Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
5-11 FEBRUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 12-13
“Perumpamaan tentang Gandum dan Lalang”
(Matius 13:24-26) Dia menceritakan satu lagi perumpamaan kepada mereka: “Kerajaan di syurga bagaikan seorang lelaki yang menabur benih yang baik di ladangnya. 25 Semasa semua orang tidur, musuhnya datang dan menabur benih lalang di antara gandum lalu beredar. 26 Semasa daun dan bulir gandum muncul, lalang pun menjadi ketara.
“Ingatlah, Aku Akan Sentiasa Menyertai Kamu”
2 Cerita ibarat ini menyingkapkan bagaimana dan bila Yesus akan mengumpulkan orang yang tergolong sebagai “gandum” daripada umat manusia—orang Kristian terurap yang akan memerintah bersama Yesus. Kerja menabur bermula pada Pentakosta 33 M. Kerja mengumpul pula akan selesai apabila semua golongan terurap yang masih hidup di bumi pada akhir zaman dimeteraikan lalu naik ke syurga. (Mat. 24:31; Why. 7:1-4) Seperti pemandangan dari atas bukit, cerita ibarat ini memberikan pemandangan yang luas tentang peristiwa yang meliputi masa kira-kira 2,000 tahun. Maka, apakah pemahaman kita tentang perkembangan Kerajaan Tuhan? Cerita ibarat ini menggambarkan masa menabur, pertumbuhan benih, dan musim menuai. Rencana ini akan membincangkan musim menuai dengan terperinci.
Di Bawah Jagaan Yesus
3 Pada awal abad kedua M, “lalang-lalang itu kelihatan” apabila orang Kristian palsu jelas kelihatan di pentas dunia. (Mat. 13:26) Menjelang abad keempat, orang Kristian yang tergolong sebagai lalang menjadi lebih banyak daripada golongan orang Kristian terurap. Dalam cerita ibarat, hamba meminta izin daripada tuannya untuk mencabut lalang itu. (Mat. 13:28) Apakah jawapannya?
(Matius 13:27-29) Hamba-hamba kepada lelaki itu bertanya kepadanya, ‘Tidakkah tuan menabur benih yang baik di ladang? Dari manakah datangnya lalang-lalang ini?’ 28 Dia berkata kepada mereka, ‘Ini angkara musuh.’ Hamba-hamba itu bertanya lagi, ‘Jadi, patutkah kami mencabut semua lalang itu?’ 29 ‘Tidak,’ jawabnya, ‘kerana semasa kamu mencabut lalang, mungkin gandum juga tercabut.
“Ingatlah, Aku Akan Sentiasa Menyertai Kamu”
4 Mengenai gandum dan lalang, Yesus berkata, “Biarkanlah lalang tumbuh bersama-sama gandum sehingga tiba masa menuai.” Perintah ini menunjukkan bahawa dari abad pertama hingga hari ini, orang Kristian yang tergolong sebagai “gandum” sentiasa ada di bumi. Hal ini terbukti benar apabila Yesus memberitahu pengikutnya, “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.” (Mat. 28:20) Oleh itu, orang Kristian terurap sentiasa dilindungi oleh Yesus hingga ke akhir zaman. Memandangkan selepas abad pertama, jumlah “lalang” menjadi lebih banyak daripada jumlah “gandum,” kita tidak pasti siapa yang tergolong sebagai “gandum” pada masa itu. Namun, kita dapat melihat perbezaan antara golongan “gandum” dan “lalang” kira-kira 30 tahun sebelum musim menuai bermula. Bagaimana?
(Matius 13:30) Biarlah kedua-duanya tumbuh bersama sehingga musim menuai. Pada musim menuai, aku akan memberitahu penuai: Kumpulkan lalang terlebih dahulu dan ikatlah lalang itu untuk dibakar. Selepas itu kumpulkan gandum ke dalam jelapang aku.’”
“Ingatlah, Aku Akan Sentiasa Menyertai Kamu”
10 Pertama, mengumpulkan lalang. Yesus berkata “kepada para penuai supaya mencabut lalang dahulu lalu mengikatnya.” Selepas tahun 1914, malaikat mula memisahkan orang Kristian yang tergolong sebagai “lalang” daripada orang Kristian terurap.—Mat. 13:30, 38, 41.
11 Seraya kerja mengumpul berlangsung, perbezaan antara dua kumpulan ini menjadi lebih nyata. (Why. 18:1, 4) Sejak tahun 1919, kejatuhan Babilon Besar jelas kelihatan. Apakah yang membezakan orang Kristian sejati daripada orang Kristian palsu? Kerja penyebaran. Mereka yang mengambil pimpinan di antara Pelajar Bible menekankan pentingnya untuk melakukan kerja penyebaran. Sebagai contoh, sebuah buku yang dicetak pada tahun 1919 menggalakkan semua orang Kristian terurap untuk menyebar dari rumah ke rumah. Buku itu menyatakan bahawa kerja ini tidak senang, namun Tuan akan memberikan kekuatan kepada umatnya untuk melaksanakan kerja ini. Lalu buku itu menyambung, “Anda diberi penghormatan untuk menyertai kerja ini.” Apakah reaksi mereka? The Watch Tower pada 1922 melaporkan bahawa sejak masa itu, para Pelajar Bible menggiatkan usaha dalam aktiviti penyebaran. Oleh itu, kerja menyebar dari rumah ke rumah menjadi tanda pengenal orang Kristian sejati sehingga ke hari ini.
12 Kedua, mengumpulkan gandum. Yesus memerintah para malaikat, “Kumpulkan gandum, lalu simpanlah gandum di dalam jelapang.” (Mat. 13:30) Sejak tahun 1919, golongan terurap dikumpulkan ke dalam sidang Kristian yang telah dimurnikan. Bagaimana pula dengan golongan terurap yang masih hidup di bumi pada akhir sistem dunia ini? Mereka akhirnya akan dikumpulkan semasa mereka naik ke syurga.—Dan. 7:18, 22, 27.
Mencari Permata Rohani
(Matius 12:20) Rumput yang layu tidak akan diinjak-injaknya, dan sumbu pelita yang sudah malap tidak akan dipadamkannya sehingga dia berjaya menegakkan keadilan.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 12:20
sumbu pelita yang sudah malap: Pelita yang biasa digunakan di rumah diperbuat daripada tanah liat dan diisi minyak zaitun. Minyak diserap melalui sumbu yang diperbuat daripada flaks agar api dapat terus menyala. Dalam bahasa Yunani, ungkapan “sumbu pelita yang sudah malap” boleh merujuk kepada sumbu yang mengeluarkan asap biarpun nyala apinya sudah padam atau hampir padam. Nubuat di Yes 42:3 menggambarkan belas kasihan Yesus terhadap orang yang dihina dan yang hancur hati. Dia tidak akan memadamkan semangat dan harapan mereka “yang sudah malap.”
(Matius 13:25) Semasa semua orang tidur, musuhnya datang dan menabur benih lalang di antara gandum lalu beredar.
Tahukah Anda?
Pada zaman dahulu, adakah seseorang benar-benar akan menabur benih lalang di ladang orang lain?
DI MATIUS 13:24-26, Yesus berkata, “Kerajaan di syurga bagaikan seorang lelaki yang menabur benih yang baik di ladangnya. Semasa semua orang tidur, musuhnya datang dan menabur benih lalang di antara gandum lalu beredar. Semasa daun dan bulir gandum muncul, lalang pun menjadi ketara.” Sesetengah penulis tertanya-tanya sama ada perumpamaan ini benar-benar berlaku. Namun, menurut undang-undang Roma kuno, hal ini mungkin pernah berlaku.
Sebuah kamus Bible menyatakan bahawa di bawah undang-undang Roma, adalah salah bagi seseorang untuk membalas dendam dengan menabur benih lalang dalam ladang orang lain. Kewujudan undang-undang ini membuktikan bahawa hal ini benar-benar berlaku. Seorang pakar undang-undang bernama Alastair Kerr menjelaskan bahawa Maharaja Roma Justinian telah menerbitkan buku Digest pada tahun 533 M. Buku ini mengandungi ringkasan undang-undang Roma dan petikan daripada pakar undang-undang sekitar tahun 100-250 M. Menurut Digest, seorang pakar undang-undang bernama Ulpian telah menulis tentang kes pada abad kedua. Benih lalang telah ditaburkan dalam ladang seseorang dan kemudian hasil ladang itu rosak. Buku Digest juga menerangkan cara seorang peladang boleh menggunakan undang-undang untuk mendapatkan ganti rugi daripada pihak yang bersalah.
Memandangkan tindakan yang jahat ini berlaku dalam Empayar Roma, hal ini menunjukkan bahawa perumpamaan Yesus memang benar-benar berlaku.
12-18 FEBRUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 14-15
“Memberikan Makanan melalui Beberapa Orang”
(Matius 14:16, 17) Tetapi Yesus berkata, “Mereka tidak perlu pergi. Kamu berilah mereka makanan.” 17 Mereka berkata kepadanya, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan.”
Memberikan Makanan Melalui Beberapa Orang
2 Apabila Yesus melihat orang ramai di situ, dia mengasihani mereka. Jadi dia menyembuhkan orang yang sakit dan mengajar mereka tentang Kerajaan Tuhan. Apabila hari hampir malam, pengikut Yesus memberitahunya supaya menyuruh orang ramai itu pergi ke pekan berdekatan untuk membeli makanan. Tetapi Yesus menjawab, “Kamu sendiri beri mereka makanan.” Pengikut-pengikut Yesus bingung kerana mereka hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.
(Matius 14:18, 19) Dia berkata, “Bawalah makanan itu kepadaku.” 19 Kemudian, dia menyuruh orang ramai duduk di atas rumput. Dia mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu lalu menengadah ke langit dan mengucapkan syukur. Selepas itu, dia membahagikan roti itu dan memberikannya kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai.
Memberikan Makanan Melalui Beberapa Orang
3 Atas perasaan simpatinya, Yesus melakukan mukjizat yang tercatat di dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. (Mrk. 6:35-44; Luk. 9:10-17; Yoh. 6:1-13) Yesus memberitahu pengikutnya supaya menyuruh semua orang di situ untuk duduk dalam kumpulan seramai 50 dan 100 orang. Selepas Yesus berdoa, dia membahagikan roti dan ikan. Dia tidak terus memberikan makanan itu kepada orang ramai, tetapi ‘menyerahkannya kepada pengikut-pengikutnya supaya diberikan kepada orang ramai.’ Makanan itu lebih daripada mencukupi. Catatan ini menunjukkan bahawa Yesus telah memberi ribuan orang makanan melalui beberapa orang pengikutnya.
(Matius 14:20, 21) Semua orang makan sampai kenyang dan baki roti yang dikumpulkan oleh mereka telah mengisi 12 buah bakul. 21 Mereka yang makan berjumlah kira-kira 5,000 orang lelaki, tidak termasuk wanita dan kanak-kanak.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 14:21
tidak termasuk wanita dan kanak-kanak: Semasa mencatatkan mukjizat ini, hanya Matius yang menyebut tentang wanita dan kanak-kanak. Mereka yang diberi makanan secara mukjizat mungkin berjumlah lebih daripada 15,000 orang.
Memberikan Makanan Melalui Beberapa Orang
BAYANGKAN situasi ini. (Baca Matius 14:14-21.) Sebelum Paska 32 M, Yesus dan pengikutnya pergi ke sebuah kawasan terpencil berdekatan pekan Betsaida, di utara Tasik Galilea. Seramai 5,000 orang lelaki, berserta wanita dan kanak-kanak telah mengikuti mereka.
Mencari Permata Rohani
(Matius 15:7-9) Hai orang yang bermuka dua, betapa tepatnya nubuat Yesaya tentang kamu ketika dia berkata, 8 ‘Umat ini menghormati Aku dengan bibir mereka, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku. 9 Sia-sia sahaja mereka terus menyembah Aku, kerana mereka mengajarkan perintah manusia seolah-olah perintah itu firman-Ku.’”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 15:7
orang yang bermuka dua: Pada asalnya, kata Yunani hy·po·kri·tesʹ merujuk kepada pelakon pentas Yunani (dan kemudiannya Roma) yang memakai topeng besar yang direka untuk menjadikan suara mereka lebih lantang. Istilah ini digunakan secara kiasan untuk merujuk kepada sesiapa sahaja yang menyembunyikan niat atau sifat sebenar dengan berdusta atau berpura-pura. Di ayat ini, Yesus memanggil pemimpin agama Yahudi “orang yang bermuka dua.”—Mt 6:5, 16.
(Matius 15:26) Yesus berkata, “Adalah tidak wajar untuk mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anak-anak anjing.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 15:26
anak-anak . . . anak-anak anjing: Menurut Hukum Musa, anjing ialah binatang yang najis. Maka Bible sering menggunakan istilah ini secara negatif. (Im 11:27; Mt 7:6; Flp 3:2; Why 22:15) Namun, dalam catatan Markus (7:27) dan catatan Matius tentang perbualan Yesus, istilah yang digunakan bererti “anak anjing” atau “anjing peliharaan.” Dengan menggunakan istilah sedemikian, kata-kata Yesus memberikan gambaran yang positif. Barangkali Yesus sedang menggunakan istilah yang merujuk kepada haiwan peliharaan dalam rumah tangga orang bukan Yahudi. Dengan menyamakan orang Israel kepada “anak-anak” dan orang bukan Yahudi kepada “anak-anak anjing,” Yesus ingin menunjukkan keutamaan yang harus diberikan. Dalam rumah tangga yang mempunyai anak-anak dan anjing, anak-anak akan diberi makan terlebih dahulu.
19-25 FEBRUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 16-17
“Anda Memiliki Fikiran Siapa?”
(Matius 16:21, 22) Sejak masa itu, Yesus mula menjelaskan kepada murid-muridnya bahawa dia mesti pergi ke Yerusalem dan dianiaya dengan teruk oleh para pemimpin orang Yahudi, ketua imam, dan jurutulis hukum. Dia juga menjelaskan bahawa dia akan dibunuh, tetapi pada hari yang ketiga, dia akan dibangkitkan. 22 Lalu Petrus membawanya ke tepi dan mula menegurnya, “Tuan, janganlah cakap begitu. Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.”
w07-IN 15/2 16 per. 17
Suami—Akuilah Kekepalaan Kristus
17 Pada waktu lain, Yesus menjelaskan kepada para rasulnya bahawa dia harus pergi ke Yerusalem, dan di sana dia akan dianiaya oleh “para pemimpin orang Yahudi, ketua imam, dan jurutulis hukum. Dia juga menjelaskan bahawa dia akan dibunuh, tetapi pada hari yang ketiga, dia akan dibangkitkan.” Lalu Petrus membawanya ke tepi dan mula menegurnya, “Tuan, janganlah cakap begitu. Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.” Jelaslah, fikiran Petrus dipengaruhi oleh perasaannya. Pandangannya perlu dibetulkan. Maka, Yesus berkata kepadanya, “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan! Kamu ialah batu sandungan bagiku, kerana fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.”—Matius 16:21-23.
(Matius 16:23) Tetapi Yesus berpaling daripada Petrus lalu berkata, “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan! Kamu ialah batu sandungan bagiku, kerana fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.”
Berjaga-jagalah—Syaitan Ingin Membaham Anda!
16 Syaitan juga dapat memperdaya umat Yehuwa yang setia. Misalnya, apabila Yesus memberitahu pengikutnya bahawa dia akan dibunuh, rasul Petrus memberitahu Yesus: “Tuan, janganlah cakap begitu. Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.” Yesus berkata kepada Petrus: “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan!” (Mat. 16:22, 23) Mengapakah Yesus memanggil Petrus “Syaitan”? Kerana Petrus ingin agar Yesus mengasihani dirinya. Namun Yesus tahu bahawa dia harus mengorbankan nyawanya sebagai tebusan. Kematiannya juga akan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta. Saat itu ialah detik yang genting dalam sejarah manusia, dan bukannya waktu bagi Yesus untuk mementingkan diri. Syaitan tentu sangat gembira jika Yesus hilang tumpuannya.
17 Kita juga tinggal pada masa yang genting kerana akhir sistem dunia sangat dekat. Syaitan ingin kita hilang tumpuan dan mengejar kejayaan di dunia ini. Dia ingin kita lupa bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Jadi berwaspadalah dan “teruslah berjaga-jaga.” (Mat. 24:42) Jangan percaya dusta Syaitan bahawa akhir dunia masih lama lagi atau langsung tidak akan tiba.
(Matius 16:24) Kemudian Yesus memberitahu murid-muridnya, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya, dan terus mengikut aku.
w06-IN 1/4 23 per. 9
‘Pergilah, Jadikanlah Orang Pengikutku, dan Baptislah Mereka’
9 Jika kita ingin mengikut teladan Yesus dan melaksanakan kehendak Tuhan, apakah yang harus kita lakukan? Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya, dan terus mengikut aku.” (Matius 16:24) Di sini, dia menyebut tiga perkara yang harus kita lakukan. Pertama, kita “menolak kepentingan” diri sendiri. Dalam kata lain, kita melawan keinginan kita yang berdosa dan yang mementingkan diri, dan menerima nasihat serta petunjuk Tuhan. Kedua, kita ‘memikul tiang seksaan kita.’ Pada zaman Yesus, tiang seksaan melambangkan keaiban dan penderitaan. Sebagai orang Kristian, kita bersedia menderita demi berita baik. (2 Timotius 1:8) Meskipun dunia mungkin mengejek atau mencela kita, kita tidak mempedulikan hal itu. Seperti Kristus, kita tahu bahawa kita menyenangkan hati Tuhan. (Ibrani 12:2) Yang terakhir, kita “terus” mengikut Yesus.—Mazmur 73:26; 119:44; 145:2.
Mencari Permata Rohani
(Matius 16:18) Aku juga berkata kepadamu: Kamu ialah Petrus. Di atas batu ini aku akan membina sidangku, dan kuasa maut tidak dapat mengalahkannya.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 16:18
Kamu ialah Petrus. Di atas batu ini: Kata Yunani peʹtros bermaksud “seketul batu.” Dalam ayat ini, perkataan ini digunakan dalam bentuk kata nama khas (Petrus), iaitu nama Yunani yang diberikan oleh Yesus kepada Simon. (Yoh 1:42) Perkataan Yunani yang serupa, iaitu peʹtra, yang diterjemahkan sebagai “batu” juga boleh bererti batu di dasar, tebing yang curam, atau batu yang besar. Perkataan ini muncul di Mt 7:24, 25; 27:60; Lu 6:48; 8:6; Rm 9:33; 1Ko 10:4; 1Pt 2:8. Nampaknya Petrus tidak menganggap dirinya sebagai batu di mana Yesus akan membina sidangnya, kerana dia menulis di 1Pt 2:4-8 bahawa Yesus ialah “batu penjuru utama” yang dinubuatkan, dan yang dipilih oleh Tuhan sendiri. Begitu juga, Rasul Paulus memanggil Yesus sebagai “asas” dan “batu rohani.” (1Ko 3:11; 10:4) Maka Yesus sebenarnya sedang berkata, “Kamu, yang aku gelar Petrus (Seketul Batu), telah mengenal pasti identiti sebenar Kristus, iaitu “batu ini” yang akan menjadi asas bagi sidang Kristian.”
sidangku: Inilah kali pertama istilah Yunani ek·kle·siʹa muncul. Istilah ini terdiri daripada dua kata Yunani, ek, yang bererti “keluar,” dan ka·leʹo, yang bererti “memanggil.” Istilah ini merujuk kepada sekumpulan orang yang dipanggil untuk berkumpul bagi tujuan atau kegiatan tertentu. (Lihat Kamus bagi Istilah Bible.) Dalam konteks ini, Yesus menubuatkan pembentukan sidang Kristian yang terdiri daripada orang Kristian terurap. Mereka merupakan “batu-batu hidup” yang sedang “dibina untuk menjadi sebuah rumah rohani.” (1Pt 2:4, 5) Istilah Yunani ini sering digunakan dalam Septuagint sebagai padanan untuk istilah Ibrani bagi “sidang,” yang biasanya merujuk kepada bangsa Israel. (Ul 23:3; 31:30) Begitu juga, orang Kristian yang dipilih dan yang ‘dipanggil keluar daripada kegelapan’ membentuk “sidang Tuhan.”—1Pt 2:9; 1Ko 1:2; Yoh 15:19.
(Matius 16:19) Aku akan memberimu kunci-kunci Kerajaan di syurga. Apa sahaja yang kamu ikat di bumi sudah diikat di syurga, dan apa sahaja yang kamu lepaskan di bumi sudah dilepaskan di syurga.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 16:19
kunci-kunci Kerajaan di syurga: Dalam Bible, mereka yang diberi kunci tertentu, sama ada secara harfiah atau kiasan, diamanahkan kekuasaan tertentu. (1Ta 9:26, 27; Yes 22:20-22) Maka istilah “kunci” melambangkan kekuasaan dan tanggungjawab. Petrus menggunakan “kunci-kunci” yang diamanahkan kepadanya untuk membuka peluang kepada orang Yahudi (Kis 2:22-41), Samaria (Kis 8:14-17), dan bukan Yahudi (Kis 10:34-38), supaya mereka dapat menerima kuasa suci Tuhan dan masuk ke Kerajaan di syurga.
26 FEBRUARI–4 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 18-19
“Janganlah Menyebabkan Diri Anda dan Orang Lain Tersandung”
(Matius 18:6, 7) Tetapi bagi sesiapa yang menyebabkan salah seorang muridku yang bagaikan anak kecil tersandung, lebih baik dia menggantungkan pada lehernya batu kisar besar yang ditarik oleh keldai lalu tenggelam di tengah laut. 7 “Malanglah dunia ini kerana menyebabkan orang tersandung! Walaupun perkara yang menyebabkan orang tersandung memang akan wujud, tetapi malanglah orang yang menyebabkan orang lain tersandung!
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 18:6, 7
batu kisar besar yang ditarik oleh keldai: Harfiah, “batu kisar seekor keldai.” Batu kisar sedemikian, yang mungkin berdiameter 1.2-1.5 m (4-5 kaki), begitu berat sehingga perlu ditarik oleh seekor keldai.
menyebabkan orang tersandung: Maksud asal perkataan Yunani skanʹda·lon, yang diterjemahkan sebagai “menyebabkan orang tersandung,” mungkin merujuk kepada jerat; ada yang mengatakan hal itu merujuk kepada kayu dalam jerat di mana terletaknya umpan. Perkataan itu juga boleh merujuk kepada sebarang halangan yang menyebabkan seseorang tersandung atau jatuh. Secara kiasan, perkataan ini merujuk kepada perbuatan atau keadaan yang menyebabkan seseorang mengikut haluan yang salah, tersandung atau jatuh secara moral, atau melakukan dosa. Di Mt 18:8, 9, kata kerja skan·da·liʹzo, yang diterjemahkan sebagai “membuat tersandung,” juga boleh diterjemahkan sebagai “menjadi jerat; menyebabkan berdosa.”
nwtsty media
Batu Kisar
Batu kisar digunakan untuk mengisar bijirin dan memeras buah zaitun untuk mengeluarkan minyaknya. Ada yang bersaiz kecil dan dapat diputarkan dengan tangan, tetapi ada yang begitu besar sehingga perlu ditarik oleh binatang. Batu kisar yang digunakan oleh Simson untuk mengisar bijirin bagi orang Filistin mungkin bersaiz besar seperti dalam gambar. (Hak 16:21) Batu kisar yang ditarik oleh binatang bukan sahaja biasa digunakan di Israel, tetapi juga di seluruh Empayar Roma.
Batu Kisar Bahagian Atas dan Bawah
Sebuah batu kisar yang besar seperti dalam gambar perlu ditarik oleh seekor binatang, misalnya seekor keldai, dan digunakan untuk mengisar bijirin atau memeras buah zaitun. Batu kisar di bahagian atas mungkin berdiameter 1.5 m (5 kaki) dan diletakkan di atas batu yang lebih besar.
(Matius 18:8, 9) Oleh itu, jika sebelah tangan atau kaki kamu membuat kamu tersandung, potonglah dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan atau kaki dan menerima kehidupan daripada memiliki dua tangan dan dua kaki tetapi dibuang ke dalam api yang kekal. 9 Begitu juga, jika sebelah mata kamu membuat kamu tersandung, cungkillah dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata dan menerima kehidupan daripada memiliki dua belah mata tetapi dibuang dalam api Gehena.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 18:9
Gehena: Istilah ini datang daripada kata Ibrani geh hin·nomʹ, yang bererti “Lembah Hinom,” yang terletak di bahagian barat dan selatan Yerusalem kuno. (Lihat Lampiran B12, peta “Yerusalem dan Kawasan Sekitar.”) Pada zaman Yesus, lembah itu digunakan untuk membakar sampah, jadi perkataan “Gehena” sesuai melambangkan kebinasaan yang kekal.
nwtstg Kamus bagi Istilah Bible
Gehena
Nama Yunani untuk Lembah Hinom yang terletak di barat daya Yerusalem kuno. (Yer 7:31) Telah dinubuatkan bahawa mayat akan bergelimpangan di tempat ini. (Yer 7:32; 19:6) Tiada bukti bahawa binatang atau manusia dibuang ke dalam Gehena untuk diseksa atau dibakar hidup-hidup. Maka, Gehena tidak melambangkan tempat roh manusia diseksa selama-lamanya dalam api. Sebaliknya, Yesus dan murid-muridnya menggunakan perkataan ini untuk melambangkan “kematian yang kedua,” iaitu hukuman pembinasaan kekal.—Why 20:14; Mt 5:22; 10:28.
(Matius 18:10) Jangan sekali-kali memandang rendah pada muridku yang bagaikan anak kecil, kerana malaikat-malaikat mereka di syurga sentiasa menghadap muka Bapaku yang di syurga.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 18:10
menghadap muka Bapaku: Atau “dapat berjumpa dengan Bapaku.” Oleh sebab makhluk roh dapat menghadap Tuhan, mereka sahaja yang boleh melihat muka Tuhan.—Kel 33:20.
w10-IN 1/11 16
Cara Malaikat Mempengaruhi Kita
Yesus menyingkapkan bahawa para malaikat diberi tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan rohani hamba-hamba Tuhan. Maka, ketika Yesus mengingatkan para muridnya agar tidak membuat orang lain tersandung, dia berkata, “Jangan sekali-kali memandang rendah pada muridku yang bagaikan anak kecil, kerana malaikat-malaikat mereka di syurga sentiasa menghadap muka Bapaku yang di syurga.” (Matius 18:10) Dengan kata-kata ini, Yesus tidak memaksudkan bahawa setiap pengikutnya memiliki malaikat pelindung. Tetapi, Yesus menunjukkan bahawa para malaikat yang bekerja dengan Tuhan sangat berminat terhadap anggota sidang Kristian.
Mencari Permata Rohani
(Matius 18:21, 22) Kemudian Petrus datang lalu bertanya kepada Yesus, “Tuan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah aku harus mengampuninya? Sehingga tujuh kalikah?” 22 Yesus berkata kepadanya, “Aku memberitahumu, bukan 7 kali tetapi sehingga 77 kali.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 18:22
77 kali: Harfiah, “tujuh puluh kali tujuh.” Ungkapan Yunani ini boleh bermaksud “70 dan 7” (77 kali) atau “70 darab 7” (490 kali). Ungkapan serupa juga digunakan dalam Septuagint di Kej 4:24 untuk ungkapan Ibrani “77 kali,” dan hal ini menyokong terjemahan “77 kali.” Tidak kira apa maksudnya, nombor tujuh yang diulangi sama erti dengan “untuk selama-lamanya” atau “tanpa had.” Dengan mengubah 7 kali yang disebut oleh Petrus menjadi 77 kali, Yesus sedang memberitahu pengikutnya bahawa mereka tidak patut menetapkan batas untuk mengampuni orang. Sebagai perbandingan, Kitab Talmud Babilon (Yoma 86b) menyatakan, “Jika seorang lelaki berdosa, dia akan diampuni untuk kali pertama, kedua dan ketiga, namun dia tidak akan diampuni untuk kali keempat.”
(Matius 19:7) Mereka berkata, “Kalau begitu, mengapakah Musa mengatakan bahawa orang yang mahu menceraikan isterinya perlu memberinya surat cerai?”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 19:7
surat cerai: Hukum Musa menghendaki seorang lelaki yang ingin bercerai supaya menyiapkan dokumen sah dan kemungkinan besar mendapatkan nasihat para pemimpin. Dengan itu, dia dapat mempertimbangkan semula keputusannya yang serius itu. Nampaknya tujuan Hukum Musa adalah untuk menghalang perceraian yang dibuat secara terburu-buru dan melindungi para wanita. (Ul 24:1) Namun pada zaman Yesus, para pemimpin agama membolehkan perceraian dilakukan dengan begitu mudah. Sejarawan abad pertama yang bernama Josephus, iaitu seorang Farisi yang sudah bercerai, mencadangkan bahawa perceraian dibenarkan “atas apa saja sebab (dan menurut para lelaki, terdapat banyak alasan untuk menuntut perceraian).”
nwtsty media
Surat Cerai
Surat cerai ini yang bertarikh 71 atau 72 M ditulis dalam bahasa Aram. Surat ini dijumpai di bahagian utara Wadi Murabbaat, iaitu sebuah dasar sungai yang kering di Gurun Yudea. Menurut surat itu, Yusuf dari kota Masada, iaitu anak lelaki Naqsan, menceraikan Miryam, anak perempuan Yonatan pada tahun keenam pemberontakan orang Yahudi.