Latihlah Anak Anda untuk Menjadi Penyiar
1. Ayat di Mazmur 148:12, 13 menggesa ibu bapa Kristian untuk melakukan apa?
1 Yehuwa menjemput pemuda-pemudi untuk memuji-Nya. (Mzm. 148:12, 13) Oleh itu, ibu bapa Kristian bukan sekadar mengajar anak-anak mereka tentang kebenaran Bible dan hukum moral Tuhan. Mereka juga melatih anak-anak untuk menjadi penyiar berita baik. Bagaimanakah mereka boleh beransur-ansur mencapai matlamat ini?
2. Bagaimanakah teladan baik ibu atau bapa mempengaruhi anak-anaknya?
2 Teladan Baik: Hakim Gideon berkata kepada 300 orang askarnya, “Perhatikan aku baik-baik. Lakukan apa yang aku lakukan.” (Hak. 7:17) Biasanya, anak-anak akan memerhatikan lalu meniru ibu bapa mereka. Ada seorang ayah yang bekerja pada waktu malam. Selepas dia pulang dari kerja pada pagi Sabtu, dia tidak tidur meskipun dia sangat letih. Sebaliknya, dia membawa anak-anaknya keluar untuk menjalankan kerja penyebaran. Tanpa sepatah kata, dia sedang mengajar mereka bahawa aktiviti penyebaran harus diutamakan. (Mat. 6:33) Adakah anak-anak anda melihat anda melakukan aktiviti rohani seperti berdoa, membaca Bible, memberikan komen dan menjalankan kerja penyebaran dengan sukacita? Sememangnya, mustahil anda dapat memberikan teladan yang sempurna. Tetapi jika anak-anak melihat anda berusaha menyembah Yehuwa, mereka akan lebih rela menerima tunjuk ajar anda dan menjadi penyembah Yehuwa.—Ul. 6:6, 7; Rm. 2:21, 22.
3. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak-anak untuk menetapkan dan mencapai matlamat rohani langkah demi langkah?
3 Langkah demi Langkah: Ibu bapa berjerih payah mengajar anak-anak mereka untuk berjalan, bercakap, memakai pakaian, dan sebagainya. Seraya anak-anak membesar, mereka mencapai matlamat tertentu dan diberikan matlamat yang baru. Ibu bapa Kristian juga boleh membantu anak-anak menetapkan dan mencapai matlamat-matlamat rohani menurut usia dan kebolehan mereka. (1 Kor. 9:26) Adakah anda sedang mengajar anak-anak anda untuk memberikan komen dalam kata-kata sendiri dan menyiapkan tugasan Sekolah Penyebaran Teokratik sendiri? (Mzm. 35:18) Adakah anda sedang melatih mereka untuk menyertai pelbagai aspek kerja penyebaran? Adakah anda membantu mereka menetapkan matlamat untuk dibaptis ataupun menyertai khidmat sepenuh masa? Adakah anda sering memberi anak-anak peluang untuk bergaul dengan penyiar lain yang periang dan bersemangat supaya mereka digalakkan?—Ams. 13:20.
4. Jika ibu bapa melatih anak-anak untuk menjalankan aktiviti penyebaran sejak kecil lagi, apakah manfaat yang diperoleh?
4 Penulis mazmur berkata, “Engkau telah mengajar aku sejak masa mudaku; sampai sekarang aku menceritakan perbuatan-Mu yang menakjubkan itu.” (Mzm. 71:17) Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jadi, latihlah anak-anak anda untuk menjadi penyiar sejak kecil lagi. Usaha anda untuk membantu mereka menetapkan asas rohani pasti bermanfaat kepada mereka sampai tua!—Ams. 22:6.