Lembah Ela
Daud Lawan Goliat—Sekadar Cerita Dongeng?
Sesetengah orang tertanya-tanya jika catatan mengenai Daud dan Goliat benar-benar berlaku atau sekadar cerita dongeng. Semasa membaca rencana sebelumnya, adakah keraguan sedemikian terlintas di fikiran anda? Jika ya, sila pertimbangkan tiga soalan berikut.
1 | Bolehkah ketinggian seseorang mencapai kira-kira 2.9 m?
Bible menyatakan bahawa ketinggian Goliat ialah “kira-kira tiga meter.” (1 Samuel 17:4) Ada yang mempertikaikan ketinggian Goliat. Namun, fikirkan hal ini: Menurut rekod zaman moden, orang yang tertinggi mempunyai ketinggian 2.7 m. Maka, tidaklah mustahil bahawa Goliat hanyalah sekitar 20 cm lebih tinggi daripada orang tersebut. Goliat adalah daripada suku Refaim yang dikenali dengan saiz yang luar biasa. Sebuah catatan Mesir pada abad ke-13 SM menyebut bahawa beberapa orang pahlawan yang menggerunkan di daerah Kanaan mempunyai ketinggian 2.4 m. Meskipun ketinggian Goliat luar biasa, saiz itu tidak mustahil.
2 | Adakah Daud benar-benar wujud?
Para cendekiawan pernah mengatakan bahawa Raja Daud hanyalah watak rekaan. Namun hal itu sukar dibuktikan. Para arkeologi menjumpai bahan tulisan kuno yang menyebut “rumah milik Daud.” Selain itu, Yesus pernah menyebut tentang Daud. (Matius 12:3; 22:43-45) Identiti Yesus sebagai Mesias disokong dengan dua garis keturunan terperinci yang menunjukkan bahawa dia daripada keturunan Raja Daud. (Matius 1:6-16; Lukas 3:23-31) Jelaslah, Daud memang benar-benar wujud.
3 | Adakah tempat yang dinyatakan dalam catatan itu benar-benar wujud?
Bible menyatakan bahawa pertempuran itu berlaku di Lembah Ela. Sebenarnya Bible menyatakan dengan terperinci bahawa khemah Filistin terletak di lereng bukit antara dua pekan, iaitu Sokho dan Azeka. Khemah bangsa Israel pula terletak di lereng bukit seberang lembah. Adakah tempat ini benar-benar wujud?
Perhatikan apa yang dikatakan oleh seorang pelancong yang mengunjungi kawasan itu, “Pemandu pelancong kami tidak kuat agama tetapi dia membawa kami ke Lembah Ela. Kami menaiki sebuah bukit lalu melihat lembah itu. Dia meminta kami membaca 1 Samuel 17:1-3. Kemudian, dia menunjuk ke arah lembah dan berkata, ‘Di sana, sebelah kiri kamu, ialah reruntuhan Sokho.’ Selepas itu, dia berkata, ‘Di sebelah kanan kamu pula ialah reruntuhan Azeka. Orang Filistin berkhemah di antara dua pekan ini. Tapak khemah mereka terletak di sekitar lereng bukit yang menghadap kamu. Jadi kita mungkin sedang berdiri di tapak khemah orang Israel.’ Saya dapat membayangkan Saul dan Daud berdiri di mana saya berada sekarang. Kemudian, kami turun ke lembah dan menyeberangi sungai yang hampir kering, yang penuh dengan batu. Saya membayangkan Daud mengutip lima biji batu yang bulat, salah satu batu itu telah membunuh Goliat.” Seperti banyak orang, pelancong itu sangat kagum dengan ketepatan Bible.
Kita tidak mempunyai sebab untuk meragui kesahihan kisah ini. Semua orang dan tempat yang disebut dalam kisah ini benar-benar wujud. Yang terpenting, kisah ini merupakan sebahagian daripada Firman Tuhan yang diilhami oleh Tuhan yang benar dan “tidak dapat berdusta.”—Titus 1:2; 2 Timotius 3:16.