Gunakan “Pengenalan kepada Firman Tuhan”—Memulakan Perbualan
1. Apakah bahan bacaan baru yang dapat membantu kita dalam kerja penyebaran?
1 Semasa konvensyen 2014, buku kecil Pengenalan kepada Firman Tuhan telah dikeluarkan. Bagaimanakah kita dapat menggunakan buku kecil ini semasa mempersiapkan penyampaian bagi kerja penyebaran? Seperti buku “Bertukar Fikiran” (Reasoning), buku kecil ini juga menyenaraikan ayat-ayat mengenai suatu topik Bible dan berguna untuk memulakan perbualan.
2. Bagaimanakah kita dapat menggunakan buku kecil ini dalam kerja penyebaran?
2 Jika anda menggunakan soalan 8, katakanlah, “Kami sedang membuat kunjungan di kawasan ini. Ramai orang tertanya-tanya, ‘Patutkah Tuhan dipersalahkan atas penderitaan manusia?’ [Di sesetengah tempat, adalah baik untuk menunjukkan soalan itu kepada penghuni rumah.] Apakah pendapat anda? [Izinkan maklum balas.] Bible memberi kita jawapan yang memuaskan.” Baca dan bincanglah ayat-ayat bagi topik itu daripada Bible. Jika penghuni rumah menunjukkan minat, jemputlah dia untuk memilih salah satu daripada 20 soalan dalam buku kecil itu. Bincangkanlah soalan itu pada kunjungan yang seterusnya. Satu cara lagi adalah dengan menawarkan bahan bacaan untuk pembelajaran Bible yang berkaitan dengan topik yang dibincangkan.
3. Bagaimanakah kita dapat menggunakan buku kecil ini semasa menginjil kepada orang yang bukan beragama Kristian?
3 Soalan 4 dan 13 hingga 17 boleh digunakan semasa menginjil kepada orang yang bukan beragama Kristian. Misalnya, anda boleh menggunakan soalan 17 dan berkata, “Kami sedang mengunjungi keluarga di kawasan ini. Adakah anda setuju bahawa keluarga dewasa ini menghadapi banyak cabaran? [Izinkan maklum balas.] Nasihat ini telah membantu banyak pasangan suami isteri: ‘Isteri harus menghormati suaminya dengan mendalam.’ [Anda tidak perlu menyebut bahawa ayat ini dipetik daripada Efesus 5:33. Jika anda bercakap dengan seorang wanita, gunakanlah ayat di Efesus 5:28.] Bagi anda, adakah nasihat ini bermanfaat untuk perkahwinan?”
4. Apakah yang boleh anda lakukan agar dapat meneruskan perbincangan dengan orang yang bukan beragama Kristian?
4 Sebelum beredar, buatlah aturan untuk kembali. Semasa kunjungan kembali, anda mungkin boleh membincangkan ayat lain daripada soalan tersebut. Pada masa yang sesuai, beritahulah dia bahawa apa yang telah anda tunjukkan adalah berdasarkan Bible. Bergantung pada topik yang dibincangkan dan pandangannya terhadap Bible, anda boleh menawarkan bahan bacaan yang dapat menarik minatnya.—Lihat Kerja Teokratik Kita terbitan Disember 2013.