Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
© 2023 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
4-10 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MAZMUR 16-17
Permata Rohani
it-1 432
Biji Mata
Apabila perkataan Ibrani ʼi·shohnʹ (Ul 32:10; Ams 7:2) digunakan bersama ʽaʹyin (mata), istilah ini secara harfiah bermaksud “lelaki kecil dalam mata.” Di Ratapan 2:18, perkataan ini yang digabungkan dengan bath (anak perempuan) secara harfiah bermaksud “anak perempuan kepunyaan mata.” Kedua-dua istilah ini merujuk kepada anak mata (pupil). Gabungan kedua-dua istilah ini (ʼi·shohnʹ bath-ʽaʹyin) digunakan untuk penekanan di Mazmur 17:8 dan secara harfiah bermaksud “lelaki kecil, anak perempuan kepunyaan mata” (“biji mata,” NW). Nampaknya, gambaran ini digunakan untuk merujuk kepada pantulan imej diri yang anda lihat dalam mata orang lain.
Mata sangat sensitif. Mata dapat mengesan bahkan bulu atau debu halus yang terperangkap antara kelopak dan biji mata. Lapisan lut sinar (kornea) yang melindungi anak mata perlu dijaga dengan baik. Jika kornea tercalar akibat kecederaan atau menjadi kabur akibat penyakit, hal ini dapat menyebabkan masalah penglihatan atau kebutaan. Oleh itu, Bible menggunakan ungkapan “menjaga biji matamu” untuk menegaskan sesuatu yang perlu dilindungi dan dipelihara dengan baik, misalnya hukum Tuhan. (Ams 7:2, nota kaki) Semasa menggambarkan cara Tuhan menjaga umat Israel, Ulangan 32:10 kata bahawa Dia memelihara mereka “seperti memelihara biji mata-Nya.” Daud juga berdoa kepada Yehuwa, “Peliharalah aku seperti biji mata-Mu sendiri.” (Mz 17:8) Daud ingin Yehuwa untuk bertindak dengan segera dan melindunginya semasa diserang musuh.—Bandingkan Za 2:8; di mana perkataan Ibrani ba·vathʹ ʽaʹyin, “biji mata,” digunakan.
11-17 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MAZMUR 18
‘Yehuwalah Penyelamatku’
w09 1/5 14 ¶3-4
Adakah Anda Memahami Perumpamaan dalam Bible?
Bible juga menggambarkan Yehuwa sebagai benda-benda yang tidak hidup. Yehuwa pernah digambarkan sebagai “Gunung Batu orang Israel,” ‘batu perlindungan,’ dan ‘kubu.’ (2 Samuel 23:3; Mazmur 18:2; Ulangan 32:4) Apakah persamaan antara tiga gambaran ini dengan Yehuwa? Sebagaimana sebuah batu yang besar teguh dan tidak mudah tergoyah, Yehuwa juga ialah Sumber perlindungan yang kukuh bagi anda.
Buku Mazmur mengandungi banyak perumpamaan yang menggambarkan sifat-sifat Yehuwa. Contohnya, Mazmur 84:11 menggambarkan Yehuwa seperti “matahari dan perisai” kerana Dialah Sumber cahaya, kehidupan, tenaga, dan perlindungan. Selain itu, Mazmur 121:5 menyatakan bahawa “Yehuwa, Penaung kamu, berada di sebelah kanan kamu.” Sepertimana tempat naungan melindungi kita daripada cahaya matahari yang terik, Yehuwa memberi kita perlindungan di bawah naungan ‘tangan’ atau ‘sayap-Nya.’—Yesaya 51:16; Mazmur 17:8; 36:7.
Permata Rohani
it-1-E 432 ¶2
Kerub
Kerub-kerub dikaitkan dengan kehadiran Yehuwa. Bible kata, “Aku akan menampakkan diri dan berfirman kepadamu dari atas penutup itu. Di antara dua kerub di atas tabut perjanjian itu, Aku akan memberimu segala perintah-Ku.” (Kel 25:22; Bil 7:89) Oleh itu, Yehuwa digambarkan sebagai Tuhan “yang bertakhta di atas [atau, di antara] kerub.” (1Sa 4:4; 2Sa 6:2; 2Ra 19:15; 1Ta 13:6; Mz 80:1; 99:1; Yes 37:16) Kerub-kerub itu “melambangkan kereta kuda Tuhan” yang dikenderai-Nya (1Ta 28:18), dan sayap-sayap kerub melambangkan perlindungan dan pergerakan yang laju. Maka, dalam lagu yang digubah oleh Daud, dia menggambarkan betapa cepatnya bantuan Yehuwa dengan menggunakan ungkapan seperti Dia “terbang dengan mengenderai kerub” dan “kelihatan di atas sayap makhluk roh.”—2Sa 22:11; Mz 18:10.
8-14 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MAZMUR 26-28
Permata Rohani
w06 15/7 28 ¶15
Yehuwa Menyelamatkan Orang yang Menderita
15 Daud berkata, “Ya Yehuwa, walaupun ibu bapa kandungku meninggalkan aku, Engkau pasti akan memelihara aku.” (Mazmur 27:10) Sememangnya, kasih Yehuwa lebih unggul daripada kasih yang ditunjukkan oleh ibu bapa. Hal ini sangat melegakan hati kita. Tidak kira kita dipinggirkan, dilayan dengan buruk, atau ditinggalkan oleh ibu bapa, Yehuwa tetap akan menjaga kita. (Roma 8:38, 39) Ingatlah bahawa Yehuwa memimpin orang yang Dia kasihi kepada-Nya. (Yohanes 3:16; 6:44) Tidak kira bagaimana orang lain melayan anda, anda sangat dikasihi oleh Bapa kita yang di syurga!
15-21 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MAZMUR 29-31
Disiplin Mencerminkan Kasih Tuhan
it-2 153
Wajah
Ungkapan ‘menyembunyikan diri,’ yang juga diterjemahkan sebagai ‘menyembunyikan wajah,’ boleh membawa beberapa maksud bergantung pada situasi. Salah satunya mungkin menggambarkan situasi di mana Tuhan Yehuwa tidak lagi memberi perkenan atau sokongan-Nya. Ini mungkin disebabkan oleh keingkaran seseorang atau sekumpulan orang, misalnya bangsa Israel. (Ayb 34:29; Mz 30:5-8; Yes 54:8; 59:2) Ada kalanya, ungkapan ini juga digunakan untuk menggambarkan Yehuwa menahan diri daripada mengambil tindakan atau menjawab permohonan kerana belum tiba masanya untuk berbuat demikian. (Mz 13:1-3) Satu lagi situasi melibatkan rayuan seseorang agar Tuhan mengampuni dosa-dosanya. Daud merayu kepada Tuhan, “Palingkanlah wajah-Mu daripada dosa-dosaku.”—Mz 51:9; bandingkan Mz 10:11.
22-28 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MAZMUR 32-33
Permata Rohani
w06 15/5 20 ¶1
Sorotan daripada Mazmur Buku Pertama
33:6—Apakah yang dimaksudkan dengan ‘hembusan nafas’ Yehuwa? Ini merujuk kepada kuasa suci Tuhan yang digunakan untuk menciptakan langit. (Kejadian 1:1, 2) Seperti hembusan nafas yang kuat, kuasa suci Tuhan dapat digunakan untuk melaksanakan sesuatu perkara dari jauh.
29 APRIL–5 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MAZMUR 34-35
“Memuji Yehuwa Sepanjang Masa”
w07 1/3 23 ¶15
Marilah Kita Memuliakan Nama Yehuwa Bersama-Sama
15 “Aku berdoa kepada Yehuwa, dan Dia menjawab doaku. Dia membebaskan aku daripada segala ketakutanku.” (Mazmur 34:4) Pengalaman ini sangat penting bagi Daud. Dia juga menambah, “Yehuwa mendengar seruan orang yang menderita, dan Dia menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan.” (Mazmur 34:6) Semasa kita bergaul dengan rakan seiman, kita ada banyak peluang untuk mengongsi pengalaman yang membina. Kita dapat menceritakan bagaimana Yehuwa telah membantu kita bertabah mengharungi cabaran yang berat. Hal ini dapat menguatkan iman orang lain. Daud juga melakukan hal yang sama semasa berbual dengan pengikutnya. Hasilnya, iman mereka telah dikuatkan. Bible kata bahawa mereka ‘yakin kepada Yehuwa; mereka sama sekali tidak akan dikecewakan.’ (Mazmur 34:5) Walaupun mereka terpaksa melarikan diri daripada Raja Saul, mereka tidak menjadi tawar hati. Sebaliknya, mereka masih dapat bersukacita kerana mereka yakin bahawa Tuhan sedang menyokong Daud. Begitu juga, orang Kristian hari ini, tidak kira mereka yang baharu atau lama dalam kebenaran, terus bergantung pada Yehuwa untuk sokongan-Nya. Mereka amat berbahagia kerana telah merasai bantuan Yehuwa dan mereka bertekad untuk tetap setia kepada-Nya.