PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w12 15/8 ms. 3-7
  • “Aku Akan Sentiasa Menyertai Kamu”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Aku Akan Sentiasa Menyertai Kamu”
  • Menara Pengawal—2012
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • “PENGETAHUAN YANG BENAR” TERSEBAR
  • RAMAI MENYAMBUT “PENGETAHUAN YANG BENAR”
  • “PENGETAHUAN YANG BENAR” AKAN “MELIMPAH”
  • PENGETAHUAN TUHAN AKAN MEMENUHI BUMI
  • Kelahiran Kerajaan Tuhan di Syurga
    Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
  • Bagaimanakah Kebenaran Bible Ditemui Semula?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
Menara Pengawal—2012
w12 15/8 ms. 3-7

“Aku Akan Sentiasa Menyertai Kamu”

“Pada masa itu, ramai akan mencari-cari, dan pengetahuan yang benar akan melimpah.”​—DAN. 12:4, NW.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Bagaimanakah “pengetahuan yang benar” tersebar?

Bagaimanakah bilangan orang yang memeluk kebenaran berlipat ganda?

Bagaimanakah pengetahuan yang tepat “melimpah”?

1, 2. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus ada bersama rakyatnya dewasa ini dan juga pada masa hadapan? (b) Menurut Daniel 12:4, apakah hasilnya jika ayat Bible dipelajari secara teliti?

BAYANGKAN anda berada di Firdaus. Setiap pagi, anda bangun dan berasa segar, cergas, dan penuh bertenaga. Sendi tulang anda tidak sakit dan anda tidak ada sebarang masalah kesihatan. Semua pancaindera anda—penglihatan, pendengaran, bau, sentuhan, dan rasa—peka dan sempurna. Anda melakukan kerja yang digemari, ada banyak kawan, dan tidak perlu khuatir tentang apa-apa. Semua ini merupakan berkat yang dapat dinikmati di bawah Kerajaan Tuhan. Yesus, Raja yang dilantik Tuhan, akan memberkati rakyatnya dan mengajar mereka pengetahuan tentang Yehuwa.

2 Yehuwa dan Anak-Nya sentiasa menyertai orang yang setia, baik pada abad-abad yang lalu mahupun sekarang, iaitu semasa mereka menjalankan kerja penyebaran. Sebelum Yesus naik ke syurga, dia berjanji kepada murid-muridnya bahawa dia akan sentiasa menyertai mereka. (Baca Matius 28:19, 20.) Untuk menguatkan iman kita dalam hal ini, mari kita kupas satu ayat dalam nubuat yang dicatatkan di Babilon sekitar 2,500 tahun dahulu. Mengenai zaman kita, nabi Daniel menulis, “Pada masa itu, ramai akan mencari-cari, dan pengetahuan yang benar akan melimpah.” (Dan. 12:4, NW) Dalam bahasa Ibrani asal, perkataan “mencari-cari” bererti menelaah atau melihat dengan teliti. Betapa besarnya berkat yang dapat diraih kerana usaha sebegini dicurahkan! Mereka yang mempelajari Alkitab dengan teliti akan diberkati dengan pengetahuan yang benar, atau tepat. Nubuat itu juga menyatakan bahawa ramai akan menerima “pengetahuan yang benar” dengan tangan terbuka. Tambahan lagi, pengetahuan yang tepat akan melimpah, iaitu disebarkan ke serata dan senang diperoleh. Semasa membincangkan bagaimana nubuat ini digenapi, kita akan lihat bukti bahawa Yesus menyertai muridnya hari ini dan Yehuwa berupaya untuk mengotakan segala janji-Nya.

“PENGETAHUAN YANG BENAR” TERSEBAR

3. Selepas kematian para rasul, apakah yang berlaku pada “pengetahuan yang benar”?

3 Selepas kematian para rasul, kemurtadan merebak bagai cendawan tumbuh selepas hujan. (Kis. 20:28-30; 2 Tes. 2:1-3) Berabad-abad kemudian, “pengetahuan yang benar” susah didapati, bukan sahaja dalam kalangan orang yang tidak kenal Bible, malah dalam kalangan mereka yang bergelar Kristian. Para pemimpin gereja yang kononnya mempercayai Bible, mengajar ajaran palsu atau “ajaran roh jahat” yang menghina Tuhan. (1 Tim. 4:1) Oleh itu, kebanyakan orang berada dalam kegelapan rohani. Antara ajaran murtad yang disebarkan termasuk Tuhan ialah Tritunggal, jiwa tidak boleh mati, dan orang akan diseksa di neraka buat selama-lamanya.

4. Bagaimanakah sekumpulan orang Kristian pada tahun 1870-an mula mencari “pengetahuan yang benar”?

4 Namun pada tahun 1870-an, iaitu kira-kira 40 tahun sebelum “hari-hari terakhir,” sekumpulan kecil orang Kristian yang ikhlas di Pennsylvania, A.S. berkumpul bersama untuk mempelajari Bible dan mencari “pengetahuan yang benar.” (2 Tim. 3:1) Mereka menggelar diri Pelajar Bible. Mereka tidak seperti “orang bijak pandai” dunia yang tidak mengenal pengetahuan Tuhan. (Mat. 11:25) Mereka rendah diri dan melakukan kehendak Tuhan dengan ikhlas. Mereka membaca, membincang, dan merenung ayat Bible dengan cermat. Mereka merujuk kepada tulisan orang lain yang juga mencari kebenaran dan membandingkan ayat-ayat Bible. Secara beransur-ansur, kumpulan Pelajar Bible mula memahami kebenaran yang sekian lama tersembunyi.

5. Apakah tujuan risalah-risalah The Old Theology?

5 Walaupun kumpulan Pelajar Bible berasa gembira atas pengetahuan baru yang diperoleh, mereka tidak sombong. Mereka tidak mahu orang memuji mereka kerana menghebahkan kebenaran yang baru. (1 Kor. 8:1) Sebaliknya, mereka menerbitkan risalah bersiri yang dipanggil The Old Theology (Ajaran Tuhan yang Asal). Tujuan risalah ini adalah supaya orang dapat mempelajari kebenaran Bible. Risalah pertama “menawarkan maklumat lanjut untuk membantu orang mengenali Bible agar dapat meninggalkan semua adat istiadat palsu dan kembali mengikut ajaran asal Tuan kita dan para rasul.”​—The Old Theology, No. 1, April 1889, ms. 32.

6, 7. (a) Apakah kebenaran yang tersingkap sejak tahun 1870-an? (b) Apakah kebenaran yang paling menyentuh hati anda?

6 Sejak tahun 1870-an, kebenaran telah pun disingkapkan.a Kebenaran yang tersingkap tidak membosankan atau hanya sesuai diperdebatkan oleh ilmuwan agama. Sebaliknya, kebenaran itu sangat menakjubkan, membawa erti kehidupan, serta memberi sukacita dan harapan. Kita dibantu untuk mengenali Yehuwa, sifat-Nya yang pengasih, dan tujuan-Nya. Kita juga belajar tentang peranan Yesus, mengapa dia diutus ke bumi, dan mengapa dia mati, serta apa yang dilakukannya sekarang. Intan mutiara lain yang disingkapkan ialah mengapa Tuhan mengizinkan kejahatan, mengapa kita mati, bagaimana kita harus berdoa, dan bagaimana kita dapat menikmati kebahagiaan sejati.

7 Kita dibantu untuk memahami nubuat-nubuat yang sudah lama “dirahsiakan” tetapi kini sedang digenapi. (Dan. 12:9) Banyak nubuat ini terdapat dalam buku Matius, Markus, Lukas, Yohanes, dan Wahyu. Yehuwa membantu kita memahami peristiwa yang tidak dapat dilihat oleh manusia—pertabalan Yesus sebagai raja, perang di syurga, dan penyingkiran Syaitan ke bumi. (Why. 12:7-12) Tuhan juga membantu kita memahami erti di sebalik peristiwa yang dapat kita lihat​—perang, gempa bumi, wabak, kebuluran, serta orang yang berbuat jahat.​—Luk. 21:10, 11; 2 Tim. 3:1-5.

8. Kita memuji siapa atas segala yang dapat kita ‘lihat dan dengar’?

8 Kita tentu dapat menghayati kata-kata Yesus, “Alangkah berbahagianya kamu kerana dapat melihat apa yang kamu lihat sekarang ini! Ketahuilah bahawa banyak nabi dan raja mahu melihat apa yang kamu lihat sekarang ini tetapi tidak dapat, dan mahu mendengar apa yang kamu dengar sekarang ini tetapi juga tidak dapat.” (Luk. 10:23, 24, ABB) Kita memuji Yehuwa kerana Dia telah membantu kita melihat dan mendengar kebenaran. Kita juga sangat bersyukur kerana dibimbing oleh daya aktif-Nya untuk “mengetahui segala kebenaran”! (Baca Yohanes 16:7, 13.) Semoga kita sentiasa menghargai “pengetahuan yang benar” dan menyebarkannya dengan murah hati!

RAMAI MENYAMBUT “PENGETAHUAN YANG BENAR”

9. Apakah undangan yang keluarkan dalam majalah ini pada April 1881?

9 Pada April 1881, iaitu hampir dua tahun selepas majalah Watch Tower yang pertama dicetakkan, undangan dikeluarkan untuk mendapatkan 1,000 orang penginjil. Sebahagian daripada undangan itu menyatakan, ‘Kepada mereka yang boleh meluangkan sekurang-kurangnya separuh daripada masa mereka untuk kerja Tuan, kami mencadangkan agar anda berkhidmat sebagai Peneraju, atau Perintis. Mengikut keupayaan anda, pergilah ke bandar yang besar mahupun yang kecil untuk mencari orang Kristian yang bersemangat demi Tuhan. Ramai yang anda temui akan mempunyai semangat yang membara tetapi tidak mempunyai pengetahuan yang tepat. Beritahulah mereka kebesaran rahmat Tuhan, dan keindahan firman-Nya.’

10. Bagaimanakah reaksi orang terhadap undangan yang dikeluarkan untuk 1,000 orang penginjil?

10 Kumpulan Pelajar Bible mengundang orang lain untuk menginjil kerana mereka sedar bahawa orang Kristian sejati harus menyebarkan berita baik. Pada masa itu, hanya terdapat beberapa ratus orang yang menghadiri perjumpaan Pelajar Bible, jadi jumlah 1,000 orang perintis tidak tercapai. Namun, ramai yang menerima risalah atau majalah kita sedar bahawa mereka telah menemui kebenaran dan mahu membantu orang lain. Sebagai contoh, pada tahun 1882, selepas membaca majalah Watch Tower dan sebuah buku kecil yang diterbitkan oleh Pelajar Bible, seorang dari London, England, menulis, “Sila beritahu saya cara menginjil dan apa yang harus saya katakan agar dapat melaksanakan kerja Tuhan.”

11, 12. (a) Apakah matlamat para peneraju? (b) Bagaimanakah peneraju menubuhkan “kelas” atau sidang?

11 Pada tahun 1885, kira-kira 300 orang Pelajar Bible berkhidmat sebagai peneraju. Mereka memiliki matlamat yang sama seperti kita hari ini, iaitu membantu orang menjadi murid Yesus. Namun, cara mereka menginjil berbeza daripada kita. Hari ini, kita biasanya tidak mengajar orang secara berkumpulan, dan kita akan menjemput pelajar Bible untuk bergaul bersama sidang. Pada masa awal pula, para peneraju mengedarkan buku, kemudian mengumpulkan orang yang berminat untuk belajar Bible secara berkumpulan. Dengan demikian, mereka menubuhkan “kelas” atau sidang baru.

12 Contohnya, pada tahun 1907, sekumpulan peneraju pergi ke sebuah kota di mana buku Millennial Dawn (juga dipanggil Studies in the Scriptures) telah pun diedarkan. Majalah Watch Tower menyatakan, “Mereka [yang berminat] diundang untuk menghadiri sebuah perjumpaan pada hari Ahad. Sehari suntuk, seorang peneraju memberi ceramah tentang tujuan Tuhan. Pada hari Ahad yang berikutnya, dia menggalakkan semua yang hadir untuk terus berjumpa secara tetap.” Pada tahun 1911, kaedah lain pula digunakan. Lima puluh lapan orang saudara mengembara ke serata Amerika Syarikat dan Kanada untuk memberikan ceramah umum. Mereka kemudiannya mencatatkan nama dan alamat orang yang hadir lalu mengumpulkan mereka untuk membentuk “kelas” yang baru. Pada tahun 1914, terdapat 1,200 sidang Pelajar Bible di seluruh dunia.

13. Apakah yang menarik perhatian anda tentang pelaksanaan kerja penyebaran?

13 Hari ini, terdapat sekitar 109,400 sidang di serata dunia, dan kira-kira 895,800 orang berkhidmat sebagai perintis. Hampir lapan juta orang telah menerima “pengetahuan yang benar” dan menerapkannya dalam kehidupan mereka. (Baca Yesaya 60:22.)b Hal ini amat mengagumkan kerana Yesus menubuatkan bahawa ‘semua orang akan membenci pengikutnya’ demi namanya, dan mereka akan dianiaya, dipenjarakan, dan dibunuh. (Luk. 21:12-17) Meskipun umat Yehuwa ditentang oleh Syaitan, roh-roh jahat, dan sesetengah manusia di bumi, kerja penyebaran mengalami perkembangan yang pesat. Hari ini, mereka menyebar di “seluruh dunia,” dari hutan tropika ke kawasan tundra yang sejuk, serta di gunung, di gurun, di bandar, dan kampung terpencil. (Mat. 24:14) Hal ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa bantuan Tuhan.

“PENGETAHUAN YANG BENAR” AKAN “MELIMPAH”

14. Hari ini, bagaimanakah “pengetahuan yang benar” disebarkan melalui bahan bacaan kita?

14 Menerusi saudara saudari yang menginjil, “pengetahuan yang benar” kini sudah melimpah. “Pengetahuan yang benar” juga disebarkan melalui bahan bacaan kita. Pada bulan Julai 1879, Pelajar Bible mencetakkan terbitan pertama majalah Zion’s Watch Tower. Dalam bahasa Inggeris sahaja, sebanyak 6,000 naskhah dicetakkan oleh sebuah syarikat swasta. Charles Taze Russell, yang berusia 27 tahun dipilih untuk menyandang jawatan penyunting, dan 5 orang Pelajar Bible yang matang menjadi penulisnya. Hari ini 42,182,000 naskhah majalah The Watchtower diterbitkan dalam 195 bahasa. Majalah ini merupakan majalah yang terlaris di dunia. Majalah Awake! menduduki tangga yang kedua dengan jumlah cetakan 41,042,000 dalam 84 bahasa. Tambahan lagi, sekitar 100 juta buku dan Bible dicetakkan setiap tahun.

15. Bagaimanakah kos percetakan bahan bacaan kita dibiayai?

15 Segala perbelanjaan bagi kerja yang berskala besar ini dibiayai melalui derma sukarela. (Baca Matius 10:8.) Hakikat ini menghairankan mereka yang bekerja dalam bidang percetakan kerana mereka tahu bahawa kos untuk mesin cetak, kertas, dakwat, dan bahan lain adalah sangat mahal. Seorang saudara yang membeli bahan-bahan cetakan untuk Bethel menyatakan, “Ahli niaga yang mengunjungi bahagian percetakan kita sangat kagum kerana peralatan kita yang cepat dan canggih dibiayai oleh derma sukarela. Mereka juga kagum kerana orang yang berkhidmat di Bethel begitu muda dan gembira.”

PENGETAHUAN TUHAN AKAN MEMENUHI BUMI

16. Mengapakah “pengetahuan yang benar” melimpahi bumi?

16 Mengapakah “pengetahuan yang benar” melimpahi bumi? Kerana Tuhan mahu “semua orang diselamatkan serta mengetahui ajaran benar.” (1 Tim. 2:3, 4) Yehuwa ingin semua orang menerima kebenaran supaya mereka boleh menyembah-Nya dengan cara yang betul dan menerima berkat-Nya. Melalui kerja penyebaran, Tuhan mengumpulkan sekumpulan kecil orang Kristian yang terurap. Dia juga sedang mengumpulkan orang “yang luar biasa banyaknya” daripada “setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa” yang akan hidup selama-lamanya di bumi.​—Why. 7:9.

17. Perkembangan ibadat sejati menunjukkan apa?

17 Perkembangan ibadat sejati selama 130 tahun yang lalu jelas menunjukkan bahawa Tuhan dan Raja yang dilantik-Nya, Yesus Kristus sememangnya menyertai, mengarah, melindungi, mengatur, dan mendidik umat Yehuwa di bumi. Memandangkan Yehuwa telah menunaikan janji-Nya untuk membantu orang mencari kebenaran, kita juga boleh berasa yakin bahawa Yehuwa akan mengotakan semua janji-Nya pada masa hadapan. “Bumi akan penuh dengan orang yang mengenal dan menghormati Tuhan sebagaimana lautan penuh dengan air.” (Yes. 11:9) Alangkah besarnya berkat yang akan dinikmati oleh manusia pada masa itu!

[Nota kaki]

a Lihatlah DVD Saksi-Saksi Yehuwa​—Beraksi dengan Iman, Bahagian 1: Keluar daripada Kegelapan dan Saksi-Saksi Yehuwa​—Beraksi dengan Iman, Bahagian 2: Biarlah Cahaya Bersinar.

b Lihat “Nubuat Yesaya” (Isaiah’s Prophecy—Light for All Mankind) Jilid 2, muka 320.

[Gambar pada muka surat 6]

Pelajar Bible masa awal rendah hati dan melakukan kehendak Tuhan dengan ikhlas

[Gambar pada muka surat 7]

Yehuwa menghargai usaha anda untuk menyebarkan “pengetahuan yang benar”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi