Jun
Ahad, 1 Jun
Kita mesti mengalami banyak kesengsaraan untuk memasuki Kerajaan Tuhan.—Kis. 14:22.
Yehuwa memberkati orang Kristian abad pertama kerana mereka menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah. Mereka sering dianiaya, dan kadangkala hal itu berlaku semasa mereka tidak menjangkakannya. Itulah yang dialami Barnabas dan Paulus semasa menginjil di Listra. Pada mulanya, orang di situ mendengar perkhabaran mereka. Tetapi para penentang “menghasut orang ramai,” dan sesetengah orang yang pernah menyambut Paulus telah merejamnya dan membiarnya mati. (Kis. 14:19) Namun Barnabas dan Paulus terus menginjil di tempat lain. Hasilnya, mereka telah “membantu ramai orang untuk menjadi murid [Yesus].” Selain itu, kata-kata dan teladan mereka telah menguatkan rakan seiman. (Kis. 14:21, 22) Ya, banyak orang meraih manfaat kerana mereka tidak berputus asa biarpun dianiaya. Begitu juga, selagi kita tidak berputus asa dalam kerja yang diberikan oleh Yehuwa, kita akan diberkati. w23.04 16-17 ¶13-14
Isnin, 2 Jun
Ya Yehuwa, dengarlah doaku; dengarlah seruanku sewaktu aku meminta tolong. Aku berseru kepada-Mu semasa aku dalam kesusahan, kerana Engkau akan menjawabku.—Mzm. 86:6, 7.
Daud ada banyak musuh, dan nyawanya sering diancam. Maka, dia selalu berdoa meminta bantuan Yehuwa. Dia yakin bahawa Yehuwa menjawab doanya. Anda juga dapat yakin akan hal yang sama. Bible meyakinkan kita bahawa Yehuwa dapat memberi kita kebijaksanaan dan kuasa untuk bertabah menghadapi masalah. Dia juga mungkin membantu kita melalui rakan seiman atau bahkan orang yang bukan penyembah-Nya. Walaupun Yehuwa tidak selalunya menjawab doa kita dalam cara yang kita harapkan, kita tahu Dia pasti menjawab doa kita. Jawapan-Nya sentiasa memenuhi keperluan kita dan tepat pada waktunya. Jadi, teruslah berdoa dan percayalah bahawa Yehuwa mendengar doa anda. Yakinlah bahawa Dia pasti menjaga anda sekarang dan akan “memuaskan keinginan semua makhluk hidup” di dunia baharu.—Mzm. 145:16. w23.05 8 ¶4; 13 ¶17-18
Selasa, 3 Jun
Apakah yang dapat aku berikan kepada Yehuwa untuk membalas segala kebaikan-Nya terhadapku?—Mzm. 116:12.
Fikirkanlah manfaat mencapai suatu matlamat rohani. Jika matlamat anda berkaitan dengan tabiat membaca Bible atau berdoa, fikirkanlah bagaimana hal itu dapat menguatkan hubungan anda dengan Yehuwa. (Mzm. 145:18, 19) Jika anda ingin memupuk sifat Kristian tertentu, fikirkan bagaimana sifat itu akan menguatkan hubungan anda dengan orang lain. (Kol. 3:14) Senaraikan semua sebab anda mahu mencapai matlamat anda, dan periksanya dari masa ke masa. Luangkan juga masa bersama orang yang akan memberi anda dorongan. (Ams. 13:20) Ada kalanya kita akan berasa kurang motivasi. Adakah hal itu bermaksud kita langsung tidak dapat mencapai matlamat kita? Tidak. Kita masih dapat menggunakan cara lain untuk maju ke arah matlamat kita. Sudah tentu disiplin diri diperlukan, tetapi usaha kita memang berbaloi. w23.05 27-28 ¶5-8
Rabu, 4 Jun
Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.—Gal. 6:7.
Kita tahu bahawa kita perlu bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat. Jadi kita akan mengakui dosa, membetulkan kesilapan kita, dan berusaha agar tidak mengulanginya. Dengan itu, kita dapat terus berlari dalam perlumbaan Kristian kita. Jika nasi sudah menjadi bubur, anda tidak dapat mengubah apa yang sudah terjadi. Maka, janganlah membuang masa dan tenaga untuk membela diri, menyalahkan diri, atau menyalahkan orang lain. Sebaliknya, akuilah kesilapan anda dan buatlah apa yang terdaya dalam situasi anda sekarang. Jika hati nurani anda terganggu, berdoalah kepada Yehuwa untuk mengakui dosa anda dan mintalah pengampunan-Nya. (Mzm. 25:11; 51:3, 4) Minta maaflah kepada orang yang anda sakiti, dan dapatkanlah bantuan para penatua jika perlu. (Yak. 5:14, 15) Belajarlah daripada kesilapan dan berusahalah agar tidak mengulanginya. Dengan itu, Yehuwa pasti berbelas kasihan kepada anda dan memberi anda bantuan yang diperlukan.—Mzm. 103:8-13. w23.08 28-29 ¶8-9
Khamis, 5 Jun
Selama Imam Yehoyada masih hidup, Yehoas mendengar ajarannya dan melakukan apa yang benar di mata Yehuwa.—2 Raj. 12:2.
Yehoyada memberikan pengaruh baik kepada Raja Yehoas. Hasilnya, Yehoas ingin menyenangkan hati Yehuwa. Tetapi selepas Yehoyada meninggal, Yehoas dipengaruhi oleh pemimpin Yehuda yang murtad. (2 Taw. 24:4, 17, 18) Yehuwa kecewa dan ‘selalu mengutus nabi-nabi untuk memberikan amaran. Tetapi mereka tidak mahu mendengar.’ Semasa Zakharia anak Yehoyada menasihati mereka, mereka juga menolaknya. Zakharia bukan sahaja nabi dan imam Yehuwa, tetapi juga sepupu Yehoas. Yehoas sanggup mengarahkan agar Zakharia dibunuh! (2 Taw. 22:11; 24:19-22) Yehoas tidak mengekalkan rasa takut akan Yehuwa. Yehuwa pernah berkata, “Mereka yang menghina-Ku akan dihina.” (1 Sam. 2:30) Sekumpulan kecil askar Siria kemudiannya mengalahkan tentera Yehoas yang “sangat besar,” dan akhirnya dia “dalam keadaan yang tenat.” (2 Taw. 24:24, 25) Yehoas dibunuh oleh hambanya kerana dia membunuh Zakharia. w23.06 18-19 ¶16-17
Jumaat, 6 Jun
Dahulu kamu pernah hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu hidup dalam cahaya.—Ef. 5:8.
Paulus meluangkan banyak masa untuk menginjil dan mengajar orang di Efesus. (Kis. 19:1, 8-10; 20:20, 21) Dia mengasihi rakan seimannya dan ingin membantu mereka tetap setia kepada Yehuwa. Orang di Efesus pernah menganuti agama palsu dan terikat kepada kepercayaan karut. Mereka terkenal kerana melakukan perbuatan yang jijik dan tidak bermoral tanpa rasa malu. Lakonan di panggung dan bahkan perayaan agama mereka biasanya berkaitan dengan seks. (Ef. 5:3) Ramai penduduk Efesus “tidak lagi peduli tentang piawaian moral.” Dalam bahasa asal, ungkapan ini ialah “tidak lagi berasa sakit.” (Ef. 4:17-19) Sebelum belajar standard Yehuwa, hati nurani mereka langsung tidak terganggu. Itulah sebabnya Paulus menulis, “Fikiran mereka diselubungi kegelapan dan mereka terasing daripada kehidupan yang datang daripada Tuhan.” Namun, sesetengah orang di Efesus telah meninggalkan kegelapan. w24.03 20 ¶2, 4; 21 ¶5-6
Sabtu, 7 Jun
Orang yang berharap kepada Yehuwa akan dikuatkan semula. Mereka tidak menjadi penat.—Yes. 40:31.
Tugasan Gideon sebagai hakim sangat mencabar dari segi fizikal. Semasa berperang, orang Midian melarikan diri pada tengah malam. Gideon terpaksa mengejar mereka dari Lembah Yizreel sehingga ke Yordan. (Hak. 7:22) Adakah Gideon berhenti di Sungai Yordan? Tidak! Biarpun penat, dia dan 300 orang askarnya menyeberangi sungai dan terus mengejar orang Midian. Akhirnya, mereka berjaya menangkap dan mengalahkan orang Midian. (Hak. 8:4-12) Gideon yakin bahawa Yehuwa akan menguatkannya, dan itulah yang berlaku. (Hak. 6:14, 34) Pernah sekali, Gideon dan askar-askarnya perlu berlari untuk mengejar dua orang raja Midian yang mungkin menunggang unta. (Hak. 8:12, 21) Dengan bantuan Yehuwa, orang Israel berjaya mengalahkan musuh mereka. Seperti Gideon, para penatua dapat bergantung pada Yehuwa, Tuhan yang “tidak pernah letih atau lesu.” Dia pasti menguatkan mereka.—Yes. 40:28, 29. w23.06 6 ¶14, 16
Ahad, 8 Jun
Yehuwa tidak sekali-kali akan mengabaikan kamu atau meninggalkan kamu.—Ul. 31:6.
Kita dapat memiliki hati yang teguh tidak kira apa yang kita hadapi. Jadi percayalah kepada Yehuwa. Perhatikan bagaimana Barak meraih kemenangan kerana mempercayai arahan Yehuwa. Pada masa itu, orang Israel belum bersedia untuk berperang dan tiada senjata. Tetapi Yehuwa menyuruh Barak untuk melawan Sisera, iaitu ketua tentera Kanaan dan 900 kereta kudanya. (Hak. 5:8) Nabi Debora juga menyuruh Barak untuk turun dari gunung dan melawan Sisera di tempat yang rata, padahal di sana sangat susah untuk melawan kereta kuda yang laju. Namun, Barak mematuhi arahan itu. Semasa askar Israel turun dari Gunung Tabor, Yehuwa membawa hujan yang lebat. Akibatnya, semua kereta kuda Sisera tersangkut dalam lumpur. Yehuwa memberi Barak kemenangan yang hebat. (Hak. 4:1-7, 10, 13-16) Ya, Yehuwa dapat memberi kita kemenangan jika kita mempercayai-Nya dan arahan daripada organisasi-Nya. w23.07 19 ¶17-18
Isnin, 9 Jun
Sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.—Mat. 24:13.
Untuk mendapat kehidupan kekal, kita mesti bersabar. Seperti umat Yehuwa yang setia dahulu, kita harus bersabar sementara menunggu Yehuwa menunaikan janji-Nya. (Ibr. 6:11, 12) Bible membandingkan situasi kita dengan seorang petani. (Yak. 5:7, 8) Seorang petani bekerja keras untuk menanam dan menyiram tanamannya, tetapi dia tidak tahu bila tanamannya akan tumbuh. Maka dia harus sabar dan percaya bahawa dia akan menuai hasilnya. Seperti petani itu, kita sibuk dalam hal rohani biarpun kita “tidak tahu bila Tuan [kita] akan datang.” (Mat. 24:42) Kita bersabar kerana kita yakin Yehuwa akan menunaikan janji-Nya pada waktu yang ditetapkan-Nya. Jika kita hilang sabar, kita mungkin beransur-ansur meninggalkan kebenaran. Kita mungkin tidak mahu menunggu berkat di dunia baharu dan mula memuaskan keinginan kita. Tetapi jika kita sabar, kita dapat bertahan sehingga akhir dan diselamatkan.—Mi. 7:7. w23.08 22 ¶7
Selasa, 10 Jun
Sebahagian jari kaki patung itu diperbuat daripada tanah liat, dan sebahagian lagi diperbuat daripada besi.—Dan. 2:42.
Setelah membandingkan nubuat di Daniel 2:41-43 dengan nubuat lain dalam buku Daniel dan Wahyu, kita faham bahawa kaki itu melambangkan Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. Mengenai kuasa dunia ini, Daniel menulis, “Sebahagian daripada kerajaan itu kuat dan sebahagian lagi lemah.” Mengapakah kerajaan itu lemah? Kerana kerajaan itu dilemahkan oleh rakyatnya, yang dilambangkan oleh “tanah liat,” sehingga tidak dapat bertindak dengan kekuatan seperti besi. Daripada catatan Daniel tentang patung besar, kita belajar dua kebenaran penting. Pertama, Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika pernah menunjukkan kekuatannya. Contohnya, dua negara ini telah memainkan peranan utama dalam memenangi Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Namun, kuasanya dilemahkan dan akan terus dilemahkan kerana rakyatnya berpecah belah dan menentang kerajaan. Kedua, kuasa dunia ini akan menjadi kuasa dunia terakhir. w23.08 10-11 ¶12-13
Rabu, 11 Jun
Dalam kesusahanku, aku berseru kepada Yehuwa. Aku terus berseru kepada Tuhanku untuk meminta tolong, lalu Dia mendengar seruanku dari rumah-Nya.—Mzm. 18:6.
Ada kalanya, Daud tertekan kerana masalah dan cubaannya. (Mzm. 18:4, 5) Namun, Daud disegarkan oleh keprihatinan Yehuwa dan kasih-Nya yang mendalam. Yehuwa seolah-olah membawa sahabat-Nya yang lesu ke “padang rumput yang hijau” dan “sungai untuk beristirahat.” Hasilnya, Daud mendapat semula kekuatannya dan dapat terus menyembah Yehuwa. (Mzm. 18:28-32) Begitu juga, semasa menghadapi cabaran, kita dapat bertahan ‘kerana Yehuwa menunjukkan kasih setia-Nya’ kepada kita. (Rat. 3:22; Kol. 1:11) Nyawa Daud sering terancam dan dia ada banyak musuh yang kuat. Namun, kasih Yehuwa membuat Daud berasa selamat dan dilindungi. Daud dapat rasa bahawa Yehuwa selalu bersamanya. Oleh itu, dia dapat bernyanyi dengan yakin, “[Yehuwa] membebaskan aku daripada segala ketakutanku.” (Mzm. 34:4) Daud dapat mengatasi rasa takutnya kerana dia tahu Yehuwa mengasihinya. w24.01 30 ¶15-17
Khamis, 12 Jun
Janganlah terpengaruh jika orang berdosa menggoda kamu.—Ams. 1:10.
Belajarlah daripada keputusan buruk Yehoas. Selepas Imam Agung Yehoyada meninggal, Yehoas mula mendengar nasihat para pemimpin Yehuda yang tidak mengasihi Yehuwa. (2 Taw. 24:17, 18) Anda pasti setuju bahawa dia sepatutnya menjauhi kawan-kawan buruk itu. Semasa sepupunya Zakharia cuba membetulkannya, Yehoas mengarahkan agar Zakharia dibunuh. (2 Taw. 24:20, 21; Mat. 23:35) Alangkah bodoh dan kejamnya perbuatan Yehoas! Pada mulanya Yehoas setia kepada Yehuwa, tetapi sayangnya dia menjadi murtad dan pembunuh pada kemudian hari. Akhirnya, dia dibunuh oleh hambanya sendiri. (2 Taw. 24:22-25) Jika Yehoas terus mendengar cakap Yehuwa dan orang yang mengasihi Tuhan, kesudahannya pasti berbeza! w23.09 9 ¶6
Jumaat, 13 Jun
Janganlah takut.—Luk. 5:10.
Yesus tahu bahawa Petrus ada potensi untuk menjadi pengikutnya yang setia. Jadi Yesus menggalakkannya dengan berkata, “Janganlah takut.” Oleh sebab Yesus yakin terhadapnya, hal itu telah mengubah kehidupan Petrus. Pada kemudian hari, Petrus dan saudara kandungnya Andreas, meninggalkan kerja mereka sebagai nelayan lalu mengikut Yesus. Keputusan mereka telah membawa banyak berkat. (Mrk. 1:16-18) Petrus melihat Yesus menyembuhkan orang sakit, mengusir roh jahat, dan bahkan membangkitkan orang mati. (Mat. 8:14-17; Mrk. 5:37, 41, 42) Dia juga diberi penglihatan tentang masanya Yesus menjadi Raja Kerajaan Tuhan, dan hal itu memberinya kesan mendalam. (Mrk. 9:1-8; 2 Ptr. 1:16-18) Ya, Petrus meraih berkat yang tidak dijangkakannya. Dia pasti bersyukur kerana berusaha mengatasi rasa takut dan menerima jemputan Yesus! w23.09 21 ¶4-5
Sabtu, 14 Jun
Yesus berkata kepadanya, “Aku memberitahumu, bukan 7 kali tetapi sehingga 77 kali.”—Mat. 18:22.
Dalam suratnya yang pertama, Petrus menulis bahawa kasih yang mendalam dapat menutupi, bukan beberapa dosa, tetapi “banyak dosa.” (1 Ptr. 4:8) Barangkali Petrus teringat apa yang diajarkan oleh Yesus tentang pengampunan bertahun-tahun lalu. Pada masa itu, Petrus berfikir bahawa jika dia mengampuni orang ‘sehingga tujuh kali,’ dia sudah sangat murah hati. Namun Yesus mengajar Petrus dan kita untuk mengampuni orang “sehingga 77 kali,” iaitu tanpa had. (Mat. 18:21) Jika anda berasa susah untuk mengikut nasihat ini, janganlah tawar hati! Semua penyembah Yehuwa yang tidak sempurna pun pernah berasa susah untuk memaafkan orang. Yang penting ialah sekarang anda melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk memaafkan rakan seiman anda dan berdamai dengannya. w23.09 29 ¶12
Ahad, 15 Jun
Aku berseru kepada-Mu, dan Engkau menjawab seruanku.—Yun. 2:2.
Semasa di dalam perut ikan, Yunus tetap yakin bahawa Yehuwa akan mendengar doanya jika dia bertaubat dan bersikap rendah hati. Dia yakin bahawa Yehuwa akan membantunya. Selepas kembali ke darat, dia bersedia untuk menerima dan melaksanakan tugasan yang diberikan oleh Tuhan. (Yun. 2:10–3:4) Semasa menghadapi cabaran, adakah anda begitu risau sehingga susah untuk berdoa? Atau adakah anda sangat penat sehingga tidak dapat melakukan pembelajaran? Ingatlah bahawa Yehuwa memahami situasi anda dengan sempurna. Jadi walaupun doa anda ringkas, yakinlah bahawa Yehuwa akan memberi anda apa yang anda perlukan. (Ef. 3:20) Jika keadaan fizikal atau emosi anda membuat anda berasa susah untuk membaca atau melakukan pembelajaran, cubalah dengar rakaman audio Bible atau rakaman bahan bacaan lain. Anda juga boleh mendengar lagu rohani atau menonton video di jw.org. Dengan berdoa kepada Yehuwa dan menggunakan bahan yang disediakan-Nya, anda sedang menjemput Yehuwa untuk menguatkan anda. w23.10 13 ¶6; 14 ¶9
Isnin, 16 Jun
Kuasa suci Tuhan menunjukkan dengan jelas bahawa selagi khemah yang pertama masih wujud, jalan masuk ke Bilik Maha Suci masih belum terbuka.—Ibr. 9:8.
Khemah suci dan Rumah Tuhan di Yerusalem mempunyai rekaan dalaman yang hampir sama. Di dalamnya, ada dua bilik, iaitu “Bilik Suci” dan “Bilik Maha Suci” yang dipisahkan tirai. (Ibr. 9:2-5; Kel. 26:31-33) Di dalam Bilik Suci, ada kaki pelita emas, mazbah untuk membakar kemenyan, dan meja untuk roti yang dipersembahkan. Hanya orang yang “diurapi untuk berkhidmat sebagai imam” boleh masuk ke Bilik Suci untuk melakukan tugas suci mereka. (Bil. 3:3, 7, 10) Di dalam Bilik Maha Suci pula, ada tabut perjanjian emas yang melambangkan kehadiran Yehuwa. (Kel. 25:21, 22) Hanya imam agung dibenarkan untuk melalui tirai itu lalu masuk ke Bilik Maha Suci, sekali setahun pada Hari Pengampunan Dosa. (Im. 16:2, 17) Dia akan bawa darah binatang untuk menebus dosanya dan dosa seluruh bangsa. Pada kemudian hari, Yehuwa memberitahu kita apa yang dilambangkan oleh ciri-ciri yang terdapat dalam khemah suci.—Ibr. 9:6, 7. w23.10 27 ¶12
Selasa, 17 Jun
Saling mengasihi.—Yoh. 15:17.
Berkali-kali, Firman Tuhan menggesa kita untuk “saling mengasihi.” (Yoh. 15:12; Rm. 13:8; 1 Tes. 4:9; 1 Ptr. 1:22; 1 Yoh. 4:11) Namun, kasih merupakan perasaan dalam hati kita. Jadi bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kita agar orang lain dapat melihatnya? Melalui kata-kata dan perbuatan kita. Terdapat pelbagai cara kita dapat menunjukkan kasih kepada saudara saudari. Perhatikan beberapa contoh berikut: “Bercakap benar dengan satu sama lain.” (Za. 8:16) “Teruslah berdamai dengan satu sama lain.” (Mrk. 9:50) “Saling mendahului untuk memberikan hormat.” (Rm. 12:10) “Sambutlah satu sama lain.” (Rm. 15:7) “Teruslah . . . saling mengampuni.” (Kol. 3:13) “Teruslah membantu satu sama lain untuk memikul beban.” (Gal. 6:2) “Teruslah melegakan hati satu sama lain.” (1 Tes. 4:18) “Teruslah . . . menguatkan satu sama lain.” (1 Tes. 5:11) “Berdoa untuk satu sama lain.”—Yak. 5:16. w23.11 9 ¶7-8
Rabu, 18 Jun
Bersukacitalah kerana harapan kamu.—Rm. 12:12.
Kita memerlukan iman yang kuat untuk membuat keputusan. Contohnya, kita harus membuat keputusan dalam soal pergaulan, hiburan, pendidikan, perkahwinan, anak, dan pekerjaan. Tanyalah diri, “Adakah pilihan saya menunjukkan bahawa saya percaya sistem dunia ini hanya sementara dan akan digantikan dengan dunia baharu Tuhan tidak lama lagi? Atau adakah pilihan saya dipengaruhi oleh orang yang tidak percaya bahawa mereka dapat hidup selamanya?” (Mat. 6:19, 20; Luk. 12:16-21) Ingatlah, kita akan membuat keputusan terbaik jika kita menguatkan iman kita bahawa dunia baharu sudah dekat. Kita juga memerlukan iman yang kuat semasa menghadapi cubaan. Ketika dianiaya, jatuh sakit, atau menghadapi masalah lain, kita mungkin berazam untuk bertahan. Tetapi jika hal itu berlanjutan, kita mungkin akan tawar hati. Jadi, kita memerlukan iman yang kuat untuk bertabah dan terus menyembah Yehuwa dengan sukacita.—1 Ptr. 1:6, 7. w23.04 27 ¶4-5
Khamis, 19 Jun
Berdoalah sentiasa.—1 Tes. 5:17.
Yehuwa mahu kita bertindak selaras dengan doa kita. Sebagai contoh, seorang saudara berdoa supaya Yehuwa membantunya memohon cuti daripada majikannya agar dia dapat menghadiri konvensyen. Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa saudara itu? Yehuwa boleh memberi saudara itu keberanian. Tetapi saudara itu harus bertindak selaras dengan doanya. Dia mungkin perlu memohon cuti berulang kali, boleh minta rakan sekerja yang lain untuk menukar syif dengannya, atau mengambil cuti tanpa gaji. Yehuwa mahu kita berdoa secara berulang kali. Melalui kata-kata Yesus, kita tahu bahawa sesetengah permintaan kita tidak akan ditunaikan dengan serta-merta. (Luk. 11:9) Maka, janganlah berputus asa! Berdoalah dengan bersungguh-sungguh tanpa henti. (Luk. 18:1-7) Apabila kita berbuat demikian, kita menunjukkan kesungguhan kita. Kita juga menunjukkan bahawa kita percaya Yehuwa dapat membantu kita. w23.11 22 ¶10-11
Jumaat, 20 Jun
Harapan tidak akan mengecewakan kita.—Rm. 5:5.
Yehuwa berjanji kepada sahabat-Nya Abraham bahawa semua bangsa di bumi akan diberkati melalui keturunannya. (Kej. 15:5; 22:18) Biarpun begitu, semasa Abraham berumur 100 tahun dan isterinya berumur 90 tahun, mereka masih tidak mempunyai anak. (Kej. 21:1-7) Namun Bible kata, “Abraham berharap dan beriman bahawa dia akan menjadi bapa kepada banyak bangsa meskipun hal itu nampaknya mustahil. Dia percaya akan kata-kata [Tuhan].” (Rm. 4:18) Apa yang diharapkan oleh Abraham bukanlah mimpi kosong kerana harapannya adalah berdasarkan janji Tuhan. Pada kemudian hari, harapan Abraham menjadi kenyataan semasa Ishak lahir. Mengapakah Abraham memiliki harapan yang begitu teguh? Abraham mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa, jadi dia “yakin sepenuhnya bahawa Tuhan dapat melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya.” (Rm. 4:21) Oleh sebab dia beriman, dia menyenangkan hati Yehuwa dan mendapat perkenan-Nya.—Yak. 2:23. w23.12 8 ¶1-2
Sabtu, 21 Jun
Orang yang setia dalam perkara yang kecil juga akan setia dalam perkara yang besar, dan orang yang tidak jujur dalam hal yang kecil juga tidak akan jujur dalam hal yang besar.—Luk. 16:10.
Saudara muda yang boleh diharapkan akan menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh. Fikirkan teladan Yesus yang sempurna. Dia tidak pernah cuai atau lalai. Sebaliknya, dia melakukan semua tugas daripada Yehuwa, bahkan tugas yang mencabar. Dia mengasihi orang, terutamanya para pengikutnya, dan rela mengorbankan nyawanya demi mereka. (Yoh. 13:1) Untuk meniru Yesus, berusahalah buat tugas yang diberikan kepada anda. Jika anda kurang pasti caranya, mintalah bantuan saudara matang. Janganlah bersikap cincai semasa melakukan kerja. (Rm. 12:11) Sebaliknya, buatlah kerja anda “seolah-olah kamu melakukannya untuk Yehuwa dan bukannya untuk manusia.” (Kol. 3:23) Sudah pasti anda tidak sempurna, jadi akuilah kesilapan anda dengan rendah hati.—Ams. 11:2. w23.12 26 ¶8
Ahad, 22 Jun
Terpujilah orang yang berharap kepada Yehuwa.—Yer. 17:7.
Kita gembira kerana dapat dibaptis dan menjadi keluarga Yehuwa. Mereka yang sudah dibaptis pasti setuju dengan kata-kata Daud: “Berbahagialah orang yang dijemput untuk tinggal di halaman Rumah [Yehuwa].” (Mzm. 65:4) Namun, bukan semua orang dibenarkan untuk tinggal di halaman Rumah Yehuwa. Yehuwa hanya akan menghampiri orang yang membuktikan bahawa mereka ingin menjadi sahabat-Nya. (Yak. 4:8) Apabila anda membaktikan diri dan dibaptis, anda dapat yakin bahawa Yehuwa akan “mencurahkan berkat ke atas [anda] sehingga [anda] tidak kekurangan apa-apa pun.” (Mal. 3:10; Yer. 17:8) Pembaptisan hanyalah permulaan haluan Kristian anda. Anda harus berusaha untuk hidup selaras dengan ikrar pembaktian anda, terutamanya semasa digoda atau menghadapi cabaran. (Pkh. 5:4, 5) Sebagai murid Yesus, anda pasti mahu mematuhi perintah Yesus dan mengikut jejaknya dengan teliti.—Mat. 28:19, 20; 1 Ptr. 2:21. w24.03 8 ¶1-3
Isnin, 23 Jun
Seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya.—Kej. 2:24.
Bagaimana jika anda dan pasangan anda tidak suka meluangkan masa bersama-sama? Jadi apakah yang dapat anda lakukan? Fikirkan contoh unggun api. Pada mulanya api itu mungkin kecil. Tetapi api itu akan menjadi marak jika anda beransur-ansur menambahkan kayu api yang lebih besar. Begitu juga, cubalah meluangkan sedikit masa bersama-sama setiap hari. Lakukanlah hal-hal yang anda berdua suka. (Yak. 3:18) Dengan berbuat demikian, secara beransur-ansur, api cinta anda mungkin marak semula. Suami isteri perlu menghormati satu sama lain. Hormat adalah seperti oksigen. Tanpa oksigen, nyala unggun api akan padam. Begitu juga, tanpa hormat, cinta antara suami isteri akan mendingin. Sebaliknya, jika suami isteri menghormati satu sama lain, cinta mereka akan terus membara. Namun ingatlah, sekadar berfikir bahawa anda sudah menghormati pasangan anda tidak cukup. Anda harus mengambil kira sama ada pasangan anda rasa dihormati. w23.05 22 ¶9; 24 ¶14-15
Selasa, 24 Jun
Apabila aku dilanda kekhuatiran, Engkau menenangkan dan melegakan jiwaku.—Mzm. 94:19.
Dalam Bible, terdapat catatan tentang hamba Tuhan yang berasa risau dan takut kerana diancam musuh atau menghadapi kesusahan. (Mzm. 18:4; 55:1, 5) Begitu juga, kita mungkin menghadapi tentangan di sekolah, tempat kerja, daripada ahli keluarga, atau pihak berkuasa. Kita mungkin menghidap penyakit serius dan takut kita akan mati. Ketika itu, kita mungkin berasa seperti seorang budak kecil yang tidak berdaya. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita pada saat sebegitu? Dia melegakan hati dan menenangkan kita. Jadi, pupuklah tabiat untuk berdoa kepada Yehuwa dan membaca Bible secara kerap. (Mzm. 77:1, 12-14) Maka, apabila ditimpa kesusahan, hal pertama yang akan anda lakukan ialah mencari Yehuwa. Kemudian, Yehuwa akan “bercakap” kepada anda dan melegakan hati anda melalui Firman-Nya.—Mzm. 119:28. w24.01 24-25 ¶14-16
Rabu, 25 Jun
Tuhan menguatkan kamu. Dia memberi kamu keinginan dan kekuatan untuk bertindak.—Flp. 2:13.
Seseorang yang ada keinginan yang kuat mempunyai motivasi dan lebih berpeluang mencapai matlamatnya. Apakah yang dapat anda lakukan untuk memiliki keinginan yang lebih kuat? Berdoalah memintanya. Melalui kuasa suci-Nya, Yehuwa dapat memberi anda keinginan untuk mencapai matlamat anda. Ada kalanya, kita menetapkan matlamat kerana kita tahu kita harus mempunyai matlamat. Hal itu memang bagus, namun kita mungkin tiada dorongan untuk mencapainya. Renungkan apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk anda. (Mzm. 143:5) Setelah merenungkan kebaikan hati Yehuwa yang unggul, Paulus terdorong untuk bekerja keras bagi Yehuwa. (1 Kor. 15:9, 10; 1 Tim. 1:12-14) Begitu juga, apabila anda sering merenungkan apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk anda, anda akan semakin terdorong untuk mencapai matlamat rohani anda.—Mzm. 116:12. w23.05 27 ¶3-5
Khamis, 26 Jun
Pujilah nama Yehuwa.—Mzm. 113:1.
Kita menyenangkan hati Bapa kita yang di syurga semasa kita memuji nama-Nya. (Mzm. 69:30, 31) Adakah hal ini bermaksud bahawa Tuhan Yang Maha Kuasa adalah seperti manusia tidak sempurna yang mendambakan pujian? Tidak. Semasa kita memuji nama Tuhan, kita dapat membuktikan bahawa tuduhan Syaitan terhadap kita salah sama sekali. Syaitan mendakwa bahawa tiada manusia akan mempertahankan nama Tuhan. Dia juga berkata bahawa kita semua tidak berintegriti dan akan meninggalkan Tuhan sebaik sahaja kita ditimpa masalah. (Ayb. 1:9-11; 2:4) Tetapi Ayub telah membuktikan bahawa Syaitan itu pendusta. Adakah anda ingin menjadi seperti Ayub? Kita masing-masing ada penghormatan untuk mempertahankan nama Bapa kita dan membuat-Nya gembira dengan menyembah-Nya dengan setia.—Ams. 27:11. w24.02 8-9 ¶3-5
Jumaat, 27 Jun
Percayalah kepada nabi-nabi-Nya, dan kamu akan meraih kemenangan.—2 Taw. 20:20.
Selepas zaman Musa dan Yosua, Yehuwa melantik para hakim untuk membimbing umat-Nya. Kemudian pada zaman raja-raja, Yehuwa melantik para nabi untuk membimbing umat-Nya. Raja-raja yang setia akan mematuhi nasihat para nabi. Misalnya, Raja Daud menerima teguran Nabi Natan dengan rendah hati. (2 Sam. 12:7, 13; 1 Taw. 17:3, 4) Raja Yehosafat meminta bimbingan Nabi Yahaziel dan menggalakkan penduduk Yehuda untuk ‘percaya kepada nabi-nabi Tuhan.’ (2 Taw. 20:14, 15) Semasa dilanda masalah, Raja Hizkia meminta bantuan Nabi Yesaya. (Yes. 37:1-6) Setiap kali raja mematuhi bimbingan Yehuwa, mereka diberkati dan rakyat mereka dilindungi. (2 Taw. 20:29, 30; 32:22) Jelaslah bahawa Yehuwa sedang menggunakan para nabi untuk membimbing umat-Nya. w24.02 22 ¶8
Sabtu, 28 Jun
Janganlah kamu ada apa-apa hubungan dengan mereka.—Ef. 5:7.
Syaitan mahu kita bergaul dengan orang yang akan membuat kita susah berpegang pada standard Yehuwa. Kita harus lebih berwaspada berbanding orang Kristian abad pertama, kerana pada zaman ini, pergaulan kita bukan hanya merangkumi mereka yang kita jumpa secara bersemuka, tetapi juga dalam media sosial. Dunia ini berfikir bahawa perbuatan yang tidak bermoral boleh diterima. Kita tahu fikiran sebegini memang salah. (Ef. 4:19, 20) Tanyalah diri, “Adakah saya mengelakkan pergaulan bersama rakan sekerja, rakan sekolah, atau dengan mereka yang tidak menghormati standard Yehuwa? Adakah saya berani menjunjung standard Yehuwa biarpun orang berkata saya ini berfikiran kolot?” Selain itu, 2 Timotius 2:20-22 mengingatkan kita agar berhati-hati bahkan semasa memilih sahabat dalam sidang, kerana ada yang tidak membantu kita tetap setia kepada Yehuwa. w24.03 22-23 ¶11-12
Ahad, 29 Jun
Yehuwa mempunyai kasih yang mendalam.—Yak. 5:11.
Apakah yang anda bayangkan tentang Yehuwa? Walaupun Dia tidak dapat dilihat, Bible menggambarkan-Nya dalam pelbagai cara. Misalnya, Yehuwa dipanggil “matahari dan perisai” dan “api yang memusnahkan.” (Mzm. 84:11; Ibr. 12:29) Menurut seorang penulis Bible, kehadiran-Nya seperti batu nilam, logam yang bersinar-sinar, dan pelangi yang terang-benderang. (Yeh. 1:26-28) Oleh sebab Dia tidak dapat dilihat, kita mungkin susah percaya bahawa Dia mengasihi kita. Ada yang berasa Yehuwa tidak mungkin mengasihi mereka kerana apa yang mereka lalui. Yehuwa faham perasaan kita dan tahu bagaimana pengalaman lampau mempengaruhi kita. Untuk bantu kita, Dia menyingkapkan keperibadian-Nya dalam Firman-Nya. Bible berkata, “Tuhan itu kasih.” (1 Yoh. 4:8) Kasih mempengaruhi segala perbuatan-Nya. Kasih Tuhan sangat kuat dan Dia bahkan menunjukkan kasih kepada mereka yang tidak mengasihi-Nya.—Mat. 5:44, 45. w24.01 26 ¶1-3
Isnin, 30 Jun
Dia berfirman kepada mereka dari tiang awan.—Mzm. 99:7.
Yehuwa melantik Musa untuk membimbing orang Israel keluar dari Mesir dan memberi mereka bukti yang jelas. Dia menyediakan tiang awan pada siang hari dan tiang api pada malam hari. (Kel. 13:21) Musa mengikut tiang itu yang membawa dia dan orang Israel ke Laut Merah. Orang Israel panik apabila terperangkap antara Laut Merah dengan tentera Mesir yang sedang mengejar mereka. Tetapi, sebenarnya Yehuwa menggunakan Musa untuk memimpin umat-Nya ke sana. (Kel. 14:2) Selepas itu, Yehuwa menyelamatkan mereka dalam cara yang menakjubkan. (Kel. 14:26-28) Selama 40 tahun, Musa terus bergantung pada tiang awan untuk memimpin umat Tuhan di padang belantara. (Kel. 33:7, 9, 10) Yehuwa bercakap kepada Musa dari tiang awan itu lalu Musa menyampaikan arahan-Nya kepada orang Israel. Jadi, orang Israel dapat lihat dengan jelas bahawa Yehuwa menggunakan Musa untuk memimpin mereka. w24.02 21 ¶4-5