Kotak Pertanyaan
◼ Mengapakah daya penilaian diperlukan jika terdapat aturan untuk mendengar program perjumpaan menerusi rangkaian telefon?
Kadangkala terdapat individu-individu yang tidak dapat menghadiri perjumpaan di Dewan Perjumpaan kerana sakit atau timbul keadaan lain yang tidak dapat dielakkan. Banyak sidang telah mengaturkan agar mereka dapat mendengar program perjumpaan dari rumah menerusi rangkaian telefon. Sehubungan dengan ini, daya penilaian dan pengaturan yang baik diperlukan bagi memastikan mereka yang menggunakan sarana ini benar-benar memerlukannya. Maka, para penatua yang menyelia aturan ini ingin mengawasi penggunaannya agar ‘semuanya dilakukan dengan baik dan teratur.’—1 Kor. 14:40.
Para penatua akan memastikan bahawa keutamaan diberikan kepada penyiar dalam sidang yang sakit tenat, uzur, atau yang tidak dapat meninggalkan rumah atas sebab lain. Seorang penyiar yang sakit atau hilang upaya buat sementara waktu, atau seorang pelajar Bible yang sedang membuat kemajuan tetapi mungkin tidak dapat meninggalkan rumahnya, juga boleh memanfaatkan aturan ini dan dihitung sebagai salah seorang hadirin. Jika bilangan talian telefon tidak mencukupi bagi kegunaan mereka yang benar-benar memerlukannya, para penatua boleh membuat aturan lain seperti merakamkan program perjumpaan untuk mereka.
Sudah tentu, tiada apa-apa yang boleh menandingi manfaat yang diperoleh apabila kita sendiri hadir untuk perjumpaan. Pergaulan dengan saudara saudari membolehkan kita untuk saling memberi galakan dan membantu mereka yang baru agar lebih sedar akan pentingnya untuk hadir. Semasa kita hadir untuk perjumpaan, kita mendapat lebih banyak manfaat daripada demonstrasi, kita boleh mendapat bantuan peribadi daripada para penatua, dan kita sendiri merasai kasih mesra persaudaraan Kristian. Sungguh benar kata-kata seorang saudari yang lanjut usia setelah dia didakap sewaktu melangkah keluar dari Dewan Perjumpaan. Katanya, “Anda tidak dapat menikmati kasih sebegini menerusi talian telefon!”—Rm. 1:11, 12.
Seperti Hana yang “tidak pernah meninggalkan Rumah Tuhan,” ramai yang lanjut usia dewasa ini menghadiri perjumpaan Kristian secara tetap selagi keadaan dan kesihatan mereka mengizinkan. (Luk. 2:36, 37) Biarpun mereka menggunakan rangkaian telefon apabila perlu, mereka tidak menganggap sarana ini sebagai pilihan alternatif yang memudahkan mereka sehingga tidak perlu menghadiri perjumpaan di Dewan Perjumpaan. Semoga kita meniru teladan baik mereka dan bersukacita dalam usaha menghadiri perjumpaan seraya kita menyembah Yehuwa, Tuhan kita yang agung.—Mzm. 95:1-3, 6; 122:1.