Saling Memperhatikan dan Menggalakkan
‘Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik.’—IBR. 10:24.
1, 2. Bagaimanakah 230 orang Saksi-Saksi Yehuwa selamat mengharungi kawat maut pada akhir Perang Dunia II?
SEMASA kerajaan Nazi hampir dikalahkan pada akhir Perang Dunia II, arahan telah dikeluarkan untuk membunuh ribuan tawanan di kem konsentrasi. Tawanan di kem Sachsenhausen dipindahkan ke sebuah pelabuhan. Di situ, mereka dimasukkan ke dalam kapal yang akan ditenggelamkan. Kejadian ini kemudiannya dikenali sebagai kawat maut.
2 Seramai 33,000 tawanan dari kem konsentrasi Sachsenhausen perlu berkawat sejauh 250 km ke Lübeck, sebuah kota pelabuhan di Jerman. Semua tawanan lemah kerana kebuluran dan penyakit. Antara mereka termasuk 230 orang Saksi-Saksi Yehuwa dari enam buah negara. Askar menyuruh para Saksi untuk berkawat bersama-sama. Bagaimanakah mereka selamat mengharunginya? Salah seorang saudara berkata, “Kami menggalakkan satu sama lain untuk terus bertahan.” Kasih mereka kepada satu sama lain disertai “kekuasaan tertinggi” daripada Tuhan menyelamatkan nyawa mereka.—2 Kor. 4:7.
3. Mengapakah kita perlu saling menggalakkan?
3 Hari ini, kita juga menghadapi cabaran. Selepas Kerajaan Tuhan ditubuhkan pada tahun 1914, Syaitan dibuang dari syurga ke bumi. “Dia sangat marah, kerana tahu bahawa masanya tinggal sedikit.” (Why. 12:7-9, 12) Seraya Armagedon semakin mendekat, Syaitan menggunakan cubaan dan tekanan untuk melemahkan kerohanian kita. Kita juga menghadapi tekanan dunia setiap hari. (Ayb. 14:1; Pkh. 2:23) Kadangkala kesusahan yang kian bertambah boleh membuat kita tawar hati. Biarpun kita cuba menguatkan diri secara emosi dan rohani, kita masih tidak mampu menanganinya. Fikirkan contoh seorang saudara yang telah membantu banyak orang dari segi rohani selama berpuluh-puluh tahun. Apabila usianya meningkat, dia dan isterinya menghadapi masalah kesihatan, dan dia berasa sangat tawar hati. Seperti saudara itu, kita semua memerlukan “kekuasaan tertinggi” daripada Yehuwa dan juga galakan daripada saudara saudari.
4. Jika kita ingin menggalakkan orang lain, apakah nasihat Paulus yang harus kita renungi?
4 Jika kita ingin menggalakkan orang lain, kita harus merenungkan nasihat Paulus kepada orang Kristian Ibrani. Dia berkata, “Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik. Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara. Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain, kerana kita tahu bahawa tidak lama lagi Tuhan akan datang.” (Ibr. 10:24, 25, ABB) Bagaimanakah kita boleh menerapkan nasihat yang penting ini?
“PERHATIKAN SATU SAMA LAIN”
5. Apakah erti ‘memperhatikan satu sama lain’? Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?
5 “Perhatikan satu sama lain” bererti “mengambil kira keperluan orang lain, dan berfikir tentang mereka.” Dapatkah kita mengambil kira keperluan orang lain jika kita sekadar menyapa mereka atau hanya berbual tentang hal-hal yang remeh di Dewan Perjumpaan? Tidak. Sememangnya kita tidak ingin ‘mencampuri hal orang lain.’ (1 Tes. 4:11; 1 Tim. 5:13) Tetapi, jika kita ingin menggalakkan saudara saudari, kita perlu mengetahui situasi mereka, keperibadian, kelemahan, kekuatan, serta kerohanian mereka. Mereka perlu menganggap kita sebagai kawan dan yakin bahawa kita mengasihi mereka. Kita perlu meluangkan masa dengan mereka, bukan hanya sewaktu mereka menghadapi masalah atau tawar hati, tetapi juga pada masa-masa yang lain.—Rm. 12:13.
6. Apakah yang dapat membantu penatua untuk ‘memperhatikan’ sidang?
6 Para penatua di sidang digesa untuk ‘menjaga jemaah yang diberikan oleh Tuhan’ dengan rela dan bersemangat. (1 Ptr. 5:1-3) Bagaimanakah para penatua dapat melaksanakan tugas ini jika mereka tidak mengenal kawanan di bawah jagaan mereka? (Baca Amsal 27:23.) Jika penatua bersedia membantu dan suka meluangkan masa bersama sidang, saudara saudari akan berasa lebih senang untuk meminta bantuan apabila mereka memerlukannya. Mereka juga lebih mudah meluahkan perasaan dan kekhuatiran di hati. Dengan ini, para penatua dapat ‘memperhatikan’ dan membantu sidang.
7. Apakah pandangan kita terhadap ‘perkataan melulu’ daripada orang yang murung?
7 Paulus berkata kepada sidang di Tesalonika, ‘Tabahkan hati orang yang takut.’ (Baca 1 Tesalonika 5:14.) “Orang yang takut” merangkumi orang yang murung dan putus asa. Amsal 24:10 berkata, “Orang yang putus asa pada saat genting, sesungguhnya orang lemah.” Mereka juga akan mengucapkan ‘perkataan yang melulu.’ (Ayb. 6:2, 3) Sewaktu ‘memperhatikan’ orang sedemikian, kita perlu ingat bahawa kata-kata mereka tidak semestinya mencerminkan isi hati mereka. Rachelle memahami hal ini kerana ibunya menghadapi kemurungan yang serius. Katanya, “Ibu saya selalu mengeluarkan kata-kata yang kasar. Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa ibu saya sebenarnya bersifat pengasih, baik hati, dan murah hati. Saya mendapati bahawa orang yang murung sering mengeluarkan kata-kata yang kasar, tetapi mereka sebenarnya tidak berniat jahat. Kita tidak seharusnya membalas tindakan atau kata-kata kasar mereka.” Menurut Amsal 19:11, “Orang bijak dapat menahan kemarahan. Mereka dipuji kerana mengampunkan kesalahan orang terhadap mereka.”
8. Kita perlu “meyakinkan” kasih kita, khasnya kepada siapa? Mengapa?
8 Bagaimanakah kita boleh ‘memperhatikan’ orang yang tawar hati kerana dosa lampaunya? Walaupun dia telah membetulkan kesilapannya, dia mungkin masih berasa malu. Mengenai seseorang yang telah bertaubat di Korintus, Paulus menulis, “Kamu harus mengampuni dia dan menggalakkan dia, supaya dia tidak terlalu sedih hati sehingga putus asa. Oleh itu aku meminta supaya kamu meyakinkan dia bahawa kamu benar-benar mengasihi dia.” (2 Kor. 2:7, 8) Menurut sebuah kamus, perkataan “meyakinkan” bererti “menyaksikan sendiri supaya yakin, mengesahkan sendiri, atau menentukan.” Seseorang tidak akan tahu bahawa kita mengasihi dan mengambil berat tentangnya, jika kita tidak menunjukkannya melalui kata-kata dan perbuatan.
‘MEMBERIKAN DORONGAN UNTUK MENGASIHI DAN MELAKUKAN HAL YANG BAIK’
9. Apakah maksudnya “memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik”?
9 Paulus menulis, “Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik.” Sewaktu bara api hampir malap, kita perlu mengacau arang dan mengipasnya supaya api marak semula. Dalam cara yang sama, kita boleh mendorong saudara saudari untuk menunjukkan kasih kepada Tuhan dan orang lain. Dengan memberikan pujian, kita dapat menggerakkan orang untuk melakukan hal yang baik.
Menginjil bersama rakan seiman
10, 11. (a) Siapakah yang memerlukan pujian? (b) Ceritakan bagaimana kata-kata pujian dapat membantu orang yang telah “melakukan sesuatu yang salah.”
10 Tidak kira kita berasa tawar hati atau tidak, kita semua memerlukan pujian. “Ayah saya tidak pernah memuji saya,” tulis seorang penatua. “Jadi apabila saya dewasa, saya kurang keyakinan diri. . . . Biarpun sekarang saya berusia 50 tahun, saya gembira jika orang lain memuji usaha baik saya sebagai penatua. . . . Pengalaman ini telah mengajar saya betapa pentingnya untuk menggalakkan orang lain, dan saya selalu mencari peluang untuk berbuat demikian.” Kata-kata pujian dapat menggalakkan semua orang, termasuk perintis, orang yang lanjut usia, dan mereka yang tawar hati.—Rm. 12:10.
11 Apabila para penatua membantu seseorang yang “melakukan sesuatu yang salah,” mereka boleh menasihatinya dan memuji kelakuan baiknya pada masa lampau. Dengan ini, dia mungkin tergerak untuk “kembali kepada jalan benar.” (Gal. 6:1) Pengalaman seorang saudari yang bernama Miriam membuktikan hal ini. Dia menulis, “Saya amat susah hati apabila beberapa orang sahabat rapat saya meninggalkan kebenaran, dan pada masa yang sama, ayah saya mengalami pendarahan otak. Saya berasa sangat murung. Untuk mengatasinya, saya bercinta dengan seorang lelaki yang tidak menyembah Yehuwa.” Miriam berasa bahawa dia tidak layak menerima kasih Yehuwa, dan ingin meninggalkan kebenaran. Tetapi seorang penatua mengingatkan dia tentang khidmat setianya kepada Yehuwa dan meyakinkan dia bahawa Yehuwa masih mengasihinya. Hasilnya, kasih Miriam terhadap Yehuwa berkobar semula. Maka, dia memutuskan hubungan dengan teman lelakinya dan terus menyembah Yehuwa.
Mengasihi dan melakukan hal yang baik
12. Mengapakah kita tidak patut “memberikan dorongan” dengan membuat perbandingan, mengkritik, atau membuat rakan seiman berasa bersalah?
12 Kita patut berhati-hati dengan cara kita “memberikan dorongan” kepada rakan seiman supaya mereka tidak berasa malu. Kita tidak seharusnya membandingkan mereka dengan orang lain, mengkritik mereka kerana tidak mengikut pandangan kita, atau membuat mereka berasa bersalah. Cara-cara ini hanya berhasil buat sementara sahaja. Sebaliknya, berikanlah pujian dan bantulah mereka sedar bahawa kasih kepada Yehuwa patut menggerakkan mereka untuk terus menyembah-Nya dengan sepenuh hati.—Baca Filipi 2:1-4.
“MENGGALAKKAN SATU SAMA LAIN”
13. Apakah ertinya menggalakkan orang? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
13 “Kita harus menggalakkan satu sama lain,” kata Paulus. Hal ini termasuk mendorong mereka untuk terus membuat kemajuan rohani. “Memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik” ibarat menyemarakkan semula api yang makin malap, maka “menggalakkan satu sama lain” ibarat menambah bahan api agar api terus membara atau lebih membara. Menggalakkan orang bererti menguatkan dan melegakan hati orang yang sedih. Semasa menggalakkan orang sebegini, kita harus bercakap dalam nada yang lembut dan penuh kasih. (Ams. 12:18) Kita juga perlu “cepat mendengar” dan “lambat berkata-kata.” (Yak. 1:19) Jika kita mendengar dan menyelami perasaan rakan seiman, kita mungkin dapat mengenal pasti situasi yang membuatnya tawar hati dan mengatakan sesuatu yang dapat membantunya menangani situasi itu.
Nikmati pergaulan yang sihat
14. Bagaimanakah seorang penatua membantu saudara yang tawar hati?
14 Pertimbangkan bagaimana seorang penatua yang baik hati membantu seorang saudara yang tidak aktif selama beberapa tahun. Apabila penatua itu mendengar kata-kata saudara itu, dia sedar bahawa saudara itu masih memiliki kasih yang mendalam terhadap Yehuwa. Saudara itu mengkaji setiap terbitan majalah pembelajaran dan berusaha menghadiri perjumpaan secara tetap, namun tingkah laku sesetengah ahli sidang membuatnya marah dan kecewa. Penatua itu mendengar, cuba menyelami perasaan saudara itu, dan tidak menghakiminya. Dia juga menunjukkan kasih serta mengambil berat terhadap saudara itu dan keluarganya. Secara beransur-ansur, saudara itu sedar bahawa dia membiarkan pengalaman buruk menghalangnya daripada menyembah Tuhan yang dikasihi. Penatua itu mengundang saudara itu untuk menginjil bersama-sama. Dengan bantuan penatua, saudara itu bergiat semula dalam aktiviti penyebaran, dan akhirnya dapat berkhidmat semula sebagai penatua.
Mendengar orang yang memerlukan galakan dengan sabar (Lihat perenggan 14, 15)
15. Bagaimanakah kita dapat mencontohi Yehuwa semasa menggalakkan orang yang tawar hati?
15 Seseorang yang tawar hati mungkin tidak akan serta-merta berasa lebih bersemangat atau menerima bantuan kita dengan segera. Barangkali kita perlu terus membantunya. Paulus berkata, “Menolong orang yang perlu ditolong, dan bersabar terhadap semua orang.” (1 Tes. 5:14) Daripada putus asa, kita patut terus membantu orang yang lemah selagi mereka memerlukannya. Pada zaman dahulu, Yehuwa menolong hambanya yang tawar hati dengan penuh sabar. Misalnya, Tuhan amat sabar dengan Elia dan menghormati perasaannya. Yehuwa memenuhi keperluan Elia agar dia dapat terus berkhidmat. (1 Raj. 19:1-18) Yehuwa mengampuni Daud yang benar-benar bertaubat. (Mzm. 51:9, 19) Tuhan juga membantu penulis Mazmur yang hampir tidak mahu menyembah-Nya. (Mzm. 73:13, 16, 17) Yehuwa bersabar dan baik hati, terutamanya semasa kita tawar hati dan putus asa. (Kel. 34:6) Belas kasihan atau rahmat Tuhan “selalu baru setiap pagi,” dan “tidak berkesudahan.” (Rat. 3:22, 23) Yehuwa ingin kita mencontohi-Nya dan memperlakukan mereka yang sedih dengan lemah lembut.
SALING MENGGALAKKAN UNTUK TETAP BERADA DI JALAN YANG MENGHALA KE HIDUP SEJATI
16, 17. Seraya akhir sistem ini semakin mendekat, apakah tekad kita? Mengapa?
16 Antara 33,000 orang tawanan yang meninggalkan kem konsentrasi Sachsenhausen, ribuan orang kehilangan nyawa. Tetapi kesemua 230 Saksi-Saksi Yehuwa terselamat. Hal ini kerana mereka saling menggalakkan dan memberikan sokongan.
17 Dewasa ini, kita juga berada di “jalan yang menghala ke hidup sejati.” (Mat. 7:14) Tidak lama lagi, semua penyembah Yehuwa akan memasuki dunia baru yang adil benar. (2 Ptr. 3:13) Semoga kita bertekad untuk membantu satu sama lain seraya kita berjalan di haluan yang menuju ke hidup abadi.