Kaum Muda—“Teruslah Berusaha supaya Kamu Diselamatkan”
“Kamu sentiasa patuh . . . Maka, teruslah berusaha supaya kamu diselamatkan . . . Lakukanlah hal itu dengan rasa takut dan hormat.”—FLP. 2:12.
1. Mengapakah pembaptisan merupakan langkah yang sangat penting? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
SETIAP tahun, ribuan orang pelajar Bible dibaptis. Ramai antara mereka berumur belasan tahun atau lebih muda lagi, dan mungkin dibesarkan dalam kebenaran. Adakah anda termasuk dalam golongan itu? Jika ya, anda harus dipuji. Pembaptisan merupakan syarat untuk menjadi orang Kristian dan langkah yang penting untuk diselamatkan.—Mat. 28:19, 20; 1 Ptr. 3:21.
2. Mengapakah kita tidak harus berasa takut untuk membaktikan diri kepada Tuhan?
2 Pembaptisan memberi anda peluang untuk menerima banyak berkat, tetapi juga membawa tanggungjawab yang serius. Mengapa? Pada hari pembaptisan, anda menjawab “ya” semasa ditanya, “Atas dasar korban Yesus Kristus, sudahkah anda bertaubat daripada dosa-dosa anda dan membaktikan diri kepada Yehuwa untuk melakukan kehendak-Nya?” Ya, pembaptisan menunjukkan bahawa anda sudah membaktikan diri kepada Yehuwa dan berjanji untuk mengasihi-Nya dan mengutamakan kehendak-Nya. Patutkah anda menyesal kerana membuat janji yang begitu penting? Tidak. Anda tidak tersilap semasa memutuskan untuk menyerahkan diri anda kepada Yehuwa. Jika anda tidak memilih untuk mentaati Yehuwa, anda sedang memilih pemerintahan Syaitan. Dia hanya ingin anda menyokongnya untuk menentang kedaulatan Yehuwa, dan dia tidak peduli bahawa perbuatan itu akan menyebabkan anda kehilangan hidup kekal.
3. Apakah berkat yang anda miliki kerana membaktikan diri kepada Yehuwa?
3 Apakah berkat yang anda nikmati kerana membaktikan diri dan dibaptis? Oleh sebab anda telah menyerahkan kehidupan anda kepada Yehuwa, anda dapat berkata dengan yakin sekali, ‘Aku tidak takut kerana Yehuwa menyertai aku; apakah yang dapat dilakukan manusia terhadap aku?’ (Mzm. 118:6) Fikirkan, anda dapat berpihak kepada Tuhan dan mendapat perkenan-Nya. Bukankah itu penghormatan yang terbesar dalam hidup anda?
TANGGUNGJAWAB PERIBADI
4, 5. (a) Mengapakah pembaktian merupakan tanggungjawab peribadi? (b) Apakah cabaran yang dihadapi oleh semua orang Kristian?
4 Sebagai orang Kristian terbaptis, hubungan anda dengan Yehuwa bukanlah seperti pelan telefon bimbit yang dapat dikongsi bersama keluarga. Biarpun anda masih tinggal bersama ibu bapa, anda bertanggungjawab atas penyelamatan sendiri. Mengapakah anda perlu ingat akan hal itu? Kerana anda tidak dapat jangka semua cabaran yang akan muncul. Contohnya, jika anda dibaptis sebelum menjadi remaja, anda akan mengalami perasaan dan tekanan baharu sepanjang zaman remaja anda. Seorang gadis berkata, “Seorang anak tidak akan menyesal menjadi Saksi Yehuwa hanya kerana tidak dapat makan kek hari jadi di sekolah. Tetapi apabila nafsu seksnya menjadi lebih kuat beberapa tahun kemudian, dia perlu yakin sepenuhnya bahawa sentiasa mematuhi hukum Yehuwa ialah pilihan yang terbaik.”
5 Sudah tentu, orang dewasa yang dibaptis juga akan menghadapi cubaan yang tidak terduga, seperti isu yang berkaitan dengan perkahwinan, kesihatan, atau pekerjaan. Sesungguhnya, semua orang Kristian dari pelbagai lapisan umur akan menghadapi situasi yang menguji kesetiaan mereka kepada Yehuwa.—Yak. 1:12-14.
6. (a) Apakah maksud membaktikan diri kepada Yehuwa tanpa syarat? (b) Apakah yang anda pelajari daripada Filipi 4:11-13?
6 Untuk membantu anda tetap setia dalam apa jua situasi, ingatlah bahawa anda telah membaktikan diri kepada Yehuwa tanpa syarat. Maksudnya, anda berjanji kepada Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat untuk terus menyembah-Nya walaupun ibu bapa atau kawan anda berhenti berbuat demikian. (Mzm. 27:10) Tidak kira apa yang berlaku, anda dapat menunaikan janji pembaktian anda dengan bergantung pada kuasa Yehuwa.—Baca Filipi 4:11-13.
7. Apakah maksud berusaha mendapatkan penyelamatan “dengan rasa takut dan hormat”?
7 Yehuwa ingin kita menjadi sahabat-Nya, tetapi kita perlu berusaha memelihara persahabatan itu dan mendapat penyelamatan. Filipi 2:12 menyatakan bahawa kita perlu berbuat demikian “dengan rasa takut dan hormat.” Maksudnya, kita tidak patut menganggap bahawa hubungan kita dengan Yehuwa dan kesetiaan kita kepada-Nya akan tetap kukuh walau apa pun yang terjadi. Kita tidak boleh terlalu yakin pada diri sendiri, kerana sesetengah orang yang sudah lama menyembah Tuhan pun pernah meninggalkan-Nya. Maka, apakah yang dapat anda lakukan agar diselamatkan?
PENTINGNYA PEMBELAJARAN BIBLE
8. Apakah yang terangkum dalam pembelajaran peribadi, dan mengapakah hal itu penting?
8 Persahabatan dengan Yehuwa melibatkan komunikasi dua hala—mendengar dan bercakap. Cara utama kita mendengar cakap Yehuwa adalah melalui pembelajaran peribadi. Untuk berbuat demikian, kita perlu membaca dan merenungkan Bible dan bahan bacaan Bible. Namun, ingatlah bahawa mengkaji Bible tidak sama dengan membuat ulang kaji untuk menduduki peperiksaan. Tujuan anda mengkaji Bible bukanlah untuk menghafal fakta, tetapi untuk menerokai dan mengenali aspek-aspek baharu keperibadian Yehuwa. Dengan itu, anda akan menghampiri Tuhan, dan Dia pun akan menghampiri anda.—Yak. 4:8.
Seberapa baikkah komunikasi anda dengan Yehuwa? (Lihat perenggan 8-11)
9. Apakah alat bantuan yang anda gunakan dalam pembelajaran peribadi?
9 Organisasi Yehuwa telah menyediakan banyak bantuan pembelajaran untuk anda. Contohnya, bahagian “Remaja” di jw.org mempunyai aktiviti “Mari Mengkaji Bible” untuk membantu anda mendapat pengajaran praktikal daripada kisah Bible. Selain itu, terdapat panduan pembelajaran “Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?” yang dapat membantu anda lebih yakin terhadap kepercayaan sendiri dan mengetahui cara menjelaskannya kepada orang lain. Anda juga dapat menggunakan cadangan daripada majalah umum No. 1 tahun 2017 yang bertajuk “Apakah Manfaat Membaca Bible?” Ingatlah, pembelajaran dan perenungan amat penting untuk diselamatkan.—Baca Mazmur 119:105.
PENTINGNYA BERDOA
10. Mengapakah doa penting bagi orang Kristian terbaptis?
10 Pembelajaran peribadi merupakan cara utama untuk mendengar cakap Yehuwa. Doa pula ialah cara kita bercakap kepada-Nya. Orang Kristian tidak memandang doa sebagai upacara atau “azimat” yang membawa kejayaan. Doa ialah cara untuk berkomunikasi dengan Pencipta kita. Yehuwa ingin mendengar luahan anda. (Baca Filipi 4:6.) Semasa anda dilanda apa-apa kekhuatiran, ‘serahkanlah kekhuatiranmu kepada Yehuwa.’ (Mzm. 55:23) Jutaan saudara saudari telah dibantu kerana mengikut nasihat itu. Anda juga dapat meraih manfaatnya!
11. Mengapakah anda patut selalu bersyukur kepada Yehuwa?
11 Doa bukan sahaja memberi anda peluang untuk meminta bantuan Yehuwa. Bible menyatakan, “Tunjukkanlah kesyukuran.” (Kol. 3:15) Ada kalanya, kita terlalu bertumpu kepada masalah sendiri sehingga lupa akan berkat-berkat yang kita miliki. Maka, setiap hari, cubalah fikirkan tiga berkat yang anda nikmati, dan berdoalah kepada Yehuwa untuk mengucapkan syukur. Abigail, seorang saudari muda yang dibaptis semasa berumur 12 tahun, berkata, “Saya rasa Yehuwa paling layak menerima kesyukuran kita. Kita patut berterima kasih kepada-Nya bila-bila masa sahaja atas segala kurniaan-Nya. Saya pernah dengar peringatan ini: Jika kita bangun esok pagi dan hanya memiliki perkara yang kita syukuri hari ini, apakah yang akan kita miliki?”a
PENGALAMAN PERIBADI YANG BERNILAI
12, 13. Apakah manfaat memikirkan caranya anda sendiri pernah merasakan kebaikan Yehuwa?
12 Setelah diselamatkan daripada pelbagai musibah, Raja Daud menulis, ‘Rasakanlah sendiri betapa baiknya Yehuwa! Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya!’ (Mzm. 34:9) Ayat itu menonjolkan nilai pengalaman peribadi. Semasa membaca Bible dan bahan bacaan kita dan semasa di perjumpaan, anda akan mendengar pengalaman orang lain tentang bagaimana Tuhan membantu mereka agar tetap setia. Namun, ketika anda semakin bertumbuh secara rohani, anda sendiri perlu merasakan bantuan Yehuwa. Sudahkah anda merasakan kebaikan Yehuwa?
13 Satu cara semua orang Kristian telah merasakan kebaikan Yehuwa adalah melalui jemputan untuk menghampiri-Nya dan Anak-Nya. Yesus berkata, “Tiada seorang pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa yang mengutus aku memimpinnya.” (Yoh. 6:44) Adakah anda berasa bahawa Yehuwa telah memimpin anda kepada-Nya? Seorang anak muda mungkin berfikir, “Yehuwa memimpin ibu bapa saya, dan saya cuma ikut mereka.” Tetapi apabila anda membaktikan diri dan dibaptis, anda mula menjalin hubungan yang istimewa dengan Tuhan. Bible menyatakan, “Orang yang mengasihi Tuhan dikenal oleh-Nya.” (1 Kor. 8:3) Maka, hargailah tempat anda dalam organisasi Yehuwa.
14, 15. Bagaimanakah kerja penyebaran dapat meneguhkan iman anda?
14 Satu lagi cara anda dapat merasakan kebaikan Yehuwa adalah dengan melihat bagaimana Dia membantu anda mengongsi kepercayaan anda, sama ada semasa menginjil atau di sekolah. Barangkali anda faham mengapa memberikan kesaksian kepada rakan sekolah begitu mencabar. Anda tidak tahu bagaimana reaksi mereka, dan mungkin anda berasa gementar semasa bercakap kepada kumpulan yang besar. Jadi apakah yang dapat membantu anda?
15 Mula-mulanya, fikirkan sebabnya anda yakin akan kepercayaan sendiri. Kajilah panduan pembelajaran di jw.org. Anda akan dibantu untuk merenungkan kepercayaan anda, sebab anda mempercayainya, dan cara untuk menjelaskannya kepada orang lain. Dengan adanya persiapan yang baik dan keyakinan yang teguh, anda akan terdorong untuk memberikan kesaksian demi nama Yehuwa.—Yer. 20:8, 9.
16. Jika anda teragak-agak untuk bercakap tentang kepercayaan anda, apakah yang dapat anda lakukan?
16 Bagaimana pula jika anda masih keberatan untuk mengongsi kepercayaan anda walaupun anda sudah membuat persiapan? Seorang saudari telah dibaptis semasa berumur 13 tahun. Kini dia sudah berusia 18 tahun, tetapi dia mengaku, “Saya tahu kepercayaan saya, tetapi susah untuk mengungkapkannya dengan kata-kata.” Bagaimanakah dia mengatasi halangan itu? “Saya cuba menyebutnya secara spontan,” katanya. “Rakan kelas saya selesa bercakap tentang kegiatan mereka, saya pun harus begitu. Jadi saya akan kata sesuatu seperti, ‘Hari itu saya ajar orang Bible, dan . . . ’ Kemudian, saya sambung cerita saya. Walaupun Bible bukan isi utama cerita saya, orang lain biasanya ingin tahu apa yang saya buat semasa mengajarkan Bible. Ada juga yang tanya soalan tentangnya. Semakin kerap saya guna cara itu, semakin mudah untuk menjelaskan kepercayaan saya. Selepas itu, saya betul-betul gembira!”
17. Bagaimanakah pandangan anda terhadap kepercayaan sendiri dapat membantu anda semasa bercakap kepada orang lain?
17 Apabila anda menghormati orang lain dan prihatin terhadap mereka, kemungkinan besar mereka pun akan bersikap baik terhadap anda. Olivia, seorang saudari berumur 17 tahun yang dibaptis beberapa tahun sebelumnya, berkata, “Saya takut jika saya bercakap tentang Bible, orang akan anggap saya ini fanatik.” Namun dia mengubah fikirannya dan berusaha mengatasi rasa takutnya. Olivia berkata, “Banyak orang muda langsung tidak kenal Saksi-Saksi Yehuwa. Kami saja Saksi yang pernah dijumpai mereka. Jadi sikap kami akan mempengaruhi reaksi mereka. Jika kami takut, malu, dan susah menjelaskan kepercayaan kami, atau kelihatan sangat kekok semasa bercakap tentang kepercayaan sendiri, mereka akan rasa kami tidak bangga menjadi Saksi. Mereka bahkan mungkin bersikap buruk kerana kami kurang yakin. Tetapi jika kami bercakap dengan selesa dan yakin tentang kepercayaan sendiri, dan menjadikannya seperti perbualan biasa, sering kali mereka akan menghormati kami.”
TERUSLAH BERUSAHA SUPAYA ANDA DISELAMATKAN
18. Apakah yang perlu anda lakukan untuk mendapat penyelamatan?
18 Seperti yang disebut tadi, anda sendiri perlu berusaha agar diselamatkan. Untuk berbuat demikian, anda perlu membaca dan merenungkan Firman Tuhan, berdoa kepada Yehuwa, dan memikirkan bagaimana Yehuwa telah memberkati anda secara peribadi. Apabila anda berusaha melakukannya, anda akan bertambah yakin bahawa persahabatan anda dengan Yehuwa merupakan penghormatan yang sangat besar. Keyakinan itu akan mendorong anda untuk memberitahu orang lain tentang kepercayaan anda.—Baca Mazmur 73:28.
19. Mengapakah usaha yang anda curahkan untuk diselamatkan berbaloi?
19 Yesus berkata, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya, dan terus mengikut aku.” (Mat. 16:24) Jelaslah, untuk menjadi orang Kristian, anda wajib membaktikan diri dan dibaptis. Namun, dengan berbuat demikian, anda berpeluang menikmati berkat yang melimpah sekarang dan kehidupan kekal di dunia baharu Tuhan pada masa depan. Bukankah itu sebab yang baik untuk terus berusaha agar diselamatkan?
a Untuk lebih banyak cadangan, lihat rencana “Kaum Muda Bertanya—Mengapakah Saya Harus Berdoa?” dan lembaran kerjanya di jw.org/ms.