RENCANA PEMBELAJARAN 16
LAGU 87 Dapatkanlah Kesegaran Rohani!
Mendekati Satu Sama Lain Baik untuk Kita!
“Lihatlah! Alangkah baiknya dan indahnya apabila semua saudara hidup bersatu padu!”—MZM. 133:1.
FOKUS
Cadangan untuk mengeratkan hubungan dengan satu sama lain dan berkat yang diraih apabila kita menjadi sahabat dengan rakan seiman.
1-2. Apakah yang penting bagi Yehuwa? Apakah yang Dia mahu kita lakukan?
BAGI Yehuwa, cara kita melayan orang lain sangat penting. Yesus kata kita harus mengasihi orang lain sepertimana kita mengasihi diri sendiri. (Mat. 22:37-39) Kita akan berbuat baik kepada semua orang, termasuk mereka yang tidak menyembah Yehuwa. Apabila kita berbuat demikian, kita sedang meniru teladan Yehuwa. “Dia membuat matahari terbit untuk orang jahat dan orang baik, dan membuat hujan turun untuk orang baik dan orang jahat.”—Mat. 5:45.
2 Walaupun Yehuwa mengasihi semua orang, Dia menunjukkan kasih yang mendalam khasnya kepada orang yang berbuat baik. (Yoh. 14:21) Yehuwa mahu kita mengikut teladan-Nya. Maka Dia menggalakkan kita untuk mengasihi saudara saudari kita “dengan mendalam” dan menyayangi mereka “sepertimana adik-beradik kandung mengasihi satu sama lain.” (1 Ptr. 4:8; Rm. 12:10) Gambaran ini mengingatkan kita tentang perasaan kita terhadap orang yang sangat rapat dengan kita.
3. Apakah yang harus kita ingat tentang kasih?
3 Tumbuhan di rumah perlu dijaga dengan baik agar dapat bertumbuh dengan sihat. Begitu juga, Yehuwa mahu kita terus memperdalam kasih kita terhadap orang lain. Rasul Paulus menasihati orang Kristian, “Sebagai saudara-saudara seiman, hendaklah kamu sentiasa saling mengasihi.” (Ibr. 13:1) Rencana ini akan membincangkan mengapa kita harus mengeratkan hubungan dengan rakan seiman dan bagaimana kita dapat terus berbuat demikian.
MENGAPA KITA HARUS MENGERATKAN HUBUNGAN DENGAN RAKAN SEIMAN
4. Menurut Mazmur 133:1, bagaimanakah kita dapat mengekalkan penghargaan terhadap perpaduan kita? (Lihat juga gambar.)
4 Baca Mazmur 133:1. Kita pasti setuju dengan kata-kata pemazmur ini. Namun, kita harus berhati-hati. Mengapa? Bayangkan seseorang yang melihat pemandangan yang sangat cantik setiap hari. Selepas suatu ketika, dia mungkin berasa bahawa pemandangan itu biasa sahaja. Begitu juga, walaupun perpaduan dalam kalangan saudara saudari kita sangat ‘baik dan indah,’ jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin mula berasa bahawa perpaduan ini hanyalah hal yang biasa. Apakah yang dapat membantu kita terus menghargai saudara saudari yang sering kita jumpa? Kita perlu meluangkan masa untuk memikirkan mengapa setiap saudara dan saudari begitu berharga bagi sidang dan bagi kita.
Teruslah menghargai perpaduan kita (Lihat perenggan 4)
5. Apakah hasilnya apabila orang lain melihat kita menunjukkan kasih kepada satu sama lain?
5 Sesetengah orang yang menghadiri perjumpaan buat kali pertama sangat tersentuh semasa melihat kasih kita kepada satu sama lain. Hal itu pun sudah cukup untuk meyakinkan mereka bahawa mereka telah menemui kebenaran. Yesus kata, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” (Yoh. 13:35) Perhatikan pengalaman Chaithra, seorang pelajar universiti yang belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia menerima jemputan untuk menghadiri konvensyen serantau. Selepas hari pertama, dia memberitahu guru Biblenya, “Saya tidak pernah dipeluk oleh ibu bapa saya. Tetapi semasa konvensyen, saya dipeluk 52 kali dalam satu hari! Saya merasai kasih Yehuwa melalui keluarga rohani ini. Saya mahu menjadi sebahagian daripada keluarga ini.” Chaithra terus membuat kemajuan rohani dan dibaptis pada tahun 2024. Ya, apabila orang baharu melihat perbuatan baik kita, termasuk kasih kita kepada satu sama lain, mereka sering kali tergerak untuk menyembah Yehuwa.—Mat. 5:16.
6. Bagaimanakah mendekati rakan seiman kita dapat melindungi kita?
6 Apabila kita mendekati rakan seiman kita, kita dilindungi secara rohani. Paulus menasihati rakan seimannya, “Teruslah menggalakkan satu sama lain setiap hari. . . . Dengan demikian, tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang menjadi keras hati disebabkan tipu daya dosa.” (Ibr. 3:13) Jika kita begitu tawar hati sehingga mula menyimpang daripada haluan yang benar, Yehuwa mungkin menggerakkan seorang rakan seiman yang menyedari situasi kita untuk membantu dan menggalakkan kita.—Mzm. 73:2, 17, 23.
7. Bagaimanakah kasih menyumbang kepada perpaduan? (Kolose 3:13, 14)
7 Dalam organisasi kita, semua orang berusaha menunjukkan kasih kepada satu sama lain. (1 Yoh. 4:11) Oleh itu, kita menikmati banyak berkat. Contohnya, kasih mendorong kita agar terus “bersabar terhadap satu sama lain,” dan hal itu menyumbang kepada perpaduan kita. (Baca Kolose 3:13, 14; Ef. 4:2-6) Itulah sebabnya semasa menghadiri perjumpaan, kita menikmati suasana yang mesra dan pengasih, yang tidak wujud dalam mana-mana kumpulan lain.
MENGHORMATI SATU SAMA LAIN
8. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita bersatu padu?
8 Perpaduan sedunia yang kita nikmati ialah mukjizat zaman moden. Biarpun kita semua tidak sempurna, Yehuwa membantu kita bersatu padu. (1 Kor. 12:25) Bible kata kita “diajar oleh Tuhan untuk saling mengasihi.” (1 Tes. 4:9) Dalam kata lain, Yehuwa menyatakan dalam Bible apa yang harus kita lakukan untuk mendekati satu sama lain. Kita “diajar oleh Tuhan” semasa kita meneliti ajaran Bible dan menerapkannya. (Ibr. 4:12; Yak. 1:25) Itulah yang cuba dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.
9. Apakah yang kita belajar daripada Roma 12:9-13 tentang menunjukkan hormat kepada satu sama lain?
9 Bagaimanakah Bible mengajar kita untuk mendekati satu sama lain? Perhatikan apa yang dikatakan oleh Paulus di Roma 12:9-13. (Baca.) Fikirkan ungkapan “saling mendahului untuk memberikan hormat.” Apakah maksudnya? Apabila kita menunjukkan hormat, kita sedang menunjukkan kasih. Kasih akan menggerakkan kita untuk mengampuni dengan rela, bersikap ramah, menunjukkan kemurahan hati, dan banyak lagi. (Ef. 4:32) Ungkapan “saling mendahului” pula menunjukkan bahawa kita tidak perlu tunggu saudara saudari mendekati kita. Sebaliknya, kitalah yang perlu mengambil langkah pertama untuk menghampiri mereka. Yesus berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”—Kis. 20:35.
10. Bagaimanakah kita dapat bersikap rajin semasa menunjukkan hormat? (Lihat juga gambar.)
10 Yang menariknya, selepas memberitahu kita untuk saling mendahului untuk memberikan hormat, Paulus menulis, “Janganlah malas, sebaliknya hendaklah kamu rajin.” Seseorang yang rajin akan melakukan tugas dengan bersemangat dan bersungguh-sungguh. Bagaimanakah kita dapat bersikap rajin semasa menunjukkan hormat? Amsal 3:27, 28 menggalakkan kita, “Buatlah kebaikan kepada orang yang memerlukan bantuan, dan janganlah menahan diri jika kamu berupaya membantunya.” Jadi, apabila kita nampak seseorang dalam kesusahan, kita akan mengambil inisiatif dan membuat apa yang kita mampu untuk membantunya. Kita tidak akan berlengah-lengah atau membuat andaian bahawa orang lain akan membantunya.—1 Yoh. 3:17, 18.
Kita patut mengambil inisiatif untuk membantu saudara saudari (Lihat perenggan 10)
11. Apakah yang dapat mengeratkan hubungan kita dengan orang lain?
11 Satu lagi cara untuk menunjukkan hormat adalah dengan cepat mengampuni orang yang menyakiti kita. Efesus 4:26 kata, “Janganlah membiarkan kemarahan kamu berlanjutan sampai matahari terbenam.” Mengapa? Ayat 27 kata jika kita enggan mengampuni orang, kita sedang ‘memberikan peluang kepada Iblis.’ Dalam Bible, Yehuwa mengingatkan kita berulang kali bahawa kita harus rela mengampuni. Kolose 3:13 kata, “Teruslah . . . saling mengampuni dengan rela hati.” Sikap rela mengampuni merupakan kunci untuk mengeratkan hubungan kita dengan orang lain. Apabila kita semua saling mengampuni dengan rela hati, “perpaduan yang dikurniakan oleh kuasa suci Tuhan [dapat] tetap terpelihara.” (Ef. 4:3) Jelaslah, sikap rela mengampuni menyumbang kepada kedamaian dan perpaduan dalam kalangan umat Tuhan.
12. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita memupuk sikap rela mengampuni?
12 Apabila seseorang menyakiti kita, kita mungkin susah untuk mengampuninya. Tetapi kuasa suci Yehuwa dapat membantu kita. Selepas menggesa kita untuk menunjukkan kasih dan bersikap rajin, Bible kata, “Biarlah kuasa suci Tuhan menyemarakkan semangat kamu.” (Rm. 12:11) Kuasa suci Yehuwa dapat membuat semangat kita berkobar-kobar untuk melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Jadi, jika kita berdoa memohon bantuan Tuhan, Dia akan memberi kita kuasa suci-Nya supaya kita dapat menunjukkan kasih dan memupuk sikap rela mengampuni.—Luk. 11:13.
TIADA PERPECAHAN PATUT BERLAKU DALAM KALANGAN KAMU
13. Apakah yang mungkin menyebabkan perpecahan dalam sidang?
13 Sidang Kristian terdiri daripada “segala macam orang” daripada pelbagai latar belakang. (1 Tim. 2:3, 4) Jadi jika kita tidak berhati-hati, perbezaan dalam hal peribadi seperti pilihan hiburan, pakaian, dandanan, atau cara menjaga kesihatan, mungkin menyebabkan perpecahan. (Rm. 14:4; 1 Kor. 1:10) Memandangkan Tuhan telah mengajar kita untuk saling mengasihi, kita mesti berwaspada supaya tidak berkeras dengan pendapat sendiri dan fikir bahawa pandangan kita adalah yang terbaik.—Flp. 2:3.
14. Kita harus berusaha untuk selalu melakukan apa, dan mengapa?
14 Kita juga dapat mengelakkan perpecahan dalam sidang dengan sentiasa berusaha untuk menggalakkan dan menguatkan orang lain. (1 Tes. 5:11) Baru-baru ini, ramai saudara saudari yang tidak aktif atau yang dikeluarkan daripada sidang telah kembali. Kita sangat mengalu-alukan mereka! (2 Kor. 2:8) Perhatikan apa yang berlaku kepada seorang saudari yang mula menghadiri perjumpaan selepas menjadi tidak aktif selama 10 tahun. Dia berkata, “Semua orang senyum dan berjabat tangan dengan saya.” (Kis. 3:19) Apa yang dilakukan saudara saudari tidak banyak, tetapi membawa kesan yang mendalam terhadapnya. Dia berkata, “Saya rasa Yehuwa menghulurkan tangan-Nya dan membantu saya bersukacita semula.” Dengan berusaha untuk menggalakkan dan menguatkan orang lain, kita dapat digunakan oleh Kristus untuk menyegarkan mereka “yang lelah kerana memikul beban yang berat.”—Mat. 11:28, 29.
15. Apakah satu lagi cara kita dapat mewujudkan perpaduan? (Lihat juga gambar.)
15 Satu lagi cara kita dapat mewujudkan perpaduan adalah melalui pertuturan kita. Ayub 12:11 menyatakan, “Bukankah telinga yang menguji kata-kata, sebagaimana lidah mengecap makanan?” Sebelum menghidangkan makanan, kita akan mencubanya dahulu untuk memastikan bahawa makanan yang dihidangkan cukup rasa. Begitu juga, sebelum mengucapkan sesuatu, kita mahu berfikir dengan teliti dahulu. (Mzm. 141:3) Matlamat kita adalah agar kata-kata kita membina, menyegarkan, dan bermanfaat.—Ef. 4:29.
Berfikirlah sebelum mengucapkan sesuatu (Lihat perenggan 15)
16. Siapakah yang khasnya harus berusaha untuk mengucapkan kata-kata yang menggalakkan?
16 Para suami dan ibu bapa khasnya harus berusaha untuk mengucapkan kata-kata yang menggalakkan. (Kol. 3:19, 21; Tit. 2:4) Para penatua juga harus berusaha menyegarkan dan melegakan kawanan Yehuwa menerusi tutur kata mereka. (Yes. 32:1, 2; Gal. 6:1) Bible mengingatkan kita, “Alangkah baiknya kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya!”—Ams. 15:23.
“HENDAKLAH KASIH KAMU TULUS DAN DIBUKTIKAN MELALUI PERBUATAN”
17. Bagaimanakah kita dapat memastikan agar kasih kita tulus?
17 Rasul Yohanes menggalakkan kita, “Pastikanlah bahawa kasih kamu bukan sekadar ucapan di bibir, sebaliknya hendaklah kasih kamu tulus dan dibuktikan melalui perbuatan.” (1 Yoh. 3:18) Bagaimanakah kita dapat memastikan agar kasih kita tulus? Apabila kita semakin kerap meluangkan masa dengan saudara saudari, kita akan semakin rapat dengan mereka dan semakin mengasihi mereka. Jadi, carilah peluang untuk meluangkan masa bersama orang lain, tidak kira di perjumpaan ataupun semasa menginjil. Selain itu, carilah masa untuk melawat satu sama lain. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita “diajar oleh Tuhan untuk saling mengasihi.” (1 Tes. 4:9) Kita juga akan terus merasai betapa benarnya kata-kata ini: “Alangkah baiknya dan indahnya apabila semua saudara hidup bersatu padu!”—Mzm. 133:1.
LAGU 90 Galakkan Satu Sama Lain