala sesuatu tentang orang mati yang ingin dibangkitkan-Nya.​—Yohanes 5:28, 29.

b Sesetengah terjemahan Bible menyatakan bahawa orang yang menyentuh umat Tuhan sedang menyentuh mata mereka sendiri atau mata orang Israel, dan bukannya mata Tuhan. Beberapa orang penyalin Bible menganggap bahawa ayat ini tidak menghormati Tuhan, maka mereka telah mengubahnya. Hal itu telah mengaburi maksud asal ayat ini yang menggambarkan Yehuwa sebagai Tuhan yang memiliki empati.

Soalan untuk Direnungkan

  • Mazmur 139:1-24 Bagaimanakah kata-kata Daud menunjukkan bahawa Yehuwa mengambil berat terhadap kita secara individu?

  • Yesaya 43:3, 4, 10-13 Apakah perasaan Yehuwa terhadap orang yang menjadi Saksi-Saksi-Nya? Bagaimanakah Dia mengungkapkan perasaan-Nya?

  • Roma 5:6-8 Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa mengasihi kita meskipun kita tidak sempurna?

  • Yudas 17-25 Bagaimanakah kita dapat tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan? Apakah yang dapat menghalang kita daripada berbuat demikian?

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi