Bible dalam Bahasa Harian
“JIKA anda percaya bahawa Bible merupakan firman Tuhan kepada manusia, maksudnya Tuhan sedang berkomunikasi dengan kita. . . . Jika agama anda mempengaruhi hidup anda, maka bahasa yang digunakan dalam [Bible] haruslah bahasa harian.” Inilah yang ditulis oleh cendekiawan Alan S. Duthie, dalam bukunya yang bertajuk Bible Translations and How to Choose Between Them.
Orang yang mengasihi Firman Tuhan yakin bahawa “segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan dan berguna untuk mengajar, untuk menegur, untuk membetulkan segala sesuatu, dan untuk mendisiplinkan orang menurut prinsip Tuhan yang benar.” (2 Timotius 3:16) Bible bukan hanya sebuah buku kuno. Bible ‘hidup dan berkuasa’ serta dapat membantu menyelesaikan masalah harian kita. (Ibrani 4:12) Agar orang dapat memahami dan mengikut nasihat daripada buku suci itu, Bible haruslah ditulis dalam bahasa harian. Perjanjian Baru tidak ditulis dalam bahasa Yunani klasik yang digunakan oleh ahli falsafah seperti Plato, tetapi dalam bahasa Yunani harian yang dipanggil Koine. Ya, Bible ditulis supaya dapat dibaca dan difahami oleh semua orang.
Baru-baru ini, Bible telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Hasilnya, ramai orang berpeluang membaca Bible. Namun, kebanyakan terjemahan ini gagal menyampaikan ajaran Bible dengan tepat dan jelas, contohnya seperti keadaan orang mati dan nama Tuhan.
Oleh itu, ramai orang bersukacita apabila Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baru telah diterbitkan dalam bahasa Melayu. Saksi-Saksi Yehuwa telah mengumumkan pengeluaran Kitab ini pada 5 September 2014. Terjemahan ini tepat kerana para penterjemah tidak membiarkan ajaran-ajaran agama untuk mempengaruhi hasil kerja mereka. Sekarang, orang yang bertutur dalam bahasa Melayu dapat menimba pengetahuan Bible yang mendalam. Namun, anda mungkin terfikir, siapakah yang bertanggungjawab atas terjemahan yang menakjubkan ini?
Para Penterjemah yang Memuliakan Tuhan
Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baru mungkin baru bagi orang yang bertutur dalam bahasa Melayu. Sebenarnya, Kitab ini sudah pun diterbitkan dalam bahasa Inggeris sejak tahun 1950. Kitab ini diterbitkan oleh Watch Tower Bible and Tract Society, sebuah Pertubuhan Bible antarabangsa yang sudah lama menerbitkan Bible. The Watchtower terbitan 15 September 1950 menyatakan bahawa ahli jawatankuasa penterjemahan Bible tidak ingin nama mereka dikenali walaupun selepas mereka meninggal. Tujuan terjemahan ini adalah untuk memuliakan nama Tuhan yang benar.
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baru yang lengkap dalam bahasa Inggeris telah diterbitkan pada tahun 1961. Walaupun nama-nama penterjemah tidak dikenali, kita yakin bahawa usaha mereka adalah tulus. Bahagian pendahuluan edisi 2013 menyatakan: “Kami sedar akan kepentingan mesej Bible. Semasa mengemaskinikan teks Bible, kami melakukannya dengan perasaan penuh hormat. Kami mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menyampaikan mesej Bible dengan tepat. . . . Matlamat kami bukan hanya untuk menghasilkan terjemahan yang tepat dan selaras dengan teks asal, tetapi juga untuk menghasilkan terjemahan yang jelas dan mudah difahami.”
Adakah ahli jawatankuasa penterjemahan Bible layak melakukan tugas ini? Sesetengah cendekiawan berkata bahawa jika nama dan kelayakan para penterjemah tidak dinyatakan, hasil kerja mereka tidak berkualiti tinggi. Namun, bukan semua cendekiawan berpendapat sedemikian. Alan S. Duthie menyatakan: “Jika kita mengetahui siapa penterjemah atau penerbit sebuah Bible, dapatkah kita menentukan sama ada terjemahan itu baik atau tidak? Tidak semestinya. Terjemahan itu harus dikaji dahulu.”a
Seluruh atau sebahagian daripada Bible Terjemahan Dunia Baru telah diterbitkan dalam lebih daripada 120 bahasa. Setakat ini, lebih daripada 208,366,000 Bible telah diterbitkan. Apakah reaksi pembaca?
Terjemahan yang Menyucikan Nama Tuhan
Yesus mengajar para pengikutnya untuk berdoa: “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.” (Matius 6:9) Namun dalam kebanyakan terjemahan Bible nama Tuhan tidak digunakan, tetapi digantikan dengan gelaran seperti “Tuhan” atau “Tuan.” Hal ini bukan demikian dalam teks asal. Dalam Kitab Ibrani, nama Tuhan iaitu Yehuwa atau Yahweh, digunakan hampir 7,000 kali. (Kejadian 2:4, nota kaki; Keluaran 3:14, nota kaki) Pada kemudian hari, orang Yahudi mula menerima kepercayaan karut dan tidak lagi menggunakan nama Tuhan. Selepas kematian para rasul, sidang-sidang Kristian pun dipengaruhi oleh kepercayaan karut ini. (Kisah 20:29, 30; 1 Timotius 4:1) Para penyalin Kitab Yunani mula menggantikan nama Tuhan Yehuwa dengan perkataan Yunani Kyʹri·os dan The·osʹ, yang bermaksud “Tuan” dan “Tuhan.”
Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baru telah mengambil langkah yang besar untuk mengembalikan nama Yehuwa ke dalam Kitab Yunani Kristian (“Perjanjian Baru”). Dalam Kitab itu, nama Yehuwa muncul sebanyak 237 kali. Para penterjemah tidak melakukan hal ini dengan sesuka hati. Tetapi mereka membuat penyelidikan yang teliti terlebih dahulu sebelum mengembalikan nama Tuhan. Contohnya, Lukas 4:18 memetik kata-kata daripada Yesaya 61:1. Dalam teks Ibrani yang asal, nama Yehuwa muncul dalam ayat Yesaya itu.b Maka dalam Terjemahan Dunia Baru, ayat Lukas 4:18 diterjemahkan sebagai: “Daya aktif Yehuwa ada padaku kerana Dialah yang mengurapi aku untuk mengisytiharkan berita baik kepada orang miskin.”
Terjemahan sebegini membantu kita untuk membezakan Tuhan Yehuwa daripada Anak-Nya, Yesus Kristus. Contohnya, dalam kebanyakan Bible, Matius 22:44 diterjemahkan sebagai: “Tuhan telah berfirman kepada Tuhanku.” (Alkitab Berita Baik) Tetapi siapakah yang sedang bercakap kepada siapa? Sebenarnya ayat ini dipetik daripada Mazmur 110:1. Dalam teks asal, ayat Ibrani ini mengandungi nama Tuhan. Maka Matius 22:44 dalam Terjemahan Dunia Baru berbunyi: “Yehuwa berfirman kepada Tuanku.” Dalam Kitab Suci, perbezaan antara Yehuwa dan Yesus adalah sangat jelas. (Markus 13:32; Yohanes 8:17, 18; 14:28) Hal ini sangat penting bagi penyelamatan kita kerana Kisah 2:21 menyatakan: “Semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.”
Tepat dan Jelas
Terjemahan Dunia Baru juga mempunyai ciri-ciri yang menarik. Teks Yunani yang dihasilkan oleh Westcott dan Hort menjadi rujukan utama terjemahan ini. Papirus dan teks utama lain seperti yang dihasilkan oleh Nestle dan Aland serta United Bible Societies juga digunakan sebagai rujukan. Ayat daripada Kitab Yunani ini diterjemahkan dengan penuh teliti, tepat, dan selaras dengan teks asal. Pada masa yang sama, kami berusaha untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa harian yang mudah difahami. Dengan demikian, tulisan asal Bible disampaikan dengan jelas dan kita dapat memahami Bible dengan lebih baik.
Terjemahan Dunia Baru juga menyampaikan maksud kata kerja Yunani dengan tepat. Dalam kebanyakan bahasa moden, kata kerja digunakan untuk menunjukkan sama ada sesuatu perkara itu sudah berlaku, sedang berlaku, atau akan berlaku. Dalam bahasa Yunani, kata kerja juga menunjukkan bagaimana perkara itu berlaku, sama ada dilakukan untuk sementara, sudah selesai dilakukan, atau berlaku secara berterusan. Fikirkan contoh kata-kata Yesus di Matius 7:7. Kata kerja Yunani untuk “meminta,” “mencari,” dan “mengetuk” membawa maksud bahawa perkara itu dilakukan secara berterusan. Oleh itu, kata-kata Yesus diterjemahkan seperti ini: “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya; teruslah mengetuk, dan pintu akan dibuka bagimu.”—Roma 1:32; 6:2; Galatia 5:15.
Mari kita lihat bagaimana Terjemahan Dunia Baru menyampaikan maksud teks asal dengan tepat. Contohnya, perkataan Yunani stauros diterjemahkan dalam kebanyakan Bible sebagai “salib.” Perkataan “salib” membawa maksud bahawa Yesus mati pada dua tiang yang bersilang. Adakah terjemahan itu tepat? Tidak. Menurut Vine’s Expository Dictionary of New Testament Words, perkataan Yunani “stauros (σταυρός) merujuk kepada kayu atau tiang yang tegak.” Oleh itu, Terjemahan Dunia Baru menyatakan bahawa Yesus dipaku pada sebatang tiang.c—Matius 27:35; Markus 15:24; Yohanes 19:18.
Menyediakan Firman Tuhan untuk Semua Orang
Penerbitan Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Melayu hanyalah permulaan. Rancangan telah dibuat untuk menerbitkan Bible yang lengkap. Bolehkah kita yakin bahawa terjemahan ini tepat dan jelas seperti terjemahan bahasa Inggeris?
Ya, sudah tentu. Hal ini adalah kerana Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa menyelia kerja penterjemahan ini. Kerja penterjemahan Bible dilakukan secara berkumpulan. Jadi, kumpulan penterjemahan Bible telah ditubuhkan di beberapa negara. Bahagian Khidmat Penterjemahan juga ditubuhkan di ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan daripada para penterjemah. Mereka memastikan agar Bible Terjemahan Dunia Baru dalam pelbagai bahasa membawa maksud yang sama. Selain itu, sistem komputer, Watchtower Translation System dihasilkan untuk membantu para penterjemah. Walaupun terdapat sistem komputer, para penterjemah masih perlu mencurahkan banyak usaha dalam kerja mereka. Sistem komputer ini memudahkan kerja penterjemahan dan memastikan Bible yang dihasilkan bermutu tinggi. Jadi Bible Terjemahan Dunia Baru adalah sama tepat dan jelas seperti terjemahan bahasa Inggeris. Salah satu fungsi sistem komputer ini adalah untuk menunjukkan setiap perkataan Ibrani dan Yunani yang menjadi dasar bagi terjemahan Bible edisi bahasa Inggeris. Dengan merujuk kepada senarai itu, para penterjemah dapat membuat keputusan yang baik semasa menterjemahkan perkataan itu ke dalam bahasa mereka.
Semua usaha ini telah menyumbang kepada hasil yang baik. Kami menggalakkan anda untuk mengkaji Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baru. Anda boleh mendapatkannya daripada penerbit majalah ini. Kitab ini mengandungi ciri-ciri yang istimewa seperti huruf yang jelas dan mudah dibaca. Rangka kandungan bagi setiap buku Bible pula dapat membantu anda mencari ayat dengan mudah. Selain itu, peta-peta dan lampiran boleh didapati dalam buku kecil Panduan Pembelajaran Firman Tuhan. Yang penting sekali, anda boleh yakin bahawa Bible ini menyampaikan firman Tuhan dengan tepat dalam bahasa harian!
a Kulit bagi Edisi Rujukan (1971) New American Standard Bible berkata, “Kami tidak menggunakan nama para cendekiawan sebagai rujukan atau menggunakan perakuan daripada mereka kerana kami percaya bahawa terjemahan itu sendiri akan membuktikan sama ada kualitinya baik atau tidak.”
b Apabila ayat dalam Perjanjian Baru dipetik daripada Kitab Ibrani, sumber yang biasa digunakan ialah Septuagint Yunani. Memandangkan salinan Septuagint yang terkini tidak mengandungi nama Tuhan, ramai cendekiawan berkata bahawa nama Tuhan tidak harus digunakan dalam Kitab Yunani Kristian. Namun salinan Septuagint yang asal mengandungi nama Yehuwa yang ditulis dalam huruf Ibrani. Hal ini menunjukkan bahawa nama Yehuwa harus digunakan dalam Kitab Yunani.
c Untuk maklumat lanjut, sila lihat lampiran pada muka surat 235-236 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?