Dipenjarakan kerana Iman Mereka—Rusia
Sepanjang sejarah Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia, mereka telah mengalami tentangan dan penganiayaan yang teruk. Sejak abad ke-20, pihak berkuasa Rusia telah menganiaya dan menindas para Saksi walaupun mereka ialah rakyat yang menghormati undang-undang dan mencintai kedamaian. Matlamat kerajaan Kesatuan Soviet adalah untuk memaksa para Saksi menerima ideologi Soviet. Mereka tidak dibenarkan untuk memiliki Bible atau bahan bacaan lain. Mereka juga diawasi dengan ketat dan terpaksa mengadakan perjumpaan secara rahsia. Jika mereka didapati melakukan hal-hal yang dilarang, mereka akan dipukul dan dijatuhkan hukuman penjara untuk tempoh masa yang lama. Beribu-ribu Saksi dibuang negeri ke Siberia.
Keadaan itu berubah pada 1991 apabila Saksi-Saksi Yehuwa menerima pengiktirafan yang sah daripada kerajaan Rusia. Hasilnya, mereka menikmati kebebasan untuk beribadat. Namun, kebebasan itu tidak bertahan lama.
Pada 2009, penganiayaan dan sekatan ke atas Saksi-Saksi Yehuwa telah bertambah teruk. Ketika itu, Mahkamah Agung Rusia menyokong keputusan mahkamah rendah yang menyatakan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa merupakan organisasi “ekstremis.” Selepas perbicaraan mahkamah selama bertahun-tahun, pada April 2017, Mahkamah Agung Rusia telah membuat keputusan untuk membubarkan perbadanan Saksi-Saksi Yehuwa atas tuduhan melakukan kegiatan ekstremis. Dengan serta-merta, pihak berkuasa Rusia telah merampas harta milik organisasi Saksi-Saksi Yehuwa, termasuk tempat-tempat beribadat, dan menganggap bahan bacaan Saksi sebagai “bahan ekstremis.”
Pihak berkuasa Rusia bukan sahaja membubarkan perbadanan Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi mereka juga menyerang para Saksi secara individu. Hal ini kerana mereka menganggap ibadat yang dijalankan di rumah sendiri juga adalah sebahagian daripada aktiviti organisasi agama yang diharamkan. Pihak polis akan menyerbu rumah para Saksi, menyoal siasat, dan melayan mereka dengan teruk. Para Saksi tidak kira yang tua mahupun yang muda, telah ditangkap, ditahan di rumah atau sebelum perbicaraan, disabitkan bersalah, dan dijatuhkan hukuman penjara.
Sejak sekatan pada April 2017, ratusan Saksi telah ditahan sebelum perbicaraan atau dipenjarakan atas tuduhan terlibat dengan kegiatan ekstremis. Sehingga 17 Jun 2025, sebanyak 160 orang Saksi telah dipenjarakan.
Mengutuk Rusia kerana Layanan Teruk terhadap Saksi-Saksi Yehuwa
Rusia terus menangkap dan menghukum para Saksi atas tuduhan kegiatan ekstremis meskipun pihak antarabangsa membantah perbuatan itu. Para pemerhati antarabangsa dan mahkamah-mahkamah di luar Rusia telah mengutuk perbuatan kerajaan Rusia yang menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa secara berterusan.
Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR): Pada 7 Jun 2022, ECHR membuat keputusan penting berkenaan penganiayaan Rusia terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. ECHR mengutuk perbuatan Rusia (Taganrog LRO and Others lwn. Russia, no. 32401/10 dan 19 kes yang lain), dan mengumumkan bahawa Rusia telah melanggar undang-undang dengan mengharamkan Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 2017. Keputusan mahkamah menyatakan bahawa Rusia ‘mesti mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk membatalkan semua kes jenayah terhadap Saksi-Saksi Yehuwa dan membebaskan semua Saksi-Saksi Yehuwa yang dikurung.’ Rusia juga diarahkan untuk mengembalikan semua harta yang dirampas atau membayar pampasan sebanyak lebih daripada 60 juta dolar Amerika, dan membayar ganti rugi lebih daripada 3 juta dolar kepada pemohon yang terlibat.
Surat daripada Setiausaha Agung Majlis Eropah: Dalam surat kepada Menteri Luar Negeri Rusia yang bertarikh 9 Disember 2022, Setiausaha Agung Majlis Eropah, iaitu Marija Pejčinović Burić menyatakan, “Kedua-dua kes Jehovah’s Witnesses of Moscow and Others dan Krupko and Others melibatkan pembubaran organisasi agama Saksi-Saksi Yehuwa dan pengharaman kegiatan organisasi tersebut. Kebebasan sesetengah penganut agama juga disekat dan mereka tidak dapat berkumpul untuk menjalankan ibadat secara aman. Jawatankuasa Majlis Eropah menggesa Rusia untuk membatalkan keputusan yang mengharamkan aktiviti agama Saksi-Saksi Yehuwa dan menghentikan semua siasatan dan perbicaraan terhadap mereka.”
Keputusan Jawatankuasa Menteri-Menteri Majlis Eropah: Semasa mesyuarat pada September 2023, Jawatankuasa Menteri-Menteri [CoM] meluahkan “rasa bimbang kerana pernyataan jelas [ECHR] berkenaan Artikel 46 Konvensyen dan keputusan yang harus dikuatkuasakan berdasarkan Taganrog LRO and Others telah diabaikan sepenuhnya oleh Rusia, terutamanya mengenai . . . pembebasan Saksi-Saksi Yehuwa yang dipenjarakan.” Memandangkan Rusia enggan bekerjasama, pihak CoM “memutuskan untuk membawa kes-kes ini kepada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari bagi Majlis Hak Asasi Manusia PBB, dan perbadanan antarabangsa lain yang terlibat dalam mengendalikan penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Persekutuan Rusia. Tujuan tindakan ini adalah supaya Rusia melaksanakan keputusan yang telah dibuat.”
Contoh Hukuman Kejam yang Dijatuhkan Baru-Baru Ini
Pada 27 Mac 2025, Mahkamah Bandar Konakovo di Wilayah Tver mensabitkan empat orang saudara, iaitu Oleg Katamov, Aleksey Kuznetsov, Aleksandr Shchetinin, dan Aleksandr Starikov. Mereka didakwa atas tuduhan membincangkan Bible dengan orang lain dan mengendalikan perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa yang diadakan secara aman. Mereka dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan ditahan selepas perbicaraan mahkamah.
Pada 3 April 2025, Mahkamah Daerah Sovetskiy di Chelyabinsk mensabitkan Maksim Khamatshin. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun. Maksim didakwa atas tuduhan mengendalikan perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia ditahan selepas perbicaraan mahkamah.
Pada 30 Mei 2025, Mahkamah Daerah Leninskiy di Tambov mensabitkan Oleg Sirotkin yang berumur 60 tahun. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun. Oleg dan isterinya Nataliya ada dua anak perempuan. Pada September 2021, pihak berkuasa telah menggeledah rumah mereka di Tambov. Oleg dituduh mengatur dan menyertai perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa, sebuah organisasi yang dianggap ekstremis oleh pihak berkuasa. Dia ditahan selepas perbicaraan mahkamah.
Usaha Berterusan untuk Hentikan Pemenjaraan yang Tidak Adil
Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia sangat sedih kerana rakan seiman mereka dilayan dengan teruk di Rusia. Jutaan Saksi di seluas dunia telah mengirim surat kepada pegawai kerajaan Rusia untuk membuat rayuan bagi pihak rakan seiman mereka yang dipenjarakan. Peguam bela untuk Saksi-Saksi Yehuwa yang dipenjarakan telah memfailkan aduan kepada setiap peringkat mahkamah di Rusia dan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah. Saksi-Saksi Yehuwa juga membuat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB. Aduan rasmi juga dibuat kepada organisasi antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi manusia. Saksi-Saksi Yehuwa akan terus berusaha membantu rakan seiman mereka di Rusia dan meningkatkan kesedaran orang terhadap penganiayaan tersebut. Mereka berharap agar ketidakadilan ini akan dihentikan.
Garis Masa
17 Jun 2025
Sebanyak 160 orang Saksi dipenjarakan.
6 Mac 2025
Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) membuat keputusan bagi kes Loginov and Others lwn. Russia. ECHR menyimpulkan bahawa Rusia telah mencabuli hak sembilan orang Saksi lelaki yang telah ditahan tanpa dasar undang-undang (tujuh daripada mereka didera) selepas rumah mereka digeladah di Surgut pada 15 Februari 2019.
24 Oktober 2023
Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB (CCPR) mengeluarkan dua Pernyataan yang melibatkan Organisasi Keagamaan Tempatan Elista dan Abinsk. Dalam kedua-dua kes ini, CCPR menyimpulkan bahawa Rusia telah mencabuli hak Saksi-Saksi Yehuwa yang tertakluk di bawah Artikel 18.1 (“hak asasi untuk mempunyai hak kebebasan berfikir, kebebasan untuk mengikut hati nurani, dan kebebasan beragama”) dan Artikel 22.1 (“hak asasi untuk mempunyai hak kebebasan berpersatuan”) dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik. Keputusan CCPR ini menunjukkan bahawa bahan bacaan agama Saksi-Saksi Yehuwa tidak mengandungi apa-apa yang mencetuskan kebencian atau keganasan.
7 Jun 2022
ECHR membuat keputusan penting dalam kes Taganrog LRO and Others lwn. Russia berkenaan penganiayaan Rusia terhadap Saksi-Saksi Yehuwa dan mengutuk perbuatan Rusia.
12 Januari 2022
Kementerian Kehakiman Persekutuan Rusia telah menambahkan aplikasi JW Library dalam senarai bahan ekstremis. Inilah aplikasi pertama dan satu-satunya aplikasi yang diharamkan dan dianggap sebagai bahan ekstremis di Rusia.
27 September 2021
Mahkamah Bandar Saint Petersburg menolak rayuan untuk ubah keputusan mahkamah yang dibuat pada 31 Mac 2021. Keputusan itu menyatakan bahawa aplikasi JW Library bersifat ekstremis dan mengharamkan penggunaannya di seluruh Persekutuan Rusia dan Crimea. Keputusan asal mahkamah berkuat kuasa serta-merta.
26 April 2019
Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB mendapati bahawa hak Dmitriy Mikhailov telah dicabuli serta mengecam tindakan Rusia yang menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa.
20 April 2017
Mahkamah Agung Persekutuan Rusia memutuskan untuk membubarkan pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa dan 395 Organisasi Keagamaan Tempatan di Rusia.