RENCANA PEMBELAJARAN 15
LAGU 30 Bapaku, Tuhanku, dan Kawanku
“Mendekati Tuhan” Baik untuk Kita!
“Aku berasa bahawa sungguh baik untuk mendekati Tuhan.”—MZM. 73:28.
FOKUS
Bagaimana kita dapat mendekati Yehuwa dan manfaatnya jika kita berbuat demikian.
1-2. (a) Apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi sahabat rapat seseorang? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
ADAKAH anda mempunyai sahabat rapat? Bagaimanakah persahabatan anda bermula? Anda mungkin meluangkan masa dengannya, mengetahui cabarannya, dan memahami apa yang dia suka dan tidak suka. Anda kagum dengan sifat-sifatnya yang baik dan mahu menirunya. Lama-kelamaan, anda semakin mengasihinya.
2 Memupuk persahabatan yang erat memerlukan masa dan tenaga. Begitu juga dengan persahabatan kita dengan Yehuwa. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat menjadi sahabat rapat Yehuwa dan manfaatnya jika kita berbuat demikian. Mula-mula, mari kita bincangkan mengapa penting untuk menghampiri Yehuwa.
3. Mengapakah kita harus merenungkan manfaat mendekati Yehuwa? Berikan contoh.
3 Anda pasti setuju bahawa adalah baik bagi kita untuk mendekati Yehuwa. Untuk mendorong kita terus mendekati-Nya, kita perlu merenungkan manfaatnya. (Mzm. 63:6-8) Sebagai contoh, kita memang tahu pentingnya makan makanan yang berkhasiat, bersenam, mendapatkan rehat yang cukup, dan minum air yang cukup. Namun banyak orang masih tidak melakukan hal-hal itu. Apakah yang dapat membantu mereka? Jika mereka sering memikirkan manfaat memiliki tubuh badan yang sihat, mereka mungkin lebih terdorong untuk mempunyai tabiat hidup yang sihat. Begitu juga, kita memang tahu bahawa menghampiri Yehuwa adalah baik untuk kita. Tetapi dengan merenungkan manfaat yang dapat kita raih, kita akan terdorong untuk terus mendekati Yehuwa.—Mzm. 119:27-30.
4. Apakah yang dinyatakan oleh penulis Mazmur 73:28?
4 Baca Mazmur 73:28. Penulis Mazmur 73 ialah orang Lewi yang berkhidmat sebagai ahli muzik di Rumah Yehuwa. Dia mungkin sudah setia kepada Yehuwa selama bertahun-tahun. Namun, dia mahu mengingatkan orang lain dan dirinya sendiri bahawa adalah “baik untuk mendekati Tuhan.” Apakah manfaat yang dapat diraih jika kita mendekati Tuhan?
“MENDEKATI TUHAN” MEMBAWA KEBAHAGIAAN
5. (a) Mengapakah mendekati Yehuwa membawa kebahagiaan? (b) Sebutkan secara spesifik cara kebijaksanaan daripada Yehuwa telah membantu dan melindungi anda. (Amsal 2:6-16)
5 Semakin kita mendekati Yehuwa, semakin bahagia kehidupan kita. (Mzm. 65:4) Mengapa? Apabila kita menerapkan nasihat Yehuwa dalam Bible, kita menjadi bijaksana dan dilindungi daripada pengaruh buruk dan pilihan yang memudaratkan. (Baca Amsal 2:6-16.) Itulah sebabnya Bible berkata, “Berbahagialah orang yang mendapat kebijaksanaan dan orang yang memperoleh daya penilaian.”—Ams. 3:13.
6. Mengapakah penulis mazmur kehilangan sukacita?
6 Kadangkala, sahabat Yehuwa juga akan berasa sedih. Penulis Mazmur 73 kehilangan sukacita apabila dia berfikiran negatif. Dia menjadi geram dan iri hati dengan orang yang kejam dan sombong. Mengapa? Dalam fikirannya, orang yang melanggar perintah Yehuwa nampaknya lebih kaya, lebih sihat, dan kebal terhadap penderitaan. (Mzm. 73:3-7, 12) Dia bahkan mula meragui sama ada usahanya untuk sembah Yehuwa berbaloi atau tidak. Dia mengeluh, “Sia-sia sahaja aku menjaga hatiku supaya tetap murni dan mencuci tanganku sebagai tanda bahawa aku tidak bersalah.”—Mzm. 73:13.
7. Jika kita berasa sedih, apakah yang dapat kita lakukan? (Lihat juga gambar.)
7 Penulis mazmur itu tidak membiarkan dirinya lemas dalam kesedihan. Sebaliknya dia “masuk ke dalam rumah suci Tuhan yang agung” supaya Yehuwa membetulkan fikirannya. (Mzm. 73:17-19) Begitu juga, Yehuwa, Sahabat terbaik kita, tahu bila kita rasa sedih. Jika kita berdoa memohon bimbingan dan menerima bantuan yang disediakan Yehuwa menerusi Bible dan sidang, kita dapat dikuatkan untuk terus menyembah-Nya biarpun kita bersedih. Bahkan semasa kita dilanda kekhuatiran, Yehuwa akan menenangkan dan melegakan kita.—Mzm. 94:19.a
Lelaki Lewi yang menulis Mazmur 73 berdiri di “rumah suci Tuhan yang agung” (Lihat perenggan 7)
“MENDEKATI TUHAN” MEMBERI KITA TUJUAN HIDUP DAN HARAPAN
8. Apakah manfaat lain yang dapat kita raih jika kita mendekati Tuhan?
8 Terdapat dua lagi manfaat yang dapat kita raih jika kita mendekati Tuhan. Pertama, kita menikmati hidup yang bermakna. Kedua, kita mempunyai harapan masa depan. (Yer. 29:11) Mari kita bincang kedua-dua manfaat ini.
9. Mengapakah kita dapat berkata bahawa orang yang mendekati Yehuwa mempunyai tujuan hidup?
9 Kita mempunyai tujuan hidup apabila kita mendekati Yehuwa. Ramai orang yang enggan mempercayai kewujudan Tuhan berfikir bahawa hidup kita tiada tujuan dan bahawa lama-kelamaan, manusia akan lenyap. Namun, setelah mengkaji Bible, kita yakin “bahawa [Tuhan] wujud dan bahawa Dia memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.” (Ibr. 11:6) Oleh itu, kita berasa puas kerana tahu bahawa apa sahaja yang kita lakukan demi Tuhan tidak sia-sia. Kita berasa lebih bahagia semasa menyembah Yehuwa, kerana untuk tujuan itulah kita diciptakan.—Ul. 10:12, 13.
10. Apakah yang dinyatakan di Mazmur 37:29 tentang harapan bagi penyembah Yehuwa?
10 Banyak orang hari ini tidak tahu tentang harapan masa depan yang dijanjikan Tuhan. Maka mereka hanya berfikir tentang bekerja, berkahwin, beranak cucu, dan menikmati masa tua mereka. Sebaliknya, kita berharap kepada Yehuwa, Sahabat kita, dengan sepenuhnya. (Mzm. 25:3-5; 1 Tim. 6:17) Kita percaya semua janji-Nya akan ditunaikan, termasuk janji-Nya bahawa kita dapat menyembah-Nya buat selama-lamanya di Firdaus.—Baca Mazmur 37:29.
11. Apakah manfaat lain yang kita raih semasa kita mendekati Tuhan? Apakah perasaan Tuhan semasa kita mendekati-Nya?
11 Terdapat banyak lagi manfaat yang kita raih semasa kita mendekati Tuhan. Misalnya, Yehuwa berjanji untuk mengampunkan dosa sahabat-Nya yang bertaubat. (Yes. 1:18) Oleh itu, kita tidak perlu dibebani perasaan bersalah atas dosa lampau. (Mzm. 32:1-5) Apabila kita mendekati Yehuwa, kita membuat-Nya gembira. (Ams. 23:15) Anda tentu dapat memikirkan manfaat lain yang kita nikmati kerana mendekati Tuhan. Sekarang, mari kita bincang cara untuk terus mendekati Tuhan.
CARA UNTUK TERUS “MENDEKATI TUHAN”
12. Apakah yang telah anda lakukan untuk mendekati Tuhan?
12 Jika anda seorang Kristian yang dibaptis, anda sudah pun melakukan banyak hal untuk mendekati Yehuwa. Anda telah mempelajari banyak kebenaran tentang Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus, bertaubat daripada dosa lampau, memupuk iman yang kuat kepada Tuhan, dan berusaha untuk bertindak selaras dengan kehendak-Nya. Namun, untuk menjadi lebih rapat dengan Tuhan, kita mesti terus melakukan hal-hal ini.—Kol. 2:6.
13. Apakah tiga perkara yang dapat membantu kita terus menghampiri Yehuwa?
13 Apakah yang dapat membantu kita terus menghampiri Yehuwa? (1) Kita mesti terus membaca dan mengkaji Bible. Matlamat kita bukan sekadar menimba pengetahuan asas tentang Tuhan. Sebaliknya, kita mahu memahami kehendak Tuhan bagi kita dan hidup selaras dengan prinsip Bible. (Ef. 5:15-17) (2) Kita mesti menguatkan iman kita dengan merenungkan cara Yehuwa telah menunjukkan kasih kepada kita secara peribadi. (3) Kita harus terus membenci hal-hal yang Yehuwa benci dan menjauhi orang yang berbuat jahat.—Mzm. 1:1; 101:3.
14. Menurut prinsip di 1 Korintus 10:31, bagaimanakah kita dapat menggembirakan Yehuwa dalam kehidupan seharian kita? (Lihat juga gambar.)
14 Baca 1 Korintus 10:31. Kita mesti berusaha melakukan hal-hal yang menyenangkan hati Yehuwa. Sekadar menghadiri perjumpaan dan keluar menginjil tidak cukup. Kita juga mahu menggembirakan Yehuwa dalam kehidupan seharian kita. Contohnya, kita akan sentiasa jujur dan sudi mengongsi apa yang kita miliki. (2 Kor. 8:21; 9:7) Selain itu, kita akan menunjukkan bahawa kita menghargai nyawa. Kita akan bersikap sederhana semasa makan dan minum, dan mengambil langkah-langkah yang praktikal untuk menjaga kesihatan. Ingatlah, apabila kita berusaha untuk menggembirakan hati Yehuwa, bahkan dalam hal yang kecil, Dia akan semakin mengasihi kita.—Luk. 16:10.
Kita menyenangkan hati Yehuwa dalam banyak cara, contohnya dengan berhati-hati semasa memandu, bersenam, menjaga pemakanan, dan bermurah hati terhadap orang lain (Lihat perenggan 14)
15. Bagaimanakah Yehuwa mahu kita melayan orang lain?
15 Yehuwa baik hati terhadap orang jahat dan orang baik. (Mat. 5:45) Dia mahu kita melayan orang lain dalam cara yang sama. Contohnya, kita “tidak memburuk-burukkan sesiapa pun dan menjauhi sikap suka bertengkar.” Kita juga bersikap “munasabah dan sentiasa lemah lembut kepada semua orang.” (Tit. 3:2) Jadi, kita tidak akan memandang rendah terhadap mereka yang tidak seiman. (2 Tim. 2:23-25) Apabila kita sentiasa baik hati dan bertimbang rasa terhadap semua orang, kita semakin menghampiri Yehuwa.
“MENDEKATI TUHAN” BAHKAN SEMASA TERSANDUNG
16. Apakah perasaan penulis Mazmur 73 selepas menyembah Yehuwa buat suatu jangka waktu?
16 Apakah yang dapat anda lakukan jika anda berasa anda tidak layak dikasihi Yehuwa? Seperti yang telah dibincangkan, hal yang serupa telah berlaku kepada penulis Mazmur 73. Dia berkata dengan sedih, “Kakiku hampir menyimpang daripada haluan yang benar; aku hampir jatuh tergelincir.” (Mzm. 73:2) Dia mengaku bahawa ‘hatinya pilu’ dan dia menjadi “seperti binatang yang tidak berakal.” (Mzm. 73:21, 22) Tetapi, adakah kelemahan dan ketidaksempurnaannya membuatnya berasa bahawa dia tidak layak dikasihi Yehuwa?
17. (a) Apakah yang dilakukan penulis mazmur semasa dia sangat tawar hati? (b) Apakah yang dapat kita belajar daripada pengalamannya? (Lihat juga gambar.)
17 Biarpun penulis mazmur itu berasa bahawa Yehuwa telah meninggalkannya, perasaan itu hanya sementara. Semasa dia sangat tawar hati, dia sedar bahawa dia perlu menghampiri Tuhan. Bagaimanakah kita tahu? Perhatikan apa yang ditulisnya: “Tetapi kini aku sentiasa di sisi-Mu; Engkau telah memegang tangan kananku. Engkau membimbingku dengan nasihat-Mu, dan kemudian Engkau memimpin aku menuju kemuliaan.” (Mzm. 73:23, 24) Semasa kita berasa lemah atau patah semangat, kita harus bersandar pada Yehuwa, Gunung Batu kita. (Mzm. 73:26; 94:18) Biarpun kita tersilap langkah, kita boleh kembali kepada Tuhan kita yang “suka mengampuni.” (Mzm. 86:5) Kita harus berusaha untuk mendekati Tuhan, lebih-lebih lagi semasa kita sangat tawar hati.—Mzm. 103:13, 14.
Semasa kita rasa lemah, kita harus lebih berusaha untuk menjalankan aktiviti rohani agar dapat mendekati Yehuwa (Lihat perenggan 17)
“MENDEKATI TUHAN” SELAMA-LAMANYA
18. Mengapakah kita dapat mendekati Yehuwa buat selama-lamanya?
18 Bible kata bahawa “tiada sesiapa pun yang dapat memahami” kebijaksanaan, pengetahuan, dan jalan-jalan Yehuwa dengan sepenuhnya. (Rm. 11:33) Maka, biarpun kita hidup selama-lamanya, kita dapat terus belajar tentang Yehuwa dan mendekati-Nya.
19. Apakah yang dapat kita percaya selepas membaca kata-kata dalam buku Mazmur?
19 Mazmur 79:13 menyatakan, “Kami, iaitu umat-Mu dan kawanan bebiri di padang rumput-Mu, akan bersyukur kepada-Mu buat selama-lamanya; kami akan melaungkan pujian kepada-Mu dari generasi ke generasi.” Seraya anda terus mendekati Tuhan, anda dapat percaya bahawa anda akan menerima berkat yang berkekalan. Anda juga dapat berkata dengan yakin, “Tuhan menguatkan hatiku; Dia ialah gunung batuku dan warisanku buat selama-lamanya.”—Mzm. 73:26.
LAGU 32 Berpihak kepada Yehuwa!
a Orang yang bergelut dengan kekhuatiran, keresahan, atau kesedihan yang berpanjangan mungkin memerlukan bantuan pakar. Untuk maklumat lanjut, lihat Menara Pengawal terbitan No. 1 2023.